Kamis, 08 April 2010

CITRA SUBALTERN DALAM NOVEL TERPILIH SHAHNON AHMAD

PANCARAN citra hegemoni di dalam novel Perdana, Menteri dan Patriarch jelas dapat dilihat. Shahnon dengan daya kreativitinya melahirkan satu ruang kreatif yang bermatlamatkan kesedaran masyarakat marginal terhadap kepincangan sistem pemerintahan negara yang tidak jujur. Teori Hegemoni seperti yang diperincikan sebelum ini memaparkan satu konsep perjuangan intelektual golongan bawahan yang tidak lagi berasaskan kepada gerakan radikal. Sebaliknya, keupayaan proletarian dalam menggunakan daya intelektual serta kesedaran menjadikan para watak dalam karya Shahnon sebagai watak yang kuat dan tidak alah dengan kekejaman pihak.

Dengan berlatarkan Tanah Melayu dan Malaysia, novel Perdana dan Menteri masing-masing membawa imej kesungguhan golongan pemimpin elit dalam membela nasib masyarakat proletarian. Kedua-dua karya tersebut memperlihatkan keteguhan hati para watak untuk tidak mengaku kalah dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Watak Lokman dan Ketua Ahmad dalam novel Perdana menjadi lambang kekentalan masyarakat Melayu yang sudah lemas dengan penjajahan asing yang bertapak di Tanah Melayu sekian lama. Rasa ingin merdeka dan bebas menjalani hidup dengan peraturan dan budaya sendiri tanpa penglibatan peraturan dan nilai penjajah menjadikan watak-watak pemimpin tersebut berusaha menangani gagasan Malayan Union yang ingin terus menguasai Tanah Melayu secara halus. Dasar kekuatan yang dimiliki pemimpin dalam Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ialah kesatuan untuk menentang penjajahan dan pembelaan nasib kaum Melayu di Tanah Melayu. Dalam masa yang sama, perjuangan tersebut merupakan satu jalan untuk kaum Melayu mengangkat martabat dan maruah bangsanya yang sekian lama berada dalam genggaman penjajah. Secara halus, pengarang novel dengan suara subaltern yang lantang menjadikan karya tersebut sebagai medium untuk menyemarakkan rasa yakin diri terhadap khalayak pembaca untuk terus menghargai dan menghormati kemerdekaan yang dikecapi.

Sementara itu, Shahnon yang mempunyai daya sensitiviti yang tinggi terhadap nasib kaum Melayu bukan sahaja memperlihatkan kegigihan golongan pemimpin elit yang mewakili kaum Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan diri dan bangsa, sebaliknya Shahnon dengan lantang juga cuba menyedarkan aspek pemerintahan Melayu yang sering melakukan penyelewengan terhadap kuasa dan kewibawaan yang mereka ada. Dalam hal ini, umum diketahui bahawa rakyat jelata mempunyai kepercayaan dan harapan yang tinggi terhadap pemerintah dalam menjamin masa depan diri dan negara. Rakyat sentiasa mengharapkan pemerintahan yang ideal dan mampu memberi manfaat secara maksimum kepada mereka. Walau bagaimanapun, harapan dan impian rakyat tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya pemerintah hanya mementingkan diri sendiri semata-mata.

Hal ini telah ditimbulkan oleh Shahnon menerusi novel Patriarch. Meskipun Shahnon telah mewujudkan satu latar negara yang baru iaitu Negara Belantara, kod-kod bahasa dan nama kampung serta negeri yang menjadi latar tempatnya masih boleh diketahui sebagai simbol kepada negara Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui nama daerah seperti Chuping (Perlis), Kampung Kedai Lalat (Kelantan), Kampung Seri Paya, Kulai (Johor Bahru) dan Kota Darulaman yang merujuk negeri Kedah. Simbol-simbol bahasa yang digunakan Shahnon merupakan satu strategi penulisan yang diterapkan oleh beliau bagi memberi kesedaran kepada khalayak pembaca tanpa sedar. Selain memperlihatkan kesungguhan dan keyakinan kaum Melayu di Negara Belantara yang tidak mahu terus diperbodohkan oleh Patriarch, Shahnon telah membina watak-watak seperti Budin, Mek Besah, Wak Dan, Adi Tumpang serta Jusuh Hitam sebagai kaum proletarian yang memperjuangkan kebebasan dan menentang kezaliman pemerintahan Patriarch melalui gerakan intelektual yang tinggi.

Gerakan intelektual yang juga mendasari Teori Hegemoni Gramsci diperlihatkan melalui kebijaksanaan Adi Tumpang dan Jusuh Hitam yang cuba memberi kesedaran kepada rakyat Negara Belantara akan kepincangan pemerintahan Patriarch yang banyak menyusahkan mereka melalui pementasan drama berjudul Patriacrh. Selain itu, Shahnon juga memanfaatkan medium pentas sebagai saluran untuk memberi kesedaran akan kezaliman para pemerintah terhadap rakyat jelata. Hal ini merupakan satu gerakan kebudayaan yang turut mendapat perhatian Antonio Gramsci. Dalam hal ini, aspek kebudayaan dilihat sebagai satu wahana yang mampu memberi kesedaran kepada khalayak secara maksimum sekali gus membantu menggerakkan daya intelektual rakyat untuk menilai kepincangan yang dilakukan oleh Patriarch yang menjadi simbol pemimpin Melayu yang gila akan kuasa serta lupa akan tanggungjawab memimpin dan melaksanakan amanah terhadap rakyat jelata.

Menerusi novel Patriarch juga, Shahnon telah memperlihatkan satu bentuk penyelewengan yang dilakukan pemimpin negara dengan kuasa dan wibawa yang dimiliki. Melalui kedudukan sebagai pemerintah, Patriarch berasakan bahawa wujudnya satu jurang antara dia sebagai golongan borjuis dengan rakyat yang hanya menduduki strata kelompok proletarian. Jurang kedudukan tersebut telah menjadikan Patriarch berasa bahawa kekuasaan yang dimiliki merupakan satu keistimewaan untuk dia mendapatkan penghormatan dan kekayaan daripada rakyat Negara Belantara dengan cara yang salah. Hal ini merupakan satu gerakan proletarian yang dilakukan oleh Shahnon Ahmad. Beliau melihat kebobrokan pemerintahan tersebut dalam negara Malaysia dan berusaha untuk menyedarkan pemimpin dan kaum Melayu itu sendiri agar tidak terus tunduk pada kezaliman pemerintahan seperti yang diamalkan Patriarch.

Dalam hal ini, Shahnon seperti Antonio Gramsci menjalankan tanggungjawab mereka untuk mewujudkan satu dunia tanpa kelas yang memberi jaminan kepada masyarakat proletarian untuk menikmati hidup secara aman. Diskriminasi antara kelas, sosial dan ekonomi cuba dihapuskan bagi melahirkan sebuah negara aman dan bebas daripada perbezaan antara kelompok borjuis dengan kelompok marginal.

Gramsci melalui Teori Hegemoni menekankan peri pentingnya pihak marginal untuk berusaha membebaskan diri daripada kekuasaan golongan borjuis yang hanya menekan kehidupan mereka. Bagi Gramsci, keperluan untuk keluar daripada penindasan itu perlu dilakukan dengan jalan yang lebih berhemah iaitu melalui gerakan idea yang mampu menumbangkan kezaliman golongan borjuis. Hal ini bertitik tolak daripada kekuasaan kaum borjuis di Itali sejak tahun 1859. Walau bagaimanapun, kaum proletarian seperti buruh dan petani berjaya menembusi kepincangan pemerintahan Itali sekali gus meletakkan kedudukan kaum proletarian menandingi kedudukan kelompok borjuis.

Hal inilah juga yang diperlihatkan oleh Shahnon Ahmad menerusi novel Perdana, Menteri dan Patriarch. Ketiga-tiga karya tersebut merupakan satu penegasan terhadap keupayaan kaum Melayu untuk bangkit dan melawan penindasan serta pemerintahan yang kejam melalui gerakan idea dan intelektualisme. Secara langsung, kajian ini mendapati bahawa Shahnon benar-benar merupakan seorang nasionalis dan pejuang subaltern yang cuba memberi kesedaran terhadap kaum Melayu untuk menghargai kemerdekaan yang ada. Dalam masa yang sama, kaum Melayu disaran agar bangun dan tidak tunduk pada pemerintahan kejam sebaliknya menggunakan kebijaksanaan untuk bebas daripada cengkaman pemerintah yang hanya menzalimi dan memperbodohkan mereka.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar