Tampilkan postingan dengan label Ilmiah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Ilmiah. Tampilkan semua postingan

Kamis, 08 April 2010

CITRA SUBALTERN DALAM NOVEL TERPILIH SHAHNON AHMAD

PANCARAN citra hegemoni di dalam novel Perdana, Menteri dan Patriarch jelas dapat dilihat. Shahnon dengan daya kreativitinya melahirkan satu ruang kreatif yang bermatlamatkan kesedaran masyarakat marginal terhadap kepincangan sistem pemerintahan negara yang tidak jujur. Teori Hegemoni seperti yang diperincikan sebelum ini memaparkan satu konsep perjuangan intelektual golongan bawahan yang tidak lagi berasaskan kepada gerakan radikal. Sebaliknya, keupayaan proletarian dalam menggunakan daya intelektual serta kesedaran menjadikan para watak dalam karya Shahnon sebagai watak yang kuat dan tidak alah dengan kekejaman pihak.

Dengan berlatarkan Tanah Melayu dan Malaysia, novel Perdana dan Menteri masing-masing membawa imej kesungguhan golongan pemimpin elit dalam membela nasib masyarakat proletarian. Kedua-dua karya tersebut memperlihatkan keteguhan hati para watak untuk tidak mengaku kalah dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Watak Lokman dan Ketua Ahmad dalam novel Perdana menjadi lambang kekentalan masyarakat Melayu yang sudah lemas dengan penjajahan asing yang bertapak di Tanah Melayu sekian lama. Rasa ingin merdeka dan bebas menjalani hidup dengan peraturan dan budaya sendiri tanpa penglibatan peraturan dan nilai penjajah menjadikan watak-watak pemimpin tersebut berusaha menangani gagasan Malayan Union yang ingin terus menguasai Tanah Melayu secara halus. Dasar kekuatan yang dimiliki pemimpin dalam Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ialah kesatuan untuk menentang penjajahan dan pembelaan nasib kaum Melayu di Tanah Melayu. Dalam masa yang sama, perjuangan tersebut merupakan satu jalan untuk kaum Melayu mengangkat martabat dan maruah bangsanya yang sekian lama berada dalam genggaman penjajah. Secara halus, pengarang novel dengan suara subaltern yang lantang menjadikan karya tersebut sebagai medium untuk menyemarakkan rasa yakin diri terhadap khalayak pembaca untuk terus menghargai dan menghormati kemerdekaan yang dikecapi.

Sementara itu, Shahnon yang mempunyai daya sensitiviti yang tinggi terhadap nasib kaum Melayu bukan sahaja memperlihatkan kegigihan golongan pemimpin elit yang mewakili kaum Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan diri dan bangsa, sebaliknya Shahnon dengan lantang juga cuba menyedarkan aspek pemerintahan Melayu yang sering melakukan penyelewengan terhadap kuasa dan kewibawaan yang mereka ada. Dalam hal ini, umum diketahui bahawa rakyat jelata mempunyai kepercayaan dan harapan yang tinggi terhadap pemerintah dalam menjamin masa depan diri dan negara. Rakyat sentiasa mengharapkan pemerintahan yang ideal dan mampu memberi manfaat secara maksimum kepada mereka. Walau bagaimanapun, harapan dan impian rakyat tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya pemerintah hanya mementingkan diri sendiri semata-mata.

Hal ini telah ditimbulkan oleh Shahnon menerusi novel Patriarch. Meskipun Shahnon telah mewujudkan satu latar negara yang baru iaitu Negara Belantara, kod-kod bahasa dan nama kampung serta negeri yang menjadi latar tempatnya masih boleh diketahui sebagai simbol kepada negara Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui nama daerah seperti Chuping (Perlis), Kampung Kedai Lalat (Kelantan), Kampung Seri Paya, Kulai (Johor Bahru) dan Kota Darulaman yang merujuk negeri Kedah. Simbol-simbol bahasa yang digunakan Shahnon merupakan satu strategi penulisan yang diterapkan oleh beliau bagi memberi kesedaran kepada khalayak pembaca tanpa sedar. Selain memperlihatkan kesungguhan dan keyakinan kaum Melayu di Negara Belantara yang tidak mahu terus diperbodohkan oleh Patriarch, Shahnon telah membina watak-watak seperti Budin, Mek Besah, Wak Dan, Adi Tumpang serta Jusuh Hitam sebagai kaum proletarian yang memperjuangkan kebebasan dan menentang kezaliman pemerintahan Patriarch melalui gerakan intelektual yang tinggi.

Gerakan intelektual yang juga mendasari Teori Hegemoni Gramsci diperlihatkan melalui kebijaksanaan Adi Tumpang dan Jusuh Hitam yang cuba memberi kesedaran kepada rakyat Negara Belantara akan kepincangan pemerintahan Patriarch yang banyak menyusahkan mereka melalui pementasan drama berjudul Patriacrh. Selain itu, Shahnon juga memanfaatkan medium pentas sebagai saluran untuk memberi kesedaran akan kezaliman para pemerintah terhadap rakyat jelata. Hal ini merupakan satu gerakan kebudayaan yang turut mendapat perhatian Antonio Gramsci. Dalam hal ini, aspek kebudayaan dilihat sebagai satu wahana yang mampu memberi kesedaran kepada khalayak secara maksimum sekali gus membantu menggerakkan daya intelektual rakyat untuk menilai kepincangan yang dilakukan oleh Patriarch yang menjadi simbol pemimpin Melayu yang gila akan kuasa serta lupa akan tanggungjawab memimpin dan melaksanakan amanah terhadap rakyat jelata.

Menerusi novel Patriarch juga, Shahnon telah memperlihatkan satu bentuk penyelewengan yang dilakukan pemimpin negara dengan kuasa dan wibawa yang dimiliki. Melalui kedudukan sebagai pemerintah, Patriarch berasakan bahawa wujudnya satu jurang antara dia sebagai golongan borjuis dengan rakyat yang hanya menduduki strata kelompok proletarian. Jurang kedudukan tersebut telah menjadikan Patriarch berasa bahawa kekuasaan yang dimiliki merupakan satu keistimewaan untuk dia mendapatkan penghormatan dan kekayaan daripada rakyat Negara Belantara dengan cara yang salah. Hal ini merupakan satu gerakan proletarian yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad. Beliau melihat kebobrokan pemerintahan tersebut dalam negara Malaysia dan berusaha untuk menyedarkan pemimpin dan kaum Melayu itu sendiri agar tidak terus tunduk pada kezaliman pemerintahan seperti yang diamalkan Patriarch.

Dalam hal ini, Shahnon seperti Antonio Gramsci menjalankan tanggungjawab mereka untuk mewujudkan satu dunia tanpa kelas yang memberi jaminan kepada masyarakat proletarian untuk menikmati hidup secara aman. Diskriminasi antara kelas, sosial dan ekonomi cuba dihapuskan bagi melahirkan sebuah negara aman dan bebas daripada perbezaan antara kelompok borjuis dengan kelompok marginal.

Gramsci melalui Teori Hegemoni menekankan peri pentingnya pihak marginal untuk berusaha membebaskan diri daripada kekuasaan golongan borjuis yang hanya menekan kehidupan mereka. Bagi Gramsci, keperluan untuk keluar daripada penindasan itu perlu dilakukan dengan jalan yang lebih berhemah iaitu melalui gerakan idea yang mampu menumbangkan kezaliman golongan borjuis. Hal ini bertitik tolak daripada kekuasaan kaum borjuis di Itali sejak tahun 1859. Walau bagaimanapun, kaum proletarian seperti buruh dan petani berjaya menembusi kepincangan pemerintahan Itali sekali gus meletakkan kedudukan kaum proletarian menandingi kedudukan kelompok borjuis.

Hal inilah juga yang diperlihatkan oleh Shahnon Ahmad menerusi novel Perdana, Menteri dan Patriarch. Ketiga-tiga karya tersebut merupakan satu penegasan terhadap keupayaan kaum Melayu untuk bangkit dan melawan penindasan serta pemerintahan yang kejam melalui gerakan idea dan intelektualisme. Secara langsung, kajian ini mendapati bahawa Shahnon benar-benar merupakan seorang nasionalis dan pejuang subaltern yang cuba memberi kesedaran terhadap kaum Melayu untuk menghargai kemerdekaan yang ada. Dalam masa yang sama, kaum Melayu disaran agar bangun dan tidak tunduk pada pemerintahan kejam sebaliknya menggunakan kebijaksanaan untuk bebas daripada cengkaman pemerintah yang hanya menzalimi dan memperbodohkan mereka.

Senin, 28 Desember 2009

PENULIS YANG MEMBAWA FIKIR DAN RASA

SEBENTAR TADI, saya pergi menemui Abang Saifullizan Yahaya di pejabatnya untuk mendapatkan bahan berupa video pendek yang menarik sekiranya dimasukkan ke dalam pembentangan sebagai bahan selingan. Akan tetapi, saya bukan sahaja mendapat bahan tersebut daripada Abang Saiful, malah jauh lebih beruntung apabila saya turut dihidangkan dengan ilmu-ilmu berkaitan puisi, cerpen, kepengarangan dan pengalaman Abang Saiful yang pernah melalui apa-apa yang sedang saya lalui kini sebagai seorang yang masih bertatih untuk bergelar penulis.

Melalui perbincangan dengan Abang Saiful saya berpeluang menyuarakan persoalan demi persoalan terutamanya yang berkaitan puisi. Maklum saja, saya tidak pernah mendalami ilmu menulis puisi melainkan melalui bengkel bersama Pn. Mahaya Mohd Yasin minggu lalu. Selama ini, saya sering tertanya-tanya berkenaan kepelbagaian tafsiran yang dilakukan oleh khalayak pembaca terhadap sesebuah karya yang dibaca. Apakah sesebuah sajak yang ditafsirkan oleh khalayak pembaca dengan pelbagai pemahaman itu menandakan sesebuah sajak itu gagal kerana maksud yang cuba disampaikan penyair tidak berjaya diterima oleh khalayak pembaca.

Menurut beliau, pentafsiran pelbagai yang diberikan oleh para pembaca terhadap sesebuah puisi sebenarnya merupakan kayu pengukur pada kejayaan sesebuah sajak itu. Sebaliknya, sajak yang dapat ditafsir secara langsung oleh pembaca memperlihatkan kegagalan penyair dalam membawa khalayak mentafsir makna yang tersurat dan tersirat. Saya juga berkesempatan diperkenalkan dengan puisi Banjir, karya Latiff Mohidden. Banjir merupakan sebuah puisi yang mengetengahkan unsur visual sebagai elemen kewujudannya. Dalam hal ini, penyair telah memilih satu sisi 'kamera' dalam suasana banjir yang melanda. Penyair tidak memaparkan suasana banjir secara menyeluruh sebaliknya memperlihatkan pandangan tersebut menerusi rangkap :

.... album di atas bumbung
dan wajah tanpa nama meratap ...

Melalui pengaplikasian konsep visual, penyair dapat memberitahu khalayak berkenaan peristiwa banjir yang wujud dalam puisi tersebut menerusi kedudukan album yang berada di atas bumbung serta foto-foto yang tidak dikenali di dalamnya (wajah tanpa nama). Malu juga saya apabila beliau bertanya sama ada pernah atau tidak membaca puisi Sungai Mekong yang bagi beliau merupakan antara puisi wajib baca oleh para mahasiswa penulisan sastera. Menerusi puisi Sungai Mekong, khalayak pembaca didedahkan dengan ramalan penyair berkenaan pertempuran berdarah yang berlaku di Sungai Mekong, Vietnam. Puisi tersebut ditulis pada tahun 1966, tidak lama sebelum Perang Vietnam tercetus. Hal ini memberikan bukti betapa sastera itu lebih penting peranannya kerana bukan sahaja berupaya merakamkan sejarah malah mampu meramal masa depan.

Dalam persoalan mencari identiti tuntas sebagai seorang penulis, saya mempersoalkan apakah satu kesalahan apabila seorang penulis baharu itu terpengaruh dengan rentak mahupun cara penulisan seseorang penulis lain. Saya menjadikan diri sendiri sebagai contoh. Sebagai pelajar, saya mendapati betapa gaya penulisan saya sangat terpengaruh dengan gaya penulisan Shahnon Ahmad, Azizi Abdullah dan Anwar Ridhwan. Kadangkala, saya berasa agak gusar memikirkan keterikatan gaya saya ini. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dilema yang saya hadapi itu merupakan satu proses yang normal bagi seseorang penulis baharu yang masih mencari-cari identiti diri. Barangkali saya terlalu terikat dengan gaya penulisan ketiga-tiga tokoh tersebut lantaran minat saya yang mendalam terhadap karya-karya mereka. Akan tetapi, beliau menasihati saya untuk membuka 'pintu-pintu' lain bagi mendapatkan imu bentuk yang lebih luas kerana perkara tersebut sangat membantu dalam proses pencarian identiti. Saya ujarkan kepada beliau betapa saya begitu bingung apabila membaca karya-karya cerpen Zaen Kasturi dan adakalanya mengalah untuk memahaminya. Dalam hal ini, beliau meminta agar saya tidak menutup ruang yang kurang saya minati sebaliknya terus berusaha membaca dan menyelidik. Beliau turut memberitahu bahawa bukanlah satu kesalahan untuk penulis baharu terpengaruh dengan gaya penulisan tokoh tetapi, awas jangan sampai berlaku plagiat.

Sementelahan itu, kami turut berbincang mengenai aliran pemikiran dan perasaan yang dibawa oleh penyair. Persoalan ini timbul rentetan daripada kekhilafan saya terhadap bentuk bahasa puitis dalam penulisan sajak. Jujurnya, saya akui bahawa kebanyakan sajak yang saya tulis bernada keras dan tidak pernah melankolik. Saya berpegang kepada prinsip SN Shahnon Ahmad yang melihat bahawa nilai estetik karya beliau tidak terletak pada kepuitisan bahasa sebaliknya tercitra pada pemikiran yang dibawa. Apatah lagi pada usia sebegini yang merupakan medan pergolakan dan pemberontakan kemahuan. Rasa ingin mengkritik dan membetulkan keadaan merupakan pengalaman normal bagi para penulis muda. Walau bagaimanapun, pengalaman dan kematangan usia akan membawa pemberontakan naluri terhadap sosial itu menjadi semakin terarah bagi membentuk persepsi masyarakat.

Perbincangan tersebut juga menyedarkan saya betapa perlunya seseorang penyair mencatat tarikh dan tempat sajaknya ditulis bagi tujuan dokumentasi. Sungguh, selama ini saya tidak pernah melakukannya. Beliau turut memperkenalkan saya denga penyair Wiji Tukhul, penyair yang sezaman dengan WS Rendra dan telah 'dihilangkan' oleh Republik Indonesia. Melalui puisi Tukhul, saya belajar lagi bahawa kepuitisan itu tidak semestinya pada deretan kata yang indah sebaliknya pada pemikrian yang dibawa. Begitu juga dengan Muhammad Hj Salleh yang bahasa sasteranya agak keras tetapi punya pemikiran dan perasaan dalam yang akan menyusul selepasnya.

Tuntasnya, peribadi dan jiwa yang berada dalam diri seseorang penyair akan tercitra pada hasil karyanya dan adalah penting untuk penulis dan pengkaji menjadikan diri mereka ibarat tukang masak yang perlu menikmati dan mencuba segala rasa yang ada untuk mendapatkan juadah yang terbaik.

Buat Abang Saifullizan Yahaya, saya sangat berterima kasih atas perkongsian ilmu dan pengalaman. Saya tidak membawa dan menatat apa-apa ketika sesi tidak rasmi itu dan berasa sangat kesal. Biarlah entri ini menjadi nota buat saya dan kita bersama.