Berdasarkan pada wawancara tersebut, Dr. Nazmi (DN) yang usai membentangkan Syarahan Perdana Profesor Dr. Nazmi Abdul Malik berjudul '1699: Saasatul Ibaad dan Revolusi Melayu' di Bilik Canseleri Universiti Kebangsaan Malaysia memberi penegasan akan pendirian dan keyakinan beliau terhadap revolusi menentang feudalisme dan kuasa monarki yang telah sebati di alam Melayu sebenarnya telah berlaku lebih awal daripada Revolusi Perancis yang sering diuar-uarkan sebagai revolusi terawal di dunia.

Berdasarkan kajian mengenai Johor Lama, Dr. Nazmi menegaskan bahawa revolusi mental yang dilakukan oleh masyarakat Melayu di Johor pada tahun 1699 telah membuka dimensi baru terhadap paradigma dan kebudayaan masyarakat Melayu terutamanya dari aspek politik. Revolusi Mental yang dilakukan oleh rakyat pada zaman berkenaan lebih tertumpu pada kepincangan dan kepongahan yang dilakukan oleh Sultan Mahmud Syah yang juga kaya dengan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat jelata. Lebih menimbulkan kontroversi apabila kajian mendapati kecenderungan seksual Sultan Mahmud Syah yang dilenyapkan oleh sejarah dan istana. Pusat kajian Dr. Nazmi terhadap sahsiah Sultan Mahmud Syah memberikan gambaran bahawa terdapat pandangan 'mulia' rakyat terhadap kedudukan sultan yang perlu diperbetulkan demi memelihara akidah dan keharmonian negara dan rakyat jelata:
DN : Apa yang berlaku pada tahun 1699 ialah penindasan spiritual yang dahsyat sehingga rakyat memerlukan jalan keluar. Asiah isteri Firaun misalnya hidup dalam istana yang mewah dan serba cukup tetapi masih melawan dalam senyap kerana dari segi rohaniahnya masih tertindas dan dizalimi. Hak Asiah untuk mengesakan Allah, untuk beriman, untuk mengamalkan akhlak yang mulia dicabul Firaun. Revolusi senyap Asiah ini dihargai Allah dan dinobat sebagai salah seorang penghulu wanita di syurga. Adalah penting untuk kita fahami, revolusi 1699 ini berlaku jauh lebih awal sebelum berlakunya revolusi 1979 di Iran yang mempunyai maksud yang sama; iaitu untuk membebaskan diri dari belenggu penindasan spiritual.
Sultan Mahmud telah mengabaikan pembangunan rohani rakyatnya. Malah menganiaya mereka. Tidak hairanlah rakyat bangkit menentang baginda. Persoalan moral Sultan Mahmud itu hanyalah satu faktor dari banyak faktor yang mendorong revolusi 1699 (2009:5). Wawancara antara wartawan Mingguan Nusantara dengan Dr. Nazmi yang terzahir dalam beberapa helai muka surat daripada keseluruhan Saasatul Ibaad boleh dilihat sebagai satu imbas muka terhadap kisah-kisah yang bakal ditelusuri melalui pembacaan seterusnya. Dalam hal ini, wawancara berkenaan berperanan sebagai penyelongkaran terhadap penemuan Dr. Nazmi akan sejarah Johor Lama yang telah ‘dirahsiakan' sejarah. Pendedahan yang dilakukan oleh Dr. Nazmi merupakan satu tanggungjawab sosial yang dilakukan bagi membetulkan pandangan songsang rakyat yang melihat sultan sebagai 'bayang-bayang Allah' dengan segala kemuliaan sehingga menyembunyikan kesongsangan yang dibawa pemerintah. Secara telus, novel ini mengetengahkan konsep tanggungjawab pemerintah dalam memerintah berdasarkan akidah dan tauhid yang benar terhadap Allah SWT.
Berdasarkan konsep tersebut, pengarang telah mengemukakan enam fasal mengenai etika pemerintahan untuk pemerintah. Fasal-fasal tersebut telah ditulis oleh Orang Kaya Dato' Utama Mahadi Hasan dari Naning. Dato Mahadi Hasan yang terkenal dengan sifat waraknya telah dijemput oleh Bendahara Tun Habib untuk menjadi mualim kepada anakandanya Tun Abdul Jalil. Kebijaksanaan Tun Habib dalam mengendalikan urusan negara bagi mewakili Sultan Mahmud Syah yang masih kanak-kanak telah mendatangkan keresahan pihak Belanda yang sebelum itu sering mendapat 'manfaat' melalui pemerintahan Bendahara Tun Abdul Jamil.
Sebagai seorang pemimpin yang mempunyai kesedaran dan tanggungjawab yang tinggi terhadap agama dan rakyatnya, Tun Habib berkehendakkan agar anakandanya yang akan menggantikan kedudukannya kelak akan menjadi seorang pelaku siasah (saasatul ibaad) yang bijaksana dan mempunyai kekuatan rohani yang tinggi. Bagi Tun Habib, kekuatan rohani seseorang pemimpin sangat penting bagi memastikan golongan yang dipimpin hidup sejahtera. Sikap tidak senonoh Sultan yang lebih menyukai golongan teruna telah menjadi polemik dalam kalangan ahli istana. Usaha Tun Habib dan Dato' Mahadi Hasan untuk menegur kepincangan sahsiah Sultan Mahmud Syah itu tidak mendapat sokongan daripada Raja Fatimah, bonda Sultan Mahmud Syah yang juga gagal mengawal peri laku buruk anakandanya.
Sikap kejam, zalim dan gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan adil mengikut lunas-lunas agama telah menjadi pencetus kepada kewujudan keenam-enam fasal yang diperturunkan Dato' Mahadi Hasan. Boleh dikatakan juga, selain memperlihatkan etika pemerintahan dan kepimpinan, fasal-fasal berkenaan secara halus dengan menggunakan bahasa klasik yang sangat mesra berserta retorik yang indah sebagai nasihat kepada Tun Abdul Jalil dan khalayak pembaca khususunya untuk ditelaah dan diambil manfaatnya.
Fasal-fasal dan petikan inti fasal yang dimaksudkan ialah :
1. Fasal Raja Itu Beriman dan Bertakwa Kepada Allah
Belajar kita dari pengalaman umat terdahulu maka kita dapati bahawa memisahkan ilmu dari iman telah melahirkan kecelakaan yang tiada dapat dihindari. Adalah kerana itulah, iman tidak dapat ia melainkan harus ia berada di bawah liwa ilmu sehingga iman itu akan terjauh ia dari kepercayaan tahayul. Janganlah dipisahkan ilmu dari iman, kerana dengan itu dapat iman itu menjadi kontang, dapat ia ternoda oleh setia buta, kerusuhan jiwa dan membendung manusia dari mencapai tingkatan rohani (2009:38).
2. Fasal Raja Itu Mesti Adil dan Amanah
Inilah ilmu keadilan, dan amanah untuk pembesar, dan raja yang berhak diketahui anakanda. Bahawasanya, adalah keadilan itu wahai anakanda Abdul Jalil secara lughatan ertinya sama dan menyamakan ia. Adapun pengertian kita itu menurut pandangan rakyat jua, adalah keadilan itu menjaga akan raja hak-hak orang. Maka faham kita akan keadilan itu adalah ia lawan kezaliman yang membawa pengertian merampas kita akan hak-hak orang lain (2009: 83).
3. Fasal Raja Itu Mengerti Setiap Rakyat itu Berjiwa Merdeka
Anakanda Abdul Jalil, adalah menjadi satu keutamaan akan kebebasan rohani itu adalah lepas dari apa macam keadaan, hubungan atau nisbah yang tidak diinginkan. Yakni kasih sayang seorang ibu dengan segala kerelaan, dan ikhtiarnya tiadalah ia bertentangan dengan kebebasan. Jadi kebebasan atau kemerdekaan manusia itu adalah tiada adanya keterikatan seseorang itu kepada apa-apa keadaan, hubungan atau nisbah yang tidak diinginkannya (2009:117).
4. Fasal Raja Itu Hendaklah Berilmu
Saat kita mengatakan renungan itu adalah ia bermaksud kita mengupas, dan mendapatkan pengajaran dari segala hal yang berlaku bukanlah kita melihat-lihat ia secara sekilas, dan ringkas sahaja. Jika sekadar kita mengetahui apa yang berlaku pada tahun-tahun sekian- sekian misalnya maka itu ertinya kita tiada bersungguh. Yang hendak kita tahu itu anakanda adalah apa ia dapat pelajari, dan apa ia dapat dihindari. Tiada seorang pembesar itu membiarkan sahaja kejahatan kerana barangsiapa yang tiada ia merasa gelisah dengan kejahatan maka dia itu ketahuilah tiada mempunyai kehendak untuk membuat baik (2009:160).
5. Fasal Raja Hendaklah Memberi Hak Perempuan
Anakanda Abdul Jalil, janganlah terpedaya oleh amalan pembesar dan raja terdahulu menjadikan perempuan itu alat pemuas nafsu, dan gundik. Adapun manusia ini secara menyeluruh, tiada kira jantina semuanya ada peluang yang sama untuk dapat ia mencapai nilai sempurna yakni insan kamil. Adalah jaminan hal ini pada Allah itu sebagai Sang Pencipta manusia itu sendiri, yang mana Ia berfirman pada surah al-Ahzab ayat tiga puluh lima : Sesungguhnya lelaki dan wanita yang muslim, lelaki dan wanita yang mukmin Allah telah menyediakan untuk mereka pahala dan keampunan yang besar (2009:189).
6. Fasal Raja Itu Mesti Berakhlak
Adapun akhlak baik yang diajarkan agama itu akan ia melambungkan kita manusia secara peribadi dan umat ke pelabuhan kebahagiaan. Dapat kita, baik raja, atau hamba biasa untuk sampai ke tingkat tertinggi kemanusiaan. Inilah yang dikatakan ghani atau kaya itu yakni manusia itu sudah tidak memerlukan ia apa pun lagi (2009: 218).
Kemuncak narasi dalam novel ini dapat dikesan pada peristiwa kezaliman yang dilakukan Sultan Mahmud Syah terhadap isteri kepada Megat Sri Rama iaitu Siti Jenab. Sultan Mahmud Syah telah membelah perut Siti Jenab yang sedang mengandung secara terbuka dan meminta hamba suruhannya mengeluarkan janin di dalam rahimnya apabila Siti Jenab memberitahu akan sebab utamanya untuk memakan seulas nangka raja adalah kerana 'pembawaan' dan keinginan bayi yang dikandungkan. Kezaliman yang tidak dapat dibendung itu telah mencetuskan pemberontakan dalam kalangan rakyat yang disifatkan oleh Dr. Nazmi sebagai revolusi mental apabila rakyat Johor tidak lagi dapat menerima kedaulatan raja yang zalim meskipun telah dimomokkan sejak zaman-berzaman bahawa sultan atau raja itu sebagai 'bayang-bayang Allah' di muka bumi.
Kesan daripada peristiwa Sultan Mahmud mangkat setelah dilembing Megat Sri Rama ketika sedang berangkat menuju ke masjid. Kematian Sultan Mahmud Syah dianggap sebagai kejayaan rakyat dalam menumpaskan pemerintah yang kejam dan sistem feudalisme yang tidak mementingkan hak rakyat. Dalam masa yang sama, tindakan rakyat mengangkat Tun Abdul Jalil sebagai sultan Johor memperlihatkan keinginan dan kesungguhan rakyat yang tidak lagi mahu hidup dalam kegelapan dan kesesatan sebaliknya kepingin untuk dipimpin oleh seorang sultan yang mampu menunjukkan laluan Islam sebenara dalam kehidupan mereka:
"Pinta kami Dato' Bendahara jadi raja membawa manusia menghambakan Allah. Penat sudah kami berhamba sesama sendiri. Bawakan manusia lepaskan syirik kepada tauhid. Adalah kita percaya itulah kita jadi ditindas begini sampai tiada berani sanggah, tiada berani melawan konon derhaka itu melanggar daulat. Adalah derhaka itu hanya kepada Allah dan Nabi. Terpulanglah Dato' Bendahara membawa kami ke mana, bawalah kami ke negeri ukhrawi. Sudah nahas sangat kami di negeri Johor tiada pemimpin mengajar agama" (2009:255-256).
Menguliti novel ini menuntut pembaca untuk berlapang dada, berfikiran rasional dan memanfaatkan setiap espistemologi yang termuat di dalam karya ini secara berkesan meskipun secara harfiah, karya ini kelihatan membawa plot yang agak mudah. Namun demikian, beberapa kesalahan mikro terutamanya dari segi ejaan adalah sangat perlu diperhatikan oleh pihak editorial agar mampu dibaiki seterusnya mengelakkan daripada berlakunya salah faham terhadap maksud yang cuba disampaikan. Dalam masa yang sama, kesalahan tersebut wajar dielakkan dan diperbetulkan bagi memberi penghormatan terhadap sebuah karya sastera yang mengungkapkan isu yang sangat besar dan berkualiti. Sebagai sebuah karya sastera, novel ini menterjemahkan peranan seseorang sasterawan yang bukan sekadar berperanan sebagai peramal masa depan, akan tetapi juga sebagai perakam sejarah silam dalam mendidik manusia menjadi insan yang mengenal diri dan peribadi bangsa yang disertainya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar