Selasa, 15 September 2009

KEINSAFAN MAWAR

HAMPIR saban hari Mawar menahan sendu dan tangisnya atas kehidupan yang dilalui. Sudah agak lama Mawar menghalang tubir matanya daripada membiarkan tangis rintihan dan kesedihan menjalar di ruang pipi. Pada pagi yang diselubungi mendung setelah hujan berhenti turun, Mawar yang baru sahaja tiba di Kolej Swalara tiba-tiba rebah dalam pelukan emosinya. Tangisan Mawar menjadi-jadi, dia tiada tempat untuk mengadu melainkan kepada Allah. Lalu, pada kesempatan waktu yang masih berbaki Mawar segera mengatur langkah menuju musolla. Dingin air wudu' yang diambil dengan penuh tertib itu cuba dihayati falsafahnya. Mawar ingin membersihkan hatinya daripada segala kekecewaan dan resah gelisah. Mawar tidak mahu membiarkan dirinya terus diganggu oleh emosi-emosi pesimis yang hanya akan menjatuhkan daya dirinya untuk mencapai kecemerlangan.


***

Segala-galanya bermula apabila ibu Mawar membuka duka di dadanya sewaktu Mawar menghubungi ibu beberapa hari lalu. Beberapa hari juga, Mawar cuba melupakan segala kisah duka yang diceritakan ibu. Mawar tahu dirinya lemah dan mudah goyah sekiranya dibiar melayani kisah-kisah seperti itu. Ada ketikanya Mawar cuba menyalahkan ibu yang meluahkan cerita lara kepadanya. Mawar melukakan hati sendiri dengan menganggap tindakan ibu berkongsi kisah itu sebagai tindakan membantutkan kegigihan dan semangat Mawar untuk menghadapi pelajaran.

Mawar lupa seketika jasa dan pengorbanan ibu yang sentiasa mendoakan dirinya. Hanya kerana cuba meluahkan rasa gusar seorang ibu kepada anaknya, Mawar memendam amarah kerana gagal mengawal fikir dan rasanya yang asyik memikirkan bicara duka ibu. Namun begitu, Mawar beruntung kerana kasih sayang Allah yang sentiasa memerhatikannya. Sebagai hamba yang lemah dan sering goyah, Mawar dikejutkan daripada amarah dan lekanya. Mawar sedar betapa dia bertanggungjawab menjadi pendamai emosi seorang ibu. Lebih utama, Mawar menyedari betapa kedukaan yang ditanggung ibu bukanlah penghalang untuk dia meraih kejayaan sebaliknya sebagai lonjakan untuk menambah citra kegigihan dirinya.

Mawar insaf akan kekhilafan dirinya yang cuba mempersoalkan hak ibu bagi menjadikan dirinya sandaran meluahkan rasa lalu di sujud hina seorang hamba berdosa, Mawar memohon ampun daripada Allah s.w.t.


MAWAR berduri
indah dipandang sukar didekati.
MAWAR harum mewangi
bukan untuk mengumpan simpati.
MAWAR sendiri
tetapi kukuh jati diri
segar di taman cinta hakiki
memekar kelopak insaf
melindungi diri.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar