Novel Tuhan Manusia merupakan sebuah novel wacana yang sarat dengan inti ilmu untuk santapan minda dan intelektual para pembaca. Melihat kepada gejala murtad, kecenderungan golongan Melayu untuk menerima gaya hidup Barat yang bebas dan lepas tanpa sekatan syariat yang dianggap sebagai tidak relevan dalam arus dunia globalisasi menjadi isu utama dalam karya ini. Naskhah ini mengisahkan kepedihan hati keluarga kepada seseorang yang telah meninggalkan agama Islam dan memilih pluralisme sebagai pegangan hidup. Ali Taqi, pelajar tingkatan lima di Sekolah Kebangsaan Muhammad Jawad melalui kesedihan dan kepedihan hati apabila abangnya iaitu Talha telah berpaling daripada Islam setelah terpengaruh dengan fahaman pluralisme yang dibawa oleh golongan seperti Encik Aris.

Tindakan Talha itu membuatkan ayah Ali Taqi mengalami penderitaan emosi yang mendalam apabila perlu berhadapan dengan hakikat kemurtadan anaknya. Apatah lagi setelah kematian isterinya iaitu Saodah tidak lama selepas berpalingnya Talha. Ayah Ali Taqi iaitu Mohamad, seorang pensyarah yang sudah pencen tinggal seorang diri di rumah mereka di utara negara. Atas kemurtadan Talha, Mohamad enggan mengakuinya sebagai anak. Manakala Ali Taqi pula tekad untuk menguasai fahaman pluralisme dan liberalisme yang semakin menular dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Sebagai remaja yang dimatangkan oleh kemurtadan Talha, Ali Taqi tekad untuk memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai penularan fahaman pluralisme yang menyarankan penerimaan dan persamaan terhadap semua agama.
Perbincangan dan pemahaman Ali Taqi semakin bercambah apabila dia menemui Ustaz Mujtaba untuk mengetahui asas fahaman pluralisme. Sememangnya keinginan Ali Taqi itu mengejutkan Ustaz Mujtaba lantaran tidak ramai atau sangat sedikit remaja dewasa kini yang mempunyai nilai kesedaran yang tinggi dalam memahami dan memerangi gejala murtad. Namun demikian, pengarang mencipta watak Ali Taqi sebagai pemuda gigih jiwa yang berazam untuk menyumbang kepada agenda mematahkan fahaman pluralisme yang dibawa oleh Encik Aris, ayah kepada Zehra yang juga rakan sekelasnya. Pertemuan awal Ali Taqi dengan Ustaz Mujtaba dilihat sebagai perintis perjalanan Ali Taqi untuk mendalami ilmu pluralisme, bukan untuk menyertainya akan tetapi sebagai persediaan mematahkan setiap agenda pluralisme yang boleh mempengaruhi pemuda seperti dia dan Talha. Hal ini dikemukakan pengarang melalui sudut pandangan pertama Ali Taqi dalam wacananya dengan Ustaz Mujtaba :
"Wowo, terima kasih, ustaz." Saya keriangan kerana berasa bertambah ilmu.
Ustaz Mujtaba terus bersemangat. "Ada lagi kesesatan kaum pluralis ini. Kita semak pula faham keempat. Menurut mereka semua agama adalah satu komponen hakikat. Ertinya, hakikat yang benar dan utuh itu sedikit terpecah ke dalam agama Islam, sedikit yang lain terpecah ke dalam agama Kristian dan yang lain pula terdapat dalam agama Hindu misalnya. Jadi tak ada agama yang sempurna. Yang ada hanya hakikat dan kebenaran yang beragam-ragam di sana sini. Jadi pada mereka semua agama sama ... ini membuktikan pluralis seperti bapa Zehra dengan sedar menjadikan pluralisme itu satu agama baru, yang diciptakan manusia, gabung semua, percayakan semua ..."
"Dahsyat!" kata saya hilang bicara (2007:41)
Novel ini dimulakan pengarang dengan perjalanan Ali Taqi untuk pulang ke kota peradabannya di utara negara sempena cuti persekolahan. Sebahagian wacana dan perbincangan muncul dalam imbas kembali ingatan Ali Taqi sepanjang perjalanannya ke kota peradaban. Hal ini dapat dilihat apabila ketibaan Ali Taqi di rumah bapanya hanya berlaku dalam bab tiga belas.
Sebagai langkah awal untuk memberi kefahaman mengenai pluralisme dan kemurtadan terhadap golongan remaja, Ali Taqi, Abang Abbas dan rakan-rakannya seperti Fendi dan Irfam telah mendapatkan kebenaran pengetua sekolah untuk menganjurkan forum mengenai isu terbabit. Hal ini dianggap penting terutamanya oleh Ali Taqi yang tidak mahu remaja seperti Zehra yang asyik dalam fahaman pluralisme bawaan ayahnya, Encik Aris merebak dan menular ke dalam diri rakan-rakan dan masyarakat luar. Ali Taqi tidak mahu peristiwa berpalingnya Talha semakin bertambah. Apatah lagi, adalah penting untuk menambah golongan yang mempunyai pengetahuan dan penguasaan terhadap ilmu berkenaan untuk mematahkan agenda jahat golongan yang cuba menyesatkan dan memurtadkan golongan muslim. Oleh sebab itu, kumpulan remaja berjiwa kental dalam mempertahakan Islam yang dipimpin oleh Ustaz Mujtaba itu telah menjemput dua orang panel untuk membincangkan isu berkenaan dalam forum anjuran mereka.
Forum itu telah membawa pertemuan antara Profesor Mahfuz dengan Encik Aris. Pertemuan kedua-dua tokoh berkenaan mewakili pihak 'Islam liberal' dan 'Islam tulen'. Dalam dialog berkenaan, Profesor Mahfuz telah menerangkan kepada pembaca dan khalayak forum mengenai fahaman liberalisme seperti sebahagian daripada petikan berikut :
Seorang guru bangun untuk bertanya soalan. Guru tersebut ialah guru sejarah bernama Cikgu Awab . "Saya nak tuju soalan ini kepada Profesor Mahfuz. Pada pandangan profesor kenapa lahirnya gerakan Islam liberal?"
Profesor Mahfuz menyambut soalan penting itu dengan penuh serius. "Gerakan liberal ini ialah bibit gerakan sekularisme. Fenomena ini lahir kerana penjajahan Barat ke atas negara-negara Timur dan rantau Islam. Kemudian dunia Islam ketinggalan pula dalam bidang sains dan teknologi. Sikap umat Islam terhadap dua keadaan inilah yang menyebabkan fenomena Islam liberal ini muncul.
Sikap pertama ialah orang Islam berasa rendah diri dan menerima kemunduran mereka. Sikap kedua terbentuk pada segolongan orang Islam yang beranggapan agamalah penyebab kemunduran ini lalu mereka meninggalkan agama terus dan tergila-gilakan Barat. Sikap ketiga ialah sikap sekelompok umat Islam yang bersetujut memang agamalah penyebab kemunduran maka mereka menyarankan tafsiran baru terhadap agama (2007: 196-197)
Ujaran jawapan Profesor Mahfuz yang padat mengenai liberalisme dan sekularisme memberikan tekanan kepada Encik Abbas dan Zehra sendiri. Namun demikian, setiap penerangan Encik Aris mengenai 'kebaikan' pluralisme disambut dengan ejekan dan lafaz istigfar oleh khalayak dewan perhimpunan. Encik Aris juga telah menyalahgunakan kata-kata ahli falsafah sufi iaitu Jalaluddin Rumi yang telah diselewengkan terjemahannya:
The lamps are different, but the lights is the same atau lampu adalah berbeza-beza, tapi cahaya tetap sama (2007:177)
Walau bagaimanapun, Profesor Mahfuz yang peka akan penyelewengan terhadap kata-kata hikmah ahli falsafah sufi berkenaan telah memberi pencerahan kepada pembaca dan hadirin dewan perhimpunan sebelum menamatkan sesi beliau bahawa bait puisi yang dibacakan oleh Encik Aris itu ialah bait puisi John Hick yang telah diberi kesan baru hasil terjemahannya secara bebas. Profesor Mahfuz menjelaskan terjemahan asal karya Rumi oleh R.A Nicholson iaitu terjemahan asal kepada bahasa Inggeris yang sebenar berbunyi :
The lights is not different, (though) the lamp has become different. Jika dibandingkan kedua-duanya, kita akan dapati terjemahan John Hick adalah terjemahan dan tafsiran yang begitu out of context. Dan memang lampu memancarkan cahaya yang sama tetapi ada banyak jenis cahaya. Cahaya malap tak sama dengan cahaya terang. Sekian, terima kasih. (2007:186)
Perasaan dan fikiran khalayak pembaca ditarik untuk mengikut gerak fikir dan emosi Ali Taqi sepanjang membaca karya ini. Segala kegelisahan, kesedihan dan ketekadan Ali Taqi terhadap berpalingnya Talha dapat dirasai pembaca. Namun demikian, kemuncak perasaan dan tindakan Ali Taqi akan semakin menyentak emosi pembaca pada akhir bab dua belas, iaitu bab yang memuatkan sesi dialog antara Profesor Mahfuz dengan Encik Aris mengenai Islam liberal dan Islam tulen. Dalam akhir bab ini, Ali Taqi yang tidak dapat menahan rasa terhadap kesongsangan fahaman pluralis yang dibawa Encik Aris telah bangkit ke tengah dewan seraya melontarkan soalan yang menyepikan seluruh isi dewan dan memberi tekanan kepada Encik Aris. Ali Taqi telah memperkenalkan dirinya sebagai adik kepada Talha dan mendakwa Encik Aris yang memegang jawatan sebagai editor majalah liberal dan peguam hak asasi telah membantu Talha menjadi murtad. Ali Taqi dengan penuh emosional menuntut penjelasan daripada Encik Aris atas nama arwah ibunya.
Tanpa langsung meninggalkan walau sebentar pun perjalanan cerita mengenai wacana pluralisme dan liberalisme, Andrew Tse sebagai sahabat Alil Taqi telah memberi kejutan kepada teraju utama karya ini sebaik-baik mereka bertemu di kolam, tempat pertemuan mereka. Andrew Tse yang terpaut hatinya kepada Islam melalui wacana sebuah novel telah memberitahu Ali Taqi akan penghijrahannya sebagai seorang muslim. Andrew memohon bantuan Ali Taqi dan ayahnya untuk memberitahu ibu dan bapanya yang masih tidak mengetahui hakikat penghijrahannya. Pengakuan Andrew Tse mendatangkan rasa hiba kepada Mohamad yang menganggap penghijrahan Tse sebagai hadiah berharga buat dirinya setelah berpalingnya anak bernama Talha. Atas keindahan akhlak Ali Taqi dan Mohamad yang sangat dikenali oleh ibu bapa Tse, mereka sendiri berasa terharu dengan tindakan Tse :
"Selama ini saya percaya Encik Mat. Sungguh-sungguh percaya." Encik Tse mengesat air mata yang turun dalam diam.
"Maafkan saya, ayah ..." Tse turut teresak.
"Bila anak Encik Mat masuk Kristian, dia lari begitu sahaja ... lari begitu sahaja. Anak Encik Mat tinggalkan Encik Mat, dan sekarang ..."
Tse menangis beria-ia. Engkau mahu membuka mulut tetapi abahmu memegang lenganmu meminta supaya tidak bersuara apa pun di saat yang penuh drama tersebut.
"Bila anak saya memilih untuk masuk Islam, Encik Mat pulangkan semula kepada saya. Malah anak saya memilih untuk bersama saya ... selama ini saya memang mengagumi akhlak Encik Mat. Saya ... saya tiada halangan jika beginilah caranya." (2007: 223-224)
Novel setebal 340 halaman ini dipenuhi dengan perbahasan intelektual yang sarat dengan fakta dan sumber rujukan yang diturunkan pengarang melalui dialog para watak yang berwibawa. Talha yang menetap di Sarawak telah meninggal dunia kesan puting beliung dahsyat yang hanya merosakkan rumahnya. Khabar berkenaan disampaikan oleh Encik Aris dan Zehra sebaik-baik Ali Taqi dan Mohamad tiba di rumah setelah pulang dari mengerjakan umrah. Kematian Talha menjadi satu simbolik pembalasan Allah terhadap pengkhianatan yang dilakukannya kepada Allah sendiri. Khalayak pembaca barangkali akan berasa ketinggalan dan kepingin untuk mengetahui proses pembesaran dan kedewasaan Ali Taqi lantaran pengarang terus memperkenalkan Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad dalam bab 20. Watak remaja yang seterusnya bangkit sebagai ahli falsafah Islam lantaran kedurjanaan Talha telah menjadi lulusan Harcard, Qom dan Sorbonne. Ali Taqi berjaya memahami semua masalah yang timbul di Barat, Timur dan juga masalah-masalah dunia Islam.
Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad membesar dan meniti kedewasaan hidupnya bersandarkan pada kata-kata keramat arwah ibunya yang menjadi pembuka bagi setiap bab di dalam novel ini iaitu:
1. Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya dan, menurut ibu, tiang serinya adalah agama (Bab 1-10)
2. Andai kota itu peradaban, rumahmu adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama (Bab 11-15)
3. Andai kota itu peradaban, rumah kita adalah budaya, dan menurut ibu lagi, riang serinya adalah agama (Bab 16-19)
4. Andai kota itu peradaban, rumah utamanya haruslah budaya, dan tiang seri rumah itu hendaklah agama (Bab 20)
Jika diperhatikan, terdapat perbezaan kata ganti nama diri dalam keempat-empat frasa berkenaan. Yang membawa persamaannya ialah frasa berkenaan merupakan peninggalan kata hikmah yang diberikan oleh arwah ibu Ali Taqi. Tinggalan warisan agung berkenaan diperturunkan pula oleh Ali Taqi kepada tiga orang anak dan cucunya, Abbas. Pembaca sendiri pada awalnya akan berasa misteri dengan ungkapan berkenaan, namun pembacaan dan penelitian terhadap fikiran Mohamad, Ali Taqi dan Andrew Tse akan membuka jalan untuk pembaca mentafsir ungkapan keramat arwah ibu Ali Taqi.
Dengan tulisan 'semoga bermanfaat' oleh Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad terhadap buku yang dibeli oleh Fatimah, anak kepada Zehra, sebegitu jugalah matlamat utama pengarang terhadap karya ini. Sebuah novel wacana yang penuh dengan hikmah, sarat dengan mutiara dan memberi ruang terhadap pencerahan jiwa ini sememangnya sangat bermanfaat kepada para pembaca, terutamanya dalam mendalami ilmu pluralisme dan menghayati soal murtad dari segi hukum dan pelaksanaan yang sewajarnya.
Gaya bahasa wacana yang tidak mengabaikan aspek estetika bahasa dan latar menjadikan karya ini sesuai untuk bacaan setiap khalayak pembaca yang dahagakan pencerahan minda dalam bentuk yang sastera. Dalam masa yang sama, buah tangan Faisal Tehrani yang diterbitkan oleh Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd ini sangat perlu untuk dihayati oleh semua golongan yang cinta akan agama dan pengetahuan dan mendambakan pencerahan rohani.
~Usah jadikan nafsu sebagai Tuhan Manusia, kelak hidup dirundung celaka dan jiwa hilang bahagia~
Tidak ada komentar:
Posting Komentar