Jumat, 01 April 2011

OH, CINTA ITU BUTA

CINTA ITU INDAH biar sesiapa pun penerimanya oh, bukankah cinta itu buta tidak kenal usia tidak kenal siapa dan, tidak kenal batas agama? salahkan cinta jika wujud cinta nista kerana, begitu cinta itu indah kerana, begitu cinta itu buta.

Oh, apakah yang saya cuba sampaikan ini? Beberapa hari ini, fikiran saya dibawa menerawang ke alam cinta orang-orang yang saya kenal dan tidak saya kenal tetapi saya dengar kisahnya. Rabu lalu, saya menonton rancangan bual bicara Wanita Hari Ini. Tajuk perbincangan pada hari itu ialah 'Apabila Suami Kaki Buli'. Antara panelnya ialah Tn. Hj Hushim Salleh dan seorang pegawai dari badan perlindungan wanita. Saya masih ingat, sebelum kemunculan WHI, segmen Bincang Petang amat saya gemari sekitar tahun 1999-2000. Ketika itu, saya berada dalam awal alam sekolah menengah. Zakiah Anas dan Azizah Ariffin ialah pengacara awal segmen Bincang Petang. Sudah tentulah fokus perbincangan mengenai wanita dan kehidupan meskipun pada hari-hari tertentu ada juga segmen yang memfokus soal kewangan dan keagamaan.

Berbalik kepada tajuk fokus pada hari Rabu lalu itu, saya percaya betapa banyak wanita yang menghela nafas berat sepanjang mengikuti segmen itu. Perbincangan dimulakan dengan pengacara memberikan soalan kepada Tn Hj Hushim Salleh akan sebab kebanyakan wanita sanggup bertahan dengan suami kaki pukul. Ada yang sanggup menanggung derita itu selama 10 tahun malah ada juga yang menjangkau usia 30 tahun perkahwinan. Kenapa? Berikutnya adalah antara sebab yang dapat disenaraikan :

1. Bagi isteri yang tidak bekerjaya, mereka tidak sanggup diceraikan suami kerana bimbang akan hilang sumber kewangan untuk menyara diri dan anak-anak.

2. Isteri takut akan ancaman suami.

3. Isteri mengenangkan anak-anak yang masih kecil. Oleh sebab itu, ada kes isteri hanya menuntut cerai setelah anak-anak besar dan sudah mampu menguruskan diri sendiri.

4. Tidak mempunyai pengetahuan untuk mendapatkan pembelaan atas kezaliman suami.

5. Mahu memberi peluang kepada suami.

6. Takut dengan gelar 'janda' dan stigma masyarakat terhadap status ibu tunggal dan janda.

Saya masih ingat dengan jelas cerita pemanggil yang bernama Farah dari Klang. Farah menceritakan keadaan dirinya yang dipukul oleh suami sejak dua tahun lalu. Menurut Farah, suami mula memperlihatkan perubahan mendadak setelah usia perkahwinan menginjak dua bulan. Suaminya sering mengugut dan akan memukulnya walaupun hanya kerana kesalahan kecil. Paling teruk, Farah dipukul dengan tukul dan pernah dilempar dengan alat pemadam api! Apabila Farah mengadu hal tersebut kepada ibu dan bapanya, mereka hanya meminta agar Farah terus bersabar.

Pemanggil kedua iaitu Juhara dari Johor mengisahkan dia yang sudah didera suami sejak 17 tahun yang lalu. Keadaan bertambah teruk apabila suaminya mengahwini wanita lain. Sifat baran suami semakin nyata dan kini, suami mula menggunakan senjata tajam ketika mengasarinya. Juhara tidak berani membuat laporan polis kerana bimbang akan dirinya yang tidak bekerjaya serta anak-anak yang masih bersekolah. Menurut pegawai dari badan perlindungan wanita, ada juga kes seorang yang wanita dalam perlindungan yang akan gelisah dan resah apabila jam menunjukkan pukul 6:00 petang. Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan akan didera oleh suami yang pulang pada jam 6:00 petang saban hari. Meskipun wanita itu diletakkan di dalam perhatian penjaga pusat perlindungan, trauma dan ketakutan didera suami terus menghantui dirinya.

Menurut Tn Hj Hushim Salleh, wanita yang dianiayai dan dizalimi seperti itu tidak seharusnya mendiamkan diri dan terus rela menjadikan diri sebagai tempat suami tidak berhati perut melepaskan geram dan marah mereka. Bukankah sifat lelaki yang baik ialah lelaki yang PALING BAIK terhadap keluarganya? Bukankah sifat lelaki sebagai PELINDUNG wanita? Saranan agar membawa suami seperti itu bertemu kaunselor saya fikir hanya seperti peribahasa mencurah air ke daun keladi malah, berapakah peratus suami seperti itu mahu mendengar saranan isteri agar dia pergi bertemu kaunselor?

Walau bagaimanapun, wanita perlu berani dan tegas demi kebaikan diri dan anak-anak. Kenapa perlu terus hidup menderita sekiranya ada jalan untuk bahagia. Kerajaan ada menyediakan perlindungan dan bantuan untuk wanita teraniaya seperti itu. Talian Nur 15999 sentiasa ada untuk wanita tampil menegakkan keadilan dan kebahagiaan untuk diri sendiri. Ada sesetengah wanita yang bertahan dengan alasan sayangkan anak. Walhal, bolehkah kita memberi jaminan kemunduran akhlak seorang ayah dan suami kepada ibunya tidak akan menjejaskan perkembangan mental dan emosi anak-anak itu? Seorang anak tentunya lebih rela hidup susah daripada hidup bersama lelaki yang hanya menyakiti emosi dan jasmani ibu yang telah mengandungkannya. Jangan terpedaya dengan frasa 'cinta itu buta' maka sebab itulah anda mahu terus hidup bersama walaupun diri diseksa seperti binatang sahaja. Bukanlah begitu layaknya anda diperlakukan. Kini bukanlah masa di zaman jahiliyah yang wanitanya tiada tempat dalam apa-apa juga cakupan. Zaman wanita hanya dijadikan sebagai alat pemuas nafsu dan pelayan lelaki semata-mata. Kehadiran Islam memurnikan kedudukan wanita. Islam mengangkat kedudukan wanita jauh tingginya. Wanita mempunyai hak dan keistimewaan yang disediakan Allah, maka syukurilah nikmat itu dan hormatilah diri anda sebagai wanita dengan bertindak bijak. Jangan lagi dimomokkan dengan bicara klise 'cinta itu buta, maka aku rela diperlakukan apa-apa sahaja, demi cinta kita'!

Kisah suami orang bercinta dengan isteri orang sudah menjadi perkara biasa yang bukan main-main biasanya! Cinta lama? Oh, apalah gunanya semua itu jika hanya membawa kepada murka Allah Taala. Setelah berdekad melayari bahtera rumah tangga, mengapa sengaja disemarakkan api cinta lama yang seharusnya telah hancur menjadi debu. Setelah anak-anak dewasa dan semakin bijak berfikir, kenapa perlu dikhianati kepercayaan pasangan yang mencintai kerana Ilahi. Kenapa pada akhir usia barulah terfikir bahawa pasangan yang sudah diterima ijab dan kabul itu salah sebenarnya? Kenapa tidak mencari kebaikan dicelah keburukan? Kenapa perlu hanyut dengan frasa 'cinta itu buta'? Hanya yang mengalaminya saja yang mengerti betapa hangat asrama cinta ini? Cinta yang tidak kenal hakikat diri. Oh, cinta. Ini kisah kedua yang menemui saya dalam hari yang sama itu.

Hari yang sama, saya mendapat khabar tentang seseorang yang pernah saya hormati. Seorang yang apabila berjalan dia menunduk. Apabila berbicara dia berhikmah dan ditambah pula dengan tanda hitam di dahi. Dia dikenakan tuduhan mencabul! Oish, dengan pengakuan yang telah diberikan, tindakan akan dikenakan. Ops, ini juga panahan 'cinta itu buta'? Cinta dan manusia memang kuat ikatannya. Cinta yang membangkitkan semangat. Cinta juga boleh meranapkan ketakwaan. Tiga peristiwa, tiga berita yang sama ini saya dapat dalam satu masa yang sama. Saya tertanya-tanya akan sebabnya saya diberi peluang mendengar, melihat dan mengetahui semua ini. Apa-apa pun, semua ini menjadi iktibar kepada saya untuk menjadi lebih teliti dan berhati-hati. Nabi SAW pernah memberi pesan, pilihlah pasangan kerana harta, kecantikan, keturunan dan agamanya. Pilihlah yang paling akhir itu dan itulah yang paling selamat cintanya. Akan tetapi, di akhir zaman ini kadang-kadang ada pihak yang arif menggunakan agama sebagai jalan untuk mendapat kepercayaan, mendapat penghormatan dan mendapat cinta, walaupun terlarang dek Tuhan.

Wanita, hadirmu bukan perhiasan tanpa harga hadirmu dengan maruah dan hikmah tanda cinta Allah kepada hamba teguhkan nurani dan jati bangkitlah menentang kezaliman terhadap diri kerana, tidaklah begitu layaknya wanita dilayani.

Lelaki, arjuna gagah pelindung wanita kurniaan Allah sebagai pemimpin keluarga kenangkan wanita yang telah kau terima kabulnya dengan amanah dan janji untuk menjaganya sepenuh jiwa kenangkan soalan Tuhan kepadamu andai pincang kau memimpin wanitamu setelah Allah kau jadikan saksi, janganlah pula kau mungkiri. ..

Tidak ada komentar:

Posting Komentar