Selepas bersiar-siar di Kedai Buku, saya akan singgah di news read, ala-ala 7Eleven juga di dalam Pasar Seni. Di kedai ini juga dijual pelbagai jenis buku. Seperti biasa, saya akan membelek-belek buku yang ada di situ. Membaca blurbnya dan meletakkannya semula. Kebanyakan buku yang terjual di kedai itu adalah daripada penerbitan PTS. Pandangan saya tertancap pada sebuah buku cerita kanak-kanak berwarna merah jambu yang berjudul Riang Ria Persahabatan. Sangat cantik dan menarik. Buku itu tidak ditutup dengan plastik jadi saya dapatlah menjengah sepintas lalu isi di dalamnya. Sesuai untuk anak-anak berusia sembilan hingga sebelas tahun. Tiba di kamar hotel, saya teringat akan seorang kenalan saya yang mempunyai anak kecil. Lalu, saya memberitahu dia akan buku tersebut dan menyarankan dia agar mendapatkan buku itu.
Kenalan saya berhajat memasukkan wang ke dalam akaun saya seraya memilih dan membeli bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak mereka. Saya tidak ada sebab untuk menolak permintaannya malah berasa sangat bertanggungjawab dan gembira untuk membantunya. Sudah ada beberapa buah novel yang sesuai untuk anak-anak mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan novel berbahasa Melayu. Saya katakan juga kepada kenalan saya ini agar melawat ke MPH dan memang itu kebiasaan mereka, katanya. Namun, setiap kali mereka ke sana, anak-anak mereka lebih berminat dengan Harry Porter.
Langsung, petang tadi saya meluangkan masa berjalan kaki dari Pudu Raya ke Minerva, Pustaka Mukmin dan Kedai Buku, Pasar Seni. Bagi yang sudah biasa berjalan kaki seperti saya, tidak terlalu terasa jauh jaraknya. Di Minerva, saya meluangkan masa hampir 30 minit untuk memilih bahan bacaan yang bersesuaian untuk anaknya yang berusia 13 dan 14 tahun. Rambang mata saya jadinya. Pada mulanya, saya memilih Rahsia Ummi, namun setelah mendapatkan pandangan daripada seorang kenalan melalui sms, saya meletakkan Rahsia Ummi ke tempatnya semula. Tanpa ragu-ragu saya memilih Tuhan Manusia untuk anaknya yang berusia 14 tahun. Meskipun pengisian di dalam buku ini agak dalam, saya yakin jika anak itu menghalusinya dengan baik, akan ada sesuatu yang menyelinap ke sanubarinya. Baiknya juga, Tuhan Manusia sesuai juga untuk golongan dewasa. Namun, watak Ali Taqi yang berada di peringkat menengah atas boleh juga menambat hati pembaca dari menengah rendah.

Untuk anak yang berusia 14 tahun, saya memilih novel pengembaraan terbitan Alaf 21 berjudul Pengembaraan Afiq. Saya kira, novel itu ialah sebuah novel grafik. Meninjau blurb dan sedikit halaman, insya-Allah novel ini sesuai untuk remaja awal. Di Minerva juga, saya mabuk buku apabila melihat novel Imam di rak paling atas. Saya pernah meminjam dan membaca skrip pentas novel itu sewaktu di semester pertama dahulu. Aduh, tersentuh hati saya. Itu ialah novel yang juga tercatat dalam senarai novel akan saya miliki. Melihat deretan karya baharu HM Tuah Iskandar juga membuatkan hati saya meronta-ronta minta dipujuk. Paling menyentuh hati, saya menemui sebuah kumpulan cerpen oleh Somerset Maghaum iaitu Catalina. Kumpulan cerpen itu baru sahaja disebutkan oleh Pak Malim dalam kuliah semalam. Sewaktu di kaunter membayar harga dua buah karya itu tadi, saya melihat pula sebuah buku kecil nukilan Dr. Aidh al-Qarni berjudul Jangan Bersedih, Jadilah Wanita Yang Bahagia. Saya merenung sahaja buku itu. Ya, buku itu akan masuk dalam senarai buku akan saya miliki juga. Saya menguntum senyum.
Selesai meletakkan plastik beg ke dalam beg sandang, saya menolak daun pintu kedai buku Minerva dan menuju ke kedai buku yang seterusnya. Hujan mulai turun rintik-rintik membasahi Kuala Lumpur. Saya ingin memilih buku yang benar sesuai dengan tahap umur anak-anak kenalan saya ini. Tidak terlalu berat, tetapi sekurang-kurangnya memberi pengisian pada tahap penggunaan dan kebiasaan mereka dengan bahasa Melayu. Di kedai buku Minerva yang kedua, tidak banyak buku yang menambat hati saya. Kedai itu agak sempit berbanding kedai yang pertama. Beberapa orang remaja perempuan berhimpit di hadapan rak yang memuatkan novel-novel cinta. Terdengar bicara mereka :
"Ala, novel tu dah habislah."
"Tu la, sayang r tak dapat beli. Best tau. Dia punya cinta dalam novel tu lain sikit."
Ya, cinta dan cinta. Novel cinta menjadi carian mereka. Sama seperti saya ketika awal remaja dahulu. Saya sungging senyum lantas keluar dari kedai yang tidak berjaya mengetuk pintu hati saya. Saya berdiri di kaki lima, merenung beberapa buah kedai buku yang ada di seberang jalan.
Hujan yang rintik semakin bertitik. Jalan raya mulai sesak pada jam 3:30 petang tadi. Kuala Lumpur, tiada masa yang tidak sesak jalannya kecuali menjelang Aidil Fitri.
Saya memasuki Pustaka Mukmin. Kedainya pun agak sempit tapi ada banyak buku yang lebih berkualiti di sini berbanding di kedai kedua tadi. Pemiliknya ialah seorang lelaki mamak. Bukan sahaja ada buku DBP dijual di sini, ada buku dari dalam dan luar negara. Dari buku akademik hingga buku sastera yang popular dan arus perdana. Di kedai ini, saya memilih novel Manikam Kalbu dan Lelaki Berkasut Merah untuk anak berusia 14 tahun. Buku cerita kanak-kanak Gaun Merah Jambu untuk anak berusia sembilan tahun dan novel Sepasang Kasut Untuk Sahabat untuk anak berusia 13 tahun, juga novel grafik. Untuk anak berusia 11 tahun, saya memilih novel awal remaja berjudul Putu-Mayam Satu. Saya kira, novel Sepasang Kasut Untuk Sahabat dan Gaun Merah Jambu itu juga sesuai untuk anak berusia 11 tahun. Saya memilih novel terbitan PTS kerana percaya dengan bahasa Melayu Tinggi yang digunakan mampu membantu anak-anak untuk lebih mendekati dan meramahi bahasa Melayu bagi membantu mereka menulis dan menjawab peperiksaan mata pelajaran Bahasa Melayu.

Selesai di kedai itu, saya menyeberang semula jalan. Perut saya sudah berkeroncong kerana belum makan sejak pagi. Saya ke restoran makanan segera. Pelanggan restoran agak ramai. Kalau tidak diikutkan rasa lapar, saya tidak akan menunggu dan beratur dengan sabar. Sebaik-baik selesai menikmati juadah, saya berjalan kaki semula ke Pasar Seni untuk mendapatkan buku yang dikirim oleh Cikgu Norhana atas cadangan saya. Di Kedai Buku itu, saya membeli novel A Thousand Splendid Suns dan The Hidden Flower yang ditulis oleh Pearl S. Buck pada dekad 1950-an. Buku itu sudah benar lusuh dan dijual dengan harga RM5. Hati saya agak tersentuh kerana membeli A Thousand Splendid Suns bukan untuk saya, tapi tidak mengapalah. Tak akan lari gunung dikejar. Saya cuba mencari The Kite Runner di kedai itu tapi sudah tiada. Ketika berbual dengan pemilik kedai, saya diberitahu bahawa mereka juga menyediakan perkhidmatan menyewa buku. Kos menyewa sama dengan harga beli. Lebih baiklah membeli saja buku itu!
Saya pulang ke Ancasa dengan rasa yang sangat bahagia. Menceritakan rasa bahagia itu, saya menghubungi cikgu dan dia berkata "Tak apa, yang penting pengalaman membeli buku itu. Masa awak untuk borong buku untuk diri sendiri akan tiba. Sabar saja. Dahulukan keperluan berbanding kehendak."
Ya, saya rasa sangat bahagia hari ini kerana dapat membantu rakan memilih dan membeli bahan baca berkenaan. Semoga dapat memberi manfaat besar kepada mereka sekeluarga. Tiada yang membahagiakan dan menggembirakan apabila berjaya membantu kenalan lebih mengakrabi bahasa dan sastera negara.

Saya merenung ke luar jendela dan melihat langit yang semakin kelam di kaki senja. Jauh di sudut hati ada gundah yang melanda. Namun, saya tetap ada bahagian bahagia. Barangkali kelihatan samar pada masa sekarang tetapi akan jelas pada masa akan datang. Saya percaya akan frasa yang sering disebut oleh seorang kenalan kepada saya.
Percaya, Tuhan selalu punya rahsia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar