Rabu, 28 Juli 2010

SEMALAM DI KUALA LUMPUR

SEMALAM ialah hari pertama kuliah saya bermula. Sebelum itu, saya menghadiri perjumpaan khas mahasiswa Fakulti Penulisan bersama dekan dan barisan pensyarah fakulti. Kami dihujani rahmat dengan nasihat, peringatan dan sokongan daripada para pensyarah agar maju dalam pelajaran di samping sentiasa meletakkan fokus dalam pengajian. Ada yang berbaur sindirian dan ada yang penuh kasih sayang. Walau dalam bentuk apa pun hujanan pesan dan nasihat itu, saya yakin segala-galanya demi kebaikan kami yang muda metah. Perjumpaan itu tamat pada jam 5:30 petang. Memang banyak amanat dan nasihat yang mereka berikan. Antara mutiara di celah mutiara kata itu, saya sempat mencatat nasihat daripada Tuan Haji Rahim dan En. Mohd Faizal Musa yang amat memberi kesan pada sanubari iaitu :
Remove Formatting from selection
1. Hormati dan patuhi tatatertib menimba ilmu.

2. Glamor tidak akan datang dengan sekelip mata.

3. Jangan jadikan akademi sebagai tempat untuk berpeleseran yang akan menjejaskan peluang untuk mendapatkan ilmu.

Selesai perjumpaan itu, saya dan rakan-rakan terus bersiap untuk menghadiri kuliah pertama kami iaitu Kesenian dan Undang-Undang yang dikendalikan oleh Encik Gibran Agi. Kuliah tamat pada jam 7:40 malam. Tamatnya kuliah itu rupa-rupanya membawa cerita dan pengalaman baru dalam diari hidup saya. Saya bersama-sama rakan, Nada dan Asrul Sany telah menikmati makan malam di d'Tebing sebaik-baik menunaikan solat maghrib. Hampir sejam menunggu hidangan.

Selesai menikmati hidangan, kami melalui laluan bawah tanah untuk ke Masjid Jamek dan saya ke Hotel Ancasa. Memang saya tidak pernah melalui laluan bawah tanah itu pada waktu malam. Malah, kali terakhir saya melalui laluan itu adalah pada akhir semester tiga yang lalu. Ada beberapa kali saya terserempak dengan manusia-manusia yang mencurigakan dan satu kali saya disergah oleh orang kurang siuman. Sejak itu, saya tidak pernah melalui jalan itu. Hanya pada malam tadi, saya mengikut kebiasaan rakan saya itu. Kami ingin menyeberangi jalan ke DBKL melalui laluan bawah tanah itu.

Ketika melalui laluan pertama, saya terlihat seorang lelaki yang lagaknya seperti mahu membuang air seninya di tepi jalan. Seorang lagi menunggu rakannya itu. Apabila melihat kami bertiga, lelaki yang ingin membuang seni itu terus memanjat ke tebing jalan. Kami meneruskan perjalanan hingga ke persimpangan dua laluan. Ketika menghampiri laluan jalan keluar dari laluan bawah tanah itu, sekumpulan lelaki (saya kira dalam enam orang) duduk bertinggung di dalamnya. Di tengah-tengah mereka ada sebatang lilin yang menyala. Dada saya terus berdebar melihat situasi itu, dan saya berundur ke belakang. Saya berkata kepada dua rakan saya agar tidak melalui laluan itu.

Dua rakan saya yang sudah agak ke hadapan juga agak tergamam melihat kumpulan lelaki itu. Melihat kami yang agak terkesima, mereka beramai-ramai berkata "Boleh, boleh lalu. Lalulah," lantas muncul seorang lelaki kurus berwajah mencurigakan cuba mendekati dua rakan saya dan menyuruh kami melalui terowong yang sedang mereka duduki itu. Jantung saya berdegup kencang dan langkah saya semakin ke belakang. Bibir saya lancar membaca ayat Kursi.

Apabila lelaki itu menghampiri rakan dan membenarkan kami melaluinya, seorang rakan saya berkata :

"Oh, ada tertinggal barang di kolej. Nak kena patah balik."

dan kami pun segera berlalu. Apabila ingin melalui terowong pertama dari d'Tebing, dua lelaki yang juga mencurigakan tadi berkeliaran di situ. Kami nekad melalui lorong ketiga lantas keluar dari laluan bawah tanah itu dengan penuh syukur dan lega.

Ketika melalui Dataran Merdeka untuk ke Masjid Jamek, saya meneliti satu lagi pengalaman. Ah, pengalaman yang agak kurang menyenangkan. Saya lihat begitu ramai pasangan duduk berdua-duaan di antara celahan pohon terutama berdekatan replika pokok kera. Turun di stesen Plaza Rakyat, saya dijamu dengan suasana hening laluan sekitarnya. Namun yang nyata, laluan di situ tidak sunyi dengan lelaki-lelaki kulit hitam dan wajah-wajah asing yang kita tahu bukanlah warganegara tanah tercinta. Saya pernah juga teringin untuk membelah malam di Kuala Lumpur dan semalam ialah harinya tanpa sengaja, sebelum melalui merdeka ke-53. Apa yang saya rasa? hanyalah ketakutan demi ketakutan dengan pengalaman yang mengerikan. Namun demikian, sirah pengalaman hidup saya semakin bertambah. Ada yang membahagiakan, ada yang menyedihkan, ada yang mendebarkan namun semua seharusnya mencambahkan kematangan akal dan perasaan.

Kuala Lumpur ...
semalam di Kuala Lumpur
sudah biasa antara debu dan kotor
yang menghuni segenap penjuru kota
untuk dibersihkan oleh pencinta merdeka jiwa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar