Senin, 26 Juli 2010

TELITI HATI-HATI

ALHAMDULILLAH, saya lulus markah penuh untuk ujian bahagian II bersama JPJ semalam. Meskipun mengalami masalah kesihatan, saya bersyukur kerana berjaya juga melaluinya. Cuma, ada sesuatu perkara baharu yang menjengah fikiran saya lewat pengalaman melalui ujian itu. Berbeza dengan keadaan perasaan sewaktu kali pertama menduduki ujian yang sama dua minggu lalu, saya berasa terlalu tenang dan senang. Saya tidak terlalu berdebar dan tidak terlalu berasa resah untuk melalui titi. Hasilnya, saya tidak menyedari kegagalan saya dalam ujian yang lalu itu kerana semuanya kelihatan sempurna melainkan catatan masa di atas titi. Saya berasakan bahawa saya benar akan lulus dan segala-galanya tenang belaka.

Namun demikian, satu perasaan yang berbeza menjengah diri apabila saya memulakan hari semalam seterusnya berada di litar ujian. Saya berasa takut, berdebar dan resah. Walau bagaimanapun, segala rasa itu saya seimbangkan dengan ingatan dan memohon bantuan daripada Maha Esa. Ketika berada di atas titi, saya menjadi lebih berhati-hati. Berhati-hati agar tidak jatuh dan tidak mendahului had masa yang ditetapkan, maknanya saya tidak boleh bergerak laju seperti ujian pertama dahulu.


Sesekali saya memandang kepada panel penguji, takut-takut lagi jika saya diminta berhenti. Rasa takut dan cuba berhati-hati itu terus berlarutan apabila saya melalui bahagian selekoh tajam, lingkaran lapan dan bahagian kecemasan. Sewaktu berjalan kaki menuju ke arah panel penguji, saya menunduk sambil terus berdoa. Tidak lupa, saya berdoa agar saya tidak kecewa.

Lantas, sewaktu perjalanan pulang terlintas di fikiran saya akan kata-kata ini :

Kadang-kadang, terlalu yakin itu boleh mencambahkan rasa terlalu senang untuk bersambil lewa manakala terlalu takut pula mampu menerbitkan rasa teliti dan berhati-hati.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar