Tampilkan postingan dengan label Catatan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Catatan. Tampilkan semua postingan

Minggu, 26 Mei 2013

CATATAN RINGKAS SEORANG MURID

ADA rasa sedih yang amat dalam di hati saya apabila Dr. Zaidi Ismail menamatkan kuliah beliau pada tengah hari semalam. Modul yang dikendalikan sepanjang tiga minggu memberi banyak manfaat kepada murid. Sudah tentu, tiga minggu masa yang amat singkat untuk menjadi lebih kenal dan faham. Akan tetapi, pada hemat saya Dr. Zaidi Ismail telah 'memetik' suis di dalam jiwa kami untuk lebih peka dalam menangani persoalan ilmu (mencari, memilih dan menyaring ilmu).

Antara ayat terakhir yang disebut Dr. Zaidi Ismail, yang akan selalu saya ingat adalah "Allah akan beri ilmu kepada sesiapa yang mahu. Berdoalah selalu agar Allah singkap hijab dalam hati agar kita mudah menerima dan kenal ilmu. Berdoalah agar kita mendapat ilmu yang bermanfaat untuk kehidupan dua dunia. Ilmu itu persoalan rohani, bukan fizikal." 
Terima kasih Dr. Zaidi Ismail
Mencari dan memilih ilmu itu juga penting, mengamalkan ilmu yang diperoleh pula satu hal yang turut perlu diberi perhatian. Kepada Dr. Zaidi Ismail, terima kasih atas panduan yang diberikan. Saya amat beruntung kerana mendapat peluang berguru dengan guru seperti beliau.
Mengakhiri catatan ringkas ini, saya kongsikan panduan yang diberikan Ibn Hazm (sarjana dari Andalus) yang amat penting untuk diketahui dan direnung tinggi oleh setiap penuntut ilmu yang akan mengaplikasikan ilmu. Dalam konteks ini, penekanan diberikan kepada penulisan karya ilmiah.
Tujuan menulis sesuatu karya ilmiah :
1. Mengutarakan sesuatu yang asli.
2. Menyelesaikan atau melengkapkan sesuatu yang belum lengkap.
3. Memperbaiki sesuatu yang dilihatnya salah.
4. Menjelaskan dan menghuraikan sesuatu yang rumit dan sukar.
5. Meringkaskan karya seseorang yang terlalu panjang tanpa meninggalkan perkara-perkara penting.
6. Menggabung maklumat daripada pelbagai sumber.
7. Menyatukan dan menyusun pelbagai maklumat menjadi manik-manik yang menjadi rantai indah berseri
Tujuan penulisan karya ilmiah yang diberikan Ibn Hazm ini jelas dapat dilihat dalam karangan-karangan pujangga silam. Jika dalam konteks Persuratan Melayu, antara pengarang yang tegas dan jelas menjadikan tujuan-tujuan tersebut sebagai asas penulisan mereka ialah Hamzah Fansuri dan Nuruddin Ar Raniri.

Semoga semua pemegang 'pena' masa kini turut tidak ketinggalan dalam merenung tujuan-tujuan tersebut agar dapat menghasilkan tulisan yang bermanfaat untuk kehidupan di dunia dan akhirat. Tentunya, semua itu memerlukan ilmu yang teguh, yang perlu dicari, difahami sebelum diaplikasikan mengikut bidang masing-masing dengan penuh wibawa. 

Nota : Panduan ilmiah Ibn Hazm ini boleh dibaca antaranya dalam buku Islam dan Sekularisme (Syed Muhammad Naquib Al Attas) dan Iklim Kehidupan Intelektual di Andalusia (Wan Mohd. Nor Wan Daud).

Jika kebenaran yang diajar itu ialah kebenaran mengenai ilmu, maka hayatnya melepasi ruang dan masa- Dr. Zaidi Ismail.

Kamis, 07 Februari 2013

KASIH TANPA SYARAT

MELIHAT foto ini, saya teringat akan pesan emak yang selalu disebut. Pesan emak kepada saya, kalau apa-apa terjadi (seperti rumah terbakar, bah besar), selamatkan kucing-kucing dulu. Apabila bah atau kebakaran melanda hutan atau sebagainya, emak akan berkata "Kesianlah kambing, lembu, semua haiwan tu." Tapi, saya selalu ingatkan emak, "Allah ada jaga mereka. Insya-Allah".


Malah, dua jam sebelum emak ditidurkan untuk selama-lamanya, sewaktu kaki melangkah meninggalkan gapura rumah pada dinihari terakhir emak di rumah, emak pesan sungguh-sungguh kepada saya, dengan suaranya yang penat, "Bagi makan kucing dik." Bunyi macam kelakar bagi yang tidak mahu memahami. 

Al Fatihah buat emak Rambelah binti Maryam, teladan yang baik untuk saya terus mencintai haiwan meskipun dipandang jelek oleh sebilangan orang yang tidak memahami. Pencinta haiwan tidak meminta dirinya difahami (kasih terhadap haiwan yang mendalam), tetapi cukup jika tindakannya membuka sedikit ruang untuk manusia turut berusaha memahami dan menerima dengan baik akan setiap kejadian haiwan khususnya kucing yang menjadi haiwan kesayangan Nabi Muhammad, Saidatina Aishah dan para sahabat seperti Abu Hurairah.


Jie Jie di samping emak, dengan rela
Menarik juga di sini untuk saya petik kata-kata Ustaz Azhar Idrus mengenai sikap manusia terhadap kucing :  Kadangkala Allah hantar kucing untuk menguji kita sama ada kita sayang atau tidak dengan rezeki Allah kerana dia tak minta ikan yang baru digoreng. Dia tak minta pinggan yang elok ketika makan. Dia tak minta air untuk membasuh tangan. Dia tak minta tisu untuk lap mulut. Dia hanya meminta sisa makanan kita yang tak habis. Tapi, kenapa kita masih tidak bagi? Malah (ini ayat saya) ada pula yang memberi sepakan penalti kepada mereka ...



Foto ini saya ambil di kawasan Pasar Pagi, Selayang tahun lalu     



 MEOW MEOW MEOW

Sabtu, 02 Februari 2013

INDAH

TENGAH HARI semalam, saya mengunjungi pusara emak di Perkuburan Islam Sungai Tua, Selayang. Panas terik membahang. Namun, apabila saya terpandangkan langit dengan gumpalan awan-gemawan, hati saya terasa begitu dingin. Di sebalik kejadian alam, ada tanda-tanda kebesaran-Nya bagi yang mahu 'membaca'. Sungguh, hidup itu benar. Sungguh, mati itu benar.

'Perumahan' sementara sebelum Yaumul Hisab.
 Semoga emak bahagia di alamya


Jumat, 25 Januari 2013

KEPERLUAN ATAU KEHENDAK?: BELAJAR DARI PENGALAMAN

SEMASA saya menuntut di Tingkatan Enam, saya mengambil mata pelajaran Ekonomi yang terbahagi kepada dua cabang iaitu Mikroekonomi dan Makroekonomi. Saya tidaklah terlalu meminati bidang itu. Akan tetapi, saya percaya bidang itu jika tidak membawa saya ke bidang profesional yang berkaitannya, tetap berguna menjadi panduan kepada saya sebagai individu yang tentunya tidak boleh lepas dari soal ekonomi, perbelanjaan, kewangan. Antara isu yang paling saya ingat berkaitan pelajaran ekonomi ialah Kos Lepas. 

Saya fikir semua orang tahu mengenai kos lepas sama ada orang itu pernah mempelajarinya secara formal ataupun tidak. Kos lepas ialah kaedah menimbang antara keperluan dan kehendak. Setiap sesuatu yang diinginkan jika bertentangan dengan kemampuan yang dimiliki maka perlulah dilepaskan. Perkara ini bermain dalam fikir saya setelah saya melalui satu perbincangan dengan guru saya, semalam. Kami berbincang mengenai tabiat segelintir pihak yang suka menggunakan kad 'hutang' (lebih tepat istilahnya berbanding kad kredit). Satu masa dahulu, kad 'hutang' dianggap sebagai prestij. Sesiapa yang memiliki 'kad hutang' dianggap kaya dan bergaya, sesuai dengan dunia moden yang membelenggu individu tertentu.

Saya antara individu yang menentang penggunaan 'kad hutang' baik dalam apa-apa keadaan sekalipun. Kebiasaannya, panggilan-panggilan daripada pihak bank (sebut secara baku) yang mempelawa atau menawarkan saya untuk memiliki 'kad hutang' tidak pernah saya layan. Dengan tegas, jawapan saya tetap sama "Maaf, saya tidak berminat." Saya tidak suka membiarkan pendengaran saya terus dibiarkan mendengar 'manfaat-manfaat' mengenai 'kad hutang'.

Saya percaya, pengalaman saya sebagai pelajar yang perlu bersusah-payah untuk membiayai pengajian, yang perlu mengikat perut dan menahan aneka nafsu terhadap banyak perkara mewah membuatkan saya bijak dalam menilai antara keperluan dan kehendak. Bagi saya, penggunaan kad debit lebih praktikal daripada 'kad hutang'. Hal ini kerana, dengan kad debit kita membeli sesuatu dengan kesedaran terhadap simpanan yang ada. Manakala, penggunaan 'kad hutang' selalunya (berdasarkan laporan akhbar dan pengalaman rakan) membuatkan pengguna 'lupa diri' ketika menggunakannya dan, hanya 'sedar diri' apabila penyata bulanan diterima. Isu ini membuatkan saya mengenang semula kepayahan saya ketika melanjutkan pengajian ijazah pertama, dua tahun lalu.

Saya melanjutkan pengajian ijazah pertama setelah setahun bekerja sebagai pembantu klinik swasta pada tahun 2007 (Januari-Disember). Ketika itu, gaji pokok berjumlah RM 500. Namun, setelah ditolak bahagian untuk caruman KWSP, gaji yang saya terima ialah RM 442.50. Dengan duit itu, saya bahagikan untuk keperluan rumah, tambang perjalanan; manakala sebahagian besar lagi saya simpan dengan tekad - duit simpanan itu untuk saya guna apabila saya melanjutkan pengajian.

Saya juga bersyukur apabila Allah menetapkan saya untuk menerima Biasiswa Persekutuan ketika berada di Tingkatan Enam. Biasiswa itu diterima ketika saya berada di tingkatan enam atas. Maka tidak banyak lagi wang yang diperlukan pada masa itu. Seingat saya, biasiswa itu berjumlah satu ribu lebih. Duit biasiswa itu juga tidak langsung saya usik, sebaliknya terus saya simpan. Apabila tiba Januari 2008, hasil simpanan (biasiswa & simpanan hasil kerja) itulah yang saya gunakan untuk membayar yuran pendaftaran berjumlah RM 1480. 

Ketika itu, saya berusaha mencari setiap ruang untuk saya mendapatkan hak saya - mendapatkan pinjaman pendidikan. Hadiah Anak Masuk Universiti yang diberi Kerajaan Selangor kepada saya berjumlah RM1000 terus saya simpan, buat bekal perbelanjaan pengajian juga. Dalam masa yang sama, saya berusaha ke Pusat Zakat Selangor. Setelah memenuhi syarat, saya berjaya mendapatkan RM 1000 atas skim Dermasiswa Pusat Zakat. Duit itu juga saya simpan untuk urusan pendidikan. (Barangkali pengalaman ini juga yang membuatkan saya menolak dakwaan-dakwaan klise bahawa kewangan sebagai kekangan untuk menyambung pelajaran. Jika ada usaha, mesti ada jalan. Jika alasan yang dicari, maka alasan yang ditemui. Jika jalan yang dicari, seribu jalan tersedia untuk dipilih).

Saya menikmati kehidupan pelajar yang serba kekurangan. Ketika kawan-kawan sekuliah memiliki komputer riba sejak awal pengajian yang ditaja oleh keluarga masing-masing - saya hanya menggunakan komputer perpustakaan untuk menyiapkan tugasan pelajaran saya hingga semester empat. Saban hari, saya menunggu bas pada ham 6:20 pagi dan selalunya tiba di Jalan TAR pada jam 7:20 pagi. Hampir 20 minit saya berjalan kaki dari Jalan TAR ke kampus menerusi Padang Merbok. Sebelum jam sembilan pagi, saya sudah berada di depan pintu perpustakaan bagi memastikan saya dapat menggunakan komputer yang biasa saya gunakan. Atas faktor itu, saya perlu membuat dua kali kerja. Menulis tugasan dengan pensel atau pen di kertas A4 ketika di rumah sebelum menaip semula tugasan itu dengan menggunakan komputer di perpustakaan. Namun, saya tidak pernah lewat menghantar tugasan. Untuk itu, saya lebih suka bergerak sendiri dalam melakukan urusan mencari bahan agar saya dapat terus pulang setelah urusan saya selesai. Malah, kesusahan yang sedikit itu juga tidak  pernah membuatkan saya ponteng atau istilah lainnya 'tuang kelas' melainkan jika emak saya sakit atau, kucing saya sakit.

Meninjau kembali kenangan 'indah'itu, saya hanya memperuntukkan RM10 untuk setiap kali saya keluar dari rumah ke IPT. RM 6 untuk tambang bas pergi dan balik dan bakinya untuk belanja makan. Jika ada lebih, itulah yang saya kumpul untuk tambah nilai telefon bimbit 'kuno' saya ketika itu. Wang untuk tambang perjalanan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Selayang saya jaga bagai menatang minyak yang penuh. Sepuluh sen yang tercicir akan menyusahkan saya untuk mencari sepuluh sen yang lain untuk melengkapkan tambang itu. Saya menjadi manusia yang begitu menghargai duit. Saya dilihat sukar untuk berbelanja dan 'liat' apabila diajak ke mana-mana, membuatkan saya dianggap segelintir rakan sebagai kera sumbang. Saya tidak kisah asalkan saya tidak menyusahkan diri saya di kemudian hari, dan tidak menyusahkan orang lain. Wang itu amat berharga bagi saya untuk dibelanjakan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Inilah beza manusia yang biasa dengan kesusahan dengan manusia yang lahir dengan serba kesenangan (born with a sliver spoon). Saya lebih faham apa-apa yang saya lalui berbanding mereka yang hanya melihat tindakan saya.

Siapa yang tidak suka dapat membeli semua yang disukai? Buku, gajet dan sebagainya? Itu juga kesukaan saya namun kesukaan itu tidak semestinya keperluan untuk saya. Saya 'makan hati' tatkala melihat rakan-rakan mampu membeli buku sedangkan tidak bagi saya, ketika itu. Semua itu saya simpan dalam hati sebagai 'dendam yang indah'. Saya yakin saya mampu memiliki buku-buku yang tidak mampu saya miliki ketika itu pada masa lain. Kini, betapa nikmatnya saya rasa apabila mampu memiliki dan membeli buku.

Saya hanya memiliki komputer riba apabila berada di semester empat iaitu pada akhir tahun dua pengajian setelah mendapat pinjaman daripada SUK Selangor. Sebaik-baik mendapat pinjaman itu, saya tekad di dalam hati untuk membayar semula pinjaman itu dalam tempoh setahun selepas tamat pengajian. Untuk itu, saya semakin berjimat cermat. Saya tidak mahu dan tidak suka menanggung hutang. Bagi saya, hutang hanya untuk rumah dan kereta. Tidak untuk selain itu dan kerana itulah saya sanggup menanggung penat berjalan jauh demi mengumpul wang untuk membeli kuda besi saya secara tunai. Saya juga bersyukur, berkat kesabaran melawan godaan kehendak yang aneka macam, saya berjaya membayar semula pinjaman pelajaran setelah lapan bulan tamat pengajian. Saya bersyukur dan menikmati indahnya sabar dalam memahami matlamat,  keperluan dan kehendak.

Atas pengalaman itu, saya kini menjadi manusia yang semakin tahu menguruskan kewangan. Setiap bulan, saya mengisi buku belanjawan bulanan . Setiap resit pembelian saya kepilkan di dalam buku itu. Hal ini saya lakukan untuk meneliti corak perbelanjaan dan apakah saya terlebih belanja atau sebaliknya. Jika terlebih, maka saya perlu teliti apakah yang lebih dan apakah ada manfaatnya? 

Bagi saya, tidak salah mempunyai banyak kehendak dalam satu masa. Namun, yang salah adalah apabila setiap kehendak itu mengetepikan kepentingan keperluan. Lebih buruk apabila kehendak-kehendak tidak terkawal itu memaksa ketidakmampuan sehingga menghasilkan sesuatu yang buruk kepada diri. Apabila yang buruk menimpa diri, bukan hanya diri itu sahaja yang akan terasa susahnya, malah akan ada insan-insan lain yang turut sama terlibat. Maka, adalah lebih baik mencegah sebarang 'bunga-bunga' keburukan daripada berkembang.

Mungkin ini juga jawapan kepada soalan seorang murid tentang 'bagaimana mahu bersungguh-sungguh untuk belajar'. Soalan yang lucu. Jawapannya bagi saya adalah menghargai setiap kesusahan dan menjadikan kesusahan itu sebagai batu loncatan untuk mencipta kejayaan dan kehidupan yang lebih baik. Saya mensyukuri setiap takdir Allah kepada saya. Penghargaan  dan syukur itu dizahirkan dengan usaha agar setiap masa yang saya lalui atas takdir itu tidak sia-sia. Apabila saya mengenang hal ini, tidak ada alasan untuk saya malas belajar atau terhadap apa-apa yang saya lalui seterusnya.

Wallahua'alam

Minggu, 20 Januari 2013

ANTARA FEMINIS DAN CAUVANIS

SAYA terlibat dengan satu perbincangan singkat mengenai novel Aci Patmabi dengan seorang kenalan ketika sesi rehat kuliah pagi semalam. Kenalan itu membuka bicara mengenai novel tersebut. Kata suaminya yang juga pengkritik sastera tersohor, novel itu amat bagus dan wajar dibaca. Saya mengatakan bahawa ada tidak logiknya pada karya itu walaupun karya itu bagus, terutama pada 'nasib' protagonisnya. Kata kenalan itu setelah mendengar hujah itu, "Wardah feminis. Ya, Wardah feminis ..."

Aci Patmabi selesai saya baca ketika novel itu baru dipasarkan, bulan-bulan akhir tahun 2012. Tidak saya nafikan bahawa Azmi Iskandar Merican sebagai penulis mempunyai 'mainan bahasa' yang tersendiri dan dianggap sebagai kekuatan pada penulisannya. Di samping itu, Aci Patmabi tampil sebagai karya yang memperincikan budaya hidup masyarakat Mamak akhir kurun ke-19 hingga awal kurun ke-20. Perincian mengenai budaya pada latar masa itu boleh dianggap baik untuk diketahui oleh pembaca generasi kini, khususnya generasi muda.

 

Namun demikian, yang menjadi persoalan dan menimbulkan rasa tidak puas hati saya ialah protagonis Aci Patmabi, wanita yang mengagumi dan menjadikan idea Syeikh Al Hadi sebagai benih pemikirannya, telah ditimpa ujian-ujian yang akhirnya membawa kematian. Bagi saya, kematian Patmabi adalah sia-sia. Kenapa? Kerana setelah bersusah payah memperjuangkan idea mengenai bangsa dan Tanah Melayu agar tidak terus kalut dengan kepercayaan karut dan terus membiarkan tanah sendiri jatuh ke tangan bangsa lain, malah setelah mendapat tempat dalam Majlis Mesyuarat Negeri - Patmabi tetap gagal malah dipermainkan oleh masyarakat (dipanggil Jalang Jalan Haitin), suami dan anak-anaknya sendiri.

Minat saya terhadap sejarah memungkinkan saya untuk meminati karya ini namun saya tidak fikir adalah logik untuk diterima akal bahawa sepanjang kehidupan Patmabi yang berisi perjuangan itu berakhir dengan sia-sia. Sia-sia bagi saya kerana suaminya Pakwan terus dengan kekufurannya dan gagal menerima nasihat dan pengorbanan Patmabi sebagai isteri yang baik dan bijak. Gagal bagi saya kerana masyarakat tetap tidak menerima idea Patmabi walau sedikitpun. Gagal kerana tanah dan rumah Patmabi sendiri akhirnya jatuh ke tangan bangsa asing gara-gara khianat anak-anak Patmabi sendiri, walhal Patmabi begitu berjuang agar bangsa Tanah Melayu tidak membiarkan tanah yang ada jatuh ke tangan bangsa asing. Bagi saya, hal ini terlalu zalim terhadap Patmabi itu. Jika dibaca oleh segelintir pihak yang cetek pengetahuannya, tidakkah timbul persoalan akan keadilan Tuhan pada kehidupan Patmabi? Inilah yang saya persoalkan. Bukan isu Patmabi ialah wanita dan penulisnya ialah manusia daripada kumpulan Adam yang menggusarkan saya.

Barangkali, satu perkara kecil yang boleh dilihat sebagai kejayaan Patmabi adalah bersatunya seorang gundik Melayu dengan pegawai Inggeris secara Islam setelah lama bersekedudukan. Akan tetapi, hal itu tetap satu perkara kecil yang tidak boleh bagi saya dianggap sebagai utama kerana paparannya juga terlalu 'kecil' mengalahkan paparan mengenai perjuangan-perjuangan Patmabi sebagai wanita Mamak beragama Islam dalam kebudayaan di Tanah Melayu.

Barangkali ada yang boleh menerima hal berkenaan dengan mengambil latar masa dalam karya itu. Akan tetapi, mengapa pula Al Hadi menerbitkan Faridah Hanum dengan watak utamanya yang berjaya menepis segala kekacauan pemikiran masyarakat masa itu. Kenapa Aci Patmabi yang terhasil pada alaf 21 ini berbeza sekali penyelesaiannya dengan Faridah Hanum yang muncul puluhan tahun lalu? Apakah saya feminis kerana mempersoalkan logik ini seperti yang disifatkan kenalan saya itu? Saya mungkin dianggap cauvanis jika terus mempersoalkan perkara ini seandainya kata feminis itu tidak digunakan. Akan tetapi, saya yakin pandangan saya tetap sama jika watak utama novel Azmi Iskandar Merican itu juga seorang lelaki.

Persoalan sia-sia ini sama seperti yang saya temui apabila selesai menonton telefilem Bahang Neraka lakonan Rahim Razali, Nasha Aziz dan Norman Hakim pada hari yang sama perbincangan mengenai Aci Patmabi.



Bersesuaian dengan judulnya, telefilem itu penuh dengan babak-babak erotik (dari pergerakan dan pertuturan watak Nina) serta cerita yang mengisi perjalanan karya itu sendiri. Pengakhirannya sama dengan yang saya temui dalam Aci Patmabi iaitu, sia-sia. Tidak dinafikan watak Nina ialah cerminan femme fatale yang baik dalam tradisi perfileman Inggeris khususnya genre noir, seperti Matty Walker dalam Body Heat. Nina ditampilkan sebagai wanita yang cerdik memanipulasi lelaki dan keadaan hingga khalayak sendiri bersimpati dengannya, seperti yang dilakukan Matty Walker.

Namun, apa yang ingin disampaikan kepada khalayak khususnya dengan lesen Untuk Tontonan Umum menerusi Bahang Neraka? (judul yang menarik saya untuk menonton telefilem itu, melihat bagaimana 'bahang' itu digambarkan)  Matty Walker tidak sama dengan Nina dalam Bahang Neraka yang Melayu-Islam membunuh suami dan iparnya, kemudian keluar dengan wajah tersenyum dan, TAMAT. Karya-karya Rashid Sibir memang terkenal dengan konsep sedemikian malah sinematografinya sudah memperlihatkan imej Opera Klasik yang klise itu. Akan tetapi, di mana manfaatnya?

Apakah saya feminis atau tetap cauvanis kerana mempersoalkan hal ini? Persoalan mengenai watak wanita yang dimatikan dengan sia-sia dan wanita yang membunuh lelaki pada akhir cerita tanpa langsung diperlihatkan kekesalannya? Di mana 'keadilannya'?

Rabu, 16 Januari 2013

PERSINGGAHAN UNTUK EMAK

TIGA hari lagi, genap lapan bulan arwah emak di takah barzakh. Lapan bulan tanpa emak dalam hidup, saya tetap rasa emak sentiasa ada. Terlihat lagi senyum, tawa dan sedih emak. Sepasang mata emak yang berwarna perang dan sayu, segalanya masih jelas. Semoga Allah tidak hidupkan saya dalam keadaan saya lupa kepada emak. Setelah lapan bulan, baru hari ini urusan membentengi tanah kubur emak dilaksanakan berpandukan nasihat seorang ustaz. 

Hampir sejam setengah, saya berada di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tua, Selayang yang semakin sempit itu. Saya memerhati proses demi proses yang dilakukan oleh dua pembikin kepok. Saya membayangkan emak berada di situ, seperti biasa - di sisi saya. Memberi komen dan nasihat. Sungguh, saya rindu akan segala nasihat, bebelan dan kata-katanya. Rindu pada suara, tawa, mata dan seluruh yang ada padanya.

Semoga roh emak dalam kasih sayang Allah. Semoga alam barzakh menjadi alam yang bahagia buat emak. Semoga persinggahan sementara untuk emak itu menjadi sebagai salah satu daripada taman-taman syurga. Semoga Allah memberi kemenangan dan kejayaan buat emak setelah lama emak reda dengan ujian yang Allah beri kepadanya.
Di dalamnya ada jasad wanita yang saya cinta



Pemandangan perumahan 'abadi'

644 nombor kubur emak

Al Fatihah, Rambelah binti Maryam 27.6.1952 - 19.5.2012

Mawar Untuk Mama
(Nyanyian Sharifah Aini)

Kau sinaran bulan
Menyerikan bintang-bintang
Kaulah fajar yang menerbitkan pagi

Kau sirami embun
Menyegarkan pepohonan
Kau bukakan tabir siang untukku

Kau berikan mama
Kasih sayang maha suci
Betapa agungnya
Tiada ternilaikan
Oh mama, oh mamaku
Tiada cinta yang suci
Setulus cintamu

Ku suntingkan mama
Sekuntum mawar putih
Sebagai lambang kesucian cintaku











Jumat, 11 Januari 2013

CERITA-CERITA TENTANG KUCING

AKHBAR Utusan Malaysia hari ini melaporkan beberapa remaja perempuan di United Kingdom yang ditahan dan didenda dengan nilai duit Malaysia RM425 kerana mendera seekor anak kucing berusia lapan minggu. Perbuatan remaja-remaja itu yang jelas menggembirakan mereka telah dirakam dan dimuat naik di laman Muka Buku. Tindakan itu menyebabkan pihak berkuasa di sana menahan mereka. 


Anak kucing itu telah diserahkan kepada badan kebajikan untuk haiwan. Hasil pemeriksaan mendapati anak kucing itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Walau bagaimanapun, pakar menyebut bahawa anak kucing itu mengalami trauma rentetan daripada penderaan yang dilalui.

Alangkah bagusnya jika Malaysia juga mempunyai penguatkuasaan yang ketat dan berwibawa bagi menangani isu dera manusia terhadap haiwan. Saya amat suka menonton Animal Cops di Saluran Animal Planet. Di Amerika Syarikat, isu penderaan terhadap haiwan amat diambil perhatian dan dianggap serius. Cukup sekali kita menonton siri itu, kita dapat tahu kaedah mereka mengenal pasti kes penderaan, melakukan dakwaan terhadap pesalah dera terhadap haiwan dan tindakan yang dilakukan bagi melindungi dan menyembuhkan haiwan-haiwan tersebut. Tidak tertakluk kepada haiwan peliharaan konvensional seperti kucing dan anjing, malah menyeluruh kepada kuda, ayam dan sebagainya. Ketegasan tersebut memperlihatkan mereka serius dan begitu mengambil peduli kebajikan haiwan. Bukankah itu salah satu tanggungjawab manusia terhadap alam?

Menarik juga, dalam akhbar Kosmo hari ini dilaporkan seekor kakaktua bernama Princess di Dhaka, Bangladesh yang mogok lapar sejak 5 Januari 2013 yang lalu. Kenapa?  Princess telah dipisahkan dengan pasangannya, juga burung kakaktua bernama Prince. Pasangan kakaktua itu telah lima tahun hidup bersama dan mempunyai lima ekor anak. Sejak 5 Januari, Prince telah diambil semula oleh tuannya yang bernama Iqram akibat perselisihan faham antara Iqram dengan pemilik Princess iaitu Abdul. Hal ini menyebabkan Princess mengalami kemurungan. Saya bersimpati dan empati dengan Princess. Semoga Princess akan sembuh emosinya.

Seterusnya, ada lagi kisah tentang kucing. Beberapa hari dalam minggu ini, Allah pertemukan saya dengan seekor ibu kucing yang sarat bunting. Kucing ini tidak bertuan, tinggalnya di kampus di KL itu. Tubuhnya yang kurus tampak begitu berat membawa perut yang sarat itu. Jalannya perlahan sekali. Ketika saya mengusap perutnya yang besar dan padat itu, terasa panas pada palma tangan saya. Saya menjangkakan lima ekor. Setiap kali saya memberi dia makan biskut kucing, saya akan ambil kesempatan itu untuk membelai dirinya. Biarlah dapat juga dia rasa indahnya dibelai manusia. Memang bulan ini ialah bulan-bulan akhir kucing bunting menunggu saat melahirkan anak-anak yang dikandungkan. Saya berdoa semoga kucing-kucing itu selamat melahirkan anak-anak masing-masing. Allah tentu memelihara haiwan-haiwan tanpa dosa itu. Amin Ya Rahim.
Semoga dia selamat melahirkan anak-anak dalam kandungannya.

 Saya yakin anak kucing ini ialah anak kucing dalam foto di atas.
Pulang ke rumah. Hati saya gembira melihat kucing-kucing saya sihat. Boboy, walaupun tidak secergas dan sihat sepenuhnya, sekurang-kurangnya Boboy tidak melalui pengalaman getir yang perlu dilalui kucing jalanan. Semoga Allah terus beri kekuatan dan kesabaran untuk saya melayan dan menjaga mereka sebagai amanah yang berharga.

Aksi Jie Jie petang tadi, merenung ke luar jendela.
Ada keluarga burung bersarang di atap jendela.
This is my voice. Stop animal cruelty. I really meant it!

Rabu, 09 Januari 2013

SEMBANG MALAM

MALAM ini, saya dan seorang sahabat menikmati hidangan malam di luar bagi meraikan satu tanggunjawab sosial saya yang tertunai sudah. Ketika makan, seorang pelayan lelaki asyik lalu-lalang di depan meja . Setelah tidak dipedulikan, pelayan itu cuba bersembang dengan kami. Dia melihat kami makan. Saya berkata, "Kenapa berdiri di sini?" Jawab pelayan itu, "Saja, saya suka tengok orang makan." 

Saya pula menjawab, "Saya tak suka." Pelayan itu dengan tersipu-sipu meninggalkan kami. Ketika menikmati hidangan juga, ada dua ekor kucing berkeliaran berhampiran meja saya. Lantas, saya menuju kuda besi lalu mengambil bekas makanan berisi biskut kucing yang memang saya simpan di dalam bonet. Ketika saya memberi makan dua ekor kucing itu, lelaki itu datang lagi dan cuba mengajak kami berbual. Akhir katanya sebelum berlalu pergi, "Orang tak ada famili memang suka kucing." 

Oh, begitu stigma golongan seperti dia terhadap sesiapa yang menyayangi dan menghormati haiwan khususnya kucing? Tidak pula mereka kaitkan perbuatan tersebut dengan Rasulullah yang sememangnya amat mengasihani haiwan khususnya kucing, juga seperti Abu Hurairah yang mendapat gelaran itu daripada Rasulullah lantaran cinta kasihnya kepada anak-anak kucing? Pelik bukan? Hal ini sudah menjadi perbincangan lapuk antara saya dan rakan-rakan pencinta kucing seperti Pn. Sri Diah Shaharudin, Dr. Siti Zainon Ismail, Pn. Siti Salmiah, Papa Hero dan ramai lagi.

Berbalik kepada situasi makan malam ini, memang sudah lama saya tidak bertemu sahabat saya itu. Sahabat yang sama ketika saya masih di sekolah rendah. Sahabat yang sama-sama berada di dalam kelas yang sama dari tingkatan satu hingga tingkatan enam atas. Kami berpisah hanya apabila dia melanjutkan pengajian di Universiti Malaya manakala saya ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan. 

Sebelum pertemuan, sahabat itu tersalah hantar mesej. Nampak gaya, mesej itu ditujukan kepada seorang lelaki. Sebagai sahabat baik, saya kepingin untuk mengetahui lanjut kisah di sebalik mesej 'tersalah' itu. Mesej itu berisi yang baik-baik. Sahabat saya mahu mengejutkan lelaki itu supaya bangun, menunaikan solat Maghrib. 

Kata sahabat saya, itu ialah rakan sekerjanya. Seorang lelaki lewat 20-an yang sudah beristeri. Isteri yang dinikahi itu jauh lebih muda daripada lelaki itu. Paling penting, wanita itu sedang mengandungkan anak pertama mereka. 

"Jadi, kenapa pula kamu sms dia macam tu?" soal saya ala ala Inspektor Gadjet.
 
"Minggu lepas dia minta no fon aku. Tadi dia minta aku kejutkan dia Maghrib. Dia ada cerita pasal isteri dia. Cerita yang tak baiklah. Mengidam yang bukan-bukan. Macam Nasi Arab, bila lelaki tu tak dapat cari Nasi Arab, isteri dia mengamuk. Aku pun pelik juga, dia banyak lagi mengadu pasal perangai isteri dia. Kononnya, dia kawin sebab muka isteri dia cantik (berpurdah) tapi pernah hampir putus tunang sebelum nikah dan bla bla bla ...."
 
Berhenti.
 
Nasihat saya kepada dia dan diri saya sendiri juga. Jangan dilayan aduan dan sebagainya. Sebagai lelaki yang jauh lebih matang daripada isterinya, dia sepatutnya faham psikologi isteri yang muda itu. Dia sepatutnya sudah bersedia untuk berhadapan dengan semua itu, selepas ijab dan kabul terlafaz.
 
Kedua, keadaan isteri yang mengandung memungkinkan isterinya berkelakuan (seperti mengidam) itu. Dia sebagai suami harus bersedia untuk itu. Ketiga, segala cerita buruk dia tentang isteri itu hanya muncul daripada bibirnya. Tiada fakta daripada pihak isterinya. Hal ini selalu menjadi jarum iblis untuk menghancurkan sesebuah 'masjid' iaitu apabila suami/isteri yang ada masalah mencari individu berlainan jantina (yang bukan mahram) untuk menceritakan masalah mereka. Peristiwa-peristiwa ini akan menjadi bibit-bibit awal ke 'takah' seterusnya. Nasihat saya kepada diri dan sahabat saya, jangan dilayan lelaki seperti itu. Biarkan dia selesaikan masalah rumah tangganya dengan kebijaksanaan dia sebagai lelaki dan suami. Kalau mahukan nasihat, bukan kamu yang harus dicari.
 
Kawan saya bersetuju. Katanya, ada hikmah Allah biarkan mesej tadi itu tersalah hantar ke alamat telefon saya. Supaya ada perbincangan ini agar kami sama-sama melihat letak duduk permasalahan ini.
 
Perkara ini mengarut bagi saya. Seorang suami yang faham konsep ijab dan kabul tidak akan memburukkan isterinya kepada seseorang yang ajnabi, yang tidak pun mengenali isterinya. Hal ini mungkin mendatangkan simpati pendengar kepada sang suami tanpa kedudukan sebenar diketahui. Mahukan nasihat, carilah mereka yang lebih berwibawa dalam hal itu. Berbincang atas niat untuk mencari pemahaman dan penyelesaian masalah, bukan sekadar suka-suka meluahkan perasaan. 
 
Kisah sahabat ini mengingatkan saya pada seorang rakan lelaki. Pada usia yang masih awal, dia memberitahu saya bahawa dirinya sudah wajib untuk berkahwin. Dia menghantar sms kepada saya pada hari pernikahannya. 10 bulan kemudian, setelah lama tidak menerima khabar daripadanya, saya menerima sms daripadanya dengan berita, "Ana sudah berpisah dgn isteri. Tiada persefahaman."
 
Saya tersenyum, rasanya senyum saya ketika itu sinis sekali. Dia menganggap persefahaman itu boleh dibina dalam tempoh 10 bulan? Pernikahan antara jalan untuk beroleh reda Allah, yang seharusnya diharumi sakinah, mawadah dan rahmah. Bagi memperoleh semua itu, perlunya mujahadah yang tentunya tidak mudah. Bagi yang rapuh, mudahlah mengalah dengan bisikan jahat yang memang kerjanya meruntuhkan rumah tangga anak-anak Adam dan Hawa. Maka, berhati-hatilah. Jangan dibuka ruang yang boleh merosakkan banyak jiwa.


Ada hikmahnya pertemuan malam ini.

Wallahua'alam.

Selasa, 17 April 2012

KISAH SI COMEL DALAM MASTIKA APRIL 2012


Kisah Kucing Tanpa Nama yang saya temui pada Januari lalu tersiar di majalah Mastika April 2012. Walaupun si comel sudah tiada, namun dia 'hidup' dalam kenangan dan pembaca-pembaca Mastika yang menghargai kewujudan si comel.


Buat insan yang berakal fikiran, hargailah haiwan-haiwan di persekitaran kita kerana kewujudan mereka juga bukti kebesaran Allah yang Maha Kuasa. Jangan pandang, sebelah mata


Salam kemanusiaan

Selasa, 03 Januari 2012

SAYA, SEORANG CINA, INDIA DAN INTERLOK

KAMI tiba di Jabatan Radiologi, Hospital Kuala Lumpur pada jam 7:10 pagi. Setiap kali saya membawa pesakit ke bahagian ini, setiap kali itu juga saya bertemu dengan aneka latar belakang manusia, khususnya pesakit barah. Penyakit ini tidak mengenal usia. Saya masih ingat beberapa bulan lalu ketika 'bermukim' di HKL selama dua minggu, saya sempat berkenalan dengan seorang anak kecil berusia dua tahun yang menderita kanser mata. Bezanya pesakit dari kalangan kanak-kanak dengan orang dewasa, mereka tidak mengerti sakit yang mereka deritai. Ada ketika, mereka lebih kuat berbanding pesakit dewasa.

Kali ini, saya bertemu dengan seorang wanita berbangsa Cina. Wanita itu berusia 45 tahun. Dia agak ramah orangnya. Bahasa Melayu yang dituturkan juga agak baik walaupun sedikit pelat. Semasa menunggu Bilik C untuk rawatan kemoterapi dibuka pada jam 7:45 pagi, saya sempat berbual dengan wanita tersebut. Entah apa namanya, saya selalu lupa untuk bertanya. Dia penghidap barah payu dara tahap dua, negatif estrogen. Setelah menjalani enam sesi rawatan kemoterapi dan 22 kali rawatan radiologi berserta mastektomi, wanita ini tidak mahu duduk lama di hospital.

Setelah tiga hari pembedahan membuang payu dara (mastektomi), wanita ini memohon untuk pulang ke rumah. Saya terkejut, apakah air dan darah kotor yang disambung dengan dua jalur 'wayar' di bawah lengan tidak banyak. Kata wanita itu, dia melakukan senaman yang diajar pakar fisio secara efisien hingga memberi laluan cecair dan darah kotor keluar lebih cepat. Dari segi pemakanan, wanita ini agak berpantang. Rawatan radiologi akan menyebabkan bahagian di sekitar yang terkena laser menjadi gelap, hitam dan merekah. Menurut wanita ini, doktor menyarankan dia agar memakan air rebusan barli dan soya. Air rebusan barli baik untuk membuang rasa panas badan kesan kemoterapi dan radiologi manakala air soya boleh mencerahkan bahagian yang gelap kesan rawatan berkenaan.


Melihat rambutnya yang pendek tetapi lebat, saya bertanya :
"Auntie punya rambut baru tumbuh ke atau memang tak gugur?"


"Gugur! Memang gugur. Rambut saya gugur masa itu kemo pertama. Tapi kemo keempat sulah tumbuh banyak rambut. Saya banyak makan itu soya, itu barli. Banyak elok. Tapi kena manyak jaga makan. Ayam saya tak ambil. Itu suntik punya ayam, tak elok," ujar dia tidak lokek berkongsi pengalaman.


Sesuatu yang boleh saya pelajari daripada wanita kental ini ialah semangat yang kuat dan tidak mengalah pada kesakitan yang datang sebagai ujian. Dia reda menerima pembunuh nombor satu wanita itu dan berusaha mengatasinya. Dari Hospital Ampuan Rahimah, wanita ini datang ke HKL untuk mendapat keputusan terkini mengenai darahnya dan suntikan ubat hormon sebanyak 17 kali. Harapan saya agar semua pesakit barah terutamanya barah payu dara akan sentiasa kuat semangat dan tidak putus harapan. Allah beri sakit, Allah beri penawar. Antara sakit dan penawar, ada doa dan usaha di tengahnya.


Hampir lapan jam menunggu, pasti akan timbul rasa bosan andai tiada rakan untuk berbual. Beberapa buah buku yang saya bawa dan baca membuatkan penglihatan saya penat. Walau bagaimanapun, seorang lelaki berbangsa India yang duduk di sebelah saya menjadi rakan bual saya. Banyak yang kami bualkan. Dari kisah kerjaya, membawa kepada isu politik, Interlok dan rumah tangga. Saya tertarik untuk berkongsi cerita mengenai inti perbualan saya dengan lelaki ini.
Apabila dia bertanya kepada saya tentang pelajaran saya, dia dengan yakin mula bercerita tentang pengalaman yang diraih ketika menuntut di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya 30 tahun lalu. Lelaki ini mengambil jurusan Kesusasteraan Melayu/Tamil. Beliau gembira bercerita pengalaman berguru dengan Dr. Wahab Ali, Dr. Hashim Awang dan Dr. Nik Safiah Karim. Mengenai profesor linguistik itu, kata lelaki itu dia tidak akan lupa cara Dr. Nik Safiah Karim mengajar. Dia seperti ibu, kata lelaki bermisai nipis ini. Lelaki yang juga saya lupa untuk bertanya nama ini pernah menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Raja Melewar, mempunyai sarjana dalam bidang pendidikan dan mengajar mata pelajaran Kesusasteraan di beberapa buah sekolah termasuklah di Segamat. Dia berhasrat untuk menulis karya kreatif tetapi tidak punya kesungguhan. Menurut lelaki ini, dia lebih diajar untuk mengkritik berbanding berkarya.


Saya cuba mencari peluang untuk bertanya tentang pandangan dia terhadap isu Interlok apabila beliau bercerita mengenai pengalaman belajar dengan profesor-profesor kursus Bahasa Tamil yang kebanyakannya datang dari India. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak selerak, saya membangkitkan isu Interlok dengan berhati-hati. Sifat hati-hati ini lantaran daripada pengalaman bersama seorang wanita Cina yang enggan menerima nasihat beberapa orang mak cik mengenai kepercayaan. Wanita Cina yang saya temui dua bulan lalu menolak sebarang bentuk kepercayaan. Bagi dia, sembah Tuhan atau tidak, dia tetap sakit. Buat apa dia sembah. Itu pandangan wanita itu yang cuba diperbetulkan oleh dua orang mak cik.

Berbalik kepada perbualan saya dengan lelaki yang setia menunggu isterinya selesai menjalani rawatan kemoterapi, saya memulakan pertanyaan :

"Uncle, tentang Interlok ... apa pandangan unlce?"

Lelaki itu mengeluh.

"Ini saya rasa semua politik saja. Tapi bukan orang-orang atasan politik yang mula. Orang-orang di bawah orang politik yang sengaja cari isu. Mahu jadi hero, biar orang nampak something yang dia buat untuk orang-orang dia ..."
"Itulah, pandangan uncle sendiri terhadap novel itu macam mana?" saya cuba memancing terus kepada soalan yang berlegar di benak fikir. Saya mahu tahu pandangan golongan ini sendiri yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

"Itu novel memang ada bagus. Cerita tentang Maniam dan perjuangan. Cuma dia memang ada letak sikit kata-kata macam ".... yang terhina ..." memang agak kasar. Memang saya ada terasa tapi itu tak ada sampai mahu jadikan isu. Beberapa bulan lalu saya ada baca satu novel lama tentang kemasukan Singh di sebuah ladang Melayu. Orang-orang luar pujuk orang Melayu supaya jual tanah kepada mereka. Cerita itu saya rasa lagi teruk daripada Interlok tapi tak ada orang bising. Ini semua mahu jadi hero, orang-orang bawahan yang suka jolok sarang tebuan, mahu tunjuk sesuatu kepada kaum mereka sendiri macam mereka ada buat sesuatu yang baik, saja mahu jadikan isu. Ada lagi novel teruk daripada Interlok, tak bising pun."

"Hmm, tapi macam uncle kata tadi, uncle belajar dengan banyak guru dari India. Abdullah Hussein pun buat kajian tentang sejarah kaum Maniam daripada pensyarah-pensyarah yang berasal dari India. Jadi memang sejarah itu betul?"

"Ya, sejarah itu memang betul tapi apabila dia tulis kata-kata itu nampak macam agak kasar dan kita terasalah. Tapi, itu tak akan jadi isu kalau tak ada orang yang dorong. Saya pun terasa juga dengan kata-kata itu tapi setakat itu sajalah. Tak ada rasa lebih-lebih."



Demikian antara isi perbualan saya dengan lelaki ini. Rumusannya, sesiapa yang menolak Interlok fikirlah sendiri. Apa-apa yang saya turunkan di sini ialahh hasil perbualan saya dengan seorang lelaki berbangsa India yang tidak saya kenal, ya beliau memuji kepimpinan Dato' Seri Najib yang disifatkan cepat bertindak namun, perhatikan juga pandangan beliau terhadap isu Interlok.

Sabtu, 31 Desember 2011

MALAM INDAH TAHUN BAHARU

"DETIK WAKTU terus berlalu
berhias gelap dan terang
suka dan duka
tangis dan tawa
tergores bagai lukisan"


2012 menjengah sudah. Saya seperti biasa tidak begitu ambil pusing tentang kehadirannya. Bagi saya, setiap kali saya bangun, sepasang mata terbuka, maka itu ialah hari-hari baharu yang cukup saya syukuri. Detik 12:00 pagi 010112 saya mulakan dengan menyambung baca novel Pemenang Hadiah Sako utama, Penyeberang Sempadan. Di luar, saya mendengar kemeriahan jerit-pekik anak muda yang menyambut ria tahun baharu masihi. Apa kegembiraannya? Mengapa gembira? Saya tertanya-tanya apakah mereka arif akan kegembiraan dan kemeriahan yang mereka raikan. Usia semakin bertambah, masa semakin singkat dalam perjalanan menuju takah alam seterusnya. Begitukah?


Melihat percikan bunga api, riuh dentuman mercun dan berita lewat malam saluran Tivi 3, dunia gah meraikannya. Penuh warna-warni. Tepu keindahan di sebalik kos yang bukan sedikit untuk menyambut 'keistimewaan' detik tahun baharu. Namun sayang, segala keindahan, kemeriahan dan keceriaan itu disusuli pula aktiviti-aktiviti 'biasa' untuk keraian-keraian sedemikian. Buletin 1:30 melaporkan beberapa remaja yang ditahan kerana terlibat dalam lumba haram, malah lima remaja memilih kelab dangdut sebagai lokasi terbaik untuk meraikan malam tahun baharu di Sentul.






Lebih menyedihkan, remaja yang menyambut tahun baharu di kelab dangdut itu memaklumkan wartawan betapa ibu dan bapa mereka tahu akan kehadiran mereka di kelab tersebut. Kisah-kisah ini hanyalah secebis kisah daripada aneka cerita di malam tahun baharu. Nah? Inikah yang dinanti-nantikan saban akhir tahun? Inikah yang dibanggakan di sebalik kemeriahan warni percikan bunga api di bumi Malaysia membangun dari Tanah Melayu. Tanah warisan yang berakar tunjang budaya Melayu sarat santun.

Festival, karnival dan konsert yang dianjurkan bagi memeriahkan malam tahun baharu hanyalah satu agenda untuk menyebarluaskan fahaman hedonisme. Hiburan, muzik yang tidak bermanfaat terhadap perkembangan akal dan rohani masyarakat, pesta untuk muda-mudi yang merosakkan generasi pelapis negara menjadi elemen biasa. Seandainya hal ini terus menjadi pokok utama bagi melemahkan belia, saya fikir memang mudah sekali kejayaan itu dicipta.


Tahun baharu lebih meriah, lebih indah, lebih diredai Allah sekiranya dihiasi dengan bunga-bungas syukur dan iltizam untuk memanfaatkan masa yang berbaki dengan mencari seluas ilmu sebagai bekal untuk hidup di dua dunia. Lebih bererti apabila malam tahun baharu dihidupkan dengan mengukuhkan tekad di hati untuk memiliki hari-hari yang lebih baik daripada hari-hari yang sebelumnya.


---


Opick - Rapuh

detik waktu terus berjalan
berhias gelap dan terang
suka dan duka
tangis dan tawa
tergores bagai lukisan

seribu mimpi berjuta sepi
hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa
dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu
yang terindah dalam hidup

meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu
maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya diriMu yang bertakhta

detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu

Sabtu, 24 Desember 2011

KISAH SEEKOR KUCING DAN MANUSIA ANEKA BANGSA

SAYA percaya, sifat kemanusiaan boleh menyatukan insan. Sifat kemanusiaan jika dipratikkan dalam kehidupan dan jiwa manusia dengan baik pasti mampu membuahkan hidup aman damai dan rukun. Saya bukanlah mahu berbicara panjang lebar tentang manusia dan kemanusiaan. Cuma, saya tergerak untuk berkongsi cerita lagi mengenai satu nilai kemanusiaan yang semakin hilang dalam diri makhluk bergelar insan. Nilai kasih sayang. Nilai hormat terhadap haiwan, makhluk ciptaan Allah yang dihadirkan sebagai teman dan ujian buat manusia di bumi ini.


Seumur hidup, saya tidak pernah membaca majalah Mastika. Entah, saya seolah-olah ada elergi yang tinggi hatta untuk menyentuh majalah itu sejak saya kecil. Tengah hari ini, saya ke rumah jiran bernama Kak Ros. Jiran saya yang baik ini mahu emak mengajar dia memasak sambal ikan bilis. Maklumlah, saya sekadar mengikut atas permintaan emak. Ketika itu kami berbual tentang kucing tanpa nama yang pernah saya coretkan dalam entri terdahulu.


"Oh, adik ada baca tak pasal kucing yang kena langgar tu?" tanya Kak Ros sambil memotong bawang kecil.


"Tak ada pula. Akak baca di mana?"


"Di Mastika tu. Ada kisah kucing kena langgar, apa namanya yang lelaki suka kucing tu tolong."


"Papa Hero? Pasal kucing yang kena potong kaki kemudian dia selamatkan tu?"


"Bukan, ini pasal kucing kena buang tengah jalan. Sekejap akak ambil majalah tu."


Saya tidak teragak-agak pula kali ini untuk membuka dan menyelak halaman majalah Mastika. Sebelum tiba pada tulisan Papa Hero, saya sempat membaca catatan seorang penulis lelaki mengenai pengalamannya mengunjungi pusat haiwan DBKL. Penulis itu bercerita mengenai maklumat yang diperoleh. Setiap kucing yang ditemui dan diletakkan di situ akan dimatikan melalui sejenis suntikan sekiranya tidak dituntut oleh sesiapa sebagai kucing angkat. Ops, ini memang satu hal yang saya sangat tidak setuju.


Beberapa hari lalu ketika saya menemui Dr. Prem, beliau turut ada memberitahu saya mengenai hal ini. Kami berbincang perihal segelintir pihak yang suka membeli baka mahal, lebih suka membeli haiwan di kedai dengan harga yang tinggi tetapi lupa akan hak haiwan-haiwan seperti yang disebutkan dalam artikel itu.


Sekiranya ada sesiapa yang mahukan kucing atau anjing sebagai haiwan peliharaan, fikirkanlah nasib haiwan-haiwan seperti anjing dan kucing di SPCA sekiranya tiada insan yang hadir dan membawa pulang mereka, hidup bahagia dipelihara.


Isu yang dibawa oleh penulis artikel dan Papa Hero dalam majalah berkenaan mengingatkan saya pada nasib seekor anak kucing yang berubah atas tindakan waras dan nilai kemanusiaan yang ada dalam jiwa insan. Ketika menjemput Chubby pulang dan sekali gus mengambil kucing tanpa nama dari Hospital Gasing, Petaling Jaya, saya tertarik pada sebuah kotak kecil di atas kaunter pendaftaran. Seorang lelaki tinggi yang saya tidak lihat wajahnya berdiri di situ.
Deria ingin tahu membuatkan saya mendekati kotak itu. Indahnya. Di dalam kota itu ada seekor anak kucing yang masih kecil. Saya jangka, ysia anak kucing itu sekitar tiga minggu. Telinganya pun kelihatan baru 'naik'. Wah, sangat comel.


"You nak ambillah," kata pendaftar berbangsa India yang gempal itu.


"Kenapa?"


"Lelaki ini jumpa di tepi jalan. Dia nak put to sleep this kucing kalau tak ada orang ambil. Dia tak boleh jaga sebab dia nak balik Australia. You ambillah. Kesian ...," rayu dia yang tidak dapat mengambil anak kucing itu kerana tinggal di kawasan apartmen yang melarang pemeliharaan haiwan.






Tuah ketika saya mula melihatnya




Ops, saya jadi resah. Anak kucing comel itu akan disuntik mati sekiranya tiada orang yang mahu mengambilnya kerana lelaki itu tidak mahu anak kucing itu terbiar di tepi jalan. Ops, saya semakin resah.


Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu mengambil anak kucing lagi. Tiada ruang yang cukup buat masa ini. Kekangan ruang untuk mengambil kucing terbiar menjadi antara faktor saya tidak sabar menunggu masa untuk berpindah rumah pada tahun hadapan. Hajat saya, dengan ruang yang lebih luas dapatlah saya membantu haiwan comel ini semampu daya.Berbalik pada cerita, saya segera memanggil Kakak Zahrah. Anak saudara Cikgu Norhana yang turut serta ketika itu. Pada dia saya cuba memujuk agar mengambil anak kucing comel itu. Pada mulanya, Kakak Zahrah enggan kerana baru beberapa minggu lalu dia ada mengambil anak kucing tetapi mati tidak lama selepas itu. Bagi saya, mati secara semula jadi, secara fitrah itu lebih baik.




Saya sempat memotong kuku Tuah yang tajam. Habis ditariknya tudung saya.




Cikgu Norhana pula terus bertegas mahu mengambil anak kucing itu. Ketika itu juga datang teman wanita lelaki itu, seorang yang berbangsa Punjabi. Di tangannya ada sebotol susu berharga RM30 yang dibeli dari kedai haiwan di sebelah hospital.


"Please, cik. Ambillah kucing ini. Kasihan, ini saya belikan susu. Kalau saya tinggal sini, saya pasti ambil. Tapi saya mahu pulang esok ke Melbourne. Please, kasihan dia. Ambil ya. Saya pergi beli botol susu dia dulu," ujar wanita manis berambut panjang itu penuh semangat dan rayu.


Dia pergi meninggalkan kami. Pendaftar itu memberikan makanan tin percuma kepada Cikgu Norhana dan kotak kecil yang lebih kemas untuk si kecil itu. Ketika wanita itu tiba dan sudah pasti akan kerelaan Cikgu Norhana dan Kakak Zahrah untuk menjadikan si comel itu kucing mereka, dia melompat kegembiraan. (Anda bayangkan, seorang wanita melompat di tengah awam :P). Ya, dia begitu gembira kerana si comel itu tidak terbiar di tepi jalan dan dia tidak perlu mematikan kucing itu secara tidak fitrah.


Alhamdulillah. Saya teringin sekali memelihara kucing kecil itu. Sayang dan kasih saya pada makhluk ini tidak berbelah bahagi. Akan tetapi, saya tetap bersyukur kerana si comel mendapat tuan yang baik dan prihatin. Si Comel itu diberi nama Stripe memandangkan warna bulunya yang berbelang. Kalau ikut hati saya, nama Tuah menjadi pilihan. Maka, saya tetap memanggil si comel itu, TUAH. Apa-apa pun, Stripe memang bertuah.


Saya yakin sekiranya Stripe dijaga penuh kasih, diberi perlindungan, susu dan haba yang wajar, dia akan sihat dan hidup cergas sama seperti Panglima Awang yang juga saya ambil seusia Stripe pada tahun 2010 lalu dan kini hidup dan membesar dengan sihat. Awang hidup hanya dengan susu soya sehingga berusia tiga bulan dan sudah boleh makan makanan pejal. Alhamdulillah. Saya tidak lupa keadaan Tuah ketika ralit melihat dalam samar pandangannya perbualan antara kami. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Sesekali dia mengiau apabila tidak diperhatikan. Sungguh comel.


Lihat kegembiraan wanita Punjabi dan lelaki Kaukasi itu, serta saya? Kami berlainan bangsa dan agama tetapi berkongsi kasih, simpati dan empati yang sama. Nilai yang sama ini telah menyelamatkan si kecil Stripe daripada menjadi mangsa suntikan entah apa nama saintifiknya itu. Alhamdulillah, ini takdir yang indah Allah beri buat kami. Kepada semua yang bergelar manusia, mari kita raikan kasih cinta terhadap haiwan kesayangan Rasulullah SAW ini.



Tuah di dalam bakul baju Cikgu Norhana



Semoga ada baiknya. Semoga semakin banyak masyarakat yang sedar betapa nilai kemanusiaan terhadap haiwan bukan isu kecil kerana alpa kita pada mereka akan memberi natijah di alam sana. Ingat kisah seorang pelacur yang memberi air kepada seekor anjing kehausan?




Salam kemanusiaan


Manusia dan haiwan berkongsi bumi Tuhan.

Rabu, 21 Desember 2011

MERAH CINTA KITA

BEBERAPA bulan lalu, saya sempat bersembang dengan guru saya iaitu Dr. Anis Amida mengenai remaja. Dr. Anis bertanya kepada saya, bagaimana dengan remaja masa kini? Apa yang remaja masa kini suka? Apa agenda yang selalu berlegar di fikiran mereka?

Mahu tahu tentang remaja masa kini? Mahu kenal dunia remaja? Mahu santai dalam memahami jiwa remaja? Siri Merah Cinta Kita terbitan Buku Prima ada jawapannya. Alhamdulillah, lima siri Merah Cinta Kita sudah berada di pasaran. Syukur juga, terdapat dua karya saya antara lima judul yang terbit itu.


Dengan tema Merah Cinta Kita, aneka cerita tentang dunia remaja khususnya remaja perempuan diberi perhatian. Setiap siri menampilkan lima novelet daripada lima penulis berlainan latar. Antologi ini penuh warna ceria yang tentunya menarik minat remaja. Yang utama, setiap kisah mempunyai nilai dan pengajaran yang baik untuk diteladani oleh remaja yang mengulitinya.

Lima judul dari siri Merah Cinta Kita 1


Bagi memeriahkan lagi siri Merah Cinta Kita, pihak Buku Prima dan Karangkraf turut menganjurkan peraduan yang menawarkan aneka hadiah menarik untuk setiap pemenang. Borang peraduan boleh didapati di halaman akhir bagi setiap siri.




Buat adik-adik yang gemar membaca, selamat membaca siri Merah Cinta Kita. Selamat mengambil iktibar daripada kisah yang ada di dalamnya. Buat rakan-rakan, mari dampingi Merah Cinta Kita untuk kenal dunia dan fikir anak-anak remaja kini bagi kita jadikan pedoman untuk melahirkan generasi berwawasan,


MERAH ITU CINTA

MERAH CINTA KITA

Kamis, 01 Desember 2011

KENANGAN TERINDAH, CATATAN TERTANGGUH DUA PURNAMA

SAMPAI bila-bila pun saya tidak akan lupa tarikh itu. 15 Oktober 2011, hari yang sungguh indah buat kenangan diri saya sebagai manusia yang pernah berjerih payah untuk menggenggam segulung ijazah. Saya faham dan yakin, mendaki tangga pengajian maknanya lebih daripada sehelai kertas tertera penganugerahan ijazah pertama itu. Ijazah itu hanyalah alat yang menambah tanggungjawab di bahu saya.

Sesungguhnya catatan ini sudah lama ingin saya nukilkan di ruangan maya ini. Memang benar, saya sudah terlalu lama tidak menulis di medium ini. Kesibukan menjaga orang-orang sakit menyebabkan saya perlu mengorbankan banyak perkara. Biarlah, saya yakin masa dan kesihatan yang saya ada tidak akan luak dengan menjaga mereka yang saya sayang dan amat memerlukan bantuan saya. Itu tanggungjawab saya.




Meskipun hampir dua bulan Konvokesyen ke-8 Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berlalu, setiap inci masa yang saya lalui pada hari itu masih segar di ingatan saya. Catatan ini hanyalah sebagai rakaman dalam bentuk tulisan. Andai ada sedikit kebaikan untuk diteladani di sebalik kisah ini, maka teladanilah. Sekiranya ada kekurangan untuk dijadikan sempadan, maka jadikanlah batasnya.

Lima hari sebelum hari bersejarah berkenaan, saya menerima panggilan daripada seorang pegawai berkenaan anugerah yang bakal saya terima pada hari tersebut. Alhamdulillah, Anugerah Rektor benar-benar sudah saya lupa. Rezeki, saya menerimanya dengan dada penuh syukur. Menunggu hari konvokesyen ialah penantian yang amat mendebarkan. Kalau ada rakan yang berdebar menunggu hari pertunangan atau persandingan, maka debar yang anda rasa itu saya alami untuk hari bersejarah saya 15 Oktober 2011.

Saya berada di bawah Panggung Eksperimental seawal jam 7:40 pagi. Saya dan rakan-rakan menanti masa untuk bergelar graduan. Masa menunggu agak panjang, dalam sela masa itu kami saling membantu mengenakan jubah, hood dan mortar board. Lelah menunggu, debar yang datang sejak awal pagi pun surut.



Guru saya ini sangat sabar mendidik saya yang bermula dari kosong semata-mata. Saya tidak akan lupa syahadah panjang yang diucap beliau tatkala saya terlalu sukar memahami pengajarannya dalam semester empat.


Walau bagaimanapun, debar saya memuncak kembali sebaik sahaja kaki saya melangkah masuk ke dalam Panggung Eksperimental, lokasi kami untuk sesi penganugerahan. Debar saya benar kuat dan ketika itu juga hati saya menjadi hiba. Sebak saya menjadi-jadi apabila menyanyikan lagu "Suara ASWARA" yang kali terakhir saya nyanyikan pada perasmian PeTA 2010, November tahun lalu. Sungguh, saya tidak akan lupa akan perasaan itu. Hiba yang datang dengan tiba-tiba. Segala susah, payah dan dugaan sepanjang tiga tahun pengajian ibarat foto-foto yang bergerak satu demi satu di depan mata saya. Saya terbayangkan sukarnya saya untuk menghadiri temu duga, berhadapan dengan masalah semasa pengajian hingga pernah mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian, saya terlihat keadaan saya yang bersusah menggunakan komputer di perpustakaan sehingga semester empat dan menjadi satu-satunya pelajar dari kumpulan saya yang tidak mempunyai komputer riba sendiri. Saya melihat kebaikan sahabat baik sejak di zaman persekolahan yang ketika itu melanjutkan pengajian di Universiti Malaya meminjamkan saya komputer riba Acer miliknya untuk saya sudahkan tugasan saya ketika dia bercuti semester. Saya melihat diri saya yang ketakutan menaiki komuter buat pertama kali setelah tersalah masuk kad laluan komuter menuju Shah Alam untuk memohon pinjaman pelajaran daripada Yayasan Selangor.



Cikgu Julia selalu berpesan, sayangi masa depan dan pelajaran. En. Z pernah berkata, latar belakang bukan penentu kejayaan. Terima kasih, kalian insan budiman.

Saya seolah-olah mendengar keluh-kesah dan adu sakit emak yang saban hari menanggung rindu dan sukar hidup kepada saya. Saya melihat tekun sabar Cikgu Julia menggunting keratan akhbar permohonan kemasukan ke ASWARA sesi 2008/2010, saya ternampak keadaan gelap diri tatkala kecewa dengan sebuah keputusan yang tidak akan saya lupa hingga kini. Semua pengorbanan insan ini berlegar sepanjang masa itu. Terdetik di hati saya dalam masa berjalan menuju tempat duduk 'Rupa-rupanya, tiga tahun selama ni ... untuk hari ini ..'.

Debar dan hiba itu akan saya kenang sampai bila-bila. Hatta, sampai kini saya masih boleh merasainya. Saya bersyukur, pengorbanan emak, Cikgu Julia dan semua yang menjadi tulang belakang saya selama ini tidak sia-sia. Sekiranya ini disebut sebagai kejayaan, maka kejayaan ini ialah milik mereka yang menyempurnakan cita-cita saya. Terima kasih saya tidak akan habis buat guru-guru saya terutama sekali emak yang mengajar saya erti hidup, Cikgu Julia yang mendidik saya erti sabar, En. Zakaria Ariffin dan Dato' Anwar Ridhwan yang selalu memberi kepercayaan dan keyakinan kepada saya. Tidak saya lupa guru-guru saya sejak kecil hingga kini yang sentiasa ada dalam titi doa saya.



Mawar yang sudah layu dan kering ini akan menjadi simpanan kenangan menawan kerana hadirnya bersama semangat dan wangian doa harapan


Catatan yang tertangguh ini, indahnya tidak terperi. Mekar harum di laman memori, semoga akan berulang lagi.

Senin, 07 November 2011

KISAH SEORANG GURU DAN MURIDNYA

TAARE Zaamen Par ialah judul filem Hindustan yang diarahkan, diterbitkan dan ditulis oleh Amir Khan. Saya menonton filem ini kali kedua pada hari ini. Kisah guru Ram Shankar Nikumbh yang berdepan dengan Ishaan, anak disleksia yang kesepian. Filem ini baik dari segi garapan kisah dan seni visualnya. Yang penting, karya ini mengangkat martabat seorang guru. Meninjau peranan guru, mencungkil bakat terpendam dalam diri seorang murid yang belum tahu tuju hidupnya.


Guru, dian yang menerangi jalan. Semoga akan ada banyak guru yang mampu melihat jauh ke dalam jiwa seorang murid yang tidak mampu melihat potensi dalam dirinya sendiri. Semoga ada banyak manusia yang lahir dan cemerlang atas pengorbanan, usaha berganda dan kasih tulus seorang guru yang sentiasa sayang akan masa depan murid-muridnya. Sari kata salah sebuah lagu dalam filem ini menyebut semoga tidak hilang bintang-bintang di bumi yang merujuk anak-anak istimewa yang mampu cemerlang jika diberikan didikan serta semangat berpanjangan. Jasa seorang guru menyuluh hidup seorang muridnya amat besar. Semoga Allah merahmati guru-guru yang tahu memaknakan erti guru. Selamat berkorban.

Minggu, 21 Agustus 2011

BELASUNGKAWA CIKGU AZIZI ABDULLAH: PERGINYA SEBUTIR PERMATA

FATIHA,

saya jumpa dalam blog fatiha 25 Julai 2010 tulisan bertajuk KAHWIN-KAHWIN.

Nak nak copy tak boleh. penulis ni kedekut.

Boleh e mail kepada saya artikel itu. Jika setuju saya nak siar untuk 'SURAT UNTUK REMAJA' dalam pengguna bulan September ini.



Salam

-cikgu azizi-

Inilah e-mel pertama yang saya terima daripada Cikgu Azizi bertarikh 26 Jun 2010. Sebelum itu, saya mengenali arwah Cikgu Azizi ketika membuat kajian atas Sangeetha untuk Akademi Sastera 2009. Doa dan restunya saya mohon. Kami berinteraksi lewat sistem pesanan ringkas dan e-mel. Arwah cikgu rajin mengunjungi blog saya begitu juga saya suka membaca buah fikir arwah cikgu lewat laman blognya. Bagi saya, arwah seorang yang telus. Meskipun berada dalam kelompok parti tertentu, namun arwah tidak tenggelam hingga hilang punca melihat titik celaru di dalamnya. Arwah, seorang yang telus dan jujur.


Saya tidak pernah bersua wajah dengan arwah. Cuma, ada komunikasi menerusi telefon dan sms yang berlaku. Awal tahun ini arwah khabarkan bahawa arwah masih dalam proses menanti tarikh untuk pembedahan setelah lama menunggu. Arwah tetap ceria dalam reda.






Mendengar khabar perginya arwah di negeri baqa' pada 21 Ogos 2011 bersamaan 21 Ramadan, hati saya dipagut pilu. Mengapa? Kami tidak saling bertemu akan tetapi arwah cukup bermakna dalam hati saya. Keprihatinan dan baik budinya membantu dan mengajar saya yang metah muda ini adalah satu pengalaman berharga. Meskipun arwah sudah tiada, namun semangat dan pengajaran serta pesan arwah sentiasa segar di fikir dan jiwa saya.


Al-Fatihah untuk arwah Cikgu Azizi Abdullah, perginya dalam bulan yang mulia. Saya pasti terlalu banyak bunga doa mengharumi rohnya di alam sana. Seorang guru yang berjasa, budinya kekal walau sudah dimamah tanah. Terima kasih buat arwah Cikgu Azizi Abdullah. Perkenalan ini sungguh indah. Semoga cikgu damai di sisi-Nya dan aman sejahtera atas segala baik budi cikgu di dunia ini.


Belasungkawa Cikgu Azizi Abdullah. Al Fatihah.


Pergimu, tiada pengganti ...

Kamis, 18 Agustus 2011

KELUARGA MUSANG DI SEBUAH SEKOLAH

SEDIHNYA, jam 9:00 pagi tadi saya dapat panggilan daripada seorang guru saya Cikgu Julia Juis. Ceritanya ketika perhimpunan pagi tadi, ada satu keluarga musang yang sangat comel bermain di koridor bangunan sekolah aras empat. Ibu musang itu katanya sebesar Abi saya. Dua ekor anak musang itu pula sebesar Teja saya. Ibu musang itu membawa dua ekor anaknya berjalan di atas koridor, bermain-main. Tanpa diduga, salah seekor anak musang itu terjatuh. Semua panik. Anak musang itu tidak bergerak, ada darah keluar dari mulutnya. Cikgu saya mendekati anak musang itu tetapi tidak berani menyentuhnya kerana khuatir liarnya masih ada. Dari aras empat, ibu dan saudara musang itu melihat anak musang yang jatuh itu. Pasti mereka sedih. Pertahanan Awam dihubungi bagi membantu anak musang itu. Sayangnya, anak musang itu terjaga dan dengan longlai melarikan diri. Pertahanan awam gagal menangkap anak musang itu. Saya sedih satunya tentu akan ada komplikasi dalaman anak musang itu. Kedua, sedihnya kalau anak musang itu terpisah daripada ibu dan saudaranya itu. Saya terbayangkan Mimi (ibu/induk) kepada anak-anak kucing saya sekarang yang mati kerana jatuh dari bumbung rumah dan dilanggar kereta. Seharian kematiannya barulah jasadnya ditemui.




Moralnya, jaga anak-anak dengan baik dan bijak. Ibu musang itu tiada akal untuk tahu bahawa bermain di koridor aras empat itu bahaya. Akan tetapi ibu-ibu dan bapa--bapa yang bijak dan berakal perlu tahu cara untuk menjaga rohani dan jasmani anak sebagai anugerah Allah dengan baik. Lihat saban pagi dan petang, berapa banyak ibu/bapa yang alpa mengenakan topi keledar kepada anak-anak sewaktu dihantar ke sekolah sedangkan ibu/bapa pakai pula topi keledar???






Saya tidak lihat kejadian anak musang itu tadi tapi saya dapat mengimaginasikannya dan bersimpati dengan kejadian itu. Doa saya, semoga anak musang itu akan kuat dan sihat, tiada komplikasi dalaman dan dapat pula bersama ibu dan saudaranya semula. amin

Selasa, 05 April 2011

SEDIKIT TENTANG HAK CIPTA DAN CATATAN BIASA

SUDAH BEBERAPA hari hujan tidak turun. Cuaca menjadi bahang dan hawa panas melata. Walau bagaimanapun, bunyi guruh bergempita di dalam cerah dan bahang cuaca itu. Saya, Kak Rozi, Nada dan Asrul bertemu di Kafe Bunga Raya. Sudah agak lama kami tidak bertemu. Kali terakhir pertemuan kami adalah pada awal Februari yang lalu. Alhamdulillah, masing-masing berada dalam landasan kerjaya tersendiri. Asrul Sany kini sebagai penyelidik untuk sebuah rancangan berkaitan makanan dan Nada sebagai penulis.


Alhamdulillah, Wacana Sastera "Apa Itu Plagiat" berjalan dengan lancar. Tidak ada masalah berkaitan kelewatan hidangan seperti yang sering berlaku dan dikhuatiri. Persiapan juga berjalan dengan lancar. Prof. Madya Dr. Rohazar Wati dan Sdr. Mohd Fairuz Mhd. Padoli (MF Kencana) telah memberikan pembentangan yang sangat menarik dan bermanfaat. Prof. Rohazar dengan kepakaran dan kearifannya dalam dunia harta intelek. Saya mengagumi kesungguhan dan keghairahan beliau untuk berkongsi maklumat dengan para siswa dan hadirin yang menyertai wacana santai itu. Pengalaman membentangkan kertas kerja berkenaan harta intelek di dalam dan luar negara serta ketekalan berada dalam dunia perundangan harta intelek selama lebih daripada 20 tahun memberi kelebihan kepada Prof. Madya Rohazar Wati untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan berkaitan dengan sungguh meyakinkan.


Sememangnya, adalah sangat penitng untuk penggiat seni yang mahu menceburkan diri dalam dunia industri kreatif untuk mengetahui hak dan kuasa yang mereka ada sebagai pemegang hak cipta. Akta Hak Cipta 1987 yang telah digubal memberi ruang kepada pemegang hak cipta untuk melindungi karya dan kewibawaan pemegang dan pencipta karya berkenaan. Mohd Fairuz pula berkongsi pengalaman beliau dalam beberapa kes mengenai plagiarisme dan kes 'Jangan Tegur' yang berlaku sekitar tahun 2008 yang lalu. Sesuatu yang dapat diambil hasil daripada pembentangan beliau adalah perlunya mahasiswa atau sesiapa sahaja yang mahu atau baru menceburkan diri dalam bidang kreatif ini agar berhati-hati, tidak terlalu teruja dan bijak bertingkah dalam berurusan dengan pihak-pihak terbabit yang melibatkan karya kreatif.


Namun demikian, sesuatu yang agak sulit untuk dijelaskan adalah sejauh mana penguatkuasaan undang-undang berkenaan dalam memastikan hak dan kepentingan pemegang hak cipta terjamin dan terpelihara? Jika dilihat dari segi denda yang dikenakan atas Patrick d' Arvor, penulis terkenal Perancis didakwa melakukan plagiarisme atas sebahagian besar sebuah karya penulis Amerika dan surat-surat bekas kekasihnya ke dalam novel beliau jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan denda yang dimuktamadkan terhadap kesalahan yang sama di Malaysia.


Dalam masa yang sama, kesedaran pengkarya dalam mempertahankan hak cipta dan memanfaatkan undang-undang yang tersedia juga sangat menyedihkan. Kebanyakan penggiat seni lebih senang untuk mengambil langkah "biarlah ..." daripada memanfaatkan Akta Hak Cipta 1987. Apakah tindakan ambil mudah ini rentetan kurangnya pengetahuan mereka terhadap perlindungan dan kepentingan melindungi karya? Kurangnya rasa kepunyaan untuk mempertahankan karya yang dilanggar? Saya masih ingat ketika Noraniza Idris ditemu bual dalam satu rancangan berkenaan sebuah lagu nyanyian beliau yang dihasilkan oleh Pak Ngah telah didapati ditiru oleh sebuah kumpulan penyanyi di Thailand. Sewaktu ditanya oleh wartawan, penyanyi lagu etnik kreatif itu gagal memberi jawapan akan langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah berkenaan.


Umumnya, masalah plagiarisme dan hak cipta ialah masalah sejagat. Hal ini berlaku di mana-mana sahaja. Yang membezakannya ialah penguatkuasaan terhadap isu ini. Jika diperhatikan Perancis dan negara-negara Eropah mempunyai ketekalan dan sistem penguatkuasaan yang jauh lebih baik dan serius dalam menangani isu ini. Adalah baik sekiranya pihak berkaitan di Malaysia mengambil berat isu dan industri ini bagi menjamin kelestarian karya seni sebagai salah satu sendi tamadun bangsa.


Penggiat seni harus menyedari bahawa penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Berne menetapkan bahawa sesebuah karya itu dilindungi sebaik-baik sahaja karya itu telah dipindahkan dalam bentuk material tanpa memerlukan pemegang hak cipta karya melakukan pendaftaran. Oleh itu, sebagai pemegang hak cipta adalah wajar karya itu dipertahankan dan dilindungi agar tidak dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan dengan mudah.


Catatan ini hanyalah sedikit ringkasan mengenai wacana yang amat bermanfaat hari ini. Sebagai mantan siswa yang pernah mengikuti kursus Kesenian dan Undang-Undang dan terpilih pula untuk membuat kertas kerja mengenai tajuk Hak Cipta, saya berasakan betapa isu dan pengetahuan penggiat seni terhadap isu ini adalah sangat penting agar pengkarya tidak mudah ditipu dan dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Wacana ini memperkukuh maklumat berkenaan hak cipta, plagiarisme dan harta intelek. Wacana kali ini tamat lewat daripada yang dijadualkan ekoran daripada persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh hadirin.


Dan, hari ini agak memenatkan saya. Seharian menemankan emak di Hospital Selayang semalam, melihat dos-dos tambahan yang diberikan doktor kepada emak menambahkan berat minda saya. Barangkali, kepenatan itu yang membuatkan saya mampu menulis entri ini setelah agak lama berhibernasi daripada aktif menulis entri . Insya-Allah, bermula esok dan hari-hari seterusnya saya akan bermastautin buat beberapa ketika di Pusat Dokumentasi Melayu (DBP) bagi menyambung pencarian judul-judul drama yang ada di Malaysia sejak Megat Terawis 'dilahirkan'. Fikiran saya tidak akan tenang selagi semua rak majalah Dewan Sastera yang tinggi itu belum saya terokai setiap jilidnya.


Prof. Madya Dr. Rohazar Wati Zuallcobley dan Sdr. Mohd Fairuz Mhd Padoli, terima kasih daun keladi, perkongsian kalian mengukuhkan nurani

---

Sabtu, 02 April 2011

RINDU SEKOLAH

MERINDUI ALAM PERSEKOLAHAN. Tidak seperti segelintir rakan yang mempunyai pengalaman berpindah-randah ke sekolah demi sekolah, saya hanya pernah menuntut di tiga buah sekolah.

Tanpa pernah memasuki alam tadika, saya terus mendaftar dan memasuki tahun satu (1 Mara /1994) di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Selayang 2. Alhamdulillah, walaupun tidak memasuki tadika, saya diberi kemudahan untuk mempelajari huruf dan angka dengan baik oleh emak dan abang. Tidak lama sebelum memasuki sekolah rendah, saban malam saya akan diajar oleh mereka mengenal huruf dan mengeja.




Abang kedua saya yang selalu mengajar saya. Bagi saya, dia agak garang. Saya masih ingat pada satu malam, dia meminta saya menghafal kesemua abjad dan mengulang baca abjad-abjad itu sehingga tiada satu pun yang tertinggal. Saya berasa letih dan mengantuk tetapi dia masih mahu saya terus mengulang baca. Ah, seksanya saya rasa ketika itu. Untuk mempercepatkan masa, saya akan meminta diri untuk ke tandas dan berdiam beberapa ketika di dalamnya.


'Eee, angah ni. Esok-esok sajalah sambung. Orang dah mengantuk,' gerutu saya di dalam hati sambil bermain air.


Melihat mata yang semakin kuyu, saya pasti emak tahu helah saya berlama di dalam tandas. Hampir lima minit, maka akan kedengaranlah jeritan angah. Mahu atau tidak, saya terpaksa juga keluar dari tandas dan menyambung ulang baca.


Saya memang sangat bersyukur. Sistem bahasa dalam minda saya sangat utuh, saya kira. Meskipun tidak memasuki tadika dan mengenal huruf prasekolah, saya mampu mendapat markah yang tinggi dan baik untuk setiap subjek bulanan hatta untuk ujian subjek Matematik juga! Kertas-kertas ujian itu saya simpan hinggalah saya memasuki sekolah menengah dan hilang dek berpindah rumah.


Guru saya sewaktu dalam tahun enam iaitu Cikgu Nor Azmi Mohd Rejab pernah berkata kepada saya "Saya rasa skru bahasa awak ketat sangat sampai skru angka awak jadi sangat longgar," katanya apabila saya mendapat markah corot untuk peperiksaan Matematik.


Sewaktu dalam tahun lima dan tahun enam, saya aktif mewakili sekolah dalam sukan bola baling. Yup, sukan ini sangat menarik dan amat saya gemari. Kami menjalani latihan sebanyak tiga kali seminggu. Apabila guru yang bertugas sebagai jurulatih lewat, kami pernah pula bermai ragbin sendiri. Sangat seronok, permainan itu lasak tetapi menyeronokkan. Saya masih ingat, jam Tweety Bird warna hijau yang alang berikan calar teruk kerana permainan ragbi ketika itu.


Tamat sekolah rendah, saya menyambung pelajaran di SMK Seri Selayang, bersebelahan sekolah rendah saya. Beberapa bulan memasuki tingkatan 1 Amanah memang begitu terasa sedihnya. Barangkali kerana terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sekolah lama. Berpisah dengan guru-guru dan suasana sekolah yang berbeza. Walau bagaimanapun, masa menyembuhkan segalanya. Alam sekolah menengah menjanjikan keistimewaan yang berbeza. Sewaktu dalam tingkatan satu, saya dilantik sebagai Penolong Ketua Kelas ketika itu. Berilah apa-apa saja jawatan asalkan bukan Bendahari. Saya tidak suka bergelumang dengan angka! Pertandingan Kelas Terbersih memang biasa dilakukan setiap bulan. 1 Amanah pernah memenangi anugerah itu sebanyak lapan kali berturut-turut. Kami mendapat hadiah sebuah jam dinding, wang dan pelbagai lagi. Ketika menyambut bulan kemerdekaan pula, pihak sekolah menganjurkan pertandingan mengumpul wang 1 sen dan sekali lagi, kelas saya memenangi pertandingan itu. Memang sangat menyeronokkan pertandingan demi pertandingan dan suasananya.


Sewaktu itu juga, saya mula suka menaip apa-apa sahaja. Hobi saya ialah menaip. Saya tidak berkarya, sekadar menaip semula apa-apa yang saya suka. Maklum saja, ketika itu saya baru mempunyai komputer. Menyedari minat saya itu, banyaklah pula guru-guru yang memberi upah kepada saya untuk menaip. Pernah juga, seorang ustazah yang katanya saya boleh menulis meminta saya menulis sebuah esei pendek. Memang sukar untuk saya menulis tanpa tema ketika itu. Jadi, saya mereka tema sendiri. Saya masih ingat, esei ringkas itu berjudul "Yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek." Esei itu dibacakan dalam perhimpunan mingguan.

Kerajinan saya sewaktu berada di alam menengah rendah tidak dapat menandingi saya sewaktu berada dalam menengah rendah. Sewaktu menduduki PMR dan sebelumnya, berjaga malam sudah menjadi kebiasaan. Saya yang begitu meminati subjek Sejarah mempunyai berpuluh buku latihan yang saya gunakan sebaiknya. Akan tetapi, memasuki alam menengah atas dan kelas 4 Akrab kerajinan saya mula menurun.


Saya dimasukkan ke aliran sains tulen kerana keputusan PMR yang baik. Akan tetapi, saya tahu minat dan kecenderungan saya tidak ada pada matematik. Hal ini membuatkan saya selalu panas punggung dalam kelas Matematik dan Fizik! Guru-guru semakin menyedari, apatah lagi dalam kelas Matematik Tambahan yang akhirnya saya gantikan dengan Tasawwur Islam yang amat menyeronokkan.


Saya pernah cuba untuk meminta agar ditukarkan ke kelas Perdagangan akan tetapi tidak dibenarkan guru. Kata guru, saya dibenarkan bertukar ke kelas Akaun jika benar-benar mahu. Ah, itu juga bukan minat saya. Barangkali kerana saya tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk meminta pertukaran kelas itu, jika tidak pasti berjaya. Walau bagaimanapun, ini semua sudah ditetapkan. Berada di aliran sains tulen itulah yang menemukan saya dengan cinta sastera dan bahasa hingga kini.


Akibat minat yang tiada terhadap subjek sains, saya mendapat markah yang corot walaupun memegang jawatan Ketua Tingkatan selama dua tahun itu. Saya pernah dipanggil oleh Pengetua dan dinasihati agar berusaha. Hanya apabila Cikgu Julia yang mengajar saya subjek Bahasa Melayu tetapi mempunyai ilmu kaunseling itu menyedari keadaan akademik saya yang semakin menurun, beliau menghantar saya untuk mendapatkan bimbingan dan kaunseling akademik bersama Cikgu Norhana. Alhamdulillah, saya mula menyedari pentingnya SPM sewaktu empat bulan terakhir menjelang peperiksaan itu. Syukur, meskipun terlambat saya masih sempat dan berjaya membuktikan kepada guru-guru yang menyangka saya hanya akan menjatuhkan prestasi subjek mereka. Saya masih ingat, Cikgu Raba'a, guru Fizik saya mendakap erat saya sewaktu keputusan SPM diumumkan dan saya mendapat keputusan yang baik untuk subjek itu tidak seperti yang dia jangkakan (itulah guru, jangan pandang rendah kepada anak murid. Berikan sokongan dan berdoalah!)


Usai menamatkan SPM, saya menyambung pengajian tingkatan enam di SMK Darul Ehsan. Di situlah saya mula mengenali bahasa dan mencintainya sepenuh hati apatah lagi ketika mempelajari susur galur bahasa Melayu. Cikgu Noor Aishah Abdullah yang menjadi pembakar cinta saya terhadap bahasa. Alam sekolah kali ini menjanjikan pengalaman yang berbeza. Sebagai Timbalan 1 Pengawas, saya pernah diugut oleh seorang murid perempuan supaya tidak melaporkan 'kerja' mereka. Ada banyak cerita sehingga pernah saya berasa untuk meletakkan jawatan. Namun, kaunselor ketika itu Cikgu Maizura berkata :


"Fatiha, dunia di luar sana jauh lebih teruk daripada dunia di dalam sekolah ini. Sekali awak keluar dari sekolah, keselamatan dan keamanan awak tidak akan terjamin seperti awak berada di sekolah sekarang ..."


Ya, saya menyedarinya hanya apabila tamat persekolahan. Memasuki dunia universiti dan seterusnya melangkah masuk ke alam kerjaya. Setiap daripadanya mempunyai keistimewaannya namun keindahan alam persekolahan tiada tandingan. Rindu sekolah.