Sabtu, 28 Agustus 2010

MEMBACA BAHASA ALAM SEBAGAI PELAJARAN

KHAMIS yang lalu saya menemani kenalan saya ke PSS (UKM). Dalam perjalanan kami berbicara tentang banyak perkara. Ketika melalui ladang lembu UPM, saya jadi teruja melihat haiwan comel itu. Lantas dia berkata "macam itulah orang bandar, nampak lembu pun hairan." Kemudian beliau bercerita tentang ayam jantan yang ada pelbagai warna pada bulunya. Saya agak terkejut kerana tidak pernah mendengar kisah ayam jantan ada bulu pelbagai warna. Lalu, saya teringatkan watak ayam di dalam animasi Upin dan Ipin. Barulah saya sedar.

Kenalan saya yang sentiasa tinggi nilai katanya berkata bahawa kebanyakan haiwan jantan mempunyai daya penarik yang lebih berbanding haiwan betina. Sebagai contohnya ialah rusa jantan (bertanduk), ayam jantan (pelbagai warna bulu), dan merak jantan. Kata beliau, hanya merak jantan yang dapat mengigal dan memperlihatkan keindahannya itu. Begitulah Allah memberi penanda kepada manusia untuk berfikir.


Dalam sebuah buku falsafah Iran yang dibaca beliau, ada pujangga berkata "Wanita itu sifatnya berdiam dan lelaki itu sifatnya pemburu. Tetapi, wanita boleh mengujakan." Lantas begitulah Allah memperlihatkan penanda kepada manusia melalui haiwan-haiwan seperti yang disebutkan tadi sebagai petandanya.


Lelaki kekal dengan sifat lelakinya dan wanita kekal dengan sifat wanitanya. Bagaikan jalur orbit di angkasa, pincanglah segalanya andai berlaku pelanggaran sekiranya perjalanannya tidak mengikut sistem dan aturan asal.


Sifat dan kecantikan yang ada pada haiwan jantan menjadi daya penarik untuk memikat haiwan betina sebagai pasangannya. Ditakdirkan pula, saya menonton saluran Animal Planet pada tengah hari semalam. Saluran itu menyiarkan proses mengawan ikan. Jelas pengacara, ikan yang lebih cantik dan berwarna-warni itu ialah ikan jantan yang sedang mengejar ikan betina. Begitulah sunnatullah.


Rancangan itu mengingatkan saya pada bicara kenalan saya itu. Ya, Allah sudah memperlihatkan panduan untuk diteliti manusia. Cuma, kelekaan manusia untuk menimba pengajaran daripada alam dan meneliti rahsia di sebaliknya membuatkan kita melakukan pelbagai kerosakan. Lelaki mengambil tempat wanita dan wanita cuba mengambil tempat lelaki.


Kebahagiaan dan keindahan hanya ada andainya manusia mengikut sunnatullah dan syariatullah. Apa-apa yang saya kongsikan di sini hanyalah satu analogi untuk pelbagai aspek hidup yang lain juga. Terima kasih kepada kenalan yang bercerita hal ini dengan saya lantas menyedarkan saya tentang perjalanan alam dan pentingnya menjadi lebih sensitif terhadap pelajaran Allah melalui alam ciptaan-Nya.


Ketika menulis catatan ini juga, saya teringat akan buku yang baru saya baca. Saya teringat akan tindakan seorang muslimah yang menawarkan diri untuk menjadi isteri kepada seorang daei melalui kotak bual bicara dalam ruangan blognya. Wanita boleh mengujakan namun bukan dengan mengambil peranan sang lelaki.


Sekadar perkongsian.


Waallahua'alam

Tidak ada komentar:

Posting Komentar