SAYA tidak pernah menyangka betapa memelihara kucing secara serius sebagai haiwan peliharaan itu memerlukan kos yang tinggi. Sejak kecil, saya memang mempunyai banyak anak kucing. Sehingga hari ini, yang setia menemani emak dan keluarga saya ialah Boboy. Kucing baka British Blue, anak kepada Tuti yang mati pada tahun 2006. Boboy dilahirkan pada 28 Mei 1995. Ketika itu saya baru darjah dua. Tidak pernah kucing-kucing peliharaan saya mendatangkan masalah atau ditimpa sakit yang serius.
Akan tetapi, hal ini berlaku sebaliknya kepada guru saya. Saya percaya betapa itu ialah ujian Allah kepada cikgu. Sejak awal tahun ini sehingga bulan ini, cikgu diuji dengan kesakitan Abi dan Omi yang serius. Setelah Abi diserang sawan, kini Omi pula mengalami masalah keradangan pundi kencing. Kos rawatan sudah mencecah RM4000 untuk Abi dan Omi. Hal lebih serius apabila Omi kini sedang berdepan dengan penyakit keradangan pundi kencing. Setelah enam hari Omi tinggal di wad Hospital Veterinar Gasing, Petaling Jaya, dia dibenarkan pulang pada Ahad yang lalu.

Sakit keradangan pundi kencing itu berlaku biasa bagi kucing jantan, kata Dr. Goh. Tetapi, saya kurang menerimanya kerana berpuluh ekor kucing yang saya pelihara, belum pernah mengalami masalah seperti itu. Menurut cikgu, masalah bermula apabila najis kencing Omi mengandungi darah yang banyak. Dalam masa yang sama, Omi sukar untuk membuang air kencing, malah mengambil masa yang panjang sehingga 20 minit untuk kencing, tetapi tidak setitis pun yang keluar.
Apabila cikgu menghubungi tiga orang doktor, mereka mengatakan bahawa gejala itu adalah sangat serius. Sekiranya seekor kucing tidak boleh membuang air kencing dalam masa 24 jam, maka urin itu akan masuk ke dalam salur darah dan memberi toksin kepada seluruh badan. Hal ini akan menyebabkan kematian dengan tanda awal pucat di bibir dan mulut yang berbuih. Setelah mendapati Omi mengalami masalah itu, cikgu segera membawa Omi menaiki teksi (masalah guru saya ini adalah ketakutannya untuk memandu jauh dari rumah walaupun mempunyai kenderaan). Tiba di hospital, cikgu melihat sendiri empat orang doktor cuba membuat 'unblocked' pada penis Omi. Omi diberi suntikan sedatif dalam masa 10 minit selain dimasukkan air ke dalam badannya.
Dalam masa itulah Dr. Tan, Dr. Goh, Dr. Chin dan Dr. Prem berusaha menebuk lubang pada penis Omi untuk memasukkan 'urine carter'. Air kencing Omi dikeluarkan sementara melalui alat itu. Selepas proses 'unblocked', Dr. Chin yang agak marah kerana lewat membawa Omi ke hospital dengan alasan kerja segera membuat imbasan pada pundi kencing Omi. Kelihatan di situ timbunan kristal halus yang terbentuk hasil daripada urin yang tidak keluar. Sekatan pada penis Omi berlaku apabila terlalu banyak mendapan tersebut sehingga menghalang urin keluar, manakala darah yang keluar pula akibat luka yang dihasilkan oleh kristal halus pada dinding pundi kencing. Kristal itulah yang perlu dibuang dan tidak ada cara lain melainkan Omi perlu kencing sendiri.
Menurut Dr. Chin, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada pembentukan kristal itu dan tidak tertakluk kepada satu faktor. Antara faktornya ialah pemakanan, kurang minum air, stress (kucing, haiwan yang sangat mudah stress). Timbunan kristal nampak lebih jelas apabila Dr. Tan mengepam air ke dalam pundi kencing. Taburan kristal itu akan bergerak sebelum mendap semula. Untuk manfaat dan pengetahuan pencinta kucing juga, cikgu mendapat pengetahuan baru oleh doktor betapa makanan biskut kucing yang biasa terdapat di pasaran dan iklan itu tidak baik untuk kesihatan kucing kerana kandungan garam yang tinggi dan lebih berbentuk makanan rapu. Atas sebab kemungkinan faktor makanan, doktor menyarankan secara serius agar makanan Omi ditukar kepada Science Diet Royal Canin yang berfungsi untuk meneutralkan tahap asid dalam badan atau sebaliknya mengikut keperluan sistem tubuh kucing. Yang agak menyukarkan, Omi tidak boleh beralih kepada makanan lain sekiranya mula memakan Royal Canin dan perlu memakan makanan itu seumur hidupnya. Royal Canin hanya dijual di pusat-pusat veterinar dengan harga RM68.50 untuk 1.5 kg. Sekiranya Omi diberi makanan biasa semula, maka tidak mustahil masalah yang sama akan berulang sekiranya faktor penolaknya adalah dari sebab pemakanan.
Setelah enam hari di hospital, Omi dibawa pulang oleh Cikgu Julia dan Cikgu Norhana dengan bekalan ubat-ubatan. Dr. Tan yang begitu lembut dan penyayang meminta cikgu membeli vitamin c (50 mg) yang berfungsi untuk memecahkan kristal itu. Walau bagaimanapun, pemberian vitamin c berlebihan boleh mengakibatkan cirit-birit. Sebenarnya, haiwan seperti kucing mampu menghasilkan vitamin c sendiri, akan tetapi akibat penyakit itu, sistem badan Omi kekurangan vitamin c.
Ada ketika yang salah, saya berasa bersalah kerana sayalah yang membawa induk kucing yang saya temui di tepi jalan iaitu Mimi kepada cikgu pada awal tahun 2006. Akan tetapi, cikgu sentiasa berpendapat bahawa ini ialah ujian Allah kepada dia yang mencintai anak-anak kucing itu sepenuh hati. Lebih aman dan tenang kucing-kucing itu dirawat dengan sempurna daripada diterpa rasa bersalah andai hanya membiarkan mereka kesakitan. Kata cikgu, kucing-kucing yang dipelihara itu adalah tanggungjawabnya, meskipun segelintir bukan pencinta kucing cuba mengkritik hubungan antara kucing dengan tuannya seperti ini tetapi dalam kalangan pencinta kucing, hal ini adalah biasa.
Melihat pada sulitnya ujian memelihara haiwan peliharaan ini membuatkan saya perlu berfikir panjang untuk memeliharanya pada masa akan datang. Buat masa ini, saya berhasrat untuk tidak mahu memiliki haiwan peliharaan pada masa akan datang rentetan komitmen tinggi yang diperlukan seperti itu selagi belum bersedia dengan segala ujian dan harga yang datang bersama kasih sayang itu.
Satu lagi info yang cikgu kongsikan dengan saya adalah tentang daya stress kucing. Terdapat pelbagai cara kucing memperlihatkan stress mereka. Omi memperlihatkan stress dengan menggigit kain, kertas dan melagakan gigi atas dan gigi bawah sehingga berbunyi. Ada juga yang menggigit kuku sehingga habis dan sebagainya. Stress kucing juga dapat dilihat pada turun naik nafasnya yang laju daripada biasa, pada perutnya.
Gasing Veterinary Centre yang berpusat di Jalan Gasing, Petaling Jaya bagi saya menyediakan rawatan dan perkhidmatan yang lebih memuaskan dengan harga yang berpatutan berbanding kebanyakan hospital haiwan yang terkemuka di Kuala Lumpur dan beberapa yang lain. Hospital ini boleh dihubungi melalui talian 03-77823553, dibuka dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam setiap hari.
Gasing Veterinary Centre yang berpusat di Jalan Gasing, Petaling Jaya bagi saya menyediakan rawatan dan perkhidmatan yang lebih memuaskan dengan harga yang berpatutan berbanding kebanyakan hospital haiwan yang terkemuka di Kuala Lumpur dan beberapa yang lain. Hospital ini boleh dihubungi melalui talian 03-77823553, dibuka dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam setiap hari.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar