
Kejayaan ini diikuti dengan kejuaraan yang disandang oleh ASWARA melalui Fakulti Penulisan apabila mahasiswi Nur Fatiha Fadila dinobatkan sebagai Juara Akademi Sastera 2009 sehari selepas Dato' Dr. Anwar Ridhwan merangkap Dekan Fakulti Penulisan ASWARA dikurniakan secara rasmi Aungerah Sastera Negara ke-10. Turut mengharumkan apabila beberapa mahasiswa dari Fakulti Penulisan turut memeriahkan Majlis Penghargaan ASWARA 2009 atas kecemerlangan dan kejayaan mengharumkan nama ASWARA di persada negara. Antara yang diraikan pada majlis tersebut ialah Siti Fairuz Mohd Rawi, Sari Hermawati dan Nur Azreen yang meraih Naib Juara Pertandingan Pantun Tanjung Pinang, Kepulauan Riau pada awal 2009. Selain itu, kejayaan akademik Nur Afiqah Zainuddin yang melayakkan beliau menerima biasiswa Kakiseni - Boh Cameronian Art Awards 2009 turut diraikan. Sementelahan itu, Roziah Adama dan Yusmahizam Yunos serta Nur Fatihah Mohd Hamami sebagai Pemenang Hadiah Sagu Hati Akademi Sastera dan penerima Anugerah Dekan Sesi 2008/2009 turut membanggakan.


Sementelahan itu, Buletin Beringin edisi kali ini turut memuatkan laporan aktiviti Wacana Sastera Bersama Editor anjuran Fakulti Penulisan ASWARA. Wacana Sastera yang telah disertai oleh dua panel editor berpengalaman iaitu Pn. Nor Azah Aziz dari Utusan Publications and Distributor serta Editor Kanan Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Pn. Rozninah Abd Azib. Wacana yang berlangsung hampir dua jam itu banyak memberi input berguna kepada mahasiswa-mahasiswa Fakulti Penulisan yang masih muda usia penulisannya untuk beroleh manfaat ilmu dan rahsia penyuntingan daripada kedua-dua tokoh tersebut.
Pada bulan Julai yang lalu pula, sebuah Bengkel Asas Penulisan Kreatif telah diadakan di Bumi Kenyalang. Bengkel yang diselenggarakan oleh barisan pensyarah Fakulti Penulisan bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam dunia penulisan di samping mempromosikan Fakulti Penulisan dan ASWARA. Penganjuran bengkel ini sangat penting dalam usaha menarik minat lebih ramai pelajar untuk mengikuti pangajian di ASWARA khususnya di Fakulti Penulisan. Khalayak peserta turut didedahkan dengan ilmu teori dan praktik penulisan kreatif merangkumi genre cerpen, drama pentas dan drama radio.
Akhir sekali, kejayaan dua siswazah Fakulti Penulisan ASWARA melangsungkan penglibatan aktif mereka dalam bidang penulisan dengan penghasilan karya-karya baharu turut mengharumkan nama Fakulti Penulisan ASWARA. Siswazah Noor Hafedah dan Haironizan masing-masing telah menghasilkan sebuah novel berjudul Aku, Dia dan Cinta serta novel detekfif berjudul Detektif Cun.

Semoga paparan kejayaan yang dilakar oleh warga Fakulti Penulisan ASWARA ini akan terus menyemarakkan semangat para penghuninya untuk terus beroleh kejayaan di samping menoktahkan pandangan sinis segelintir golongan yang menganggap Fakulti Penulisan ASWARA sebagai 'sepi'.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar