Tampilkan postingan dengan label BBS. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label BBS. Tampilkan semua postingan

Selasa, 17 April 2012

KISAH SI COMEL DALAM MASTIKA APRIL 2012


Kisah Kucing Tanpa Nama yang saya temui pada Januari lalu tersiar di majalah Mastika April 2012. Walaupun si comel sudah tiada, namun dia 'hidup' dalam kenangan dan pembaca-pembaca Mastika yang menghargai kewujudan si comel.


Buat insan yang berakal fikiran, hargailah haiwan-haiwan di persekitaran kita kerana kewujudan mereka juga bukti kebesaran Allah yang Maha Kuasa. Jangan pandang, sebelah mata


Salam kemanusiaan

Selasa, 14 Desember 2010

JANGAN, JANGAN


Jangan berkata jika hanya ada dusta.
Jangan berjanji jika ada rencana untuk mungkiri.
Jangan berharap jika sudah nampak lorong gelap.
Jangan menanti jika tahu tiada akan kembali.

Minggu, 12 Desember 2010

SURAT SAYA UNTUK ANDA

SALAM BUAT ANDA,

Buat Anda yang diingati dalam doa dan hati. Semoga Anda sentiasa bahagia dan diredai Ilahi. Hanya bicara biasa dari sekeping hati setelah lama merenung bulan di tengah malam ini. Di malam Disember ini. Saya teringat akan Anda. Terkenang peristiwa Disember yang lalu.

Apakah Anda masih ingat Disember yang lalu? Pada satu petang, ketika kita mahu pulang. Saya tidak mengenali Anda tetapi Anda mengenali saya. Anda seorang yang peramah, mesra dan mudah dibawa bicara. Dalam ramah Anda itu, ada tegas yang tidak boleh diusik. Ya, di dalam lif itu. Di hujung Disember itu, anda menegur saya yang tergesa-gesa masuk dengan sekaki payung yang sentiasa menjadi teman kalau-kalau hujan mahu mengiringi saya pulang.

Anda memanggil saya dengan nama pena itu sedang saya berdiri benar-benar di depan pintu lif. Membelakangi Anda. Saya menoleh dan cuba mengenali Anda tetapi memang benar, saya tidak kenal akan Anda ketika itu. Saya tertanya-tanya malah bertanya berkali-kali kepada Anda "Siapa ya? Kita kenal?", tetapi Anda hanya tersenyum simpul dan enggan menjawab. Anda menyebut pula laman maya saya itu.

Oh, Anda sengaja memancing rasa ingin tahu saya tentang Anda apabila menyebut nama laman maya saya ini. Sekali lagi saya bertanya "Siapa ya?" Penuh teruja untuk mengenali Anda. Akan tetapi, Anda hanya senyum dan masih enggan memperkenalkan diri. Sebaik-baik lif terbuka, Anda keluar. Saya juga keluar. Anda melambai ke arah saya yang masih menanti dengan sekaki payung itu kalau-kalau Anda ingin memperkenalkan diri. Saya mencuri pandang tanda nama Anda, akan tetapi Anda segera menutupnya. Ah, Anda sengaja memancing pertanyaan saya yang saya bawa pulang hingga ke rumah.


Anda yang diingati,

Itu detik perkenalan kita. Setahun yang lalu, dalam Disember yang lalu. Allah mempertemukan kita dengan cara yang direncana-Nya. Terima kasih kepada-Nya kerana mempertemukan saya dengan Anda. Meski sentiasa berjarak, banyak perkara yang saya timba daripada Anda.

Anda yang diingati,

Maaf andai warkah maya ini tidak anda senangi. Seperti kata tadi, saya melihat bulan di tengah malam ini dan segera teringat akan Disember yang telah berlalu pergi setahun lalu . Anda suka membaca dan pantas membaca. Anda membaca saya yang punya tingkap begitu kecil. Anda mengetuknya perlahan, dan lantas saya membuka sedikit demi sedikit. Menjenguk keluar dan melihat Anda berdiri sambil tersenyum. Anda, lantas saya jemput masuk dengan hati gembira. Pernah saya berasa sedikit terguris apabila mengetahui sesuatu yang Anda lakukan untuk saya, tanpa pengetahuan saya. Cuba saya menjarakkan diri daripada Anda namun saya tahu yang salah ialah saya, salah mentafsir bantuan Anda. Saya metah muda dan begitu mudah rajuknya. Saya diam seketika. Namun, keprihatinan Anda membuang rasa yang tidak indah itu dan lantas kita bersama menjejak awan biru. Maafkanlah saya. Anda dan saya, ditakdirkan bertemu. Tanpa kita rancang. Tanpa pernah saya duga.

Malam yang dingin ini,

Setahun itu telah berlalu, saya memang suka mengingati detik-detik penting seperti itu. Sampai bila-bila, saya tidak akan lupa.

Kepada Anda, saya ucapkan terima kasih kerana sudi membuka ruang perkenalan yang indah ini. Mata Anda bagaikan helang, persis mahu melihat segala isi di dalam. Selalunya, saya mengelak untuk memandang mata helang Anda itu namun saya tetap suka dan gembira melihat dan bertemu dengan Anda. Hikmah bicara Anda sentiasa memberi sesuatu walau ada ketika berat untuk saya terima. Bukan salah Anda, tetapi saya yang belum mampu terima.

Buat Anda yang diingati.

Semoga Anda bahagia dan diredai Ilahi. Terima kasih atas perkenalan ini dan maafkan saya andai ada kekurangan dan kesalahan saya sepanjang setahun perkenalan ini. Terima kasih, atas huluran ukhwah ini. Tiada apa-apa yang mampu saya beri kepada Anda tetapi Anda sentiasa memberi kepada saya. Maafkan saya, andai saya pernah menganggu harmoni jiwa dan bahagia masa Anda. Semoga Allah memberkati Anda sentiasa. Terima kasih, Anda.

Yang benar,

saya

Sabtu, 11 Desember 2010

BULAN MALAM



Bulan suram di tengah malam
ada debar di dada kelam
sejenak kabur ditelan bayang
Bulan suram kembali terang.

Rabu, 08 Desember 2010

DIAM DALAM MALAM

diam.
diam.
diam
diam.
diam.
diam.
diam.
diam,
diam,
diam,
diam,
diam,
diam,
diam,
diam,

dalam
dalam
dalam
dalam
dalam
dalam


malam
malam
malam
malam
malam
malam
malam
malam

Senin, 06 Desember 2010

SIAPA YANG TAK PERNAH MENANGIS




Siapa yang tidak pernah menangis
di hujung setiap ketawa dan lupa.

Siapakah di antara kita
yang memalingkan muka
ketika mendengar kalimah Tuhan?

Banyak bakti yang dapat diberi
sepanjang hidup yang sesingkat ini
lautan manusia berombakkan nafsu
kebenaran terdampar di pantai kecewa.

Air mata seperti mutiara
apakah itu rasa keinsafan
rintihan dari hati yang rindu
apakah itu hakikat cintamu?

Lagu: Zubir Ali
Lirik : Nazri

Tuhan,
kembalikan hamba satu ruang
agar hamba betah membuang segala bungkam
kelam dan tangis pendam
tanpa, ada insan kelihatan.

~NFF~

BAHAGIA SAMPAI KE SYURGA

SAYA pulang agak kecewa setelah sesi yang seharusnya berjalan hari ini ditunda tiba-tiba. Ya, memang kecewa apabila setiap kos yang keluar dibawa pulang tanpa apa-apa imbuhan. Hujan renyai mengiringi perjalanan saya merentasi Padang Merbuk, terus ke perhentian bas di Sogo. Syukur, sebaik-baik melintasi laluan pejalan kaki, bas Metro 11 tiba. Rasa kantuk dan mendung cuaca membuatkan saya alah dengan lelah mata untuk berjaga. Dalam separuh sedar, saya melihat sepasang warga tua yang menaiki bas di depan Hotel Quality. Mereka duduk di bahagian sebelah saya, berdepan sungguh dengan pintu bas. Kedua-duanya rancak berbual.

Saya tertidur dan jaga semula di depan Masjid Amaniah, Jalan Sungai Tua. Hujan sudah turun mencurah-curah. Jam di pergelangan tangan saya lihat, jam 3:30 petang. Menghampiri perhentian bas, saya lekas berdiri di depan tangga pintu. Pasangan warga tua yang memang pikun dari rupa paras itu juga bangun. Barangkali mereka tinggal berhampiran kejiranan saya juga. Mereka memegang beberapa bungkus beg plastik Mydin. Pasti mereka dari pasar raya Mydin di Kuala Lumpur. Ketika bas hampir berhenti, pak cik itu meminta beg plastik daripada mak cik itu. Namun, mak cik enggan memberikannya dan berkata "tak apa, tak apa. Cepat, hujan ni."Pak cik membuka payung kecil warna ungu yang boleh dilipat. Mereka berdua-duaan meredah hujan petang itu bersama-sama. Tangan kiri mak cik memegang tangan kanan pak cik yang mengenggam erat kaki payung ungu itu. Hujan terus-terusan turun. Saya menumpang teduh di dalam sebuah kedai.




Mata saya raghib terus melihat pasangan pikun itu terus meredah hujan. Berjalan kaki untuk sampai ke rumah mereka. Saya sempat menjeling ke arah beg plastik pak cik yang berisi biskut. Barangkali mereka tinggal berdua sahaja. Barangkali mereka tiada sesiapa di rumah sehingga mereka perlu berjalan kaki masuk ke kawasan perumahan yang tidak dekat itu. Jarak perjalanan kaki ke rumah saya saja hampir 20 minit. Namun, pak cik dan mak cik itu tetap sanggup meredah hujan dan berjalan kaki bersama-sama. Pandangan saya mengiringi perjalanan mereka hingga mereka hilang, lenyap.

Pandangan itu, peristiwa itu dan pasangan pikun itu begitu memberi kesan kepada saya. Betapa, pada usia pikun begitu mereka boleh dan tetap mahu bersama-sama. Mahu berjalan, berpegangan tangan dan meredah hujan bersama-sama. Mahu tetap melawan sakit dan lenguh kaki untuk pulang ke rumah yang barangkali bagaikan syurga bagi mereka.


Tidak semua pasangan mampu menjadi seperti mereka. Mampu memanfaatkan segenap hidup dan melalui liku perjalanan seperti mereka, hingga usia yang begitu senja. Itulah pengalaman saya. Meskipun saya kecewa dengan pembatalan tiba-tiba itu. Mengenangkan kos keluar rumah yang terbang bagai debu dan masa bersama ibu yang terpaksa dipinjamkan untuk sesi yang batal itu, saya fikir Allah memberi saya sesuatu dengan kemunculan pasangan tua itu pada akhir perjalanan saya petang tadi. Oleh sebab itu, pak cik dan mak cik itu yang sedang berjalan meredah hujan bersama sekaki payung ungu masih terbayang-bayang di pandangan mata.


Semoga, mereka bahagia hingga ke syurga.

Sabtu, 11 September 2010

BUAT WANITA

Sumber : Iluvislam.com

SAYA tertarik benar dengan khutbah Jumaat di tempat saya (Balai Islam, Flet Pekeliling) 15 Jun lalu. Isunya mengenai kewajipan menutup aurat.

Disebabkan semua jemaah lelaki, khatib mengingatkan jemaah supaya memberitahu anak isteri supaya menjaga aurat masing-masing.

Kenapa wanita itu senang menjadi fitnah? hum..memang itulah hakikatnya.. kerana wahai wanita, Allah telah jadikan anda makhluk paling cantik dipandang mata, andalah sebaik-baik perhiasan yang mampu menarik pandangan setiap mata di sekitarmu..

01.Ada yang pakai tudung singkat. Julurnya diikat ke belakang. Atau diikat ke leher. Maka nampaklah 'kegebuan' leher dan dadanya. Sedangkan dalam khutbah tadi, khatib membacakan ayat al-Quran yang meminta wanita melabuhkan tudung, menutup bahagian dada mereka.

02.Ada pakai tudung, tapi pakai T-shirt pendek. Malah ada yang pakai T-shirt tanpa lengan. Sudah tu ketat pula. Bukankah lengan itu aurat. Bahaya mendedahkan lengan yang 'gebu' itu. Yang dahsyatnya, ada pakai T-shirt singkat yang dipadankan dengan jeans terlondeh. Jadi apabila membongkok atau duduk, nampak seluar dalam, malah kadang-kadang alur bontot.

03.Ada pakai tudung, tapi pakai jeans teramat ketat. Alur punggung pun terbelah dua. Bentuk bontot pun terserlah. Apa nak jadi ni?

04.Ada yang pakai tudung, tapi pakai kebaya ketat. Tidak cukup dengan tu pakai 'kain koyak' pula. Apabila berjalan, terserlahlah 'kegebuan' betis malah kadang-kadang paha pun tersembul.

05.Ada yang pakai tudung, tapi pakai kain singkat, macam skirt mini. Kaki bukan auratkah? Pakailah stokin!!!!!!!

06.Ramai perempuan pakai tudung, tapi bermekap tebal dan berwangi-wangian. Bibir merah menyala. Menunjukkan aksi seksi pula tu.

07.Ada perempuan bertudung, 'merendek' pula dengan pacar di bangku stesen bas dan pusat beli-belah. Ini menjatuhkan imej wanita bertudung.

08.Ramai perempuan suka pakai kasut bertumit tinggi. Apabila berjalan berbunyilah, tang, tang, tang. Dalam khutbah tadi, khatib memberitahu tidak boleh timbul bunyi yang boleh menaikkan syahwat lelaki.

Syahwat Lelaki

Berkenaan syahwat lelaki ini, saya berpendapat kebanyakan perempuan tidak memahaminya.

Ini kerana perempuan dan lelaki tidak sama dari segi biologi keinginannya.

Lelaki mudah saja naik syahwatnya sedangkan perempuan tidak. Kebanyakan perempuan ingat lelaki macam dia. Itu tidak benar sama sekali.

Seorang rakan saya memberitahu, satu kajian mendapati lelaki terangsang secara puratanya sebanyak 30 kali sehari. Ini sudah semula jadi. Bukan dibuat-buat. Jadi bukan sesuatu luar biasa jika lelaki naik syahwatnya jika melihat aurat perempuan.

Itu normal. Jadi untuk selamat dunia akhirat, lelaki dan perempuan wajib jaga aurat masing-masing. Ikut saranan al-Quran dan hadis. Tafsiran ajaran al-Quran dan hadis disampaikan oleh ilmuan agama seperti khatib Jumaat itu.

Pandai-pandailah nanti menjawab dan berdalih di hadapan Allah.. Tak takut ke?

Saya perhatikan sekarang ini ramai perempuan bertudung. Alhamdulillah, tetapi yang tidak sedapnya, semakin ramai wanita bertudung tetapi tidak menutup bahagian sensitif.

Lelaki dan perempuan ikut saja panduan al-Quran dan hadis jika mahu selamat.


Jangan mahu dibantah hukum-hakam agama. Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih..

Wallahua'alam

Selasa, 07 September 2010

SALAM AIDILFITRI


Aidilfitri bererti pulang ke pangkuan Allah dalam keadaan fitrah, suci bersih tanpa dosa seperti bayi yang baru dilahirkan kesan tarbiyah madrasah Ramadan. Semoga Ramadan yang bakal pergi akan ditemui kembali dan syawal tiba diiringi dengan kesyukuran pada Ilahi. Saya mohon ampun dan maaf daripada semua kenalan, pengunjung blog ini sama ada yang saya kenal atau tidak, rakan-rakan persekolahan dan sepengajian serta paling utama buat guru-guru dan pensyarah-pensyarah yang banyak mendidik saya erti hidup. Maafkan saya atas segala kesalahan, keterlanjuran kata dan kesalahan senda tanpa sengaja atau sengaja. Salam lebaran minal aidil wal faizin buat semua. Semoga sentiasa berbahagia buat anda semua.

Selasa, 17 Agustus 2010

'BACALAH DIRI SENDIRI'

SUDAH agak lama blog ini tidak saya sendiri kunjungi. Kadangkala, saya menulis apa-apa yang ada di sini apabila hati dan fikir saya benar tersentuh. Semalam, hati saya disentuh oleh catatan seorang yang sentiasa saya ingat dan ada di dalam doa saya. Sebaik-baik membaca catatan itu, saya menjadi tergamam. Dan dalam ria, tawa dan ceria sepanjang hari itu sebenarnya fikir dan rasa saya terikat pada catatan berkenaan. Catatan itu ringkas, sekadar bertinta "Buat T-ha yang rajin membaca. Sesekali, "Bacalah" juga diri sendiri."

Barangkali saya semakin lupa untuk membacanya lantaran alpa akan perkembangan ceritanya? Apakah memang saya lupa membacanya lagi atau saya kelihatan terlupa untuk membacanya? Maka, begitukah?

dan ... catatan ringkas daripada insan yang saya hormati itu terus berlegar di benak fikir dan ruang rasa saya ...

Kamis, 22 Juli 2010

ALBUM RINDU

DINIHARI tadi, saya menamatkan bacaan novel terakhir untuk cuti yang akan tamat pada esok hari. Sebaik-baik menutup halaman terakhir novel itu, ada perasaan sangat seni yang menggamit hati. Rasa rindu terhadap alam dahulu, pada zaman kanak-kanak dan sepuluh tahun yang telah lama berlalu. Suasana sudah sepi. Angin malam bertandang masuk melalui jendela yang dibiarkan terbuka, menyapa saya yang masih menikmati masa dan ketika yang ada. Emak sudah lama lena. Sesekali kedengaran dengkur kecilnya. Melihat wajah tenangnya di dalam lena, datang lagi perasaan seni yang sukar diertikan dengan bicara. Ada rasa bahagia dan nikmat melihat wajah seorang yang sangat dicintai pada kala dinihari begitu. Satu bahagia dan nikmat yang tidak ternilai harganya.

Kembali, hati saya digamit rindu itu lantas memujuk saya untuk menuju ke satu ruang waktu. Membuka sebuah almari lama dan mengeluarkan beberapa album foto. Ada album itu yang sudah lebih sepuluh tahun usianya. Di bahagian hadapan bagi setiap album tercatat tahun foto-foto di dalamnya dirakamkan. Bersama-sama masa hening itu, saya meneliti satu persatu foto di dalam setiap album. Bermula dari foto zaman persekolahan saya sehinggalah foto-foto yang merakamkan saat saya baru dilahirkan ke dunia.

Pandangan utama saya sering kali tertancap pada wajah emak. Tidak jemu saya melihat foto emak seperti tidak jemu saya merindui emak walau leka untuk melafazkannya. Saya melihat tampang emak dahulu, yang sihat dan bertenaga. Betapa saya merindui dirinya yang dahulu. Namun, hakikat masa yang berlalu perlu sentiasa diakui, nikmat sihat dan usia hanyalah sementara. Apabila tiba masa yang ditetapkan, akan digantikan dengan ujian untuk menguji takah iman sebagai hamba.

Saya juga melihat foto-foto saya sendiri. Melihatnya membawa saya mengimbas kembali zaman kanak-kanak yang saya lalui. Zaman ketika saya menjadi 'beg' emak yang akan dibawa ke mana-mana sahaja.

Saya sentiasa berbangga dengan emak yang mampu membesarkan lima orang abang tanpa dibantu sesiapa melainkan dirinya sendiri. Bayangkan saja menjaga lima orang anak lelaki yang jarak usianya tidak begitu jauh secara swadiri? Apabila saya diminta menjaga tiga orang anak saudara lelaki saya untuk beberapa jam sahaja, pun sudah terasa begitu mencabar, inikan pula emak yang menjaga dan membesarkan mereka sepanjang usianya.

Melihat foto yang dirakam oleh emak sewaktu hari pertama saya memakai uniform sekolah, saya tersenyum sendiri. Emak suka mengikat rambut saya dengan tocang dua. Saya tidak berapa suka dan sering juga memberontak, tapi kata emak, begitu lebih kemas. Ketika melihat foto saya yang baru berusia satu minggu, ada perasaan yang bertambah seni di sanubari saya. Bayi di dalam foto itu ialah saya, yang dilahirkan dengan penuh kesakitan oleh seorang wanita yang cekal jiwa.

Kemudian, saya melihat foto saya yang sedang didukung oleh abang saya. Tarikh yang tercatat pada foto itu ialah April 1988, beberapa bulan sebelum usia saya genap setahun.

Saya merenung, melihat dan meneliti setiap foto di dalam setiap album yang saya temui itu berulang kali. Terasa berat untuk saya menutup album itu dan meletakkannya di tempatnya semula. Rindu akan zaman dahulu. Rindu akan segala masa kecil yang telah berlalu itu masih tersimpan di dalam kalbu. Sesekali akan saya buka kembali album rindu itu untuk mengenang segala kasih ibu yang tidak luput ditelan waktu.

Pantas menutup album rindu itu,
saya menghampiri emak yang terus lena beradu
merenung wajah mulusnya untuk kesekian kali
terasa begitu bererti masa sepi itu,
hanya dengan menatap wajah cinta yang satu
terukir doa di dalam kalbu
agar ibu dikasihi Yang Satu
seperti ibu mengasihi diri saya
sewaktu kecil dan pada
masa yang terus berlalu.

MELODI TERINDAH


ada melodi di hati yang minta digubah
biar menjadi lagu terindah
untuk nikmat bahagia jiwa

Senin, 19 Juli 2010

KEBEBASAN MEMBUAT PILIHAN

SETIAP MANUSIA diberi kebebasan untuk memilih? Terlintas fikiran saya mengenai isu ini setelah membaca beberapa buah karya dan ingatan saya terhadap satu perbincangan dalam kursus Falsafah dalam Penulisan Kreatif yang saya duduki pada semester lalu. Setiap perkara mempunyai dua hala yang berbeza. Baik lawannya jahat. Hitam dengan putih. Utara dan selatan. Kiri dan juga kanan.


Kebebasan untuk memilih bergantung pada kebijaksanaan manusia dengan akal waras yang dianugerahkan Allah. Satu perkara yang mengangkat darjat manusia mengatasi tahap para malaikat yang setianya beribadat kepada Yang Esa.

Dalam kuliah yang saya sebutkan tadi, kami diasak soalan demi soalan oleh pensyarah. Meminta kami menjawab satu persatu soalan yang berkaitan dengan dua pilihan. Apabila bertemu kebaikan, apakah perlu berfikir dua untuk membuat keputusan? Apabila bertemu kejahatan, di mana letak duduknya kewarasan untuk mengelak daripada nista sebagai imbuhan, waima dibentangkan dengan segala 'kebaikan'?

Namun demikian, walau apa pun keadaan manusia perlu sentiasa sedar akan akal fikiran anugerah Tuhan lantas, berusaha sedaya upaya untuk menjadi insan yang sentiasa bijak membuat pilihan. Saya mempelajari hal ini melalui kesilapan yang saya lakukan dalam satu tugasan. Pelajaran ini diharapkan memberi panduan dan menjadi pengingat kepada saya supaya tidak berdolak-dalih apabila berhadapan dengan dua pilihan, kerana manusia sentiasa dibekalkan akal fikiran untuk manfaat keputusan yang paling berkesan.

Apakah sudah terlalu banyak pilihan yang salah telah dilakukan? Apakah kebaikan sudah tercicir lantaran kesilapan akan pilihan? Soalan-soalan yang perlu dihalusi bagi mendewasakan fikiran dan tindakan.

Minggu, 18 Juli 2010

MENAHAN PELANGI

SEJAK awal Julai yang lalu, sering juga saya meninjau peti surat di rumah. Menanti kalau-kalau ada surat daripada ASWARA mengenai keputusan peperiksaan semester lima yang telah berlalu itu. Sudah menjadi sifat saya sebagai pelajar sejak di bangku sekolah lagi, saya sentiasa berasa teruja untuk mengetahui setiap keputusan bagi peperiksaan yang saya jalani. Apakah saya berjaya menyaingi keputusan peperiksaan sebelumnya? Apakah saya berjaya mengatasi diri saya sendiri?

Walau bagaimanapun, saya dapat berasakan bahawa keadaan jiwa saya dalam menanti keputusan untuk semester lalu itu agak berbeza dengan perasaan untuk semester-semester sebelumnya. Saya berasa lebih biasa. Tidak terlalu memikirkan keputusan saban hari dan saban waktu seperti dahulu. Namun demikian, saya sentiasa berdoa agar berlapang dada menerima apa-apa sahaja keputusannya.


Terdetik di hati saya untuk meninjau peti surat pada petang Ahad semalam. Sebaik-baik terlihatkan sepucuk surat di dalamnya, hati saya berkata, 'mesti keputusan Aswara tu'. Saya lantas mengambilnya dan terus membuka sampul sambil menuju masuk ke rumah. Alhamdulillah, saya bersyukur akan peningkatan keputusannya. Melihat emak dan cikgu yang gembira dan bahagia dengan keputusan itu, hati saya berbunga syukur.

Sesetengah orang menganggap bahawa keputusan peperiksaan hanya sekadar catatan tinta. Tidak membawa begitu besar makna. Namun bagi saya sendiri tidak. Saya sentiasa mementingkan keputusan peperiksaan kerana saya tidak sanggup membiarkan catatan yang pincang tertera di dada slip sedangkan sudah banyak keringat, masa dan wang disalurkan untuk pengajian. Sekurang-kurangnya, keputusan peperiksaan memberi penanda aras pada usaha saya. Apakah saya bersungguh-sungguh atau sekadar leka dengan masa dan ketika. Apatah lagi, keputusan yang baik, akan mengembirakan emak dan cikgu yang sentiasa berharapkan kejayaan saya. Niat murni mereka adalah untuk melihat kejayaan saya, bukan untuk mereka. Lantas, saya tidak boleh mengambil mudah mengenainya.

Alhamdulillah, penantian sudah tamat dan saya perlu memacu usaha untuk semester baru yang terakhir.

CERMIN DIRI: TANGGUNGJAWAB ANTARA SAUDARA

BAGI YANG telah membaca Life is an Open Secret - Think About It maka akan ada rasa untuk menguliti lagi hasil tulisan Zabrina A. Bakar. Sekiranya Life is an Open Secret - Think About It mengangkat tema yang lebih umum mengenai kehidupan manusia, versi kedua tulisan pengarang yang sama iaitu Life is an Open Secret - You, Me and We berfokus pada tema persaudaraan sesama manusia. Terdapat lapan belas buah cerita yang berbeza tetapi menjurus kepada tema yang sama. Penjurusan yang ditulis dengan gaya penceritaan yang baik, mudah dan menarik membuatkan pembaca senang untuk mendalami inti dan falsafah dalam cerita yang dibawa.


Abdul Sattar Ahmed yang merupakan seorang aktivis Islam dan pakar dalam bidang teknologi di Amerika Syarikat melihat versi kedua tulisan ini sebagai satu tulisan yang menyentuh hati. Lebih menarik, buku ini mengajak pembaca untuk merenung hakikat kejadian diri sebagai manusia yang bersaudara atas dasar iman dan takwa. Kebanyakan cerita yang ditulis bukan sahaja mengandungi kisah sampingan tetapi juga dikukuhkan dengan dalil akli dan nakli berasaskan petikan hadis dan ayat Al-Quran yang dipetikkan sumbernya. Jika diperhalusi juga, tulisan di dalam buku ini membawa ikatan yang erat di antara isi buku dengan pembaca. Penulis tampak mengaplikasikan kaedah penulisan jurnal atau diari harian.

Pengarang secara sedar menyisipkan kisah-kisah menarik dalam setiap cerita yang ditulis. Kisah-kisah itu ada yang diambil daripada kisah yang benar-benar terjadi dan ada juga yang diolah. Walau bagaimanapun, setiap cerita itu mempunyai hubung kait yang rapat dengan kisah yang dipaparkan. Secara tidak langsung, paparan kisah berkenaan memberi suntikan motivasi untuk pembaca berfikir secara lebih mendalam. Apatah lagi dengan gaya penulisan Sis Zabrina yang santai dan bersahaja. Membacanya buku ini membuatkan pembaca ingin lebih meneroka ruang terdalam kehidupan manusia yang sering diabaikan. Setiap kisah yang ditulis seolah-olah cuba memprovokasi pembaca secara diam dan menyentuh perasaan terdalam pembaca. Dalam erti kata lain, buku ini menjadi alat untuk manusia menjadi insan yang disayangi dan disenangi insan lain.

Menerusi Secret Five; Don't Judge Others penulis bercerita mengenai kebiasaan dirinya dan manusia lain untuk menilai seseorang berdasarkan pada satu pandangan dan penilaian pertama. Amat jarang kita menggunakan deria pandangan kedua untuk melihat sesuatu perkara. Ada ketikanya, pandangan pertama itu tidak selalunya benar. Maka, setiap kali kita membuat penilaian terhadap individu tertentu buat kali pertama, kita tidak sewajarnya menganggap bahawa penilaian pertama itu amatlah tepat, apatalah lagi jika berbentuk negatif.

Apabila kita meletakkan diri kita di luar diri, maka kita akan melihat betapa setiap pandangan dan penilaian pertama yang kita lakukan itu adalah amat menakutkan :

... If I know a lady who could cook absolutely great dishes, my 'book cover judgement' for her daughter be ... yup, you got it, an excellent cook too.

Scary isn't, to think how many 'book cover judgement' we make everyday!

Perhaps that is why our Lord, the Almighty, has sent down this verse to guide us :


(... and let not the hatred of any people make you swerve to wrong and depart from justice. Be just: that is next to piety: and fear Allah, for Allah is well-acquainted with all that you do.) -Al Ma'idah 5:8-

Hanya Allah yang Maha Mengetahui letak duduknya kebenaran pada setiap pandangan. Oleh hal yang demikian, adalah perlu untuk manusia berfikir dengan lebih lanjut sebelum membuat satu kesimpulan terhadap orang lain. Namun demikian, manusia juga tidak dapat mengelak daripada terlibat dengan segala gosip terutama mengenai individu lain. Meskipun berhasrat untuk memelihara diri daripada berburuk sangka dan melakukan serkap jarang, situasi berkenaan tetap melanda diri sebagai ujian.

Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW memberi jawapan mengenai kesulitan seperti ini melalui hadis yang diriwayatkan oleh Muslim:

"Do not speak without mentioning Allah because you will harden your heart. A hard heart is far from Allah, but you do not know. Do not look at the wrong actions of people as if you were lords. Look to your wrong actions as if you were slaves. Some people are protected from it. Be merciful to the people of affliction and praise Allah for His protection."

Manusia juga sering menunding jari kepada orang lain apabila bertemu dengan sesuatu keburukan atau masalah yang menimpa diri. Amat sukar untuk individu mencari kesalahan diri sendiri sebelum melihat puncanya daripada indvidu lain. Sikap suka menuding jari atau meletakkan kesalahan diri kepada orang lain diceritakan oleh Sis Zabrina menerusi Secret Eight; When You Point One Finger to Others, Four are Pointing Back Right at You.

Penulis tergerak untuk membicarakan persoalan ini apabila melihat telatah anak saudaranya yang masih kecil. Anak saudaranya telah menyalahkan dinding yang dilanggar sebagai penyebab dia terjatuh, bukan kerana dia yang melanggar dinding itu. Sebagai kanak-kanak, perbuatan menyalahkan dinding itu pastinya boleh terima namun apakah manusia dewasa boleh memberikan alasan yang sama seperti anak kecil itu tadi? Tentunya bertentangan dengan akal waras manusia malah menerbitkan rasa jelik kepada individu lain yang melihatnya.

Seharusnya, manusia dewasa yang sudah bijak menilai buruk dan baik membuat perhitungan sendiri. Melihat masalah dari kaca mata yang lebih luas dan tidak hanya menyalahkan orang atau sebab di luar diri. Robert Half pernah berkata :

"The search for someone to blame is always successful."

Dalam bab ini, Zabrina berkongsi cerita mengenai sepasang suami isteri. Si suami menganggap isterinya mengalami masalah pendengaran lantas menemui doktor untuk mendapatkan nasihat :

There was once, a man who felt that his wife was having a bit of a hearing problem. Trying to spare her feelings, he secretly decided to meet their family doctor for advice. The doctor suggested that the husband used the easiest and oldest technique to test the his wife's problem. That technique would be able to tell the doctor of how bad is the wife's hearing loss.

"You have to stand about 40 feet away from her and have a normal chit chat with her using your normal voice and tone. If she could not hear you, come closer to 30 feet. If she still couldn't hear you, do it at 20 feet and continue until she could hear you."

"Sounds easy," said the man delightfully. So, later that day, when his wife was preparing dinner, he estimated his distance from his wife.

40 feet. Yup, this is about that, he whispered to himself. "What are we having for dinner, honey?" he asked using the normal voice tone. She didn't answer.

So he came closer. 30 feet ... he estimated carefully. Again, he asked, "What are we having for dinne, honey?" Still no response.

Wow, this is bad, he said to his himself while moving into 20 feet from the wife. Again there was no response.

He continued and became so close to her that he was just standing beside her when he asked,

"Honey, what's for dinner?"

His wife turned to him and said,

"For goodness sake, for the seventh time, my dear
. I said it is CHICKEN!"

Setiap insan seharusnya berusaha untuk menyedarkan diri atas kesalahan sendiri. Usaha muhasabah diri adalah sangat dituntut agar tindakan menuding jari ke arah orang lain atas kesalahan sendiri tidak terus berlaku.

Membaca buku ini akan membuatkan hati nurani pembaca seolah-olah diketuk dan ditanya "Begitukah anda?"

Selamat membaca.

Selasa, 13 Juli 2010

BUKU LAGI

SAYA diberi pinjam enam buah buku daripada Cikgu Norhana. Memandangkan Sarjana Bimbingan dan Kaunseling yang dimiliki maka kebanyakan buku yang diberi pinjam bergenre motivasi. Terdapat enam buah kesemuanya tetapi saya baru sahaja membaca satu daripadanya iaitu Life is an Open Secret- We-You-Me. Saya juga berterima kasih kepada Kak Norziati yang memberikan saya sebuah novel beliau pada satu pertemuan kami di Kafe Beringin minggu lalu. Saya juga baru bertemu dengan sebuah naskhah drama pentas oleh Pramoedya Ananta Toer berjudul Mangir. Saya pasti akan membaca kalian. Bersabar ya.


Semester akhir akan bermula tidak lama lagi, bimbang juga jika tidak dapat membaca kesemuanya sebelum mendaftar. Namun, saya tetap akan membacanya cuma giliran dan jadual membaca yang betul perlu dibuat terlebih dahulu. Kepada yang memberi pinjam, terima kasih daun keladi.

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU MALAYSIA

SAYA sentiasa berminat dan teruja dalam mendalami ilmu bahasa Melayu. Baru-baru ini, saya memanfaatkan media siber untuk berdiskusi dengan Profesor Awang Sariyan mengenai isu bahasa Melayu. Diskusi tersebut saya kongsikan di laman ini dengan izin Profesor Awang Sariyan juga.

Assalammualaikum Ayahanda,

Saya ingin mengutarakan satu isu daripada pengalaman mereka yang pernah berkunjung ke Beijing. Setiap tempat komersial yang dikunjungi oleh rombongan, promosi daripada jurujual yang terlatih; medium komunikasi yang digunakan ialah bahasa Melayu Indonesia. Nampak sangat jelas bahawa bahasa Melayu Indonesia digunakan secara meluas.

Persoalannya, adakah BM Indonesia lebih mantap berbanding BM Malaysia dari segi tatabahasa dan sebutannya hingga BM Indonesia lebih mudah dikuasai dan diterima oleh pengguna bahasa di negara yang lain? Ada pengkaji bahasa menyatakan bahawa bahasa Melayu Indonesia sememangnya lebih mantap? Ataupun, daerah masyarakat yang mengkaji bahasa Melayu Malaysia memang terhad?

Terima kasih

Waalaikumussalam wr. wb.

Anakanda
Wardah Munirah@Fatiha Fadila,

Perihal bahasa Melayu (varian Indonesia) lebih menonjol dan mendapat tempat di arena antarabangsa memang telah sekian lama berlangsung oleh beberapa faktor, antarannya:

1. Sarjana Belanda, terutamanya lebih tekun dan mendalam kajiannya tentang hal ehwal Indonesia berbanding dengan sarjana Inggeris (yang asalnya pentadbir); oleh sebab itu lebih banyak kajian dari awal tentang ehwal Indonesia, termasuk bahasanya.

2. Leiden sebagai antara universiti tertua di Eropah cukup berpengaruh kpd universiti-universiti lain di benua itu, terutama kerana ada perpustakaan yang amat besar dalam hal koleksi Melayu/Indonesia dan sarjana-sarjana ulung bidang ketimuran terdapat di situ. Dari situlah sarjana dibekalkan ke universiti-universiti lain di Eropah. Oleh itu, Pengajian Indonesia jauh lebih dikenal dan lebih meluas di serata dunia.

3. Pemerintah Indonesia sendiri mementingkan gerak kerja mempromosikan kebudayaan dan pendidikan Indonesia melalui kedutaannya. Ada atase pendidikan dan kebudayaan yang khusus untuk tugas itu. Kedutaan Malaysia, sayangnya kurang memberikan perhatian kepada aspek itu walaupun dengan beberapa orang Menteri Luar Malaysia sempat ayahanda nyatakan masalah itu. Jika kebetulan ada duta yang berminat dalam hal pengajian Melayu, maka adalah kegiatan seperti oleh duta sahabat ayahanda di Sri Lanka (kini syukur baru dilantik jadi Duta Besar di China). Malu juga dalam satu seminar di Jerman, ayahanda dilayan dan disambut oleh wakil Kedutaan Indonesia, bukan oleh wakil Kedutaan Malaysia! Malah tidak hadir pun wakil Kedutaan Malaysia walaupun seminar yang ayahanda anjurkan bersama dengan sebuah universiti di Jerman itu atas nama Malaysia (ketika itu ayahanda Pengarah Jabatan Bahasa DBP).

4. Dalam Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Dato' Aziz Deraman, Ketua Pengarah DBP pada masa itu bersama dengan ayahanda dan pegawai lain telah berjaya meningkatkan penerimaan pengajian Melayu di pelbagai universiti di dunia, melalui kerjasama mengadakan seminar, minggu bahasa dan sastera Melayu, penerbitan dll; tetapi sayangnya sejak kami meninggalkan DBP (akhir 2004), urus setia pengembangan bahasa dan sastera Melayu peringkat antarabangsa itu 'dikomakan' tanpa kegiatan lagi, konon hendak berjimat wang! Banyak pembaziran wang negara/rakyat dalam hal yang tidak sepatutnya, tetapi dalam hal ilmu dan kebudayaan tampaknya berlaku diskriminasi.


Tentang kemantapan sistem bahasa, memang ada aspek tertentu bahasa Melayu varian Indonesia lebih mantap dalam penguasaan bahasa oleh penggunanya, baik dalam hal sebutan, tatabahasa mahupun retorik.

Misalnya, mereka tidak berdebat lagi tentang isu sebutan baku kerana hampir di seluruh Indonesia sudah mantap sebutan yang seragam tanpa mengira daerah mahupun keturunan, sedang di Malaysia usaha pembakuan sebutan yang sudah mula mantap melalui sistem pendidikan dan penyiaran (walaupun oleh stesen televisyen swasta, iaitu TV 3) sering diganggu, malah pada tahun 2000 Kabinet memutuskan memansuhkan penggunaan sebutan baku di sekolah dan dalam media penyiaran.

Dalam hal bahasa, dasar bahasa (language policy) di Indonesia memang lebih tegas dan berjaya, berbanding dengan di Malaysia yang sentiasa tidak mantap sikap pemimpin tentang dasar bahasa kebangsaan, di sisi sebahagian pengguna/masyarakat umum pun tidak seterampil kebanyakan profesional dan pengguna bahasa di Indonesia (sehingga pemandu bas atau orang biasa pun jauh lebih baku/teratur bahasanya daripada sesetengah orang ternama/bijak pandai di Malaysia).

Yang ayahanda paparkan itu merupakan realiti, bukan sentimen merendah-rendahkan negara kita. Kita perlu mengakui banyaknya ranjau untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, berbanding dengan di Indonesia, terutama kerana sikap dan ketegasan kepemimpinan di sana lebih jelas.

Begitulah sepintas kilas latar belakang timbulnya isu yang anakanda timbulkan itu.

Wassalam.

Ayahanda Awang Sariyan, Beijing

Kamis, 08 Juli 2010

KEGAGALAN YANG MENGAJAR

SAYA KANDAS dalam ujian JPJ Isnin yang lalu. Bagi ujian Bahagian II, saya sewajibnya melalui titi dalam masa tidak kurang dari 7.00 saat. Walau bagaimanapun, menurut rekod masa pegawai yang menyelia, masa saya di atas titi ialah 5.59 saat. Pegawai bertanya sama ada saya mengira saat waktu berada di atas titi atau tidak dan saya menjawab bahawa saya memang mengira seperti yang diajar oleh guru iaitu satu ribu satu, satu ribu dua hinggalah satu ribu tujuh. Ketika di atas titi, saya mengira sehingga satu ribu sembilan. Namun demikian, nyata sekali kiraan saya tidak sama dengan kiraan pegawai berkenaan. Tidak mustahil, kiraan saya laju daripada yang seharusnya.

Saya fikirkan saya lulus kerana sewaktu melepasi titi, saya berjaya melalui halangan dengan lancar sehingga tamat. Apabila menemui pegawai selepas mematikan enjin motor, barulah saya diberitahu yang saya gagal Bahagian II tetapi lulus Bahagian III. Atas kegagalan itu, saya perlu mengulang ujian Bahagian II pada 19 Julai 2010 ini dengan bayaran RM80. Inilah kali pertama saya mengulang ujian sepanjang usia saya bergelar pelajar.

Alhamdulillah, saya tidak diselubungi rasa kecewa yang menyusahkan diri. Bagi saya, kegagalan ini satu peringatan buat saya yang mungkin agak 'laju' dalam banyak perkara. Saya perlu lebih bersederhana dan mengurangkan kelajuan pergerakan saya. Ya, memang banyak rakan dan sesiapa yang mengenali saya dengan akrab dan sejak saya kecil menegur akan kelajuan yang ada pada saya. Dalam sesetengah hal, memang kelajuan itu agak penting. Namun, dalam sesetengah hal juga, saya tidak boleh terlalu laju.


Saya bersyukur juga kerana saya tidak seperti seorang rakan calon yang menangis teresak-esak kerana gagal dalam ujian yang sama. Bagi saya, rasa kecewa merupakan satu rasa yang amat mencabar daya tahan perasaan dan iman. Kekecewaan yang sukar dikendalikan hanya akan memudaratkan dan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan. Hal ini saya pelajari dalam pengalaman kecewa yang pada akhirnya sekadar menemukan saya dengan kesia-siaan. Lantas, untuk kegagalan ini saya belajar untuk mendidik kecewa dengan melihat sisi positif daripada kegagalan yang datang sebagai ujian.

Saya melihat kegagalan saya berpunca daripada kelajuan saya yang tidak diurus dengan baik. Saya melihat kegagalan juga atas kerelaan saya melayan rasa penat setelah seharian berada di karnival sekolah pada hari Sabtu. Saya menjadikan rasa penat itu sebagai alasan untuk tidak mahu berlatih menunggang di litar pada hari Ahad itu, sehari sebelum ujian sebenar. Saya melihat kegagalan itu sebagai peringatan agar kelak saya lebih menghargai sesuatu yang saya perolehi dengan laluan yang tidak mudah.

Atas segala yang saya lihat itu, saya meneliti kesilapan langkah yang saya atur sepanjang perjalanan pulang dari litar. Saya dapat melihat bahawa kegagalan itu sebagai satu sebab untuk saya melihat segala punca dan berusaha untuk menyedarkan diri agar tidak leka dengan pelbagai alasan dan kelajuan yang tidak diaturkan.

~Kegagalan, antara rencah dalam mencapai kedewasaan~

Rabu, 07 Juli 2010

KASIH IBU



ibu bergenang air mataku
terbayang wajahmu yang redup sayu
tulusnya kasih yang engkau hamparkan
bagaikan laut tak bertepian.

Jumat, 02 Juli 2010

TAHNIAH BUAT SYEIKH SEKELUARGA

APABILA TEKNOLOGI digunakan dengan cara yang benar oleh penggunanya, maka ada banyak manfaat yang akan diperoleh. Hal ini saya catat sebagai rakaman terhadap pengalaman saya sebagai pemblog, pemegang akauan FB dan pemegang beberapa akaun e-mel. Saya ingin menulis tentang komentar beberapa kenalan mengenai blog saya ini. Blog yang saya wujudkan tanpa pernah cuba untuk menghimpunkan sebarang prasangka pembaca atau cuba memastikan tafsiran pembaca sama dengan pendirian asal saya menulis sesebuah catatan. Barangkali ada yang menganggap laman saya sebagai laman yang kurang menyenangkan golongan tertentu apabila saya dengan gembira dan bahagia menceterakan segala kegembiraan dan kebahagiaan saya sebagai pelajar, insan yang sentiasa ingin belajar dan prinsip saya yang amat berpegang pada kecintaan terhadap bahasa ibunda dengan penggunaan laras bahasa yang formal akan tetapi mesra di hati dan saya dan beberapa pengunjungnya.

Setiap kali menerima e-mel mahupun pesanan peribadi melalui FB mengenai Di Jari Aksara Menari, maka saya akan menjawab dengan sedaya yang mampu. Saya bersyukur, meskipun ada khabar yang kurang senang dengan 'kejujuran' tulisan saya di sini; ada juga pihak yang sangat menghargai dan berterima kasih atas kewujudannya. Ya, saya percaya betapa tidak semua yang akan menyukai seseorang manusia dan tidak semua juga yang akan membenci seseorang manusia. Setiap individu mempunyai pandangan dan terjemahan tersendiri terhadap sesuatu perkara. Saya teringat akan pesanan yang saya terima daripada inidividu yang tidak saya kenali tetapi sering melabuhkan singgahan mereka di laman ini. Ada yang menyatakan rasa gembira akan penggunaan bahasa yang saya gunakan. Ada yang mengatakan rasa bangga akan kebanggaan dan kebahagiaan saya sebagai pelajar. Ada yang berkongsi gembira kerana dapat berkongsi ilmu yang sedikit saya turunkan di sini.


Namun demikian, dalam banyak maklum balas berkenaan, pertemuan dan perkenalan dengan seorang pemegang akaun FB yang menjadikan laman ini sebagai laman wajib untuk seisi keluarga membuatkan mereka sentiasa dalam ingatan saya. Syeikh Afifi Mohd, seorang kenalan FB menyatakan kesukaannya terhadap Di Jari Aksara Menari. Menurut beliau yang saya panggil sebagai Syeikh, beliau sangat menggalakkan empat orang anaknya mengikuti laman blog ini dan menjadikan juga saya sebagai kenalan di dalam FB. Keluarga ini mempunyai masalah dalam membiasakan diri dengan buku-buku berbahasa Melayu terutamanya karya-karya sastera. Keempat-empat anak Syeikh Afifi dan Puan Hamidah boleh dikatakan mempunyai daya intelektual yang tinggi dalam bidang Matematik, akan tetapi agak kurang jika dibandingkan dengan penguasaan dan minat mereka terhadap bahasa Melayu.

Syeikh Afifi, Puan Hamidah dan tiga orang anaknya telah berkunjung ke gerai Fakulti Penulisan semasa Karnival Keusahawanan Seni diadakan pada awal Mei lalu. Beliau menceritakan perihal kekurangan minat anak-anak mereka terhadap bahasa Melayu dan lebih cenderung terhadap bahan baca Inggeris. Hal ini saya katakan barangkali disebabkan oleh pengaruh mereka terhadap bahan baca bahasa kedua itu dan adalah perlu untuk mereka mengakrabkan anak-anak mereka dengan bahan baca berbahasa Melayu. Hal ini bukan sekadar untuk mencambahkan minat anak-anak terhadap karya-karya tempatan sebaliknya juga untuk menjadikan anak-anak lebih mesra dan mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik. Adalah agak merisaukan beliau juga apabila anak sulungnya yang sedang menuntun di tingkatan dua di Kolej Melayu Kuala Kangsar mampu mendapatkan markah yang baik untuk kebanyakan subjek melainkan bahasa Melayu. Meskipun peratus markahnya tidak pun menunjukkan paras yang begitu rendah, akan tetapi perbezaan dengan keputusan untuk subjek-subjek lain yang begitu cemerlang tetap merisaukan mereka.

Syeikh memberitahu saya bahawa beliau mula mengikuti blog ini sejak Julai 2009 yang lalu dengan tulisan saya mengenai 'perang' yang berlaku di kejiranan saya. Selain itu, beliau menggalakkan anak-anaknya membaca setiap artikel dan catatan saya selain meneliti aspek penulisan yang saya ketengahkan. Baru-baru ini, saya mendapat khabar bahawa beliau juga isteri dan anak-anak telah pun membaca kesemua buku yang saya dan rakan-rakan syorkan sewaktu dalam Karnival Keusahawanan Seni. Karnival itu menyaksikan saya dan rakan-rakan fakulti menjadi usahawan dengan menjual buku-buku ilmiah dan karya kreaif kepada pengunjung. Boleh tahan banyak juga jumlah buku yang mereka beli atas saranan kami.

Antara buku yang masih saya ingat dan dibeli oleh Syeikh dan Puan Hamidah ialah Tunggu Teduh Dulu, Detektif Indigo dan beberapa buah lagi untuk mengikut peringkat usia anak-anak beliau iaitu 14, 13, 11 dan 9 tahun. Puan Hamidah juga berkenan memilih novel untuk dibaca. Saya begitu gembira apabila beliau memberitahu saya akan kegembiraan mereka sekeluarga menguliti buku-buku berkenaan. Menurut Syeikh, mereka sangat tertarik dengan Tunggu Teduh Dulu yang saya katakan pernah mencipta fenomena pada awal kemunculannya. Baru-baru ini, Syeikh meminta saya mencadangkan senarai nama beberapa buah buku yang bersesuaian dengan tahap usia anak-anak, tidak terkecuali untuk Puan Hamidah.

Ketika itu, dalam benak saya hanya teringatkan Tuhan Manusia dan Kombat 1511. Tuhan Manusia menerjah ingatan saya kerana saya baru selesai membaca karya berkenaan. Membaca novel berkenaan merupakan satu pengalaman minda yang baru dan sangat bermakna. Saya mahu agar sesiapa yang belum menikmati novel berkenaan agar mendapatkan dan menelaah kandungan wacana dan sastera di dalamnya. Saya mahu agar rakan-rakan juga turut melalui pengalaman menarik yang saya dapat sepanjang melalui proses membaca Tuhan Manusia. Selain dua novel berkenaan, saya masih tercari-cari karya yang sesuai untuk disarankan. Sebenarnya, ada banyak karya bermutu yang ingin saya sarankan.

Saya juga berasa gembira apabila keluarga rakan FB saya ini mula membeli majalah Dewan Sastera dan Dewan Bahasa seperti yang saya sarankan untuk dijadikan bacaan buat anak-anak mereka. Sesungguhnya, tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kesedaran semula terhadap kepentingan bahasa Melayu dalam kehidupan mereka sebagai rakyat berbangsa Melayu. Oleh hal yang demikian, langkah dan tindakan serius yang diambil oleh Syeikh Afifi dan Puan Hamidah untuk mengimarahkan pembacaan karya berbahasa Melayu dalam keluarga terutamanya terhadap anak-anak mereka. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada mereka berdua.