OKTOBER, dan nanti November menjengah tiba. Serasa bagai tiada rasa. Yang ada cuma rindu tanpa kata. Ya, saya sangat merindui semester tiga yang telah lama berlalu. Semester itu, meskipun semester paling sibuk dengan jadual paling padat namun sangat membahagiakan dan menggembirakan. Barangkali kesibukan itu yang mendatangkan kepuasan. Berbanding dengan semester akhir ini yang terlalu senggang dan lengang. Hanya tiga hari berkuliah dan selebihnya adalah masa perjuangan menyiapkan tugasan dan projek penentu masa depan?
Semester tiga diibaratkan saya dan rakan-rakan persis menyelam di dalam lumpur dan berenang di atas bara. Penuh dengan keletihan, kesibukan dan tersisip juga kontroversi yang membawa kemenangan. Saya benar-benar rindu semester tiga. Kesibukan itu membuatkan saya tidak pernah ada masa untuk berleka. Kepadatan jadual itu sentiasa menggembirakan saya walau ada masanya terlalu lelah. Sampai bila-bila, saya tidak akan melupakan semester tiga, dan saya akan sentiasa merindui semester tiga.

Setiap semester, saya akan menampal jadual pengajian di dinding. Biar mudah saya melihat apa-apa yang perlu saya lakukan dan apa-apa yang perlu disegerakan selalu. Habis semester, jadual-jadual itu akan saya simpan di dalam fail khusus dan lipatan kenangan. Ketika meninjau sebuah fail, saya menemui jadual semester tiga yang sangat saya rindui. Suasana, persekitaran dan kesibukan yang menggamit perasaan rindu terhadapnya. Terima kasih, semester tiga. Dalam menanti hujung ini, rindu kenangan itu menggamit kalbu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar