Minggu, 21 Februari 2010

PERMATA TERPINGGIR

PADA SATU hari, saya berada di satu sudut. Sedang berusaha melakukan penterjemahan. Saya sendiri pada waktu itu. Aman sekali. Tiba-tiba saya mendengar kerusi di hadapan sudut saya bergerak. Dua orang baru tiba dan duduk di hadapan sudut saya yang berhalangan dengan kanvas. Mereka rancak berbual tentang sebuah drama terbaharu di sebuah stesen televisyen tempatan. Saya tahu tentang drama itu dan pernah juga menontonnya beberapa kali. Saya membiarkan perbualan mereka walaupun tidak sepatutnya di situ mereka cipta perbualan. Saya tidak berasa begitu terganggu kerana kerja penterjemahan tidak memerlukan saya memerlukan suasana yang sangat sunyi dan sepi seperti menjalani proses pembacaan dan penulisan.

Walau bagaimanapun, hati saya tersentak apabila mendengar perbualan mereka tentang anak. Seorang daripada mereka bercakap dengan lagak ingin memprovokasi rakannya. Rakan yang rasa diprovok itu menjawab dengan selamba :

Ah, buat apa? Gila dot. Leceh. Nak jaga dia menangis. Aku kalau dah kahwin, kurang-kurang lima tahun baru aku nak anak. Awal-awal kahwin kau dah nak anak, enjoy pun tak puas. Lepas tu kau menyesal. Hampeh.

Saya terkesima. Mereka juga tidak lama di situ. Sebuah panggilan telefon membuatkan mereka meninggalkan ruang. Suasana kembali aman seperti sebelumnya. Namun, pemergian mereka memberi kesan kepada saya untuk teringat pula akan kes seorang bayi yang diliwat oleh bapanya sendiri akhir bulan lalu dan kes seorang bayi yang dibakar di dalam sebuah tong sampah awal bulan ini. Ingatan itu mengheret pula saya untuk berfikir tentang kekejaman yang dilakukan ibu bapa sendiri terhadap anak yang dilahirkan.


Ibu bapalah yang menjadi asbab kepada kelahiran bayi comel yang senyumnya merupakan senyum paling ikhlas di dunia. Anak menjadi simbol kecintaan yang didasari pada sebuah jalinan hubungan yang diredai Tuhan. Boleh juga dianggap mereka sebagai satu bebanan jika hadirnya tanpa panduan agama dan fikiran waras terhadap tindakan yang dilakukan. Saya yakin, setiap individu tidak sewajarnya mengambil mudah persoalan anak. Setiap anak harus disayangi, dibimbing dan dibesarkan dengan baik agar kelak mampu memelihara ibu bapa dan mampu pula memberi syafaat di akhirat nanti. Tindakan ibu dan bapa yang membunuh serta membuang anak sendiri memang merupakan satu tindakan di luar batas kemanusiaan. Dan kelak, apabila diri sudah tidak bermaya dan keseorangan membelah usia tua, barulah mula mengingati semula anak yang sudah dibiar hina dan diperkosa haknya di dunia. Ketika itu barulah timbul rasa kesal atas segala perlakuan terhadap amanah Allah kepada mereka.

Setiap perhubungan yang dijalin harus diteliti secara tuntas dalam segenap aspek. Tujuan perhubungan, apakah untuk ke satu bahtera perkahwinan yang diredai Tuhan? Apakah untuk mengikuti sunnah rasul junjungan? Apakah untuk bersuka-sukaan tanpa haluan?

Apakah perlunya pula satu perhubungan sekiranya persoalan di atas tidak mampu dijawab dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab? Sesungguhnya, cinta itu satu fitrah namun salah tafsir dan salah haluan akan menyebabkan cinta menjadi fitnah yang hanya menghunjam pemiliknya ke lembah murka dan hina semata-mata. Dalam berhubungan, saya fikir sangat perlu untuk setiap inidividu menelaah dengan lebih dalam dan waras agar tidak ada apa-apa kekesalan dan kesalahan yang akan dilakukan kesan salah fikiran pada awal perhubungan. Dan yang penting, tiada insan tidak berdosa yang mendapat bahana dan ditimpa kekejaman atas salah fikiran dan awal tindakan yang tidak dipasakkan pada hukum Tuhan. Sekiranya sudah terlanjur melakukan sesuatu yang menyebabkan kelahiran mereka tanpa halal, usah pula diulang keterlanjuran dosa dengan membunuh serta menzalimi mereka. Sungguh, mereka tidak pernah bersalah dan sentiasa mulia di sisi pencipta. Tidak wajar bukan, membunuh dan menzalimi satu nyawa hanya untuk menutup malu yang pada akhirnya tetap akan dilupakan orang?

Seterusnya, saya teringat pula akan lagu Keluarga Bahagia yang pernah saya nyanyikan sewaktu menganggotai kumpulan nasyid di sekolah menengah dahulu. Ketika itu saya di tingkatan satu dan dilantik sebagai ketua kumpulan nasyid. Ustazah memberi tanggungjawab kepada saya untuk menggubah lirik lagu Keluarga Bahagia itu kepada bentuk lain namun tidak lagi saya ingat bentuk yang saya gubah itu. Hai, berlarutan pula ingatan saya disebabkan perbualan mereka itu.

Keluarga Bahagia

Sedamai taman firdausi
Limpahan kasih sayang sejati
Seharum semerbak kasturi
Mengharumi hidup insani

Indahnya damainya
Keluarga yang bahagia
Itulah idaman impian setiap insan
Yang dahagakan belaian
Serta kasih dan syaang

Ketika insan lain berbahagia
Bersama keluarga
Namun kita masih meniti
Titian rapuh perhubungan

Mengapa kita terpisah daripada rahmatNya
Mungkinkah kita seringkali melupakanNya
Ayuhlah bina semula
Keluarga diredhai Allah

Oh ayah oh ibu dengarlah rintihan
Dan luahan hatiku yang dahaga kasih
Jiwaku merasa terseksa ketandusan kasihmu
Marilah kita bina bersama-sama
Keluarga bahagia

Ayah ibu
Luangkanlah sedikit masa bersamaku
Ku rindukan kemesraan
Dan belaianmu

Saujana

Tidak ada komentar:

Posting Komentar