Rabu, 19 Mei 2010

AKAN KEMBALI

SUDAH AGAK lama laman saya ini tidak diisi dengan entri-entri baru. Bukan kerana apa-apa melainkan ketiadaan En. Hp yang berada di wad kecemasan sebaik-baik saya pulang dari Tanjung Rhu. Malah, tanda-tanda sakit En. Hp sebenarnya telah kelihatan sejak hari pertama saya mendarat di Tanjung Rhu. Mujur segala perkara penting sudah saya siapkan. Maka pemergian En. Hp yang sementara itu tidaklah terlalu terasa dan menyedihkan. Banyak peristiwa yang terakam indah terus saya simpan untuk saya himpunkan dalam bentuk aksara apabila En. Hp kembali semula.

Sementelahan itu, peninggalan En. Hp sekurang-kurangnya memberi saya ruang untuk saya berfikir dan meneliti arah tuju dan kepentingan, natijah serta pelbagai lagi yang berkaitan dengan penulisan saya di laman ini. Apatah lagi, saya kini berada dalam minggu peperiksaan setelah seminggu yang lalu telah berlalu sebagai minggu ulang kaji.

Sebaik-baik tamat peperiksaan kertas terakhir kelak, saya akan memulakan perjalanan membaca tiga buah buku baru yang saya ada. Buat masa ini, ketiga-tiga buku itu berada di tingkat paling atas pada rak buku yang baru saya miliki. Buku-buku tersebut ialah Bedar Sukma Bisu, Tuhan Manusia dan 100 Years of Solitude. Beberapa hari kebelakangan ini, saya kerap duduk bertimpuh di hadapan rak tersebut. Saya membuka halaman pertama Bedar Sukma Bisu dan membaca dialog pertama. Terus, saya menutup semula novel itu. Dialog pertama yang saya baca itu begitu menarik perasaan saya untuk terus membacanya namun saya tidak mahu membacanya buat masa ini. Saya mahu mengulitinya dengan aman dan serius usai peperiksaan berlangsung. Lantas, saya memujuk perasaan agar bersabar. Bukankah hikmah daripada kesabaran itu besar maknanya? Walau bagaimanapun, Aku Terima Nikahnya yang ditulis dalam bentuk catatan membuatkan saya mudah dan selesa membacanya di mana-mana. Oleh hal yang demikian, buku tersebut selesai saya baca setelah memanfaatkan masa senggang di antara masa ulang kaji.

Perkara yang sama saya lakukan terhadap kedua-dua buah novel berikutnya dan perasaan saya sama seperti perasaan awal saya terhadap Bedar Sukma Bisu. Lantas, selepas hari itu saya tidak lagi membuka atau membelek-belek novel-novel tersebut. Saya hanya memandangnya dengan penuh keterujaan tetapi diulit dengan kesabaran setiap kali saya melintasi rak buku tersebut. Insya-Allah, saya akan memulakan semula sesi pembacaan yang sudah agak lama saya tinggalkan lantaran kesibukan dengan tugasan pelajaran tidak lama lagi.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar