Kamis, 18 Februari 2010

DI JARI AKSARA MENARI MENGINJAK USIA

19 FEBRUARI 2009 merupakan tarikh Di Jari Aksara Menari ditubuhkan. Sebelum itu, saya tidak begitu terdedah dengan aplikasi laman blog ini. Saya dibayangi rasa rendah diri untuk menulis. Berasa tidak layak untuk menulis. Walau bagaimanapun, mengikuti Bengkel Deklamasi Puisi di Kuantan pada awal Februari memberi keyakinan kepada saya. Meskipun bengkel tersebut merupakan bengkel deklamasi puisi, namun pengisian program yang disaratkan dengan motivasi untuk berkarya dan mendeklamasi memberi suntikan semangat kepada saya yang sering mempersoalkan kemampuan diri untuk berada dalam dunia sastera ini.

Bengkel tersebut diadakan selama empat hari empat malam di Hotel Seri Malaysia, Kuantan. Perjalanan dimulakan dengan kesihatan saya diserang demam serta batuk yang berlanjutan hingga akhir bengkel. Ingatan saya terhadap memorabilia berada dalam bengkel tersebut sangat kuat. Dengan menyertai bengkel tersebut, saya membina jalinan perkenalan dengan rakan fakulti sama ada dari peringkat diploma mahupun ijazah. Saya mengenali kebanyakan mereka sebagai individu yang berbakat. Kebanyakan daripada mereka juga sudah mempunyai status sebagai penulis baharu yang mantap. Ada yang sudah bergelar novelis dan ada juga yang bergelar penulis biografi.

Walau bagaimanapun, mereka baik-baik dan mesra belaka. Kemesraan mereka memudahkan saya untuk berinteraksi dan mengenali mereka. Mengenali mereka juga, saya mendapat tahu betapa rata-rata mereka sudah pun mempunyai laman blog masing-masing. Ketika itu, saya masih juga samar mengenai aplikasi blog. Hanya apabila pembimbing Marsli N.O berbicara serba sedikit tentang blog, barulah saya menyedari kemudahan aplikasi tersebut.

dalam bengkel vokal dengan Abang Rosman


Bengkel yang dibimbing oleh Prof Rahman Shaari dan juga Abang Rosman bagi bengkel vokal memberi keyakinan kepada saya bukan sahaja untuk mendeklmasikan puisi di hadapan khalayak, malah secara halus dengan kata-kata yang jitu memberi kekuatan untuk saya menghargai sedikit ilmu yang saya miliki dengan cara yang lebih bersaluran. Oleh sebab itulah, entri saya yang pertama di Di Jari Aksara Menari adalah berkenaan Bengkel Deklamasi Puisi tersebut.

Seminggu sesudah bengkel tersebut, saya yang biasa berada awal di perpustakaan mencari maklumat berkenaan penulis Azizi Hj Abdullah. Melalui carian itu, saya menemui beberapa blog sasterawan. Membaca tulisan mereka memberi inspirasi kepada saya untuk membina sebuah laman sesawang sendiri. Saya mahu membina sebuah laman sesawang sendiri untuk berkongsi maklumat tentang sedikit ilmu yang saya ada kepada mereka-mereka yang berminat untuk sama-sama belajar. Dalam masa yang sama, saya mahu menjadikan laman ini sebagai medan untuk saya mengasah kemahiran menulis saya.

Ya, sebelum menubuhkan laman ini. Aktiviti menulis saya lebih terhad kepada penulisan tugasan. Namun, kelahiran Di Jari Aksara Menari memberi ruang kepada saya untuk menulis sesuatu yang berbentuk ilmiah dan ada ketikanya berbentuk catatan harian. Dalam masa yang terus berjalan, saya semakin aktif menulis di laman ini. Ada rakan maya yang menghubungi saya, memaklumkan betapa mereka gembira mengambil manfaat yang ada. Namun demikian, ada jua 'cecacing' yang cuba memburukkan laman ini dengan pelbagai tuduhan tidak berasas. Mengintai aktiviti saya untuk dijadikan bahan kutukan di laman 'cecacing' pula. Walau bagaimanapun, saya tetap bertahan. Tidak mampu saya menghalang kehadiran 'cecacing' seperti itu yang saya sendiri yakin tidak akan menjatuhkan saya.

Istimewa bagi saya, Di Jari Aksara Menari melebarkan capaian kenalan saya. Melalui interaksi maya ini, saya dapat berhubung dengan tokoh sasterawan, guru, rakan yang terpisah dan penulis-penulis mapan yang sudi menunjuk ajar saya yang masih baru bertunas ini. Segala komentar bagi sesetengah entri yang saya tulis membuka ruang perkongsian maklumat dan pengalaman kepada saya. Melalui laman ini juga, ada rakan baru yang meluahkan rasa cinta mereka kepada bahasa ibunda sejak melayari laman ini. Pada satu masa, saya dihubungi melalui talian maya oleh seseorang yang menjadikan laman saya ini sebagai laman wajib untuk anaknya mempelajari struktur penulisan bahasa Melayu. Melalui laman maya ini juga, saya dapat berhubung dengan kenalan baru yang tidak pernah saya kenali.

Saya menjadikan laras tulisan bahasa Melayu baku sebagai medium penyampaian. Bagi saya, hal ini merupakan tanggungjawab yang wajar saya pikul sebagai seorang bangsa Melayu yang sangat cinta akan kedaulatan bahasa ibundanya. Ada kenalan rapat yang memberitahu medium tulisan yang saya pilih ini membuatkan sesetengah 'cecacing' mendakwa saya sebagai 'skima' dan cuba 'berlagak'. Saya tidak hiraukan pandangan sebegitu kerana saya juga gembira melihat lebih ramai kenalan maya yang mencintai bahasa turut sama mewarnai laman sesawang sendiri dengan medium pilihan ini. Saya tidak mungkin menurut dakwaan 'cecacing' yang tidak cinta dan memandang rendah akan ketinggian bahasanya.

Intihanya, Di Jari Aksara Menari merupakan satu medium untuk berlatih menulis dengan lebih baik. Menjadi rakan baik saya untuk merakam segala perasaan dan pengalaman. Juga menjadi lapangan untuk saya berkongsi ilmu dan maklumat yang ada. Pada tanggal ini, Di Jari Aksara Menari genap setahun usia. Masih mentah dan masih baru belajar untuk bertatih mendepani arus dunia modenisasi tanpa mahu meninggalkan segala yang patut dipegang sebagai sempadan dalam ruang sebuah kehidupan dunia yang berbalasan.
Kepada mereka yang menghargai Di Jari Aksara Menari, terima kasih saya ucapkan dan lawatan anda sangat sentiasa saya hargai.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar