Tampilkan postingan dengan label Aswara. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Aswara. Tampilkan semua postingan

Kamis, 19 April 2012

CANTIKNYA QASEH!



ALHAMDULILLAH, buku cerita kanak-kanak saya yang kedua selepas Warna-Warni Dunia Anis terbitan Buku Prima, Karangkraf telah pun terbit dan mengisi ruang sastera kanak-kanak di Malaysia. Buku ini akan turut mewarnai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bermula 27 April 2012 ini. Insya-Allah saya akan berada di Dewan Tun Dr. Ismail untuk sesi bersam penulis dengan Anggerik Ungu, Warna-Warni Dunia Anis, Novelet Selamat Tinggal Tokio Hotel dan Novelet Kisyah Junior Masterchef terbitan Buku Prima, Karangkraf.


Cantiknya Qaseh bukan tentang seorang kanak-kanak kecil semata-mata. Cantiknya Qaseh tentang hubungan manusia dengan alam, juga membawa erti kasih dan semangat kemanusiaan pemberian Allah SWT.


Selamat berkenalan,

Qaseh

Rabu, 18 April 2012

MANIPULASI KUASA BAHASA KREATIF

Mata pena lebih tajam daripada mata pedang ~Sayidina Ali


KAMUS DEWAN
mentakrifkan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang berfungsi sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Bagi melancarkan proses komunikasi, bahasa menjadi elemen penting dalam pelbagai sektor kehidupan. Penggunaan bahasa yang lancar, bersistem dan tepat menghasilkan daya perhubungan yang berkesan. Ketepatan penggunaan bahasa bukan sahaja mewujudkan hubungan yang baik dalam komuniti bahasa, malah menjadikan proses enkod dan dekod berjalan lancar sekali gus mencapai matlamat berbahasa.

Selain berperanan sebagai alat komunikasi manusia, bahasa berperanan besar membentuk pemikiran dan pandangan hidup manusia. Manipulasi bahasa kreatif yang baik memberi impak kepada daya fikir khalayak penerima bahasa. Ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, kemasukan tulisan Jawi dan bahasa Arab telah memperkaya bahasa Melayu. Pada masa itu, bahasa Melayu bukan sekadar lingua franca yang berperanan dalam bidang perdagangan antarabangsa mahupun pentadbiran negeri Melaka. Sebaliknya, bahasa Melayu sebelum zaman itu lagi telah menjadi wadah masyarakat melahirkan gagasan pemikiran berlandaskan kreativiti berbahasa.

Ketika zaman Melayu klasik (1400-1800), bahasa Melayu yang masih dipengaruhi ciri-ciri bahasa arkaik serta bahasa Arab telah digunakan sebagai senjata untuk berkarya oleh penglipur lara. Proses penggunaan bahasa secara kreatif wujud baik dalam konteks sastera lisan mahupun sastera tulisan. Komuniti Melayu klasik yang mempunyai pertalian erat dengan unsur alam telah menzahirkan pandangan mereka melalui pelbagai cara. Sebagai contohnya, pantun dua kerat seperti di bawah yang lestari sehingga ke hari ini terhasil daripada daya cerap masyarakat terhadap alam yang membentuk kata-kata sarat penghargaan terhadap budi seseorang tanpa penggunaan bahasa secara langsung:

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Za’ba mendefinisikan peribahasa sebagai susunan kata yang pendek namun mempunyai makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Pentakrifan peribahasa ini membuktikan penguasaan terhadap bahasa kreatif mampu mewujudkan laras bahasa tersendiri yang bertujuan memberi pengajaran secara santun. Penggunaan bidalan, perumpamaan, pepatah-petitih, perbilangan, kias ibarat dan tamsil dalam kategori peribahasa sejak zaman dahulu berfungsi menyampaikan sindiran, amanat dan teguran tanpa menyakitkan hati. Hal ini memperlihatkan betapa komuniti Melayu begitu mementingkan kesusilaan dalam berbahasa yang menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.

Dalam kebanyakan tamadun, kecekapan sasterawan menggunakan bahasa kreatif sering menarik perhatian terutamanya oleh pemerintah. Kisah penyair mahupun penulis yang menemui ajal di dalam penjara mahupun di tali gantung bukanlah kisah luar biasa dalam dunia kesusasteraan. Setiap pengkarya mempunyai prinsip tertentu dalam berkarya. Sesetengah sasterawan memilih menggunakan sastera dan bahasa kreatif sebagai sumber perjuangan. Bahasa dan dunia sastera diyakini berupaya menjadi ‘lidah masyarakat’ bagi menyampaikan kritikan terhadap pemerintahan yang bobrok.

Pramoedya Ananta Toer, tokoh penulis Indonesia telah beberapa kali dipenjarakan ketika hidupnya. Keadaan yang menimpa penulis prolifik antaranya novel Keluarga Gerilya (1950), Bumi Manusia (1982) dan Gadis Pantai (1962) ini lantaran pengaruh besar daripada ketajaman tulisan beliau. Ketakutan pemerintah terhadap pengaruh tulisan Pramoedya begitu tinggi sehingga anak kelahiran Blora itu tidak dibenarkan mempunyai tinta dan kertas sepanjang menjadi tahanan penjara. Hal yang sama menimpa Jose Rizal yang dikenali menerusi novel Noli me Tangere (1887) dan El Filibusterismo (1891). Kisah-kisah ini membuktikan bahasa kreatif berkuasa memberi anjakan paradigma terhadap pembaca sekali gus menyemarakkan semangat nasionalisme rakyat yang ditakuti pemerintah kuku besi.

Penggunaan bahasa, daya penceritaan dan sentuhan terhadap isu semasa yang baik mampu mempengaruhi psikologi dan semangat individu. Seni bahasa kreatif atau dikenali sebagai bahasa sastera dimanfaatkan oleh sasterawan pejuang seperti A. Samad Said melalui puisi “Peludah Bahasa” mahupun Usman Awang menerusi puisi “Pak Utih”. Puisi prosa ini mengkritik ahli politik yang hanya mesra rakyat ketika kempen pilihan raya. Namun, rakyat dibiarkan dengan harapan setelah pihak terbabit mendapat kemenangan :


I
Punya satu isteri mau dakap sampai mati
Lima anak mau makan setiap hari
Teratak tua digayuti cerita puaka
O Pak Utih, petani yang berjasa.

II
...
Di mana-mana jamuan dan pesta makan
Ayam panggang yang enak di depan
Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.

Pak Utih masih menanti dengan doa
Bapa-bapa pergi ke mana dengan mobil besar?
(“Pak Utih”, 1954)

Seni bahasa kreatif mempunyai perbezaan yang besar dengan penggunaan bahasa standard. Secara umum, bahasa standard ialah kelas bahasa yang relevan sebagai bahasa penghantar formal. Namun demikian, atas lesen kepenyairan, sasterawan yang mempunyai kreativiti dalam berbahasa mampu menyembunyikan segala isi tersirat di sebalik susunan kata yang dicipta dalam lingkungan kesusasteraan. Syed Syeikh Al-Hadi ialah reformis yang mendapat suntikan semangat dari Timur Tengah. Dalam masa yang sama, beliau juga ialah novelis yang aktif menghasilkan karya sekitar tahun 1920-1930-an. Novel Hikayat Faridah Hanum (1925) karangan beliau diiktiraf oleh sebahagian pengkritik sebagai novel Melayu moden yang pertama.
Sebagai penulis, ketajaman daya kreativiti Syed Syeikh Al-Hadi menyembunyikan hal-hal bersifat erotik melalui bahasa kreatif terbukti. Bagi beliau, penggunaan gaya bahasa ini membuka ruang kreatif yang lebih luas namun masih meletakkan nilai ketatasusilaan sebagai sempadan. Pilihan bahasa kreatif ini berupaya mengelakkan rasa tidak senang pembaca terhadap beberapa adegan yang sensitif. Perhatikan syair yang dihasilkan Syed Syeikh Al-Hadi bagi menggambarkan situasi malam pertama pernikahan antara Faridah Hanum dengan Shafik Afandi :

...
Kudrat Tuhan Ilahul Ali,
Awan dan mega tersingkap sekali,
Bintang zaharah nampak tajalli,
Zahirlah kubah keramat dan wali.

Shafik pun khayal di situ sebentar,
Seluruh anggota rasa menggeletar,
Mengucaplah ianya ya Rabbi ya Sattar
Ampunkan dosaku Ilahi ya Ghaffar.

Dosa mabuklah Shafik di bahan gelora,
Hilanglah peringatan hilang kira-kira,
Anak kunci kubah dipadukan segera,
Merebutkan sementara Faridah nan cendera.

(Petikan daripada Hikayat Faridah Hanum:1925)

Seni berbahasa bukan sahaja penting dalam lapangan penulisan kreatif. Sebaliknya, kreativiti berbahasa berperanan utama dalam dunia pengacaraan majlis. Dalam hal ini, seni bahasa kreatif diperlukan agar sesebuah majlis yang dikendalikan berjalan baik dan tepu kata-kata yang menyenangkan hadirin. Setiap pengacara atau penulis skrip pengacaraan majlis wajar peka terhadap matlamat majlis. Pemilihan skrip yang tidak bersesuaian dengan format majlis akan menimbulkan gangguan terhadap kelancaran majlis. Keupayaan mengungkapkan butir-butir fikiran menggunakan gaya bahasa yang halus dan indah dapat menyampaikan maksud dengan cara yang lebih berkesan dan sopan.

Bahasa Melayu kaya dengan laras-laras bahasa kreatif bagi tujuan pengacaraan. Lazimnya, bahasa-bahasa berirama digunakan untuk dua tujuan utama iaitu menyampaikan mesej yang sukar untuk disampaikan dengan menggunakan bahasa biasa dan untuk memuliakan majlis. Penggunaan bahasa kreatif bagi majlis perpisahan, peminangan mahupun pernikahan memberi nilai tambah terhadap semangat Melayu yang sememangnya menyanjung tinggi keupayaan bahasa menyampaikan makna. Perhatikan gurindam yang boleh digunakan dalam majlis perpisahan di bawah. Inti gurindam ini penuh dengan tanda penghargaan terhadap individu yang akan bersara tanpa menggunakan bahasa standard :


Kasih mana orang baru,
Kasih lagi orang lama.

Sedap mana kasut baru,
Sedap lagi kasut lama.

Sedih mana tuan yang pergi,
Sedih lagi kami yang tuan tinggalkan.
(Abdullah Hassan, Aripin Said, Ainon Mohd:2007).

Dalam dunia siasah, gaya bahasa retorik dipilih pemimpin bagi meraih kepercayaan dan perhatian rakyat. Pemimpin Amerika Syarikat misalnya mempunyai penguasaan gaya bahasa retorik yang amat baik sehingga mampu memiliki ‘suara’ besar di dunia global. Hal ini kerana golongan pemimpin berkenaan mempunyai pengetahuan yang luas akan pengaruh gaya bahasa retorik untuk memancing kesetiaan rakyat.

Presiden Geogre W. Bush berjaya mencuri perhatian rakyat Amerika dengan penegasan bahawa campur tangan Amerika di Iraq bertujuan membebaskan rakyat Iraq daripada belenggu kepimpinan kuku besi Saddam Hussein. Walau bagaimanapun, pandangan skeptikal masyarakat di luar Amerika melihat ucapan Bush semata-mata retorik untuk meraih sokongan rakyat Amerika bagi ‘menghalalkan’ tindakannya terhadap Iraq. Penggunaan bahasa kreatif yang bersifat retorik ini memerlukan daya imaginasi, emosi dan penceritaan yang kuat untuk mengikat kepercayaan khalayak. Hal ini turut dapat dilihat menerusi Pemenang Sinematografi Terbaik dalam Festival Filem Asia Pacific 2001, Pasir Berbisik. Watak Daya yang dilakonkan oleh Dian Sastrawidoyo membesar dengan harapan menerusi ‘suara-suara’ bapa yang meninggalkannya ketika kecil. Filem ini memperlihatkan realiti kuasa bahasa kreatif memberi kesan kepada psikologi manusia :

DAYA
Bapa saya meninggalkan saya sewaktu kecil. Saya bangun pada satu hari dan dia tidak ada lagi. Yang tersisa hanya suaranya. Satu hari nanti,angin akan mempertemukan kita.


Bahasa kreatif bukan milik bahan bacaan semata-mata. Apabila sesebuah karya itu dipentaskan atau mendapat tempat di layar perak, fungsi bahasa kreatif semakin besar bagi mendekatkan jarak antara masyarakat dengan bahasa. Beberapa buah filem yang mencapai status pecah panggung dengan garapan skrip serta penggunaan bahasa yang indah mampu menarik perhatian khalayak. Filem Puteri Gunung Ledang (2006) menampilkan kisah perjuangan Hang Tuah dan cinta Puteri Gunung Ledang menerusi penggunaan bahasa yang menarik sebagai dialog. Garapan bahasa kreatif ini bersesuaian dengan jalan cerita dan watak yang ditampilkan oleh M. Nasir dan Tiara Jaquelina. Kehadiran bahasa kiasan bertujuan melahirkan perasaan atau pemikiran menjadikan taraf bahasa Melayu semakin tinggi dan relevan untuk pelbagai ruang dan fungsi :



HANG TUAH
Kanda lupa cinta dinda seagung maya.

GUSTI PUTRI
Cinta kanda? Buka
n semesta luasnya?

HANG TUAH
Masih kecil berbanding cinta dinda!


GUSTI PUTRI
Tapi kanda ke mari juga.

HANG TUAH
Laksana orang haus dahaga, berjumpa air satu telaga.
Setapak melangkah, dua langkah ingatan kanda pada dinda.

(Petikan dialog filem Puteri Gunung Ledang)


Pihak berwibawa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran sewajarnya mengambil inisiatif merapatkan jurang masyarakat umum dengan seni bahasa kreatif. Usaha-usaha seperti yang dilakukan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melalui Fakulti Penulisan Kreatif dalam melahirkan penulis-penulis yang kenal tanggungjawab dan keupayaan kuasa bahasa kreatif wajar diambil perhatian. Penulis yang mempunyai kemahiran berbahasa kreatif juga harus mengambil kira sempadan dalam berkarya sekali gus memastikan hasil pena mereka menjanjikan kebaikan dan kemakmuran untuk masyarakat pembaca dan penerima bahasa.



Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian ~Pramoedya Ananta Toer-


Esei ini telah tersiar dalam majalah Dewan Bahasa, Februari 2012

Kamis, 01 Desember 2011

KENANGAN TERINDAH, CATATAN TERTANGGUH DUA PURNAMA

SAMPAI bila-bila pun saya tidak akan lupa tarikh itu. 15 Oktober 2011, hari yang sungguh indah buat kenangan diri saya sebagai manusia yang pernah berjerih payah untuk menggenggam segulung ijazah. Saya faham dan yakin, mendaki tangga pengajian maknanya lebih daripada sehelai kertas tertera penganugerahan ijazah pertama itu. Ijazah itu hanyalah alat yang menambah tanggungjawab di bahu saya.

Sesungguhnya catatan ini sudah lama ingin saya nukilkan di ruangan maya ini. Memang benar, saya sudah terlalu lama tidak menulis di medium ini. Kesibukan menjaga orang-orang sakit menyebabkan saya perlu mengorbankan banyak perkara. Biarlah, saya yakin masa dan kesihatan yang saya ada tidak akan luak dengan menjaga mereka yang saya sayang dan amat memerlukan bantuan saya. Itu tanggungjawab saya.




Meskipun hampir dua bulan Konvokesyen ke-8 Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berlalu, setiap inci masa yang saya lalui pada hari itu masih segar di ingatan saya. Catatan ini hanyalah sebagai rakaman dalam bentuk tulisan. Andai ada sedikit kebaikan untuk diteladani di sebalik kisah ini, maka teladanilah. Sekiranya ada kekurangan untuk dijadikan sempadan, maka jadikanlah batasnya.

Lima hari sebelum hari bersejarah berkenaan, saya menerima panggilan daripada seorang pegawai berkenaan anugerah yang bakal saya terima pada hari tersebut. Alhamdulillah, Anugerah Rektor benar-benar sudah saya lupa. Rezeki, saya menerimanya dengan dada penuh syukur. Menunggu hari konvokesyen ialah penantian yang amat mendebarkan. Kalau ada rakan yang berdebar menunggu hari pertunangan atau persandingan, maka debar yang anda rasa itu saya alami untuk hari bersejarah saya 15 Oktober 2011.

Saya berada di bawah Panggung Eksperimental seawal jam 7:40 pagi. Saya dan rakan-rakan menanti masa untuk bergelar graduan. Masa menunggu agak panjang, dalam sela masa itu kami saling membantu mengenakan jubah, hood dan mortar board. Lelah menunggu, debar yang datang sejak awal pagi pun surut.



Guru saya ini sangat sabar mendidik saya yang bermula dari kosong semata-mata. Saya tidak akan lupa syahadah panjang yang diucap beliau tatkala saya terlalu sukar memahami pengajarannya dalam semester empat.


Walau bagaimanapun, debar saya memuncak kembali sebaik sahaja kaki saya melangkah masuk ke dalam Panggung Eksperimental, lokasi kami untuk sesi penganugerahan. Debar saya benar kuat dan ketika itu juga hati saya menjadi hiba. Sebak saya menjadi-jadi apabila menyanyikan lagu "Suara ASWARA" yang kali terakhir saya nyanyikan pada perasmian PeTA 2010, November tahun lalu. Sungguh, saya tidak akan lupa akan perasaan itu. Hiba yang datang dengan tiba-tiba. Segala susah, payah dan dugaan sepanjang tiga tahun pengajian ibarat foto-foto yang bergerak satu demi satu di depan mata saya. Saya terbayangkan sukarnya saya untuk menghadiri temu duga, berhadapan dengan masalah semasa pengajian hingga pernah mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian, saya terlihat keadaan saya yang bersusah menggunakan komputer di perpustakaan sehingga semester empat dan menjadi satu-satunya pelajar dari kumpulan saya yang tidak mempunyai komputer riba sendiri. Saya melihat kebaikan sahabat baik sejak di zaman persekolahan yang ketika itu melanjutkan pengajian di Universiti Malaya meminjamkan saya komputer riba Acer miliknya untuk saya sudahkan tugasan saya ketika dia bercuti semester. Saya melihat diri saya yang ketakutan menaiki komuter buat pertama kali setelah tersalah masuk kad laluan komuter menuju Shah Alam untuk memohon pinjaman pelajaran daripada Yayasan Selangor.



Cikgu Julia selalu berpesan, sayangi masa depan dan pelajaran. En. Z pernah berkata, latar belakang bukan penentu kejayaan. Terima kasih, kalian insan budiman.

Saya seolah-olah mendengar keluh-kesah dan adu sakit emak yang saban hari menanggung rindu dan sukar hidup kepada saya. Saya melihat tekun sabar Cikgu Julia menggunting keratan akhbar permohonan kemasukan ke ASWARA sesi 2008/2010, saya ternampak keadaan gelap diri tatkala kecewa dengan sebuah keputusan yang tidak akan saya lupa hingga kini. Semua pengorbanan insan ini berlegar sepanjang masa itu. Terdetik di hati saya dalam masa berjalan menuju tempat duduk 'Rupa-rupanya, tiga tahun selama ni ... untuk hari ini ..'.

Debar dan hiba itu akan saya kenang sampai bila-bila. Hatta, sampai kini saya masih boleh merasainya. Saya bersyukur, pengorbanan emak, Cikgu Julia dan semua yang menjadi tulang belakang saya selama ini tidak sia-sia. Sekiranya ini disebut sebagai kejayaan, maka kejayaan ini ialah milik mereka yang menyempurnakan cita-cita saya. Terima kasih saya tidak akan habis buat guru-guru saya terutama sekali emak yang mengajar saya erti hidup, Cikgu Julia yang mendidik saya erti sabar, En. Zakaria Ariffin dan Dato' Anwar Ridhwan yang selalu memberi kepercayaan dan keyakinan kepada saya. Tidak saya lupa guru-guru saya sejak kecil hingga kini yang sentiasa ada dalam titi doa saya.



Mawar yang sudah layu dan kering ini akan menjadi simpanan kenangan menawan kerana hadirnya bersama semangat dan wangian doa harapan


Catatan yang tertangguh ini, indahnya tidak terperi. Mekar harum di laman memori, semoga akan berulang lagi.

Sabtu, 24 September 2011

BAHASA TUNJANG KETAMADUNAN NEGARA DAN BANGSA & PETUALANG BANGSA


Bahasa Tunjang Ketamadunan Negara dan Bangsa & Petualang Bangsa di Dewan Bahasa dan Tunas Cipta, September 2011

Rabu, 31 Agustus 2011

PERJUANGAN DALAM KESEMPITAN: CERITA DALAM CERITA PENTAS OPERA

TEKANAN oleh pemegang kuasa yang memerintah Tanah Melayu menyebabkan anak-anak wayang berada dalam kesempitan. Mereka mahu berkarya. Mereka mahu melestarikan seni bangsawan agar terus gah tidak tergugah. Akan tetapi, pendudukan Jepun dan kembalinya semula pemerintahan British menyebabkan anak-anak wayang perlu tunduk kepada kuasa yang berada di Tanah Melayu demi keselamatan dan kelangsungan hidup.


Seri Nilam Opera ialah produksi bangsawan yang sangat terkenal. Syekh Abdul Kadeer sebagai pemilik pentas opera ini telah menerbitkan pementasan berjudul "Inggeris Iblis" atas permintaan dan desakan pegawai Jepun. Demi melebarkan slogan 'keamanan' yang dibawa Jepun ke Malaya, masyarakat ketika itu disogokkan dengan kekejaman yang dilakukan British. Pentas Opera ini dimulakan dengan adegan akhir dalam babak pementasan "Inggeris Iblis" yang dilakonkan oleh anak-anak wayang Seri Nilam Opera. Adegan ini memperlihatkan Aminah iaitu watak yang dipegang oleh seri panggung Rubiah @ Ruby Soeparno hampir diperkosa oleh pegawai Inggeris. Kemunculan orang muda yang dipegang oleh Nasruddin Syah dengan watak Hassan akhirnya menyelamatkan Aminah daripada dicabul kehormatannya oleh Inggeris durjana. Mesej kedurjanaan Inggeris disampaikan melalui watak Hassan pada akhir pementasan berkenaan seperti berikut :



HASSAN : Ya, sesungguhnya mereka adalah iblis yang bertopengkan manusia! Tetapi usahlah Aminah khuatirkan lagi, kerana Inggeris akan tewas dan kita akan hidup dengan lebih selamat, aman dan makmur, di dalam sebuah negeri baru di bawah pemerintahan Nippon yang perkasa! (mengeluarkan sehelai bendera Jepun dan menjulangnya ke atas) Hidup Nippon! (1989:4-5).








Seri Nilam Opera nyata menjadi alat Jepun untuk menyebarkan dakyah mereka. Inggeris diberikan watak hitam dan Jepun memegang watak putih yang membawa segala kebaikan untuk Tanah Melayu. Konflik drama ini bermula apabila Ruby selaku seri panggung telah disunting oleh Raja Abdul Muluk dan dibawa ke istana hinggap di Kuala Lumpur. Keputusan Ruby untuk pergi telah memberi implikasi besar terhadap sikap dan pemikiran Nasruddin Syah yang mencintai Rubiah Soeparno. Kehilangan seri panggung menyebabkan Seri Nilam Opera gagal beroperasi. Hal ini kerana seri panggung dan orang muda ialah nadi yang menggerakkan sesebuah pementasan dan menjadi tarikan utama penonton.


Setelah Ruby pergi, Seri Nilam Opera tidak beroperasi hampir sebulan. Anak-anak wayang yang terdiri daripada Dolah Pacak, Osman Bombay, Abdul Ghaffur Ifrit, Juliah, Khatijah dan Tuminah semakin buntu akan nasib mereka. Apatah lagi setelah Syekh Abdul Kadeer pulang ke Pulau Pinang dengan harapan untuk mencari seri panggung yang baharu. Walau bagaimanapun, Juliah dan Khatijah nekad menjadi penari joget di Lucky World demi menyara hidup mereka. Bagi dua watak wanita ini yang nyata bertentangan pegangan hidup dengan Tuminah beranggapan tidak salah melayan lelaki berhibur asalkan mereka mendapat cara untuk menyara hidup mereka.


Anak-anak wayang ini sedar bahawa mereka tidak punya daya untuk melawan Jepun. Kekejaman Jepun menggentarkan mereka. Mereka sedar bahawa mereka menjadi alat Jepun dalam menipu rakyat Tanah Melayu sendiri. Jauh di sudut hati, mereka amat rindu untuk mengembalikan kegemilangan bangsawan yang sebenar dan melestarikan seni yang mendarah daging di dalam diri mereka.



Setelah Syekh Abdul Kadeer pulang ke Pulau Pinang, Nasruddin Syah pula ditahan oleh pegawai Inggeris sebaik-baik Jepun kalah dan menyerah diri. British Military Adminstration telah menguasai Tanah Melayu. Nasruddin ditahan kerana menjadi pengarah (program meester) kepada pementasan "Inggeris Iblis" ketika pendudukan Jepun. Apabila Syekh Abdul Kadeer pulang semula ke Seri Nilam Opera bersama Siti Zaleha iaitu seri panggung baharu, Nasruddin yang dibebaskan oleh bapa saudaranya itu pula mengambil keputusan untuk meninggalkan Seri Nilam Opera dan berhijrah untuk berlakon filem di Singapura. Hakikatnya, pemergian Nasruddin adalah kerana kekecewaan tidak berbelah bahagi terhadap Ruby dan dendamnya terhadap Abdul Kadeer yang memberi izin Ruby pergi bersama Raja Abdul Muluk sekali gus menjadi 'Mak Engku".



Pemergian Nasruddin tambah membuntukan keluarga Seri Nilam Opera. Syekh Abdul Kadeer yang berperwatakan lemah akhirnya tekad untuk menjual Seri Nilam Opera. Tekad berkenaan dilakukan atas dasar dirinya sebagai ahli perniagaan yang melihat keuntungan mengatasi perjuangan anak-anak wayang seperti Dolah Pacak, Osman Bombay, Tuminah dan Abdul Ghaffur. Anak-anak wayang ini tidak sanggup Seri Nilam Opera dijual kepada orang yang tidak bijak menghargai seni bangsawan. Hal ini membuatkan mereka tekad untuk membeli Seri Nilam Opera dengan memohon diberikan masa seminggu oleh Syekh Abdul Kadeer :


OSMAN BOMBAY : Jikalau sudah begitu pendapat kawan-kawan semua, bermakna kita bersetuju untuk mencari wang bagi membeli Seri Nilam Opera ini. Bagaimanapun, Tuan Syekh, kami perlu meminta tangguh dalam sedikit masa, kerana kami perlu juga mendapatkan perjumpaan di antara kami, dan seterusnya untuk mencari wang yang diperlukan (1989:66).


Anak-anak wayang ini akhirnya berjaya mendapat bantuan Ruby Soeparno yang bersetuju untuk membeli Seri Nilam Opera atas dasar cinta dan sayangnya akan seni bangsawan. Ruby tidak sanggup melihat Seri Nilam Opera diambil alih oleh orang yang tidak tahu akan besarnya nilai bangsawan. Dalam masa yang sama, Ruby berhasrat untuk memajukan Seri Nilam Opera bersama-sama rakan-rakannya Osman Bombay, Dolah Pacak, Tuminah, Khatijah dan Juliah.


Tidak lama selepas Seri Nilam Opera berpindah hak milik, Nasruddin Syah kembali setelah berasa kecewa dengan kehidupan sebagai pelakon yang tidak memberi kepuasan penuh seperti yang dialami ketika bergelar anak wayang bangsawan. Nasruddin akhirnya semakin tenang dan menerima kenyataan bahawa Ruby Soeparno bukanlah jodohnya dan berusaha menjalin hubungan baik dengan seri panggungnya yang baharu iaitu Siti Zaleha.


Drama ini membawa konsep cerita di dalam cerita. Khalayak pembaca naskhah yang memenangi Hadiah Kedua ESSO-GAPENA 11 (1988/1989) ini dapat menikmati susur galur kehidupan anak bangsawan, dilema dan konflik yang dialami melalui olahan Zakaria Ariffin dalam Pentas Opera. Penggunaan pentas dan belakang pentas Seri Nilam Opera sebagai satu-satunya latar dalam karya ini memberi ruang untuk khalayak menjadi lebih dekat dalam permasalahan yang dialami watak dan cerita dalam menyelamatkan seni bangsawan dan tekanan yang dihadapi akibat silih gantinya pendudukan Jepun kepada pemerintahan British semula.


Watak Jin Boragas dalam pementasan Indera Bangsawan (adegan akhir pementasan Indera Bangsawan oleh Seri Nilam Opera pascakedatangan British) menyaksikan satu tanda bahawa Inggeris dan Malayan Union itu perlu ditentang dan tidak sewajarnya mendapat tempat untuk mendirikan peraturan dan penjajahan mereka buat selama-lamanya di Tanah Melayu. Pengarang memberikan warna bendera Union Jack pada tubuh Jin Boragas yang ditikam Indera Bangsawan bagi mempertahankan dan menyelamatkanTuan Puteri sebagai perjuangan bangsa Melayu (Indera Bangsawan) menewaskan Inggeris/penjajah (Jin Boragas) demi Tanah Melayu (Tuan Puteri) :


INDERA BANGSAWAN : Akulah Indera Bangsawan, putera perkasa dari negeri Indera Kayangan. Aku datang ke mari kerana mahu membebaskan Tuan Puteri ini daripada menjadi mangsa nafsu buas engkau, jin yang tidak berhati perut!


JIN BORAGAS : Hah ... hah ... hah ...! Umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang, sudah berani mencabar aku? Hah ... hah ... hah ...!



INDERA BANGSAWAN : Cis! Besar jangan disangka ayah, kecil jangan disangka anak ... Sekarang terimalah habuan engkau ... nah! (Menikam Jin Boragas, tetapi Jin Boragas sempat mengelak dan menolak Indera Bangsawn hingga terjatuh)


Indera Bangsawan bangun dan menikam lagi. Berlakulah satu pertempuran yang amat hebat. Setelah beberapa lama beradu kekuatan, akhirnya Indera Bangsawan dapat membunuh Jin Boragas. Indera Bangsawan lalu membuka tali yang mengikat Tuan Puteri.


Dalam masa yang sama, Zakaria Ariffin mengangkat wanita melalui karya ini dengan kewujudan watak Rubiah Soeparno. Meskipun watak ini hanya muncul dalam beberapa adegan, namun keperibadiannya yang sanggup berkorban demi mempertahankan Seri Nilam Opera ialah simbol perjuangan dalam mempertahankan kesinambungan bangsawan ketika diancam zaman pendudukan Jepun. Persoalan mengenai sikap dan mentaliti masyarakat Melayu ketika itu diterjemahkan pengarang melalui kekalutan watak Osman Bombay dan Dolah Pacak.



Dalam pada itu, kebejatan sosial yang melatari orang Melayu ketika itu lantaran desakan hidup dilontarkan melalui peribadi dua wanita yang sanggup berbuat apa-apa sahaja asalkan dirinya beroleh faedah iaitu watak Khatijah dan Juliah. Selain itu, sikap mudah putus asa dan hilang semangat untuk berdaya saing dipertontonkan menerusi watak Syekh Abdul Kadeer. Natijah sikap pemilik opera ini bukan sahaja mencetuskan masalah kepada dirinya malah membabitkan pekerja di opera itu sendiri. Intihanya, Pentas Opera ialah cerita yang membawa cerita di dalamnya. Persoalan perasaan, kehidupan, konflik dan pengorbanan disatukan dalam adunan menampilkan sejarah kehidupan manusia zaman prakemerdekaan untuk dihayat masyarakat kini.

Selasa, 30 Agustus 2011

DILEMA PERAWAN TUA DALAM CINTA SUCI ZAHRANA

TIDAK ADA WANITA NORMAL yang tidak punya rasa untuk berumah tangga dengan sengaja. Tidak ada wanita normal yang enggan mengandungkan janin daripada benih suami tercinta di dalam rahim yang dimilikinya dengan sengaja. Tidak ada wanita normal yang menolak untuk menjadi makmum saban solat jemaah berimamkan suami yang menikahinya atas dasar cinta dan amanah daripada Allah dengan sengaja.


Menjadi seorang wanita berkerjaya, berprestasi, bereputasi tinggi, mempunyai pendidikan dan kecemerlangan yang bergemerlapan tetapi melewati usia tanpa teman yang halal dalam melayari bahtera perkahwinan bukanlah mudah. Zahrana berusia 34 tahun, pada usia itu wanita dari tanah Jawa itu diamuk tekanan masyarakat khususnya ibu bapa sendiri untuk melihat Zahrana bernikah, mempunyai suami dan cahaya mata penyejuk hati.


Zahrana, wanita bercita-cita tinggi mendapat penghargaan antarabangsa sebagai arkitek ulung dari Universiti Tsinghua, Beijing namun hatinya resah apabila mendapat sambutan dingin daripada ibu dan bapa sendiri. Habiburrahman El Shirazy memulakan novel terbaharu yang terbit pada Mei 2011 berjudul Cinta Suci Zahrana ini dengan pertanyaan demi pertanyaan Zahrana terhadap dirinya sendiri sewaktu dalam penerbangan menuju Beijing untuk menerima anugerah berkenaan. Dewi Zahrana tertanya-tanya, berkonflik dalam diri akan sebab ibu dan bapa menghantarnya terbang ke Negara Tembok Besar dengan dingin.














Lina, sahabat baik sejak dari SMA dihubungi agar menemui ibu bapa Zahrana seraya menggali rahsia dinginnya mereka terhadap Zahrana. Melalui Lina, Zahrana mendapat tahu akan kecewanya Pak Munajat dan Bu Nuriyah terhadap dirinya. Ya, Zahrana seharusnya cukup membanggakan ibu dan bapa apabila mendapat pengiktirafan antarabangsa, bakal melanjutkan S-3 dan tulisan-tulisan Zahrana termuat dalam jurnal-jurnal antarabangsa dunia reka bina. Namun, segala pengiktirafan dan kecemerlangan Zahrana tidak mampu menandingi harapan dan impian Pak Munajat serta Bu Nuriyah yang kepingin Zahrana mengakhiri dunia sendirinya dengan pernikahan. Zahrana dilabel sebagai 'anak perawan tua'. Sesetengah jiran mula berkata tentang Zahrana yang sukar menemui jodoh pada usia sebegitu. Mengenangkan pendapat pakar perubatan akan kesukaran mendapatkan zuriat pada usia wanita lewat 30-an tambah merisaukan Pak Munajat dan Bu Nuriyah. Mereka khuatir andai keturunan mereka tidak bersambung gara-gara liatnya Zahrana menemui jodohnya.


Namun demikian, Zahrana tidak pernah membenci cinta dan menguburkan impian untuk berumah tangga. Zahrana berusaha keras untuk mencapai puncak kejayaannya dalam pelajaran dan kerjayanya. Zahrana terlalu fokus pada matlamat dan impiannya. Walau bagaimanapun, Zahrana tetap punya keinginan dan kerisauan memandangkan diri yang belum berpunya. Dia berusaha untuk mencari jodohnya tetapi dengan cara yang begitu berhati-hati. Wanita kental ini tidak mahu perkahwinannya berantakan di kemudian hari, mendapat suami yang hanya menyakitkan hati atau menzalimi dirinya sendiri. Zahrana bertahan lama hidup dengan tohmahan 'anak perawan tua' kerana mengejar jodoh terbaik buatnya.


Pak Sukarman, Dekan Fakultas Teknik di Universiti Mangunkarsa berusia lewat 50-an berusaha mendapatkan Zahrana. Kejelitaan, kebijaksanaan dan penghargaan yang diperoleh Zahrana menjadikan dia begitu tergila-gilakan pensyarah muda berkenaan. Zahrana yang mengetahui sikap mata keranjang dan kebejatan moral Pak Sukarman telah menolak lamarannya. Penolakan lamaran membuatkan Zahrana diancam sehingga menarik diri dari kerjayanya di universiti berkenaan. Dendam Pak Sukarman yang menganggap dirinya besar, terhormat dan tidak wajar setelah ditolak lamarannya oleh Zahrana mengatur strategi agar Zahrana kekal sebagai perawan tua.


Setelah menarik diri dari Universitas Mangunkarsa, Zahrana berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah pesantren. Di pesantren, Zahrana tekad memenuhi impian Pak Munajat dan Bu Nuriyah dengan memohon bantuan kiyai melalui Ummi Saadah agar mencarikan calon suami yang soleh dan bertakwa untuk dirinya. Status, pelajaran dan kewangan tidak diutamakan Zahrana bagi calon suami, yang dipentingkan ialah ketakwaan dan keimanan bakal suami bagi mendidik diri dan anak-anaknya nanti. Pak Sukarman yang mendapat tahu Zahrana bakal menikahi Rahmad (penjual keropok yang soleh) mengatur strategi membunuh Rahmad pada hari pernikahannya dengan Zahrana.


Selain kematian Rahmad, Zahrana juga diterjah duka lantaran kematian Pak Munajat yang diserang sakit jantung pada hari yang sama. Zahrana semakin buntu. Pertemuan tidak diduga dengan Bu Zulaika, iaitu bonda kepada Hassan yang menjadi anak didiknya di universiti memberikan laluan baharu. Hassan yang menyambung pelajaran peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia memohon agar Bu Zulaika meminang Zahrana untuk dirinya. Jarak usia empat tahun dan kedudukan Hassan sebagai mantan muridnya membuatkan Zahrana terpinga-pinga seketika. Namun pada akhirnya, Zahrana menerima lamaran dan pada hari yang sama menuntut agar dia dan Hassan dinikahkan pada malam kedua Ramadan di masjid berdekatan rumah Zahrana.


Pengakhirnya cerita ini bagi saya agak mengejut dan terlalu tergesa-gesa. Kewajaran Zahrana menerima lamaran Hassan memberikan satu impak yang kurang mendalam dan boleh dipertikaikan. Barangkali pengarang menyimpan hikmah yang tersendiri. Akhir karya ini juga mengabaikan Bu Nuriyah selepas pernikahan Zahrana dan kematian Pak Munajat kerana pengarang 'membawa' Zahrana dan Hassan ke Fudan tanpa Bu Nuriyah.


Namun demikian, karya ini berdiri teguh atas konflik emosi Zahrana yang menjadi fokus pengarang. Kejayaan dan kecemerlangan akademik namun kekurangan nilai tambah sebagai seorang wanita ditelusuri dengan berhati-hati. Seorang wanita yang tegas, mahukan kejayaan namun cukup prihatin dalam mencari calon suami yang penuh keimanan untuk jaminan masa depan. Cinta Suci Zahrana membawa khalayak menelusuri liku jiwa pengembaraan seorang wanita 'perawan tua' mendepani kehidupannya yang sering dipandang negatif oleh kebanyakan masyarakat. Tegasnya, seorang wanita tidak pernah merancang dengan sengaja untuk melewatkan hari bergelar isteri.

Sabtu, 27 Agustus 2011

KEKUATAN MAZNI DALAM BADAI SEMALAM

CERITA TENTANG JIWA manusia penuh kental dan cita-cita. Setiap kisah bercerita tentang jiwa manusia. Aspek kejiwaan menjadi antara elemen penting dalam sesebuah naratif. Badai Semalam karangan Khadijah Hashim menampilkan satu pergelutan jiwa seorang remaja sunti bernama Mazni. Hidup sebatang kara, yang ada hanyalah ibunya Cik Bibah. Hidup menumpang di rumah Encik Haris dan Cik Rohana, Mazni sering dibumbui resah jiwa lantaran kesihatan Cik Bibah yang merosot sentiasa.



Mazni, anak tunggal Cik Bibah berusia 18 tahun yang lahir tanpa pernah melihat wajah arwah ayahnya menghadapi dilema. Jauh di sudut hati, Mazni pelajar Maktab Melayu mempunyai keinginan dan cita-cita tinggi untuk meneruskan pelajaran hingga ke tahap paling tinggi. Akan tetapi, kesusahan hidup yang dialami membuatkan Mazni sering resah. Dia mahu mencapai cita-cita. Dalam masa yang sama, kesihatan ibu menuntut pengorbanan Mazni untuk menyara hidup mereka.






Cik Bibah tidak bersetuju dengan keputusan Mazni untuk berhenti daripada sekolah atas nasihat Mak Atun. Bagi Cik Bibah, pelajaranlah yang mampu mengubah nasib dia dan Mazni. Ibu tua itu mahu melihat Mazni mencapai cita-cita untuk menjadi doktor perubatan. Janji Mazni bahawa dia tetap akan mencapai cita-cita, tekad untuk menghadiri sekolah malam demi menduduki peperiksaan STP membuatkan Cik Bibah merestui keputusan Mazni.


Encik Haris dan Cik Rohana sememangnya sudah banyak menabur budi kepada Mazni dan Cik Bibah. Membina sebuah rumah kecil untuk didiami Mazni dan Cik Bibah yang sudah uzur sebagai mengenang budi wanita tua itu berkhidmat sebagai tukang masak di rumah mereka. Menyara makan dan minum mereka berdua. Mazni tidak sanggup terus memohon bantuan Encik Haris lagi. Walau bagaimanapun, Encik Haris yang mendapat tahu keputusan Mazni telah meminta bantuan rakan di Bank Bumiputera yang baru dibina dan memberi posisi kerani kepada Mazni.


Perhubungan antara Mazni dengann Zaki (Siswa Universiti Singapura) yang sangat idealis pemikirannya sentiasa memberi kekuatan kepada Mazni untuk tidak lupa akan cita-cita yang disimpannya. Dengan gigih menghadiri kelas malam serta bekerja bagi menyara hidup Cik Bibah, kehidupan Mazni mula ditimpa ujian lain apabila Karim, anak bongsu Encik Haris dan Cik Rohana yang mempunyai kehidupan bebas jatuh cinta pada ketulusan hati Mazni.


Kehadiran Mazni yang tidak pernah dipedulikan di dalam rumahnya itu akhirnya telah disedari apabila Mazni yang setia menemaninya ketika Karim kemalangan. Rasa kasih yang membuak-buak menyebabkan Karim tekad menyunting Mazni untuk menjadi teman hidupnya yang halal dan sah. Meskipun mendapat caci maki daripada Cik Rohana yang enggan bermenantukan Mazni (anak orang gaji) akhirnya perkahwinan mereka dilangsungkan juga lima bulan sebelum Mazni menghadapi peperiksaan STP.


Zaki yang memendam cinta kepada Mazni sekian lama kecewa namun Mazni tegas bahawa nasib manusia itu tidak sama. Dia telah banyak terhutang budi dengan keluaga Encik Haris dan tidak sanggup menghampakan orang banyak berbudi kepada dia dan Cik Bibah. Perkahwinan yang penuh rintangan dengan pelbagai fitnah sehingga meragut nyawa Cik Bibah itu hanya bertahan bahagia sebelum Karim mengambil keputusan keluar dari rumah Encik Haris dan Cik Rohana lantaran tekanan yang diberikan Cik Rohana yang sering dipengaruhi Cik Mahani (jiran yang mencemburui Mazni).


Silapnya Mazni apabila dia terlalu fokus kepada pelajaran dan peperiksaan yang terlalu hampir dan memberi kepercayaan penuh kepada Karim untuk mencari hiburan bersama rakan-rakannya. Malangnya, kepercayaan itu disalah guna Karim dan tabiat lamanya kembali semula. Pergaduhan besar antara Mazni dan Karim menyebabkan Mazni dimasukkan ke hospital dan Karim pula kemalangan hingga meragut nyawanya. Mazni sendirian lagi. Hidup sebatang kara tanpa ada saudara mara. Cinta yang cuba dihulurkan Zaki ditolak dan Tanjung Puteri ditinggalkan bagi melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur.


Badai Semalam bagi saya menampilkan kekuatan seorang wanita yang tidak terlalu ideal sifat dan pemikirannya namun mempunyai ketegasan dan ketinggian cita-cita untuk membebaskan diri daripada belenggu fikir konvensi masyarakat ketika itu iaitu "tempat wanita hanya di dapur, apa guna belajar setinggi mungkin dan sebagainya". Malah, pemikiran pengarang ini bukan sekadar disampaikan melalui watak Mazni sebaliknya disuguhkan dengan pendirian Cik Bibah yang sudah tua namun mempunyai keinginan untuk melihat Mazni menjadi wanita yang berjaya dalam pendidikan, kerjaya dan kehidupannya.


Melihat pada latar karya ini dihasilkan iaitu pada akhir tahun 1960-an yang ketika itu pendidikan terhadap wanita masih perkara yang tidak penting untuk dibicarakan, Badai Semalam tampil dengan watak wanita kental jiwa dan tahu erti hidup berdiri atas kaki sendiri, mengurangkan pergantungan terhadap bantuan orang lain dan memandang tinggi pendidikan serta kejayaan hidup berkerjaya. Hal ini saya kesan jelas sepanjang cerita mengenai cita-cita Mazni seperti berikut :


"Nampaknya tak ada jalan lain untuk kita mengadu hal! Mak ... kita harus berdiri sendiri sekarang. Jangan terlalu mengharapkan bantuan orang sekarang. Dunia sekarang bukan dunia simpati yang mewah. Manusia sekarang punya masalah-masalahnya yang tersendiri. Masing-masing mahu memperbaiki nasib masing-masing. Kita juga terpaksa berdiri sendiri, cuba menyelesaikan soal hidup kita sendiri ..." terang Mazni berani. Pendapatnya memang benar, fikir ibu tua itu, Dunia sekarang terlalu mementingkan diri sendiri. Orang lain belakang kira. Dia sakit. Dia tersepit. Dia terdesak. Dia sengsara. Itu bukal soal yang perlu difikirkan oleh masyarakat manusia di zaman atom ini. Zaman manusia naik ke bulan. Zaman manusia mengejar seribu kemajuan dan kebahagiaan. Memang benar, manusia harus melengkapkan diri sendiri dengan sejuta kemewahan dalam hidup ini sebelum memandang keliling. (1968:29)


Mengapa saya katakan watak Mazni kental jiwa namun tidak cukup ideal? Saya melihat Mazni dan menghormati Mazni dalam pendirian dan ketegasannya mencapai cita-cita. Keutamaannya melihat pelajaran sebagai aspek penting dalam kehidupan. Akan tetapi di sebalik keyakinan dan kekuatan untuk maju dan mengubah nasib keluarga itu, Mazni mempunyai pendirian yang rapuh apabila melibatkan soal cinta dan manusia di sekitarnya. Ya, Mazni menerima Karim bukan kerana cinta semata-mata, sebaliknya juga untuk membalas jasa Encik Haris. Mazni tidak sanggup melukakan hati manusia yang banyak membantu hidup dia dan ibunya. Namun demikian, Mazni lupa bahawa keputusan mengenai hal rumah tangga bukan perkara remeh. Mazni hanya memikirkan perasaan orang lain sedangkan tidak melihat atau membuat jangkaan pada masa depan.


Walau bagaimanapun, olahan watak Mazni ini menarik bagi saya kerana Khadijah Hashim menampilkan watak Mazni sebagai watak manusia yang tidak sempurna. Mempunyai hitam dan putih. Ada kekuatan pada aspek ini. Ada kelemahan pada aspek berikutnya. Dalam masa yang sama, saya juga sangat gembira melihat dan menikmati gaya bahasa yang digunakan penulis ini. Penggayaan bahasanya puitis tetapi bersederhana. Karya ini bukan sahaja menarik untuk dikaji dari aspek psikologi, budaya malah juga penggunaan stilististik di dalamnya. Badai Semalam, karya merentas zaman!

Kamis, 25 Agustus 2011

RAKAMAN KEHIDUPAN DALAM SEROJA MASIH DI KOLAM

APABILA berbicara tentang buku, selain menikmati pengalaman di dalam karya yang ditulis oleh pengarang, saya juga akan berbicara tentang rasa. Bagi saya, rasa juga penting dalam meneliti kesan pengalaman terhadap pembacaan. Walaupun kata rasa sering dikaitkan dengan emosi, bagi saya rasa terhadap sesebuah pembacaan berkait rapat dengan latar pendidikan, pengalaman, kebudayaan dan sebagainya. Bukan sekadar rasa biasa. "Best" atau tidak "best" sesebuah karya.


Saya sering kali mendengar khabar tentang novel Seroja Masih di Kolam yang begitu feminis sifatnya, yang begitu mengangkat tema wanita di dalamnya. Akan tetapi, saya melihat dan berasa sebaliknya sepanjang membaca dan usai membaca naskhah tulisan Adibah Amin berkenaan. Bagi saya, kekuatan wanita di dalam karya ini hambar. Watak utama iaitu Nur Diana dari awal hingga akhir cerita banyak bermain dengan perasaan dan fikiran-fikiran yang tidak stabil. Watak Latifah sebagai 'player' pula akhirnya mendapat natijah atas sikapnya sendiri. Manakala, Che' Eton iaitu ibu kepada Diana ialah wanita stereotaip yang sibuk dengan kecantikan, kemegahan dan penuh kemodenan.


Secara peribadi, saya melihat karya ini lebih menjurus aspek sosiobudaya masyarakat Melayu akhir dekad 1960-an. Novel ini mengisahkan kehidupan keluarga Che' Jalal bersama isterinya iaitu Che' Eton dan anak tunggalnya bernama Nur Diana. Che' Jalal ialah pegawai tinggi di Rumah Persekutuan. Watak ini sering dibumbui rasa rendah diri, tertekan dengan cabaran dan sindiran yang dibawa oleh Amdin.


Meskipun telah lama berkhidmat, Che' Jalal gagal mendapat perhatian ketua tinggi di jabatannya malah sering diperlekehkan Amdin yang muda belia. Dalam masa yang sama, gejolak hidup rumah tangganya dengan Che' Eton yang mempunyai sikap tertentu menyebabkan Che' Jalal mencari perhatian di luar rumah melalui watak Latifah.




Sementara itu, kisah ini juga memaparkan perbezaan darjat yang ketara dan gaya hidup masyarakat zaman itu. Dalam hal ini, Che' Eton ialah gambaran masyarakat berkedudukan yang memandang sinis terhadap golongan bawahan yang ditandakan oleh Hayati dan Ridhwan. Meskipun mempunyai ibu yang suka mendatangkan masalah dengan berkelakuan sombong terhadap Hayati, Nur Diana sebaliknya mempunyai peribadi yang lebih tulus. Tidak melihat kepada perbezaan darjat, Nur Diana yang lebih akrab dan senang dengan sikap ayahnya lebih mudah berkawan dengan Hayati dan senang dengan Ridhwan.


Namun demikian, pengkisahan terhadap Diana memperlihatkan kebuntuan dan dilema yang dilaluinya. Diana rapuh jiwa. Itu yang boleh saya tegaskan pada watak Diana melalui pembacaan saya. Diana tahu peribadi sebenar Rusli melalui teman-temannya. Dia tahu betapa kaki perempuan teman lelakinya itu. Akan tetapi, Diana masih lagi memberi ruang dan kepercayaan tidak berbelah bahagi setiap kali Rusli memberikan penjelasan (penipuan demi penipuan). Setelah gagal teruk dalam peperiksaan, Diana bersemangat untuk menduduki HSC atas dorongan Ridhwan.


Diana bermain dengan perasaannya sendiri. Di hatinya ada Rusli namun di fikirnya selalu ada Ridhwan. Diana tahu antara Rusli dan Ridhwan yang lebih baik lakunya ialah Ridhwan. Diana tahu bahawa yang lebih sesuai dijadikan imam untuknya ialah Ridhwan namun Diana tetap gagal membuat keputusan. Selain itu, pengarang juga menggambarkan Diana sebagai seorang wanita yang 'tidak berperasaan'. Sebagai seorang yang berpendidikan Inggeris, anak orang berdarjat, Diana seolah-olah 'kosong fikir' dan 'tunarasa'. Hal inilah yang membuatkan Rusli berang selalu akan teman wanita yang dianggapnya sebagai tidak berperasaan. Apakah kewajarannya Diana yang mempunyai pergaulan luas itu dijadikan sebagai 'tidak berperasaan' begitu? Apakah untuk memperlihatkan kenaifan Diana?


Meskipun pada akhir cerita akhirnya penulis menggambarkan Diana membuat keputusan untuk memilih Ridhwan namun perjalanan itu terlalu panjang sedangkan sepanjang cerita perwatakan Diana konsisten dengan 'kenaifannya'. Bagi saya, watak yang lebih menarik dalam cerita ini ialah Che' Jalal. Saya dapat melihat Che' Jalal yang berang dengan sikap Che' Eton, ditekan dengan pandangan negatif majikan dan jabatan terhadap dirinya, digoda dan tergoda dengan kewanitaan Latifah namun pada akhirnya Che' Jalal sedar bahawa Che' Eton itulah isteri yang telah lama berkongsi hidup dan nafas dengannya. Kesedaran ini membuatkan Che' Jalal kembali memaafkan kesalahan isterinya sendiri.


Namun demikian, Seroja Masih di Kolam tetap mempunyai aspirasi tinggi dalam memartabatkan bahasa Melayu. Hal ini dapat dilihat melalui watak Ridhwan sebagai pejuang bahasa dan dramatis yang kuat dalam melebarkan pemikiran bahawa Melayu perlu sedar akan kedudukannya dan tidak terus terjajah mindanya.


Saya percaya, rasa tidak senang saya terhadap karya ini muncul kerana khabar-khabar yang saya dengar tentang feminisnya karya ini. Saya sebagai pembaca alaf 21 pada usia semasa ini mempunyai latar pendidikan, pengalaman dan kebudayaan yang berbeza dengan pembaca pada latar novel ini dihasilkan. Walau bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Adibah Amin kerana sedikit-sebanyak naskhah ini menjadi perakam zaman yang memberi bantuan kepada saya untuk memahami kehidupan masyarakat jauh dari zaman saya sekarang.


Minggu, 21 Agustus 2011

BELASUNGKAWA CIKGU AZIZI ABDULLAH: PERGINYA SEBUTIR PERMATA

FATIHA,

saya jumpa dalam blog fatiha 25 Julai 2010 tulisan bertajuk KAHWIN-KAHWIN.

Nak nak copy tak boleh. penulis ni kedekut.

Boleh e mail kepada saya artikel itu. Jika setuju saya nak siar untuk 'SURAT UNTUK REMAJA' dalam pengguna bulan September ini.



Salam

-cikgu azizi-

Inilah e-mel pertama yang saya terima daripada Cikgu Azizi bertarikh 26 Jun 2010. Sebelum itu, saya mengenali arwah Cikgu Azizi ketika membuat kajian atas Sangeetha untuk Akademi Sastera 2009. Doa dan restunya saya mohon. Kami berinteraksi lewat sistem pesanan ringkas dan e-mel. Arwah cikgu rajin mengunjungi blog saya begitu juga saya suka membaca buah fikir arwah cikgu lewat laman blognya. Bagi saya, arwah seorang yang telus. Meskipun berada dalam kelompok parti tertentu, namun arwah tidak tenggelam hingga hilang punca melihat titik celaru di dalamnya. Arwah, seorang yang telus dan jujur.


Saya tidak pernah bersua wajah dengan arwah. Cuma, ada komunikasi menerusi telefon dan sms yang berlaku. Awal tahun ini arwah khabarkan bahawa arwah masih dalam proses menanti tarikh untuk pembedahan setelah lama menunggu. Arwah tetap ceria dalam reda.






Mendengar khabar perginya arwah di negeri baqa' pada 21 Ogos 2011 bersamaan 21 Ramadan, hati saya dipagut pilu. Mengapa? Kami tidak saling bertemu akan tetapi arwah cukup bermakna dalam hati saya. Keprihatinan dan baik budinya membantu dan mengajar saya yang metah muda ini adalah satu pengalaman berharga. Meskipun arwah sudah tiada, namun semangat dan pengajaran serta pesan arwah sentiasa segar di fikir dan jiwa saya.


Al-Fatihah untuk arwah Cikgu Azizi Abdullah, perginya dalam bulan yang mulia. Saya pasti terlalu banyak bunga doa mengharumi rohnya di alam sana. Seorang guru yang berjasa, budinya kekal walau sudah dimamah tanah. Terima kasih buat arwah Cikgu Azizi Abdullah. Perkenalan ini sungguh indah. Semoga cikgu damai di sisi-Nya dan aman sejahtera atas segala baik budi cikgu di dunia ini.


Belasungkawa Cikgu Azizi Abdullah. Al Fatihah.


Pergimu, tiada pengganti ...

Kamis, 18 Agustus 2011

KELUARGA MUSANG DI SEBUAH SEKOLAH

SEDIHNYA, jam 9:00 pagi tadi saya dapat panggilan daripada seorang guru saya Cikgu Julia Juis. Ceritanya ketika perhimpunan pagi tadi, ada satu keluarga musang yang sangat comel bermain di koridor bangunan sekolah aras empat. Ibu musang itu katanya sebesar Abi saya. Dua ekor anak musang itu pula sebesar Teja saya. Ibu musang itu membawa dua ekor anaknya berjalan di atas koridor, bermain-main. Tanpa diduga, salah seekor anak musang itu terjatuh. Semua panik. Anak musang itu tidak bergerak, ada darah keluar dari mulutnya. Cikgu saya mendekati anak musang itu tetapi tidak berani menyentuhnya kerana khuatir liarnya masih ada. Dari aras empat, ibu dan saudara musang itu melihat anak musang yang jatuh itu. Pasti mereka sedih. Pertahanan Awam dihubungi bagi membantu anak musang itu. Sayangnya, anak musang itu terjaga dan dengan longlai melarikan diri. Pertahanan awam gagal menangkap anak musang itu. Saya sedih satunya tentu akan ada komplikasi dalaman anak musang itu. Kedua, sedihnya kalau anak musang itu terpisah daripada ibu dan saudaranya itu. Saya terbayangkan Mimi (ibu/induk) kepada anak-anak kucing saya sekarang yang mati kerana jatuh dari bumbung rumah dan dilanggar kereta. Seharian kematiannya barulah jasadnya ditemui.




Moralnya, jaga anak-anak dengan baik dan bijak. Ibu musang itu tiada akal untuk tahu bahawa bermain di koridor aras empat itu bahaya. Akan tetapi ibu-ibu dan bapa--bapa yang bijak dan berakal perlu tahu cara untuk menjaga rohani dan jasmani anak sebagai anugerah Allah dengan baik. Lihat saban pagi dan petang, berapa banyak ibu/bapa yang alpa mengenakan topi keledar kepada anak-anak sewaktu dihantar ke sekolah sedangkan ibu/bapa pakai pula topi keledar???






Saya tidak lihat kejadian anak musang itu tadi tapi saya dapat mengimaginasikannya dan bersimpati dengan kejadian itu. Doa saya, semoga anak musang itu akan kuat dan sihat, tiada komplikasi dalaman dan dapat pula bersama ibu dan saudaranya semula. amin

Senin, 04 April 2011

Sabtu, 02 April 2011

RINDU SEKOLAH

MERINDUI ALAM PERSEKOLAHAN. Tidak seperti segelintir rakan yang mempunyai pengalaman berpindah-randah ke sekolah demi sekolah, saya hanya pernah menuntut di tiga buah sekolah.

Tanpa pernah memasuki alam tadika, saya terus mendaftar dan memasuki tahun satu (1 Mara /1994) di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Selayang 2. Alhamdulillah, walaupun tidak memasuki tadika, saya diberi kemudahan untuk mempelajari huruf dan angka dengan baik oleh emak dan abang. Tidak lama sebelum memasuki sekolah rendah, saban malam saya akan diajar oleh mereka mengenal huruf dan mengeja.




Abang kedua saya yang selalu mengajar saya. Bagi saya, dia agak garang. Saya masih ingat pada satu malam, dia meminta saya menghafal kesemua abjad dan mengulang baca abjad-abjad itu sehingga tiada satu pun yang tertinggal. Saya berasa letih dan mengantuk tetapi dia masih mahu saya terus mengulang baca. Ah, seksanya saya rasa ketika itu. Untuk mempercepatkan masa, saya akan meminta diri untuk ke tandas dan berdiam beberapa ketika di dalamnya.


'Eee, angah ni. Esok-esok sajalah sambung. Orang dah mengantuk,' gerutu saya di dalam hati sambil bermain air.


Melihat mata yang semakin kuyu, saya pasti emak tahu helah saya berlama di dalam tandas. Hampir lima minit, maka akan kedengaranlah jeritan angah. Mahu atau tidak, saya terpaksa juga keluar dari tandas dan menyambung ulang baca.


Saya memang sangat bersyukur. Sistem bahasa dalam minda saya sangat utuh, saya kira. Meskipun tidak memasuki tadika dan mengenal huruf prasekolah, saya mampu mendapat markah yang tinggi dan baik untuk setiap subjek bulanan hatta untuk ujian subjek Matematik juga! Kertas-kertas ujian itu saya simpan hinggalah saya memasuki sekolah menengah dan hilang dek berpindah rumah.


Guru saya sewaktu dalam tahun enam iaitu Cikgu Nor Azmi Mohd Rejab pernah berkata kepada saya "Saya rasa skru bahasa awak ketat sangat sampai skru angka awak jadi sangat longgar," katanya apabila saya mendapat markah corot untuk peperiksaan Matematik.


Sewaktu dalam tahun lima dan tahun enam, saya aktif mewakili sekolah dalam sukan bola baling. Yup, sukan ini sangat menarik dan amat saya gemari. Kami menjalani latihan sebanyak tiga kali seminggu. Apabila guru yang bertugas sebagai jurulatih lewat, kami pernah pula bermai ragbin sendiri. Sangat seronok, permainan itu lasak tetapi menyeronokkan. Saya masih ingat, jam Tweety Bird warna hijau yang alang berikan calar teruk kerana permainan ragbi ketika itu.


Tamat sekolah rendah, saya menyambung pelajaran di SMK Seri Selayang, bersebelahan sekolah rendah saya. Beberapa bulan memasuki tingkatan 1 Amanah memang begitu terasa sedihnya. Barangkali kerana terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sekolah lama. Berpisah dengan guru-guru dan suasana sekolah yang berbeza. Walau bagaimanapun, masa menyembuhkan segalanya. Alam sekolah menengah menjanjikan keistimewaan yang berbeza. Sewaktu dalam tingkatan satu, saya dilantik sebagai Penolong Ketua Kelas ketika itu. Berilah apa-apa saja jawatan asalkan bukan Bendahari. Saya tidak suka bergelumang dengan angka! Pertandingan Kelas Terbersih memang biasa dilakukan setiap bulan. 1 Amanah pernah memenangi anugerah itu sebanyak lapan kali berturut-turut. Kami mendapat hadiah sebuah jam dinding, wang dan pelbagai lagi. Ketika menyambut bulan kemerdekaan pula, pihak sekolah menganjurkan pertandingan mengumpul wang 1 sen dan sekali lagi, kelas saya memenangi pertandingan itu. Memang sangat menyeronokkan pertandingan demi pertandingan dan suasananya.


Sewaktu itu juga, saya mula suka menaip apa-apa sahaja. Hobi saya ialah menaip. Saya tidak berkarya, sekadar menaip semula apa-apa yang saya suka. Maklum saja, ketika itu saya baru mempunyai komputer. Menyedari minat saya itu, banyaklah pula guru-guru yang memberi upah kepada saya untuk menaip. Pernah juga, seorang ustazah yang katanya saya boleh menulis meminta saya menulis sebuah esei pendek. Memang sukar untuk saya menulis tanpa tema ketika itu. Jadi, saya mereka tema sendiri. Saya masih ingat, esei ringkas itu berjudul "Yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek." Esei itu dibacakan dalam perhimpunan mingguan.

Kerajinan saya sewaktu berada di alam menengah rendah tidak dapat menandingi saya sewaktu berada dalam menengah rendah. Sewaktu menduduki PMR dan sebelumnya, berjaga malam sudah menjadi kebiasaan. Saya yang begitu meminati subjek Sejarah mempunyai berpuluh buku latihan yang saya gunakan sebaiknya. Akan tetapi, memasuki alam menengah atas dan kelas 4 Akrab kerajinan saya mula menurun.


Saya dimasukkan ke aliran sains tulen kerana keputusan PMR yang baik. Akan tetapi, saya tahu minat dan kecenderungan saya tidak ada pada matematik. Hal ini membuatkan saya selalu panas punggung dalam kelas Matematik dan Fizik! Guru-guru semakin menyedari, apatah lagi dalam kelas Matematik Tambahan yang akhirnya saya gantikan dengan Tasawwur Islam yang amat menyeronokkan.


Saya pernah cuba untuk meminta agar ditukarkan ke kelas Perdagangan akan tetapi tidak dibenarkan guru. Kata guru, saya dibenarkan bertukar ke kelas Akaun jika benar-benar mahu. Ah, itu juga bukan minat saya. Barangkali kerana saya tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk meminta pertukaran kelas itu, jika tidak pasti berjaya. Walau bagaimanapun, ini semua sudah ditetapkan. Berada di aliran sains tulen itulah yang menemukan saya dengan cinta sastera dan bahasa hingga kini.


Akibat minat yang tiada terhadap subjek sains, saya mendapat markah yang corot walaupun memegang jawatan Ketua Tingkatan selama dua tahun itu. Saya pernah dipanggil oleh Pengetua dan dinasihati agar berusaha. Hanya apabila Cikgu Julia yang mengajar saya subjek Bahasa Melayu tetapi mempunyai ilmu kaunseling itu menyedari keadaan akademik saya yang semakin menurun, beliau menghantar saya untuk mendapatkan bimbingan dan kaunseling akademik bersama Cikgu Norhana. Alhamdulillah, saya mula menyedari pentingnya SPM sewaktu empat bulan terakhir menjelang peperiksaan itu. Syukur, meskipun terlambat saya masih sempat dan berjaya membuktikan kepada guru-guru yang menyangka saya hanya akan menjatuhkan prestasi subjek mereka. Saya masih ingat, Cikgu Raba'a, guru Fizik saya mendakap erat saya sewaktu keputusan SPM diumumkan dan saya mendapat keputusan yang baik untuk subjek itu tidak seperti yang dia jangkakan (itulah guru, jangan pandang rendah kepada anak murid. Berikan sokongan dan berdoalah!)


Usai menamatkan SPM, saya menyambung pengajian tingkatan enam di SMK Darul Ehsan. Di situlah saya mula mengenali bahasa dan mencintainya sepenuh hati apatah lagi ketika mempelajari susur galur bahasa Melayu. Cikgu Noor Aishah Abdullah yang menjadi pembakar cinta saya terhadap bahasa. Alam sekolah kali ini menjanjikan pengalaman yang berbeza. Sebagai Timbalan 1 Pengawas, saya pernah diugut oleh seorang murid perempuan supaya tidak melaporkan 'kerja' mereka. Ada banyak cerita sehingga pernah saya berasa untuk meletakkan jawatan. Namun, kaunselor ketika itu Cikgu Maizura berkata :


"Fatiha, dunia di luar sana jauh lebih teruk daripada dunia di dalam sekolah ini. Sekali awak keluar dari sekolah, keselamatan dan keamanan awak tidak akan terjamin seperti awak berada di sekolah sekarang ..."


Ya, saya menyedarinya hanya apabila tamat persekolahan. Memasuki dunia universiti dan seterusnya melangkah masuk ke alam kerjaya. Setiap daripadanya mempunyai keistimewaannya namun keindahan alam persekolahan tiada tandingan. Rindu sekolah.

Jumat, 01 April 2011

OH, CINTA ITU BUTA

CINTA ITU INDAH biar sesiapa pun penerimanya oh, bukankah cinta itu buta tidak kenal usia tidak kenal siapa dan, tidak kenal batas agama? salahkan cinta jika wujud cinta nista kerana, begitu cinta itu indah kerana, begitu cinta itu buta.

Oh, apakah yang saya cuba sampaikan ini? Beberapa hari ini, fikiran saya dibawa menerawang ke alam cinta orang-orang yang saya kenal dan tidak saya kenal tetapi saya dengar kisahnya. Rabu lalu, saya menonton rancangan bual bicara Wanita Hari Ini. Tajuk perbincangan pada hari itu ialah 'Apabila Suami Kaki Buli'. Antara panelnya ialah Tn. Hj Hushim Salleh dan seorang pegawai dari badan perlindungan wanita. Saya masih ingat, sebelum kemunculan WHI, segmen Bincang Petang amat saya gemari sekitar tahun 1999-2000. Ketika itu, saya berada dalam awal alam sekolah menengah. Zakiah Anas dan Azizah Ariffin ialah pengacara awal segmen Bincang Petang. Sudah tentulah fokus perbincangan mengenai wanita dan kehidupan meskipun pada hari-hari tertentu ada juga segmen yang memfokus soal kewangan dan keagamaan.

Berbalik kepada tajuk fokus pada hari Rabu lalu itu, saya percaya betapa banyak wanita yang menghela nafas berat sepanjang mengikuti segmen itu. Perbincangan dimulakan dengan pengacara memberikan soalan kepada Tn Hj Hushim Salleh akan sebab kebanyakan wanita sanggup bertahan dengan suami kaki pukul. Ada yang sanggup menanggung derita itu selama 10 tahun malah ada juga yang menjangkau usia 30 tahun perkahwinan. Kenapa? Berikutnya adalah antara sebab yang dapat disenaraikan :

1. Bagi isteri yang tidak bekerjaya, mereka tidak sanggup diceraikan suami kerana bimbang akan hilang sumber kewangan untuk menyara diri dan anak-anak.

2. Isteri takut akan ancaman suami.

3. Isteri mengenangkan anak-anak yang masih kecil. Oleh sebab itu, ada kes isteri hanya menuntut cerai setelah anak-anak besar dan sudah mampu menguruskan diri sendiri.

4. Tidak mempunyai pengetahuan untuk mendapatkan pembelaan atas kezaliman suami.

5. Mahu memberi peluang kepada suami.

6. Takut dengan gelar 'janda' dan stigma masyarakat terhadap status ibu tunggal dan janda.

Saya masih ingat dengan jelas cerita pemanggil yang bernama Farah dari Klang. Farah menceritakan keadaan dirinya yang dipukul oleh suami sejak dua tahun lalu. Menurut Farah, suami mula memperlihatkan perubahan mendadak setelah usia perkahwinan menginjak dua bulan. Suaminya sering mengugut dan akan memukulnya walaupun hanya kerana kesalahan kecil. Paling teruk, Farah dipukul dengan tukul dan pernah dilempar dengan alat pemadam api! Apabila Farah mengadu hal tersebut kepada ibu dan bapanya, mereka hanya meminta agar Farah terus bersabar.

Pemanggil kedua iaitu Juhara dari Johor mengisahkan dia yang sudah didera suami sejak 17 tahun yang lalu. Keadaan bertambah teruk apabila suaminya mengahwini wanita lain. Sifat baran suami semakin nyata dan kini, suami mula menggunakan senjata tajam ketika mengasarinya. Juhara tidak berani membuat laporan polis kerana bimbang akan dirinya yang tidak bekerjaya serta anak-anak yang masih bersekolah. Menurut pegawai dari badan perlindungan wanita, ada juga kes seorang yang wanita dalam perlindungan yang akan gelisah dan resah apabila jam menunjukkan pukul 6:00 petang. Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan akan didera oleh suami yang pulang pada jam 6:00 petang saban hari. Meskipun wanita itu diletakkan di dalam perhatian penjaga pusat perlindungan, trauma dan ketakutan didera suami terus menghantui dirinya.

Menurut Tn Hj Hushim Salleh, wanita yang dianiayai dan dizalimi seperti itu tidak seharusnya mendiamkan diri dan terus rela menjadikan diri sebagai tempat suami tidak berhati perut melepaskan geram dan marah mereka. Bukankah sifat lelaki yang baik ialah lelaki yang PALING BAIK terhadap keluarganya? Bukankah sifat lelaki sebagai PELINDUNG wanita? Saranan agar membawa suami seperti itu bertemu kaunselor saya fikir hanya seperti peribahasa mencurah air ke daun keladi malah, berapakah peratus suami seperti itu mahu mendengar saranan isteri agar dia pergi bertemu kaunselor?

Walau bagaimanapun, wanita perlu berani dan tegas demi kebaikan diri dan anak-anak. Kenapa perlu terus hidup menderita sekiranya ada jalan untuk bahagia. Kerajaan ada menyediakan perlindungan dan bantuan untuk wanita teraniaya seperti itu. Talian Nur 15999 sentiasa ada untuk wanita tampil menegakkan keadilan dan kebahagiaan untuk diri sendiri. Ada sesetengah wanita yang bertahan dengan alasan sayangkan anak. Walhal, bolehkah kita memberi jaminan kemunduran akhlak seorang ayah dan suami kepada ibunya tidak akan menjejaskan perkembangan mental dan emosi anak-anak itu? Seorang anak tentunya lebih rela hidup susah daripada hidup bersama lelaki yang hanya menyakiti emosi dan jasmani ibu yang telah mengandungkannya. Jangan terpedaya dengan frasa 'cinta itu buta' maka sebab itulah anda mahu terus hidup bersama walaupun diri diseksa seperti binatang sahaja. Bukanlah begitu layaknya anda diperlakukan. Kini bukanlah masa di zaman jahiliyah yang wanitanya tiada tempat dalam apa-apa juga cakupan. Zaman wanita hanya dijadikan sebagai alat pemuas nafsu dan pelayan lelaki semata-mata. Kehadiran Islam memurnikan kedudukan wanita. Islam mengangkat kedudukan wanita jauh tingginya. Wanita mempunyai hak dan keistimewaan yang disediakan Allah, maka syukurilah nikmat itu dan hormatilah diri anda sebagai wanita dengan bertindak bijak. Jangan lagi dimomokkan dengan bicara klise 'cinta itu buta, maka aku rela diperlakukan apa-apa sahaja, demi cinta kita'!

Kisah suami orang bercinta dengan isteri orang sudah menjadi perkara biasa yang bukan main-main biasanya! Cinta lama? Oh, apalah gunanya semua itu jika hanya membawa kepada murka Allah Taala. Setelah berdekad melayari bahtera rumah tangga, mengapa sengaja disemarakkan api cinta lama yang seharusnya telah hancur menjadi debu. Setelah anak-anak dewasa dan semakin bijak berfikir, kenapa perlu dikhianati kepercayaan pasangan yang mencintai kerana Ilahi. Kenapa pada akhir usia barulah terfikir bahawa pasangan yang sudah diterima ijab dan kabul itu salah sebenarnya? Kenapa tidak mencari kebaikan dicelah keburukan? Kenapa perlu hanyut dengan frasa 'cinta itu buta'? Hanya yang mengalaminya saja yang mengerti betapa hangat asrama cinta ini? Cinta yang tidak kenal hakikat diri. Oh, cinta. Ini kisah kedua yang menemui saya dalam hari yang sama itu.

Hari yang sama, saya mendapat khabar tentang seseorang yang pernah saya hormati. Seorang yang apabila berjalan dia menunduk. Apabila berbicara dia berhikmah dan ditambah pula dengan tanda hitam di dahi. Dia dikenakan tuduhan mencabul! Oish, dengan pengakuan yang telah diberikan, tindakan akan dikenakan. Ops, ini juga panahan 'cinta itu buta'? Cinta dan manusia memang kuat ikatannya. Cinta yang membangkitkan semangat. Cinta juga boleh meranapkan ketakwaan. Tiga peristiwa, tiga berita yang sama ini saya dapat dalam satu masa yang sama. Saya tertanya-tanya akan sebabnya saya diberi peluang mendengar, melihat dan mengetahui semua ini. Apa-apa pun, semua ini menjadi iktibar kepada saya untuk menjadi lebih teliti dan berhati-hati. Nabi SAW pernah memberi pesan, pilihlah pasangan kerana harta, kecantikan, keturunan dan agamanya. Pilihlah yang paling akhir itu dan itulah yang paling selamat cintanya. Akan tetapi, di akhir zaman ini kadang-kadang ada pihak yang arif menggunakan agama sebagai jalan untuk mendapat kepercayaan, mendapat penghormatan dan mendapat cinta, walaupun terlarang dek Tuhan.

Wanita, hadirmu bukan perhiasan tanpa harga hadirmu dengan maruah dan hikmah tanda cinta Allah kepada hamba teguhkan nurani dan jati bangkitlah menentang kezaliman terhadap diri kerana, tidaklah begitu layaknya wanita dilayani.

Lelaki, arjuna gagah pelindung wanita kurniaan Allah sebagai pemimpin keluarga kenangkan wanita yang telah kau terima kabulnya dengan amanah dan janji untuk menjaganya sepenuh jiwa kenangkan soalan Tuhan kepadamu andai pincang kau memimpin wanitamu setelah Allah kau jadikan saksi, janganlah pula kau mungkiri. ..

Kamis, 31 Maret 2011

USMAN AWANG SASTERAWAN UNGGUL SEPANJANG ZAMAN

USMAN AWANG, lebih dikenali sebagai penyair romantis. Namun, menelusuri liku kehidupan allahyarham, kita akan lebih kenal kekentalan arwah dalam memperjuangkan nasib rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Dalam kelembutan, ada kelantangan. Merenung foto arwah ini, terasa kasih kian membunga buat sasterawan negara yang begitu berjasa. Al-Fatihah buat Allahyarham Usman Awang, Tunas Cipta, April 2011.



Sifat sastera yang hidup adalah menggambarkan keadaan hidup rakyat yang sebenar dengan nyata dan ini sudah ada bayangannya dalam corak kesusasteraan kita baik dari segi penghidupan mahupun dari segi perjuangan rakyatnya. Tetapi kalau hanya corak yang telah dan sedang dibayangkan, ini belumlah bererti dan tidak dapat dibanggakan lagi, malah masih berasa kurang dan kekurangan inilah yang mesti diisi dan dipenuhi oleh pendukung-pendukung seni sastera dengan tidak perlu lagi menjerit dan membanggakan "aku menulis mengikut faham seni untuk seni" atau "aku menulis adalah seni untuk masyarakat".

~Usman Awang~

Selasa, 29 Maret 2011

CATATAN HUJUNG MAC

ALHAMDULILLAH, setelah hampir tiga minggu membuat persiapan akhirnya seminar selamat dilangsungkan semalam. Terlibat secara penuh dalam persiapan kali ini memberikan saya pengalaman baharu. Membantu apa-apa untuk sebarang program fakulti sudah menjadi kebiasaan. Namun demikian, gelar pelajar dan kakitangan membuka ruang fikir yang berbeza. Gelar kini memberikan saya lebih pengalaman tentang kehidupan. Tentang manusia, tentang kepentingan dan tentang KERJASAMA.

Ada pihak yang boleh memberikan kerjasama dengan baik. Melihat acara sebegitu sebagai acara bersama dan memberikan yang terbaik untuk kebaikan bersama. Ada juga yang berkira-kira tenaga dan fikir. Ada juga yang hanya tahu duduk, melihat segala yang pincang tetapi enggan tampil memberi bantuan atau teguran, melainkan bicara kosong dengan kawan-kawan sefikiran.

II

Seminar ini membincangkan kewujudan dan peranan sastera pelbagai kaum. Segelintir pihak berpendapat bahawa sastera itu satu. Tiada beza dalam sastera. Tiada nama sastera kaum ...., atau sastera kaum .... Ya, memang sastera itu sifatnya sarwajagat. Isu yang diketengahkan hampir sama. Walau bagaimanapun, sastera pelbagai kaum bermaksudkan karya sastera yang dihasilkan bagi mewakili pemikiran, budaya, bahasa dan garapan berdasarkan worldview kaum itu sendiri. Seperti yang dikatakan, tema dan pemikiran tidak mempunyai perbezaan yang besar namun garapan, bahasa, budaya dan worldview itulah yang menjadi aspek pengkelasannya.

III

Saya masih teringatkan Dr. Goh Hin San. Ketinggian bahasa Melayu yang digunakan amat mengagumkan saya. Hampir 10 minit beliau berucap, tiada langsung bahasa asing yang digunakan. Malah, penggunaan bahasa Melayunya juga sangat teratur. Saya jatuh sayang dengan sikap dan hormat individu seperti beliau terhadap bahasa Melayu.

Teringat juga saya pada kata-kata YB Dato' Seri Utama Rais Yatim, masyarakat sekarang lebih senang menggantikan baik dengan okey. Jadi, dengan so dan beberapa contoh lagi. Namun, jika dilihat golongan yang arif melakukan penggantian itu ialah vvip dan vip yang sering muncul di kaca tivi, terutamanya dalam segmen berita. Walau bagaimanapun, saya gemar dengan retorik dan penggunaan bahasa YB. Tidak hairanlah beliau mempunyai gaya sebegitu kerana beliau sendiri ialan mantan guru bahasa satu ketika dulu. Sekiranya para menteri yang lain dapat mencontohi beliau dalam berbicara sama ada di khalayak ramai atau melalui media elektronik, tentu lebih baik. Seperti pepatah 'ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi', bahasa Melayu akan semakin dihormati rakyat apabila pemimpin sendiri memulakan langkah menghormati bahasa Melayu dengan serius.

Senin, 14 Maret 2011

SEMINAR SASTERA PELBAGAI KAUM

AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN dan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama PERSPEKTIF akan menganjurkan SEMINAR SASTERA PELBAGAI KAUM. Maklumat lanjut adalah seperti berikut :

Tarikh : 29 Mac 2011 (Selasa)
Masa : 8:30 pagi - 5:30 petang
Tempat : Dewan Orkestra, ASWARA, 464 Jalan Tun Ismail, 50480 KL
Telefon : 03-26965766

Pembentang Kertas Kerja
SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan,
Dr. Goh Sang Seong
Dr. Chew Fong Peng
Dr. Krishnan Maniam
Dr. Henry Banting
Dr. Jayum Jawan
Pn. Wan Patanah Wan Yusoff
Pn. Susilawati Kamaruzzaman

Penyertaan terhad kepada 200 peserta. Sila maklumkan kehadiran kepada norsiah@aswara.edu.my dan darlina@aswara.edu.my .

Kamis, 10 Maret 2011

EVA DUARTE DALAM 'EVITA'

"DI SEBALIK kejayaan seorang lelaki, berdiri di belakangnya seorang wanita sejati". Kata-kata itu sering ditemui dalam menggambarkan kepentingan seorang wanita dalam hidup seorang lelaki. Eva Duarte, seorang wanita kelas bawah dan dilahirkan tanpa kedudukan yang sah membuktikan dirinya sebagai wanita yang berjaya mengangkat Juan Peron sebagai Presiden Argentina. Filem muzikal ini memaparkan sebuah biografi kehidupan Eva Duarte yang mendaki tangga kejayaan demi membalas dendam akan kesusahan hidup dan pandangan hina masyarakat terhadap golongan bawahan sepertinya. Ironinya, tangga kejayaan Eva Duarte didaki tanpa mempedulikan orang lain. Setiap individu yang ditemuinya telah diperalatkan dengan baik bagi mencapai tujuannya untuk hidup bergaya dan selesa di Buenos Aires.

Permulaan filem muzikal ini dilangsungkan melalui adegan di pawagam. 1952, malam itu pawagam dipenuhi rakyat yang cinta akan Evita Peron telah dikejutkan dengan khabar kematian Eva Peron. Pengumuman yang dilakukan oleh pegawai itu menyebabkan pengunjung pawagam menangis dan kesedihan terus menyelubungi suasana. Tanpa mengira usia, rakyat Argentina menangisi pemergian serikandi yang mereka puja itu. Dalam kesedihan itu, Che (Antonio Banderas) yang bertindak sebagai narator mempunyai pandangan sinis terhadap kematian Eva Duarte. Bagi Che, kematian itu tidak harus di tangisi dan hal ini digambarkan melalui lirik lagu Oh What A Circus oleh Che. Dalam masa yang sama, Oh What A Circus membawa khalayak ke dunia kanak-kanak Evita. Kesedihan Evita yang tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada ayahnya lantaran lahir sebagai anak tidak sah taraf menjadi pencetus keinginan Evita untuk keluar daripada kepompong kemiskinan hidup dan status kelas bawah yang diduduki :

Oh what a circus, oh what a show

Argentina has gone to town
Over the death of an actress called Eva Peron
We've all gone crazy
Mourning all day and mourning all night
Falling over ourselves to get all of that misery right
...

Pada usia 15 tahun, Eva Duarte menjalin hubungan dengan seorang penyanyi tango iaitu Augustin Magaldi. Eva mendesak Magaldi agar membawanya ke Beunos Aires walaupun tidak dipersetujui Magaldi. Walau bagaimanapun, Eva akhirnya terpaksa meninggalkan Magaldi apabila lelaki itu telah pun mempunyai keluarga di Beunos Aires. Namun demikian, hakikat bahawa Eva sudah menjejakkan kaki ke Beunos Aires dimanfaatkan sebaik mungkin. Eva telah bertemu dengan beberapa lelaki yang berjaya menjadikan Eva sebagai model, pelakon dan penyanyi terkemuka di Argentina. Walau bagaimanapun, Che menentang sikap Eva yang dilihat sebagai bijak memanipulasikan pihak yang ada di sisinya demi memenuhi kehendak diri sendiri.

Eva Peron berkempen untuk suaminya, Juan Peron

Kejadian gempa bumi di San Juan menjadi landasan yang baik kepada Juan Peron, menteri yang cuba memenangi hati rakyat untuk menaiki takhta Presiden Argentina. Pertemua Peron dengan Eva dalam sebuah majlis menjadi medan Eva mendekati Peron. Eva meyakinkan Peron betapa dia mampu menjadikan Peron seorang Presiden. Sebaik sahaja hubungan mereka terjalin, Eva terus mengatur strategi untuk menjadikan Peron sebagai Presiden yang disayangi rakyat.

Kisah hidup Eva yang bermula sebagai masyarakat kelas bawahan yang sudi dikahwini Peron meyakinkan masyarakat betapa Peron seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Che terus mengkritik perbuatan Eva. Bagi Che, segala tindakan Eva bukanlah untuk rakyat atau Peron sendiri malah untuk keuntungannya semata-mata. Pertemuan Che dan Eva dalam Waltz for Eva and Che telah membawa pertelingkahan muzikal antara mereka. Bagi Eva, dia menegaskan betapa dia tidak bersalah sedangkan Che mengkritik dengan sinis tindakan Eva. Adegan itu telah mencetuskan Eva untuk menubuhkan Yayasan Eva Peron. Penubuhan Yayasan Eva Peron menambah kepercayaan masyarakat terhadap Eva dan Peron.

Walaupun Eva sangat disayangi dan dihormati rakyat bawahan dengan aliran sosialis yang dibawa, hakikatnya Eva tidak disukai oleh masyarakat atasan hatta menteri-menteri dalam kabinet Peron. Bagi mereka, Evita telah memperalatkan Peron. Bagi mereka, Peron tidak ada apa-apa tanpa Evita. Bagi mengukuhkan lagi kedudukannya, Eva berhajat untuk menyertai pemilihan Naib Presiden. Namun demikian, perkara itu tidak dipersetujui oleh kabinet dan askar Argentina. Eva akhirnya mengalami kejatuhan apabila diserang penyakit barah. Seluruh rakyat mendoakan Eva agar kembali sihat. Dalam masa yang sama, sakit yang dialami Eva memberi khabar gembira kepada golongan atasan yang menentangnya. Namun demikian, kesakitan yang dialami menyedarkan Eva akan cinta Juan Peron kepadanya. Eva insaf betapa Peron mencintainya bukan kerana dia yang menaikkan Peron tetapi sebaliknya Peron benar-benar mencintainya. Kematian Eva ditangisi seluruh rakyat Argentina :

You Must Love Me

Why are you at my side?
How can I be any use to you now?
Give me a chance and I'll let you see how
Nothing has changed

...

Keistimewaan filem muzikal ini terteletak pada keupayaan filem ini bergerak tanpa diikat dengan dialog. Boleh dikatakan keseluruhan cerita (book) dalam filem ini wujud dalam bentuk lagu. Hampir tiada dialog di dalam filem ini. Sebagai sebuah filem biografi, kekuatan Evita terletak pada konflik yang dicipta Evita untuk mengecap kejayaan. Evita, seorang anak tidak sah, pernah menjadi pelacur, model, pelakon dan penyanyi akhirnya diterima negara-negara besar di luar Argentina. Kekaguman filem ini juga dapat dilihat pada elemen 32 buah lagunya. Kemunculan Che dalam pelbagai watak tetapi masih menjadi pengkritik Eva membentangkan idea penentangan yang menarik.

Sesungguhnya, Evita memperihalkan perjuangan seorang wanita kelas bawah untuk keluar dari kesusahan kelas bawahan dan berjuang untuk beroleh 'kemerdekaan' diri. Dari satu sisi, Evita memang seorang yang bijak memanipulasi orang lain. Juga, dari satu sisi Evita bertindak sebagai manusia yang tidak kenal putus asa dan berserah pada nasib semata-mata.

Filem Evita tetap mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Dari satu segi, filem ini dikritik hebat oleh penganut Kristian Katolik yang menyifatkan adegan menyanyikan lagu keagamaan sambil menari sedih dan beberapa rakium lain sebagai bertentangan dengan agama dan menjatuhkan nilai agama itu sendiri.

Don't Cry For Me Argentina

When I try to explain how I feel
that I still need your love after all that I've done
You won't believe me
All you will see is a girl you once knew
Although she's dressed up to the nines
At sixes and sevens with you

I had to let it happen, I had to change
Couldn't stay all my life down at heel
Looking out of the window, staying out of the sun

So I chose freedom
Running around, trying everything new
But nothing impressed me at all
I never expected it to

Chorus:

Don't cry for me Argentina
The truth is I never left you
All through my wild days
My mad existence
I kept my promise
Don't keep your distance

And as for fortune, and as for fame
I never invited them in
Though it seemed to the world they were all I desired
They are illusions
They are not the solutions they promised to be
The answer was here all the time

I love you and hope you love me

Don't cry for me Argentina

Have I said too much?
There's nothing more I can think of to say to you.
But all you have to do is look at me to know

That every word is true

P/s : Andrew Lloyd Webber sentiasa memberikan lagu-lagu yang terbaik!

Senin, 07 Maret 2011

SASTERA DAN MANUSIA

DI TENGAH kalut anak kecil menangis dan ayah sibuk memujuk. Di celah tangkas jururawat melayan pesakit. Di sisi bonda setia menanti dipanggil. Di sibuk rumah sakit yang sempit, saya temui mutiara bicara sasterawan negara ini. Sasterawan terbilang, Muhammad Haji Salleh yang memilih puisi :

1. Buah pertama dari dusun terbaik pun biasanya agak buruk, tetapi semua pohon harus belajar berbunga dan berbuah yang termanis, dan semua ini memerlukan tahap-tahapnya dan waktu yang meregang.

2. Sastera membuka dunia, lebih luas daripada geografi atau astronomi. Sebahagian yang dibuka ialah cakewala dalaman, yang lebih berahsia daripada planet dan galaksi (apakah bintang-bintang juga bergelek-gelek di lubang hitam?). Kesusasteraan perlu kerana kita dihaluskan, dirumitkan sebagai manusia. Kesedaran kita ditajamkan, dan kepekaan dikembangkan.


~Dewan Sastera, Mac 2011

Saya terkesima seketika. Mutiara bicara SN itu sangat benar. Saya ialah murid aliran sains tulen sewaktu di sekolah menengah dahulu. KOMSAS dalam subjek bahasa Melayu selalu membuatkan saya jemu. Minat saya terhadap sastera tidak pernah tumbuh sewaktu berada di alam persekolahan. Lantas, apabila saya mula mengenal sastera hingga tumbuh subur cinta terhadap sastera, maka saya dapat melihat dengan jelas perbezaan fasa tunailmu sastera dan fasa mula cinta sastera.


Selalu saya merenung semula jejak dan liku perjalanan saya dalam dunia penulisan ini. Yang pasti, setiap kali renungan maka saya akan bertemu dengan ruang diri. Ruang yang tidak pernah saya endah walau selalu di persekitaran saya.

Pohon nyiur yang indah dan meliuk-lintuk usai ditiup bayu petang tidak pernah mendatangkan apa-apa kesan kepada saya. Malah, objek-objek alam seperti itu tidak membuatkan saya berfikir lebih dalam tentang kejadiannya. Hatta, saya tidak pernah berasa begitu cinta dan tertarik akan bulan dan bintang serta indah langit malam seperti kini.

Memang benar kata-kata SN Muhammad Haji Salleh dalam catatan beliau itu. Sastera membentuk peribadi. Melentur nurani dan menjadikan saya insan yang mula berminat untuk banyak berfikir tentang segala yang berlaku di dunia ini. Saya tidak lagi mensia-siakan alam. Renungan atas setiap kejadian dan peristiwa yang berlaku saban hari semakin kuat. Nyata, perubahan itu sangat saya rasai. Saya menjadi semakin peka dengan pelbagai isu. Andai dahulu, saya hanya selesa berada dalam ruang hidup sendiri. Tidak berminat dengan isu yang berada di luar diri. Akan tetapi, sastera dan kesusasteraan mengajar saya untuk lebih peduli.

Berdasarkan pengalaman ini, saya mempunyai keyakinan yang tinggi betapa sastera mempunyai tanggungjawab dan peranan yang membesar dalam membentuk peribadi manusia dan sesebuah tamadun itu sendiri. Tanpa sastera, manusia menjadi beku dan kaku. Tidak mampu berfikir pada setiap lapisan kehidupan. Sastera, menjana manusia menjadi lebih bijaksana. Gabungan sastera dalam pelbagai corak hidup seharian akan memantapkan lagi kedudukan manusia sebagai makhluk berakal fikiran.

Catatan ini saya tuju kepada sesiapa sahaja yang mempunyai prasangka terhadap sastera dan kesusasteraan. Saya pernah membenci sastera sewaktu bersekolah dahulu. Maka dengan itu, saya berharap agar adik-adik yang masih di bangku sekolah tidak akan mengulangi kesilapan saya itu lantas dikurung rasa bersalah atas sikap dan masa yang telah lalu itu. Alangkah indahnya jika kita mampu mengecapi dan menikmati nikmat bahasa dan sastera bangsa sendiri sejak dari kecil lagi. Begitu, bahasa dan sastera akan semakin gah dan dihormati.

Selasa, 01 Maret 2011

POLITIK 'JOGHO'

POLITIK DAN LAGA LEMBU menjadi kesatuan fahaman yang cuba disampaikan U-Wei Hj Shaari lewat filem Jogho. Filem ini mengisahkan kehidupan Pak Mat (Khalid Salleh) yang menjalani kehidupan sebagai pelatih lembu jantan untuk dilagakan atau dikenali sebagai 'Jogho'. Berasal dari Kelantan, Pak Mat dan keluarganya berhijrah ke Selatan Thailand setelah kecundang dalam pillihan raya di kawasan asalnya. Perpindahan mereka itu juga atas pelawaan saudara Pak Mat iaitu Pak Lazim.

Di Pattani, Pak Mat yang mempunyai kemahiran melatih lembu jantan menggunakan kepakaran itu untuk menyara kehidupannya. Lebih daripada itu, Pak Mat bukan sahaja menganggap pekerjaannya itu sebagai tanggungjawab untuk menyara keluarga. Sebaliknya, kerjaya sebagai 'jogho' ialah tanggungjawab peribadi yang perlu dilaksanakan.

Filem ini bermula dengan menggunakan teknik imbas kembali. Lima minit pembukaan filem, khalayak dipersembahkan dengan majlis pengebumian jenazah Pak Lazim diikuti babak Minah dan anak-anaknya berlari menuju rumah untuk memaklumkan kematian Pak Lazim kepada Pak Mat yang sedang mengira wang hasil kemenangan Calet (lembu) dalam perlagaan. Babak ini dipersembahkan dengan misteri kerana khalayak masih belum diberitahu mengenai sebab Pak Lazim dibunuh dan kaitan antara Pak Lazim dengan Pak Mat. Sebagai sebuah filem yang bernilai tinggi, teknik yang digunakan ini berjaya memancing minat khalayak aktif untuk bertanya sebab akan tindakan Minah, kaitan antara Mamat dengan Lazim dan pihak yang membunuh Pak Lazim.

Pada babak seterusnya, khalayak mula diperkenalkan dengan watak Isa lakonan Wan Hanafi Su. Pak Isa yang berasa tidak puas hati atas kemenangan Calet telah menembak Pak Lazim sewaktu masih di arena. Dengan falsafah "Hutang darah dibayar darah", Pak Mat, Jali (Sabri Yunus), Sani (Adlin Aman Ramli) dan Salim (Ijoy) berusaha menjejaki Pak Isa dan Dolah Mundok untuk membalas dendam.


Meskipun tidak mendapat sokongan keluarga sepenuhnya, Pak Mat tetap mempertahankan tanggungjawab yang wajib dipikul sebagai jogho. Minah (Normah Damanhuri), isteri kepada Pak Mat tetap setia meskipun tidak bersetuju dengan tindakan Pak Mat menjadikan judi dan laga lembu sebagai mata pencarian. Kegilaan Pak Mat terhadap laga lembu menyebabkan Pak Mat lupa akan tanggungjawabnya sebagai ayah. Malah, Pak Mat sanggup bergadai segala harta semata-mata untuk menjaga lembu atau berlaga lembu. Pertentangan pendapat antara Minah dan Mamat hanya menjadi medan untuk Mamat meneguhkan pendiriannya sebagai jogho yang juga dianggap sebagai perjuangan murni :

Mamat : Aku tahu kau isteri yang setia. Tapi aku ini orang perjuangan. Kau kena faham.

Minah : Kalau politik itu perjuangan, berlaga lembu tu apa pula?

Mamat : Kau memang susah nak faham. Main politik dengan laga lembu itu serupa saja. Kalau menang politik, kita boleh jadi orang besar. Bila jadi orang besar, rezeki banyak. Sama juga dengan laga lembu. Kalau menang, dapat duit. Lagi pun, berlaga lembu saja yang aku tahu.

Pada dasarnya, Mamat sedar akan kekurangan yang dimiliki. Tanpa pendidikan tinggi, dia tidak mampu mendapat pekerjaan yang lebih baik. Oleh sebab itu, Mamat menaruh harapan tinggi terhadap anak lelaki tunggalnya iaitu Jusoh yang dihantar belajar di Kelantan. Dia berharap agar Jusoh tidak mewarisi kekurangannya dan berjaya menjadi manusia berpendidikan tinggi. Perbezaan latar fikiran menjadikan Mamat mempunyai pertentangan pendapat mengenai dasar "hutang darah dibayar darah" dengan Jusoh.

Mamat : Hutang darah dibayar darah.

Jusoh : Ayah, kita ada undang-undang, mana boleh kita jadi hakim sendiri. Biarlah mereka bunuh orang, kita jangan ayah. Serah ke polis saja.

Mamat : Ini hal maruah. Hal keluarga.

Jusoh : Menambahkan dosa.

Mamat : Rasa dah besar sungguh kamu, Jusoh.

Jali, Seman dan Sani yang tidak sanggup menunggu lama untuk membalas dendam telah pergi ke Kelantan untuk menjejaki Pak Isa. Di Kelantan, mereka berjaya menemui anak Pak Isa lalu membunuhnya. Ekoran daripada itu, Pak Mamat yang masih sakit akibat ditanduk lembu Aral telah ditahan pihak berkuasa Thailand atas tuduhan membunuh.

Walau bagaimanapun, Pak Mamat masih tetap mahu mempertaruhkan Aral. Atas desakan itu, Mak Minah berusaha mendapatkan wang untuk menjamin Pak Mat. Pada hari pertarungan, Pak Isa telah muncul dan mahu menuntut bela atas kematian anaknya. Satu das tembakan terkena lengan Pak Mat. Pak Mat yang berjaya merampas sepucuk pistol tidak pula melepaskan tembakan balas ke arah Pak Isa. Bagi Pak Mat, dia tidak mahu darah sesama orang Melayu tumpah. Namun demikian, Sani yang merampas pistol daripada Pak Mat telah menembak Pak Isa hingga mati. Ketika polis datang, Pak Mat mengaku bahawa dialah yang membunuh Pak Isa demi melepaskan Sani daripada pertuduhan.

Jogho membawa kisah politik dalam kalangan orang Melayu. Mereka yang ingin kuasa dan nama sanggup melakukan apa-apa sahaja hatta membunuh sesama saudara. Dalam filem ini, kematian Pak Isa dan penahanan Pak Mat membawa satu simbolik betapa perebutan kuasa dan nama serta dendam yang tersimpan antara mereka tidak membawa apa-apa kejayaan untuk mana-mana pihak. Kerugian bukan sahaja kepada mereka yang terlibat secara langsung malah turut mengundang kesulitan buat keluarga dan masyarakat setempat.

Filem adaptasi daripada novel Juara karya S. Othman Kelantan ini memerlukan penghayatan yang tinggi untuk difahami ekoran daripada penggunaan dialek Kelantan dan Pattani yang agak kuat. Walau bagaimanapun, aspek bahasa itu bukanlah kelemahan karya ini sebaliknya menjadi kekuatan yang disuguhkan lagi oleh watak Pak Mat, Minah dan aspek sinemtografi yang berkesan. Penggunaan bunyi meskipun agak perlahan namun masih dapat membangkitkan variasi emosi khalayak.

Sekali lagi, Jogho membawa khalayak untuk berfikir tentang manusia dan kemanusiaan, antara lembu jantan yang dijadikan simbol politik manusia seharian juga, antara kepercayaan dan pengkhianatan.

Festival Filem Malaysia Ke-14
Filem Terbaik Keseluruhan Filem
Pengarah Terbaik : U-Wei Hj Saari
Pelakon Lelaki Terbaik : Khalid Salleh
Lakon Layar Terbaik : U-Wei Hj Saari
Poster Terbaik
Penataan Seni Terbaik

Anugerah Skrin 1999
Filem Terbaik Keseluruhan Filem
Pengarah Terbaik : U-Wei Hj Saari
Pelakon Lelaki Terbaik Filem : Khalid Salleh
Pelakon Wanita Terbaik Filem : Normah Damanhuri
Festival Filem Asia Pasifik ke-43 1998 (Taipei)
Pelakon Lelaki Terbaik : Khalid Salleh