Tampilkan postingan dengan label Artikel. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Artikel. Tampilkan semua postingan

Kamis, 31 Maret 2011

USMAN AWANG SASTERAWAN UNGGUL SEPANJANG ZAMAN

USMAN AWANG, lebih dikenali sebagai penyair romantis. Namun, menelusuri liku kehidupan allahyarham, kita akan lebih kenal kekentalan arwah dalam memperjuangkan nasib rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Dalam kelembutan, ada kelantangan. Merenung foto arwah ini, terasa kasih kian membunga buat sasterawan negara yang begitu berjasa. Al-Fatihah buat Allahyarham Usman Awang, Tunas Cipta, April 2011.



Sifat sastera yang hidup adalah menggambarkan keadaan hidup rakyat yang sebenar dengan nyata dan ini sudah ada bayangannya dalam corak kesusasteraan kita baik dari segi penghidupan mahupun dari segi perjuangan rakyatnya. Tetapi kalau hanya corak yang telah dan sedang dibayangkan, ini belumlah bererti dan tidak dapat dibanggakan lagi, malah masih berasa kurang dan kekurangan inilah yang mesti diisi dan dipenuhi oleh pendukung-pendukung seni sastera dengan tidak perlu lagi menjerit dan membanggakan "aku menulis mengikut faham seni untuk seni" atau "aku menulis adalah seni untuk masyarakat".

~Usman Awang~

Sabtu, 12 Februari 2011

POLITIK DAN KEPOLITIKAN

POLITIK DAN MEDIA ibarat isi dengan kuku. Kebelakangan ini (lebih tepat, sejak dahulu lagi) berita-berita di media elektronik asyik dengan kisah politik. Kempen di sana. Kempen di sini. Saya mula mengikuti arus politik negara ketika berusia 10 tahun pada tahun 1997. Ketika itu, isu politik menjadi rencah utama dalam pelbagai buletin arus perdana. Semuanya politik kotor. Pihak A memburukkan Pihak B sedangkan Pihak B tidak pula diberi peluang dan ruang yang cukup dan adil untuk memberi keterangan. Masyarakat seolah-olah dipaksa menerima satu kenyataan semata-mata. Tiada kenyataan kedua. Yang tersiar di media perdana itulah yang benar. Selainnya, palsu belaka!

Barangkali, 30 tahun yang lalu khalayak yang didendangkan dengan berita arus perdana seperti media elektronik memang mudah mempercayai setiap inci berita yang disampaikan. Akan tetapi, saya fikir tidak lagi sekarang. Masyarakat telah semakin bijak untuk menilai kedudukan sesebuah berita yang disampaikan. Hatta, remaja sekolah yang cenderung terhadap persekitarannya juga sudah boleh membezakan antara berita benar dengan berita palsu. Apatah lagi, teknologi maklumat memberi ruang untuk masyarakat mendapatkan maklumat yang lebih jelas daripada pelbagai sumber. Hal ini memanglah satu hal yang baik akan tetapi khalayak tetap memerlukan satu penyaringan agar tidak tenggelam dalam lambakan maklumat berkenaan.

Tidak lagi semua masyarakat akan mempercayai segala ceritera politik kotor yang diperlihatkan sebagai 'politik suci' di media. Beritakanlah apa-apa sahaja. Pihak A memberi yang terbaik kepada jelatanya. Pihak B begitu gagal dalam melakukan pembaharuan setelah masa diberikan dan sebagainya. Hakikatnya, hanya masyarakat di negeri berkenaan atau manusia waras akal saja akan mendengar dan menganalisis berita-berita tersebut secara rasional. Analisis, perhatian terhadap persekitaran, pertimbangan maklumat dan sebagainya itu membuatkan masyarakat yang tidak melulu dalam mempercayai berita akan senyum sinis melihat, mendengar dan membaca berita-berita arus perdana atau mana-mana tabloid yang sering mensensasikan isu politik, sama ada politik kotor yang 'disucikan' atau politik suci yang 'dinajiskan'.


Kadang-kadang, masyarakat boleh menjadi bosan dan jelek dengan sikap pemain politik arus perdana ini. Di dalam media, mereka begitu mesra rakyat, begitu tegas dalam berjanji dan begitu mulia memperlihatkan peribadi diri tetapi sebenarnya ialah manusia yang tegar memperkosa kepercayaan jelata dan agama yang memberi amanah kepada mereka terhadap kepimpinan mereka. Pada masa-masa pilihan raya kecil atau umum, mereka benar-benar menjadi jaguh rakyat. Memberi janji demi janji. Bersusah payah meredah banjir dan bahang mentari. Akan tetapi, setelah kemenangan diperoleh maka mereka pun ketawa melihat kepercayaan melulu dan kedangkalan marhaen yang mempercayai lakonan mereka.

Ya, politik itu penting. Politik menggerakkan kehidupan tetapi politik juga begitu menjengkelkan apabila terlalu dimomokkan dengan dendam, kecintaan terhadap dunia, harta dan takhta, kezaliman, kuku besi, penindasan, saling memburukkan dan sebagainya. Kesucian politik yang mampu meningkatkan taraf diri pemain politik sekali gus memberi keharmonian kepada rakyat seperti angan-angan yang tiada arah destinasi.

Politik dan media
Media dan politik
Media oh media.
betapa tersasar sungguh fungsinya yang sebenar
menyampaikan maklumat dengan tepat, padat dan berkesan
hanyalah moto yang tidak lagi dijadikan kenyataan.

Sungguhpun begitu jengkel politik akhir zaman ini, namun kecintaan saya terhadap politik tidak boleh saya padam. Saya akan terus memerhatikan para pemainnya. Terus menganalisis janji dan manifesto politikus dan terus tidak akan berdiam dan membuat keputusan sambil lewa apabila membuang undi pertama saya, tidak lama lagi.

Selasa, 05 Oktober 2010

CATATAN PERKONGSIAN BUAT PENCINTA KUCING

SAYA tidak pernah menyangka betapa memelihara kucing secara serius sebagai haiwan peliharaan itu memerlukan kos yang tinggi. Sejak kecil, saya memang mempunyai banyak anak kucing. Sehingga hari ini, yang setia menemani emak dan keluarga saya ialah Boboy. Kucing baka British Blue, anak kepada Tuti yang mati pada tahun 2006. Boboy dilahirkan pada 28 Mei 1995. Ketika itu saya baru darjah dua. Tidak pernah kucing-kucing peliharaan saya mendatangkan masalah atau ditimpa sakit yang serius.

Akan tetapi, hal ini berlaku sebaliknya kepada guru saya. Saya percaya betapa itu ialah ujian Allah kepada cikgu. Sejak awal tahun ini sehingga bulan ini, cikgu diuji dengan kesakitan Abi dan Omi yang serius. Setelah Abi diserang sawan, kini Omi pula mengalami masalah keradangan pundi kencing. Kos rawatan sudah mencecah RM4000 untuk Abi dan Omi. Hal lebih serius apabila Omi kini sedang berdepan dengan penyakit keradangan pundi kencing. Setelah enam hari Omi tinggal di wad Hospital Veterinar Gasing, Petaling Jaya, dia dibenarkan pulang pada Ahad yang lalu.

Sakit keradangan pundi kencing itu berlaku biasa bagi kucing jantan, kata Dr. Goh. Tetapi, saya kurang menerimanya kerana berpuluh ekor kucing yang saya pelihara, belum pernah mengalami masalah seperti itu. Menurut cikgu, masalah bermula apabila najis kencing Omi mengandungi darah yang banyak. Dalam masa yang sama, Omi sukar untuk membuang air kencing, malah mengambil masa yang panjang sehingga 20 minit untuk kencing, tetapi tidak setitis pun yang keluar.

Apabila cikgu menghubungi tiga orang doktor, mereka mengatakan bahawa gejala itu adalah sangat serius. Sekiranya seekor kucing tidak boleh membuang air kencing dalam masa 24 jam, maka urin itu akan masuk ke dalam salur darah dan memberi toksin kepada seluruh badan. Hal ini akan menyebabkan kematian dengan tanda awal pucat di bibir dan mulut yang berbuih. Setelah mendapati Omi mengalami masalah itu, cikgu segera membawa Omi menaiki teksi (masalah guru saya ini adalah ketakutannya untuk memandu jauh dari rumah walaupun mempunyai kenderaan). Tiba di hospital, cikgu melihat sendiri empat orang doktor cuba membuat 'unblocked' pada penis Omi. Omi diberi suntikan sedatif dalam masa 10 minit selain dimasukkan air ke dalam badannya.

Dalam masa itulah Dr. Tan, Dr. Goh, Dr. Chin dan Dr. Prem berusaha menebuk lubang pada penis Omi untuk memasukkan 'urine carter'. Air kencing Omi dikeluarkan sementara melalui alat itu. Selepas proses 'unblocked', Dr. Chin yang agak marah kerana lewat membawa Omi ke hospital dengan alasan kerja segera membuat imbasan pada pundi kencing Omi. Kelihatan di situ timbunan kristal halus yang terbentuk hasil daripada urin yang tidak keluar. Sekatan pada penis Omi berlaku apabila terlalu banyak mendapan tersebut sehingga menghalang urin keluar, manakala darah yang keluar pula akibat luka yang dihasilkan oleh kristal halus pada dinding pundi kencing. Kristal itulah yang perlu dibuang dan tidak ada cara lain melainkan Omi perlu kencing sendiri.

Menurut Dr. Chin, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada pembentukan kristal itu dan tidak tertakluk kepada satu faktor. Antara faktornya ialah pemakanan, kurang minum air, stress (kucing, haiwan yang sangat mudah stress). Timbunan kristal nampak lebih jelas apabila Dr. Tan mengepam air ke dalam pundi kencing. Taburan kristal itu akan bergerak sebelum mendap semula. Untuk manfaat dan pengetahuan pencinta kucing juga, cikgu mendapat pengetahuan baru oleh doktor betapa makanan biskut kucing yang biasa terdapat di pasaran dan iklan itu tidak baik untuk kesihatan kucing kerana kandungan garam yang tinggi dan lebih berbentuk makanan rapu. Atas sebab kemungkinan faktor makanan, doktor menyarankan secara serius agar makanan Omi ditukar kepada Science Diet Royal Canin yang berfungsi untuk meneutralkan tahap asid dalam badan atau sebaliknya mengikut keperluan sistem tubuh kucing. Yang agak menyukarkan, Omi tidak boleh beralih kepada makanan lain sekiranya mula memakan Royal Canin dan perlu memakan makanan itu seumur hidupnya. Royal Canin hanya dijual di pusat-pusat veterinar dengan harga RM68.50 untuk 1.5 kg. Sekiranya Omi diberi makanan biasa semula, maka tidak mustahil masalah yang sama akan berulang sekiranya faktor penolaknya adalah dari sebab pemakanan.

Setelah enam hari di hospital, Omi dibawa pulang oleh Cikgu Julia dan Cikgu Norhana dengan bekalan ubat-ubatan. Dr. Tan yang begitu lembut dan penyayang meminta cikgu membeli vitamin c (50 mg) yang berfungsi untuk memecahkan kristal itu. Walau bagaimanapun, pemberian vitamin c berlebihan boleh mengakibatkan cirit-birit. Sebenarnya, haiwan seperti kucing mampu menghasilkan vitamin c sendiri, akan tetapi akibat penyakit itu, sistem badan Omi kekurangan vitamin c.

Ada ketika yang salah, saya berasa bersalah kerana sayalah yang membawa induk kucing yang saya temui di tepi jalan iaitu Mimi kepada cikgu pada awal tahun 2006. Akan tetapi, cikgu sentiasa berpendapat bahawa ini ialah ujian Allah kepada dia yang mencintai anak-anak kucing itu sepenuh hati. Lebih aman dan tenang kucing-kucing itu dirawat dengan sempurna daripada diterpa rasa bersalah andai hanya membiarkan mereka kesakitan. Kata cikgu, kucing-kucing yang dipelihara itu adalah tanggungjawabnya, meskipun segelintir bukan pencinta kucing cuba mengkritik hubungan antara kucing dengan tuannya seperti ini tetapi dalam kalangan pencinta kucing, hal ini adalah biasa.

Melihat pada sulitnya ujian memelihara haiwan peliharaan ini membuatkan saya perlu berfikir panjang untuk memeliharanya pada masa akan datang. Buat masa ini, saya berhasrat untuk tidak mahu memiliki haiwan peliharaan pada masa akan datang rentetan komitmen tinggi yang diperlukan seperti itu selagi belum bersedia dengan segala ujian dan harga yang datang bersama kasih sayang itu.

Satu lagi info yang cikgu kongsikan dengan saya adalah tentang daya stress kucing. Terdapat pelbagai cara kucing memperlihatkan stress mereka. Omi memperlihatkan stress dengan menggigit kain, kertas dan melagakan gigi atas dan gigi bawah sehingga berbunyi. Ada juga yang menggigit kuku sehingga habis dan sebagainya. Stress kucing juga dapat dilihat pada turun naik nafasnya yang laju daripada biasa, pada perutnya.

Gasing Veterinary Centre yang berpusat di Jalan Gasing, Petaling Jaya bagi saya menyediakan rawatan dan
perkhidmatan yang lebih memuaskan dengan harga yang berpatutan berbanding kebanyakan hospital haiwan yang terkemuka di Kuala Lumpur dan beberapa yang lain. Hospital ini boleh dihubungi melalui talian 03-77823553, dibuka dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam setiap hari.

Senin, 04 Oktober 2010

PENYEBARAN BAHASA MELAYU DI SAMUDERA


Ulasan bagi buku Bahasa Melayu di Samudera oleh Profesor Asmah Hj Omar, Dewan Bahasa, Oktober 2010

Rabu, 29 September 2010

BERFIKIR DALAM MENULIS

OKTOBER akan menjengah usia. Terasa waktu begitu cepat berlalu apabila sering saja dihitung. Berbanding awal dahulu, saya kini sudah kurang aktif untuk menulis di laman ini. Bukan kerana saya sudah malas menulis. Akan tetapi, saya perlu berfikir lebih panjang untuk menentukan tulisan yang ingin saya paparkan di sini. Sekali butang 'terbit' diklik, akan banyak implikasi yang mendatang.

Menulis di laman blog barangkali boleh dianggap sebagai aktiviti masa senggang untuk melatih kemahiran menulis. Ada juga yang menjadikan laman maya ini sebagai buku catatan harian mereka, sama ada kisah yang ditulis itu bersifat terlalu peribadi atau tidak, semuanya harus tetap diterbitkan. Tidak kurang yang menjadikan wisma ini sebagai laluan untuk membentuk gagasan fikiran dan penterjemahan sesuatu pemahaman. Memberi pencerahan mengenai gejolak budaya yang melanda masyarakat dan dunia untuk difikirkan oleh masyarakat pembaca.

Berada di atas talian tanpa sempadan sebegini sebenarnya memerlukan penulis berfikir lebih lama sebelum menghimpun aksara menjadi kata. Sekiranya tulisan itu hanya mencitrakan rupa diri yang pincang daripada ketulusan nilai murni, maka hal itu akan turut melibatkan maruah bangsa dan agama yang dibawa atas nama yang dipaparkan, atas rupa diri yang bertindak sebagai duta kepada agama, bangsa dan negara.

Berbicara keterlaluan dengan menganggap laman ini sebagai hak peribadi juga boleh mengundang pelbagai persepsi negatif pembaca, apatah lagi jika perkara yang ditulis membabitkan maruah diri, agama, bangsa, negara atau institusi yang kita diami. Keterlaluan menulis bersandarkan emosi akan memburukkan keadaan dan memberi salah tanggapan kepada orang yang bukan berkenaan.

Ada ketika, laman bebas seperti ini boleh menjadi tempat persembunyian atau juga citraan personaliti yang tidak dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Namun, kepelbagaian alasan yang dikemukakan atas setiap tulisan yang disiarkan, pemblog tidak boleh menafikan kebenaran hakikat betapa menulis di atas talian memerlukan lebih banyak perhitungan fikiran sebelum memaparkan sesebuah tulisan agar tulisan yang tersiar tidak mendatangkan implikasi dan citraan negatif kepada diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

UNTUK ANDA DAN SAYA, SELAMAT BERFIKIR DAN MENULIS

Sabtu, 11 September 2010

BUAT WANITA

Sumber : Iluvislam.com

SAYA tertarik benar dengan khutbah Jumaat di tempat saya (Balai Islam, Flet Pekeliling) 15 Jun lalu. Isunya mengenai kewajipan menutup aurat.

Disebabkan semua jemaah lelaki, khatib mengingatkan jemaah supaya memberitahu anak isteri supaya menjaga aurat masing-masing.

Kenapa wanita itu senang menjadi fitnah? hum..memang itulah hakikatnya.. kerana wahai wanita, Allah telah jadikan anda makhluk paling cantik dipandang mata, andalah sebaik-baik perhiasan yang mampu menarik pandangan setiap mata di sekitarmu..

01.Ada yang pakai tudung singkat. Julurnya diikat ke belakang. Atau diikat ke leher. Maka nampaklah 'kegebuan' leher dan dadanya. Sedangkan dalam khutbah tadi, khatib membacakan ayat al-Quran yang meminta wanita melabuhkan tudung, menutup bahagian dada mereka.

02.Ada pakai tudung, tapi pakai T-shirt pendek. Malah ada yang pakai T-shirt tanpa lengan. Sudah tu ketat pula. Bukankah lengan itu aurat. Bahaya mendedahkan lengan yang 'gebu' itu. Yang dahsyatnya, ada pakai T-shirt singkat yang dipadankan dengan jeans terlondeh. Jadi apabila membongkok atau duduk, nampak seluar dalam, malah kadang-kadang alur bontot.

03.Ada pakai tudung, tapi pakai jeans teramat ketat. Alur punggung pun terbelah dua. Bentuk bontot pun terserlah. Apa nak jadi ni?

04.Ada yang pakai tudung, tapi pakai kebaya ketat. Tidak cukup dengan tu pakai 'kain koyak' pula. Apabila berjalan, terserlahlah 'kegebuan' betis malah kadang-kadang paha pun tersembul.

05.Ada yang pakai tudung, tapi pakai kain singkat, macam skirt mini. Kaki bukan auratkah? Pakailah stokin!!!!!!!

06.Ramai perempuan pakai tudung, tapi bermekap tebal dan berwangi-wangian. Bibir merah menyala. Menunjukkan aksi seksi pula tu.

07.Ada perempuan bertudung, 'merendek' pula dengan pacar di bangku stesen bas dan pusat beli-belah. Ini menjatuhkan imej wanita bertudung.

08.Ramai perempuan suka pakai kasut bertumit tinggi. Apabila berjalan berbunyilah, tang, tang, tang. Dalam khutbah tadi, khatib memberitahu tidak boleh timbul bunyi yang boleh menaikkan syahwat lelaki.

Syahwat Lelaki

Berkenaan syahwat lelaki ini, saya berpendapat kebanyakan perempuan tidak memahaminya.

Ini kerana perempuan dan lelaki tidak sama dari segi biologi keinginannya.

Lelaki mudah saja naik syahwatnya sedangkan perempuan tidak. Kebanyakan perempuan ingat lelaki macam dia. Itu tidak benar sama sekali.

Seorang rakan saya memberitahu, satu kajian mendapati lelaki terangsang secara puratanya sebanyak 30 kali sehari. Ini sudah semula jadi. Bukan dibuat-buat. Jadi bukan sesuatu luar biasa jika lelaki naik syahwatnya jika melihat aurat perempuan.

Itu normal. Jadi untuk selamat dunia akhirat, lelaki dan perempuan wajib jaga aurat masing-masing. Ikut saranan al-Quran dan hadis. Tafsiran ajaran al-Quran dan hadis disampaikan oleh ilmuan agama seperti khatib Jumaat itu.

Pandai-pandailah nanti menjawab dan berdalih di hadapan Allah.. Tak takut ke?

Saya perhatikan sekarang ini ramai perempuan bertudung. Alhamdulillah, tetapi yang tidak sedapnya, semakin ramai wanita bertudung tetapi tidak menutup bahagian sensitif.

Lelaki dan perempuan ikut saja panduan al-Quran dan hadis jika mahu selamat.


Jangan mahu dibantah hukum-hakam agama. Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih..

Wallahua'alam

Selasa, 31 Agustus 2010

BAHASA DALAM FILEM MELAYU


Memetik kata-kata Ramli dalam Seniman Bujang Lapuk, "bahasa menunjukkan bangsa tau!"
Tersiar dalam Dewan Bahasa, September 2010

Senin, 31 Mei 2010

WASIAT AL-THANTAWI BUAT PUTERI

DIPETIK DARI: http://halaqah.net/v10/index.php?action=printpage;topic=504.0

wasiat ayahanda buat seorang puteri

Nasihat Syeikh Ali Tantawi kepada semua muslimat.

Kepada Puteriku,

Wahai puteriku,

aku seorang bapa yang sedang memasuki usia lima puluh tahun. Usia muda telah aku lewati dan aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan hak yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.

Wahai puteriku,

banyak aku menulis, sering juga aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral. Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan sehingga pena yang aku gunakan menjadi tumpul dan lidahku kelu. Namun tetap tiada hasil yang aku perolehi. Kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya. Di setiap pelosok negara perbuatan mungkar terus kita temui dan semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu negara Islam yang mampu mengelakkannya.

Sebagai contohnya, negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yang sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang masya-Allah!!Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tidak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya? Sebabnya kerana sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya.

Wahai puteriku,

pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau yakin padanya dan engkau berusaha unuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah menjadi baik. Engkau benar puteriku, bahawa kaum lelakilah yang mula-mula melangkah menempuh jalan dosa bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah laju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.

Engkau berkata kepada pencuri : “Silakan masuk”…dan setelah engkau kecurian barulah engkau tersedar. Ketika itu barulah engkau berteriak ..”tolong….tolong...aku kecurian.”
Seandaiya engkau tahu bahawa lelaki itu ialah serigala dan engkau ialah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala. Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki ialah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspada seorang yang kikir terhadap pencuri.

Jika yang dikehendaki oleh serigala daripada kambing ialah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar kambing dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.

Lelaki mengkehendaki yang paling berharga darimu iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala. Wahai puteriku, demi Allah, apa-apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu bertelanjang dihadapannya tanpa pakaian.

Aku bersumpah lagi: “Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab”. Bohong … bohong … demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan antara mereka, pasti engkau takut dan ngeri.

Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu ialah langkah awal.

Apakah sesudah itu puteriku?

Renungkanlah!

Minggu, 23 Mei 2010

Jumat, 23 April 2010

THE KING AND I

MENGISAHKAN perjalanan hidup Anna Leonowens yang merupakan seorang guru bahasa Inggeris dari England. Anna yang merupakan seorang balu bersama anaknya, Louis telah datang ke Siam setelah bersetuju menerima tawaran Raja Mongkut untuk mengajarkan bahasa Inggeris kepada anak-anaknya. Persetujuan Anna bertitik tolak daripada perjanjian yang dipersetujui Raja Mongkut melalui surat iaitu bersetuju menyediakan sebuah rumah khas untuk dia dan Louis di luar istana. Walau bagaimanapun, Raja Mongkut enggan mengotakan janjinya itu. Anna terpaksa tinggal di dalam istana Raja Mongkut namun tetap mendesak untuk mendapatkan rumah yang dijanjikan.

Anna telah diperkenalkan dengan budaya hidup Raja Mongkut dan adat Siam itu sendiri seperti budaya kowtow dan penghormatan tinggi terhadap raja sehingga larangan mengangkat wajah kepada raja. Sebagai seorang yang berpendirian, Anna tidak mahu melakukan kowtow kerana melanggar prinsip dia. Hal ini lantaran kehadirannya ke Siam adalah untuk mengajar dan bukan sebagai hamba kepada raja. Dalam masa yang sama, Anna telah berkenalan dengan seorang isteri baharu Raja Mongkut yang diberikan oleh raja Burma iaitu Tuptim. Gadis tersebut berhadapan dengan konflik apabila dia sebenarnya mencintai lelaki lain iaitu Lun Tha. Tuptim telah menceritakan hal tersebut kepada Anna dan meminta Anna membantunya.

Pada satu ketika juga, khabar angin berkenaan dakwaan Permaisuri Victoria yang menganggap Raja Siam dan negara Siam sebagai tidak bertamadun telah tersebar luas. Hal ini menganggu Raja Mongkut sehingga menyebabkan dia memarahi Anna dan menganggapnya sebagai hamba. Anna yang tegas mengatakan ketidakhambaannya tekad untuk meninggalkan Siam. Walau bagaimanapun, hajat Anna terbantut apabila permaisuri pertama iaitu Lady Thiang memujuk dan memerihalkan kebaikan Raja Mongkut yang sebenarnya seorang yang baik meskipun nampak angkuh dan tidak beradab.

Atas cadangan Anna, Raja Mongkut bersetuju untuk melangsungkan majlis makan malam dengan menjemput duta British serta para bangsawan Inggeris. Majlis tersebut berlangsung untuk mengangkat citra kebangsawanan Raja Mongkut dan para isteri serta istana. Mereka berpakaian dan berhias ala Inggeris. Hal ini bagi membuktikan bahawa mereka juga sebuah negara dan bangsa yang bertamadun dan menolak khabar angin negatif terhadap mereka. Dalam majis itu juga, pementasan teater yang diadaptasi daripada sebuah buku berjudul Uncle Tom’s Cabin menjadi bukti betapa bangsa mereka mampu menginterpretasi karya Barat mengikut cara dan budaya mereka. Majlis tersebut nyata berjaya dan memberi keyakinan terhadap kedutaan Inggeris dan para hadirin akan ketamadunan yang dimiliki Siam.

Pengakhiran muzikal ini berlaku apabila Raja Mongkut meninggal akibat tekanan dan memperlihatkan Raja Chulalongkorn naik sebagai penganti. Raja Chulalongkorn telah melakukan pembaharuan terhadap budaya dan adat Siam yang dianggapnya keterlaluan seperti amalan kowtow. Hal tersebut merupakan pengaruh yang dibawa oleh Anna yang melihat perlunya satu komunikasi dan saling menghormati dengan cara yang lebih menjaga maruah manusia. Anna yang mahu pulang ke British membatalkan hajatnya atas keinginan Raja Mongkut yang ingin Anna terus mengajar anak-anaknya.

Naskhah muzikal dengan 22 buah lagu ini bertemakan perjuangan dalam mengubah paradigma dan cara hidup ke arah yang lebih baik dan mampu meningkatkan taraf diri. Dalam hal ini, Anna Leonowens merupakan watak utama yang berperanan membawa perubahan pemikiran Raja Mongkut dan kebudayaan serta adat Siam. Raja Mongkut terkenal sebagai seorang raja yang bongkak dan berperwatakan kasar terhadap hamba dan orang bawahan. Walau bagaimanapun, Anna telah mengubah cara Raja Mongkut tersebut menerusi penentangannya terhadap amalan kowtow dan isu perhambaan oleh golongan atasan. Keberanian Anna Leonowens dalam berbicara secara langsung berkenaan hal-hal tersebut kepada Raja Mongkut merupakan satu tindakan luar biasa yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain di sekitar Raja Mongkut. Selain itu, Anna juga menegur tindakan raja yang mengamalkan perhambaan. Bagi Anna, setiap insan berhak untuk hidup gembira dan tidak sewajarnya diperlakukan dengan kejam dan menyekat kebebasan mereka untuk berasa gembira. Hal ini merujuk kisah Tuptim yang terpaksa akur akan sistem Raja Mongkut yang membuatkan dia terpisah dengan kekasihnya, Lun Tha.

Selain itu, Anna juga telah membantu dan berusaha mengangkat martabat ketamadunan bangsa Siam untuk menghapuskan khabar angin tidak baik berkenaan ketidaktamadunan Siam pada pandangan pemerintah British. Unsur ilmu dan penekanan terhadap pengetahuan merupakan elemen utama yang cuba diterapkan Anna kepada Raja Mongkut dan masyarakat istana agar dipandang tinggi oleh masyarakat Inggeris. Nyata sekali, segala usaha Anna dalam mengubah kebudayaan Siam ke arah yang lebih baik dari segi moral dan fizikal berjaya dilakukan. Penerimaan Raja Mongkut terhadap peraturan baru yang diletakkan Raja Chulalongkorn mengabsahkan perjuangan Anna Leonowens. Secara halus juga, muzikal ini merupakan satu pencitraan akan kepentingan Barat dalam memperlihatkan ketamadunan sesebuah bangsa bukan Inggeris. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang telah menjadikan Raja Mongkut resah akan dakwaan Permaisuri Victoria dan menyetujui cadangan Anna agar majlis makan malam bertemakan Barat bagi mencerminkan ketamadunan Siam.

Karya ini mengangkat isu perhambaan yang diamalkan oleh kebanyakan institusi istana. Hal ini dapat dilihat menerusi kisah yang dibawa dalam novel Uncle Tom’s Cabin oleh Harriet Beecher Stowe’s. Buku tersebut telah diberikan Anna kepada Tuptim dan menjadi subjek pementasan dalam majlis makan malam bersama kedutaan British. Dalam buku tersebut, King Simon merupakan antagonis yang cuba memperhambakan Eliza. Menerusi karya ini, khalayak mendapat penegasan betapa perhambaan merupakan satu perkara yang tidak dapat diterima oleh masyarakat dan bangsa yang bertamadun. Sekatan pemerintah terhadap kebebasan hidup rakyat merupakan satu hal yang tidak wajar dan perlu dihapuskan. Perihal isu ini dapat dilihat menerusi perbincangan Anna Leonowens dengan Raja Chulalongkorn sewaktu Anna menceritakan kisah Uncle Tom’s Cabin dan pementasan tersebut. Pada akhirnya, khalayak akan dipertontonkan dengan kepincangan dan kekalahan pihak raja yang zalim apabila King Simon ditenggelamkan oleh Buddha ke dalam laut sewaktu cuba membunuh Eliza. Hal ini memperlihatkan persamaan kisah Nabi Musa yang dianiayai oleh firaun yang lantas ditenggelamkan laut.

Sementelahan itu, The King and I menerusi lagu Getting To Know You membawa persoalan kejujuran dan keikhlasan seorang guru yang berbangga dan berbahagia dengan tanggungjawabnya sebagai pendidik. Sebagai guru, Anna berasakan bahawa bukan hanya dia yang mengajar sebaliknya dia turut menjadi pelajar dalam memahami karenah setiap anak didiknya. Hal tersebut merupakan satu pengajaran dan pengalaman yang diperolehi Anna sebagai guru. Secara halus juga, paparan isu ini turut memperlihatkan kemuliaan seorang guru yang berusaha untuk mengangkat martabat diri seseorang manusia menjadi lebih berilmu lantas mampu mengemudi hidup dan fikirannya ke arah yang lebih baik.

Persoalan cinta sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam karya ini. Melalui Tuptim, khalayak dipertontonkan dengan cinta tidak kesampaian antara dia dengan Lun Tha. Dalam hal ini, cinta terpaksa dikorbankan demi memenuhi kehendak Raja Mongkut. Dari sisi lain, cinta dalam karya ini juga dapat dilihat melalui watak Raja Mongkut dengan Anna Leonowens itu sendiri. Meskipun perihal cinta antara mereka tidak diperlihatkan secara jelas namun khalayak tetap dapat meneka melalui cara pandangan, sentuhan dan keluarbiasaan kemesraan mereka. Namun begitu, cinta mereka terhalang atas faktor perbezaan budaya dan strata.

Selasa, 09 Maret 2010

TARIAN ASYIK SIMBOL KEKUASAAN DIRAJA

DALAM sejarah kesenian tradisional Melayu, tarian Asyik merupakan salah satu kesenian yang sangat terkenal. Suatu ketika dahulu, tarian ini hanya dimainkan sebagai suatu seni persembahan khusus kepada golongan raja Penari-penari bagi tarian yang suatu ketika dahulu diklasifikasikan sebagai tarian istana ini dimainkan oleh gadis-gadis jelita pada hari-hari upacara tertentu serta hari-hari keramaian yang melibatkan golongan diraja yang dianggap mulia.

Tarian Asyik ini akan ditarikan oleh penari-penari yang terdiri daripada dayang-dayang istana yang telah dilatih dengan sebaik-baiknya. Tarian istana ini merupakan satu tarian klasik bagi negeri Kelantan Darul Naim. Antara alat muzik yang digunakan bagi mengiringi tarian ini ialah gedumbak. Gedumbak ini pula terdiri daripada sebelas jenis selain alat muzik gambang dan rebab.

Tarian Asyik merupakan suatu medium kepada pengukuhan kekuasaan dan kedaulatan raja pada satu ketika dahulu. Tarian ini mempunyai sejarah kewujudannya tersendiri yang melibatkan unsur kekuasaan raja di dalamnya. Sejarah ini melibatkan kemunculan tarian Asyik sebagai hak milik mutlak istana satu ketika dahulu. Mengikut sejarah yang tercatat dalam Hikayat Pattani yang dipercayai sebagai bukti kukuh, Raja Kuning iaitu raja perempuan yang memerintah kerajaan Pattani sekitar tahun 1644 ada menyimpan dua belas orang penari istana yang bertugas untuk menyanyi dan menari. Tarian dan nyanyian ini dipanggil sebagai Asyik.

Asal-usul tarian Asyik ini berpunca daripada kisah seorang raja yang ada memelihara seekor burung. Burung peliharaan tersebut merupakan burung kesayangan baginda semasa di istana. Pada suatu hari, baginda telah mendapati bahawa burung tersebut telah terlepas daripada sangkarnya. Baginda kemudiannya telah menurut arah terbangnya burung tersebut untuk mendapatkannya semula. Malangnya, raja tersebut gagal mendapatkannya semula burung tersebut lalu kembali semula ke istana dengan rasa penuh kecewa.

Raja tersebut masih tidak dapat melupakan burung kesayangannya tersebut. Rindunya kepada burung tersebut tidak dapat dibendung. Bagi menghilangkan rasa rindunya itu, raja telah memerintahkan dayang-dayangnya mencipta satu tarian yang seakan-akan meniru gerak-geri burung kesayangan itu. Oleh sebab itu, kumpulan Asyik akan menari di hadapan baginda setiap kali baginda terkenangkan burung kesayangan tersebut.

Berdasarkan sejarah kewujudan tarian Asyik, dilihat terbukti wujudnya unsur kekuasaan sang raja melaluinya. Hal ini kerana tarian Asyik hanya dibenarkan untuk dipertontonkan sebagai hiburan golongan raja sahaja. Golongan masyarakat sama sekali tidak diberi keizinan untuk menonton atau menarikannya. Pengkhususan ini nyata selari dengan sejarah kewujudannya yang berfungsi untuk menyenangkan dan menghiburkan hati raja semata-mata.

Pada asasnya, Asyik bererti kekasih. Pengertian ini amat bersesuaian dengan gerak tarinya yang lemah lembut dan kasih sayang. Atas dasar itu jugalah tarian ini pada suatu ketika dahulu menjadi tarian istana yang hanya ditujukan kepada golongan raja. Sebagai seorang raja yang berkuasa, maka sememangnyalah satu persembahan yang penuh dengan lemah gemalai ini tidak boleh dimainkan kepada rakyat jelata dan bawahan.

Selepas tertib duduk bersimpuh dan menyembah raja dilakukan, ketua kunpulan tarian Asyik yang dikenali sebagai Puteri Asyik akan masuk menyertai kumpulan ini. Puteri Asyik ini akan masuk dan mengikuti gerak duduk bersimpuh. Selalunya pada zaman dahulu, raja sendiri yang akan memilih dayang tertentu untuk memegang watak Puteri Asyik bagi mengetuai tarian. Mengikut sebuah anekdot, sebagai seorang raja yang berkuasa dan gemar menyimpan gundik, raja akan menggunakan kekuasaannya untuk mengambil Puteri Asyik yang diminatinya sebagai gundik. Hal ini membuktikan wujud dasar kekuasaan raja di sebalik kewujudan tarian ini.

Menurut seorang bomoh diraja Kelantan yang bernama Pak Man, tarian Asyik dibawa ke Kelantan pada sekitar tahun 1683 di Jembal. Ketika itu, Jembal berada di bawah penguasaan Raja Loyar. Raja tersebut mempunyai seorang puteri yang bernama Puteri Saadong. Tarian Asyik merupakan persembahan yang sangat disukai oleh Puteri Saadong. Ketika itu juga, tarian Asyik dikenali sebagai ‘gerak jinjang raja’ yang merujuk pergerakan lemah gemalai.

Setelah peralihan kuasa kepada kerajaan Kota Kubas Labu, tarian Asyik tetap berkembang semasa pemerintahan Long Yunus pada tahun 1784. Apabila putera baginda iaitu Sultan Muhammad I menaiki takhta, baginda telah membawa seorang guru tari iaitu Siti Mas dan suaminya dari Kota Kemal, Pattani bagi mengajar tarian ini di istana. Ketika itu, tarian Asyik ditarikan oleh seorang penari dengan iringan muzik asli iaitu rebab.

Berdasarkan sejarah kemunculannya, tarian Asyik membuktikan bahawa tarian istana ini benar-benar menjadi milik mutlak institusi beraja satu ketika dahulu. Hal ini kerana fungsi dan peranannya sebagai satu bentuk hiburan istimewa buat golongan tersebut. Tambahan pula, tarian Asyik ini terbentuk atas kehendak raja yang menginginkan bentuk tarian itu menyamai gerak-geri burung kesayangan yang telah hilang. Selain itu, keunggulan kedaulatan raja melalui tarian klasik ini juga terbukti apabila hanya golongan raja dan kerabatnya sahaja yang boleh menonton persembahan ini. Jelaslah, hal ini sekali gus mengukuhkan kekuasaan, keagungan dan kebesaran golongan diraja.

Senin, 15 Februari 2010

MUZIKAL CATS CERITA KUCING LUAR BIASA

TIGA minggu yang lalu, saya dan rakan kuliah telah menonton muzikal Cats. Memang menarik booknya walaupun agar sukar difahami pada awal. Bagi saya, selain book atau cerita yang menarik - Cats juga berjaya menarik perhatian penonton dengan latar set yang menarik dan mengagumkan. Unsur kekaguman yang ada di dalamnya berjaya menambat hati penonton dan mendatangkan rasa takjub. Melihat unsur kekaguman yang ada, fikiran saya agak serabut juga untuk memikirkan unsur kekaguman yang ingin saya terapkan dalam muzikal saya. Premis ceritanya sudah ada, dan kini saya masih berusaha mengasah naratifnya di samping memikirkan beberapa unsur kekaguman yang boleh menarik perhatian. Berikutnya merupakan sedikit perkongsian yang saya catatkan mengenai Muzikal Cats.

Cats merupakan sebuah naskhah pentas genre muzikal yang diinspirasikan daripada puisi yang wujud dalam kumpulan puisi T.S Elliot berjudul Old Possum’s Book of Practical Cats (1939). Cats diterbitkan pertama kali oleh Cameron Macintosh dan diarahkan oleh Trevor Nunn. Gillian Lynne pula merupakan koreografer yang bertanggungjawab dalam gerak tari para pendukung watak Cats. Muzikal Cats berkisar pada kehidupan masyarakat kucing yang menggelar diri mereka sebagai Jellicle Cats. Lagu Jellicle Songs for Jellicle Cats merupakan overture yang memperkenalkan kelompok Jellicle Cats sebagai golongan kucing yang mempunyai keupayaan tinggi dalam melakukan banyak perkara, berwajah ceria dan suka melompat.

Berlatarkan tempat pembuangan sampah sebagai satu-satunya set pementasan, Cats mencitrakan kehidupan setiap kucing yang ada di situ dengan variasi cerita. Dalam karya ini, terdapat lapan buah kisah yang melibatkan watak-watak kucing tertentu. Hal ini dimulakan dengan kisah The Old Gumbie Cat bernama Jennyanydots. Seekor kucing betina yang gemuk dan disenangi oleh tikus dan lipas yang ada. Sementelahan itu, Rum Rum Tugger merupakan seekor kucing jantan yang suka didampingi kucing-kucing betina. Rum Rum Tugger juga merupakan kucing yang suka bertindak sesuka hati seperti yang digambarkan menerusi bait-bait “for he will do as he do do and there's no doing anything about it".

Antara kisah kucing dalam karya ini, Grizabella merupakan watak utama naratif ini. Grizabella merupakan seekor kucing tua yang dipulau oleh masyarakat kucing lantaran tindakannya keluar dari masyarakat kucingnya sewaktu muda. Tindakan Grizabella itu didorong keinginannya untuk melihat dunia luar. Kisah Grizabella terakam dalam lagu The Glamour Cat. Walau bagaiamanapun, atas nasihat dan kuasa Old Deuteronomy (seorang peramal) yang sangat dihormati, Grizabella diberi peluang kedua untuk ‘membersihkan diri’ dengan ‘kelahiran semula’. ‘Kelahiran semula’ Grizabella diraikan dalam lagu Journey to the Heaviside Layer.

Akhirnya, masyarakat kucing menerima kepulangan dan keinsafan Grizabella. Mereka juga menyedari bahawa mereka tidak sewajarnya menghina kucing lain dengan gelaran yang tidak baik. Old Deuteronomy memberi pesanan kepada masyarakat kucing agar menjaga maruah mereka sebagai kucing dan membezakan diri mereka dengan masyarakat anjing. Perihal ini diperincikan oleh Old Deuteronomy dalam lagu The Ad-Dressing Of Cats yang menjadi penutup kisah sebelum lagu Memory dinyanyikan..

Muzikal Cats menjadikan lagu Memory yang ditulis Trevor Nunn sebagai lagu tema. Terdapat 27 buah lagu yang menjadi naratif muzikal ini. Ada antaranya dipetik dan diinspirasi daripada kumpulan puisi T. S Elliot.

Pemikiran

Naskhah muzikal Cats mengangkat tema kemasyarakatan yang disimbolkan melalui kehidupan kucing. Dalam hal ini, Cats cuba menyampaikan gagasan pemikiran bahawa masyarakat sewajarnya hidup sebagai satu entiti yang saling memahami dan bertolak ansur sesama masyarakat. Tema ini disampaikan oleh watak Old Deuteronomy yang menjadi pengamal kebenaran. Old Deuteronomy menegah masyarakat kucing memberi nama gelar yang tidak baik antara satu sama lain seperti yang dikisahkan dalam lagu The Naming of Cats. Sebaliknya Old Deuteronomy meminta masyarakat kucing bertindak sebagai seekor kucing dan bukannya anjing. Hal ini ditampilkan dalam lagu The Ad-Dressing of Cats. Muzikal ini meminta khalayak untuk sentiasa bersangka baik bahawa setiap makhluk itu seharusnya diberi peluang kedua untuk membaiki diri seperti yang berlaku terhadap Grizabella.

Persoalan

Industri lakon yang tidak menitikberatkan kualiti lakonan merupakan antara persoalan yang dilontarkan lewat karya ini. Hal ini dapat dilihat melalui watak Asparagus atau Gus yang mengimbas kembali kualiti industri lakon yang diceburinya sewaktu muda dahulu. Menurut Gus, penggiat seni lakon dalam latar masa teater tersebut tidak dilatih terlebih dahulu seperti kelompok zaman kegemilangan Asparagus yang mementingkan latihan dan kualiti dalam menjayakan satu-satu persembahan.

Sementelahan itu, muzikal ini turut menimbulkan persoalan rasa keinsafan yang sewajarnya wujud dalam diri manusia. Dalam hal ini, persoalan ini dapat dilihat dalam watak Grizabella yang menyedari kesalahan yang pernah dilakukan dan berusaha untuk mendapatkan semula tempat dalam komuniti kucingnya. Namun begitu, persoalan ini juga dapat dilihat dalam erti yang sebaliknya. Perkara ini dilambangkan melalui watak antagonis Macavity.

Macavity merupakan seekor kucing yang jahat dan penuh licik dalam melakukan jenayah. Watak ini tidak mempunyai rasa bersalah dan insaf dengan segala jenayah yang dilakukan. Hal ini dilihat melalui gambaran watak jahat tanpa insafnya dalam bait-bait:

... the monster of criminal
He’s broken every human law
he always has an alibi
the napolean of crime.

Unsur Kekaguman

Muzikal Cats merupakan sebuah muzikal yang sarat dengan unsur kekaguman. Antaranya muncul dalam babak dua, adegan yang memperlihatkan kemunculan Mr. Mistoffelees. Watak ini diperihalkan oleh masyarakat kucing sebagai ahli silap mata yang sangat terkenal dan mampu menyelesaikan banyak masalah. Dalam hal ini, Rum Rum Tugger telah meminta bantuan Mr. Mistoffelees untuk mencari Old Deuteronomy yang telah diculik oleh Macavity. Unsur kekaguman dalam hal ini terlihat melalui pergerakan dan silap mata yang dilakukan oleh Mr. Mistoffelees yang mengeluarkan cahaya dan api dari jari-jemarinya. Cahaya dan api itu telah memenuhi pentas. Pertukaran seekor kucing siam betina dengan Old Deuteronomy turut menjadi unsur tarikan yang berjaya dilakukan oleh Mr. Mistoffelees.

Selain itu, unsur kekaguman dari aspek pencahayaan dapat dilihat dalam adegan Macavity (babak dua) yang bertarung dengan Munkustrup dan Alonzo. Pada adegan ini, Macavity telah menyamar sebagai Old Deuteronomy. Cahaya warna merah telah melatari keseluruhan pentas dengan gabungan muzik yang memperlihatkan pertarungan antara Macavity dengan Munkustrup dan Alonzo. Aspek pencahayaan merah yang digunakan selari dengan situasi dan muzik yang menjadi latar. Hal ini menarik perhatian penonton.

Sehubungan dengan itu, unsur kekaguman utama dapat dilihat melalui adegan Old Deuteronomy yang mengiringi Grizabella dalam lagu Journey to the Heaviside Layer. Dalam adegan ini, tayar yang menjadi tempat Grizabella dan Old Deuteronomy berdiri telah terangkat dan kelihatan terapung. Dalam masa yang sama, kemunculan satu objek seperti tangga yang disifatkan berasal dari kayangan bagi menyambut ‘kelahiran semula’ Grizabella telah muncul. Keunikan ‘tangga’ tersebut dengan cahaya yang menyuluh kepadanya menjadikan adegan tersebut sebagai satu unsur kekaguman dalam karya ini.

Kedua-dua aspek tersebut telah menjadi daya tarikan penonton dalam meneliti naskhah ini sehingga tamat. Aspek pencahayaan yang mengiringi situas tersebut menjadikan adegan tersebut nampak lebih menarik dan mantap. Dalam adegan lagu Skinbleshakes The Railway Cat, pergerakan para watak mewujudkan sebuah kereta api di atas pentas dengan empat roda juga merupakan unsur kekaguman yang menarik perhatian.

Selasa, 01 Desember 2009

MINDA MELAYU - RASUAH ATAU HADIAH?

Artikel Minda Melayu - Suatu Tafsiran oleh Zainal Kling menyorot pentafsiran minda dalam konteks Melayu. Berdasarkan artikel tersebut, didapati wujud kepelbagaian dalam memberi makna kepada perkataan minda bersandarkan konteks masyarakat Melayu. Antara maksud yang diterima pakai bagi memberi tafsiran minda ini adalah keseluruhan jumlah keadaan sedar bagi individu. Minda juga turut diertikan sebagai suatu keupayaan manusia untuk memahami, memikirkan, merasakan, mentaakul, memutuskan, menilai dan menganggapi. Dalam erti kata lain, minda ialah keupayaan mental yang merangkumi fikiran, perasaan dan tindakan. Terdapat tiga andaian tentang kehadiran minda dalam diri manusia. Andaian tersebut adalah kehadiran fikiran atau berfikir, kehadiran pengetahuan dan ilmu serta kehadiran niat atau tujuan.

Selain membincangkan isu pentafsiran minda dalam konteks Melayu, artikel tersebut turut membicarakan sinkratisme yang berlaku dalam pembentukan masyarakat Melayu dan Islam di Nusantara. Masyarakat Melayu Nusantara umumnya dipengaruhi oleh fasa Hindu/Buddha, fasa Islam dan fasa Barat. Percantuman dan sinkratisme yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu melalui tingkat fasa tersebut mencorak pemikiran masyarakat Melayu. Dalam hal ini, walaupun masyarakat Melayu sering dikaitkan dengan Islam sebagai tunjang agama namun adat dan budaya yang dipengaruhi dari fasa Hindu/Buddha dan fasa Barat turut mempengaruhi budaya hidup masyarakat Melayu. Dalam hal ini, Zainal Kling memperlihatkan wujud konflik dalaman masyarakat Melayu yang terpaksa menentukan antara keutamaan agama dan kebiasaan adat yang dipraktikkan sejak zaman berzaman.

Isu utama yang menjadi daya tarikan dalam artikel tersebut adalahperbincangan Zainal Kling yang melihat betapa kedatangan Barat sebenarnya telah membawa satu gagasan ekonomi yang lebih sistematik dan rasional. Pembawaan gagasan ini dilihat lebih teratur dan bersih daripada sebarang bentuk peribadi yang sering mengganggu gugat atau masuk campur dalam urusan perniagaan masyarakat Melayu. Dalam hal ini, gagasan ekonomi Barat tidak menerima sistem ekonomi yang penuh dengan pertimbangan emosi dan peribadi serta hubungan keperibadian dalam bentuk buah tangan atau hadiah. Dalam hal ini, Barat dilihat lebih profesional dalam menjalankan urusan perniagaan atau ekonomi mereka. Sistem yang dibawa Barat ini dibentuk secara rasional untuk manusia moden yang membuat segala macam pertimbangan bukan kerana hubungan peribadi tetapi kerana tugas dan tanggungjawab yang tidak peribadi dan rasional.

Hal ini berbeza dengan adat budaya masyarakat Melayu yang sudah terbiasa dengan unsur-unsur hadiah atau buah tangan yang dijadikan alas bagi mendapatkan sesuatu perkara atau pekerjaan. Hal ini tanpa disedari telah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Melayu apabila sejarah diselusuri. Sebagai contoh, pihak kerajaan Melaka pernah membayar ufti kepada kerajaan China dan Siam untuk mendapatkan perlindungan. Bagi mendapatkan perlindungan dan jaminan keselamatan, Melaka bukan sahaja sanggup menghantar ufti malah turut menghantar hasil-hasil bumi mereka kepada kerajaan-kerajaan tersebut. Secara tidak sedar, tindakan ini sebenarnya merupakan satu gejala rasuah yang ditapis dengan kata ufti atau hadiah.

RASUAH ATAU HADIAH?

Menurut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM, rasuah merujuk perbuatan yang salah di sisi undang-undang seperti menerima dan memberi wang suap (pecah amanah, menggelapkan wang dan mencuaikan tanggungjawab. Selain itu, rasuah juga memberi makna sesuatu yang diberikan atau yang diterima sebagai sogokan (Kamus Pelajar: 552). Sementelahan itu, hadiah pula bermaksud upah atau ganjaran yang diberikan kerana menang dalam perlumbaan atau pertandingan (Kamus Pelajar:227). Walau bagaimanapun, dalam konteks ini rasuah atau upah membawa makna yang lebih besar dalam budaya hidup masyarakat Melayu.

Sementelahan itu, rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang yang memperlihatkan seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) daripada pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:

• Meminta/Menerima Rasuah
• Menawar/Memberi Rasuah
• Membuat Tuntutan Palsu
• Menyalahguna Jawatan/Kedudukan

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.

Dalam masyarakat Melayu, gejala rasuah sebenarnya dikenali sebagai hadiah atau upah. Hal ini sebenarnya kurang disedari dalam masyarakat Melayu itu sendiri lantaran pemikiran masyarakat Melayu yang terlalu taksub dengan penglihatan negatif mereka terhadap pengaruh yang dibawa Barat. Masyarakat Melayu lupa bahawa gejala rasuah yang dianggap berasal usul daripada Barat itu sebenarnya telah wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman.

Melalui penelitian, rasuah atau disebut sebagai hadiah dan upah dalam masyarakat Melayu kini telah diamalkan kesinambungannya usai seseorang kanak-kanak itu ingin menjadi dewasa. Dalam hal ini, ibu bapa tanpa sedar telah menggalakkan amalan rasuah dengan memberikan hadiah atau upah kepada anak-anak agar anak-anak melakukan pekerjaan yang disuruh. Tanpa disedari, anak-anak yang terbiasa dengan keadaan itu ketika kecil akan membesar dengan mengamalkan peribadi rasuah berbentuk upah yang telah diamalkan sejak kecil.

Rentetan daripada itu, generasi muda tersebut akan terus bersifat terbuka untuk menawarkan hadiah atau menuntut upah bagi satu-satu pekerjaan yang ingin dilakukan atau atas sesuatu perkara yang dihajati. Bermula dengan kanak-kanak yang pastinya membesar, gejala ini akan terus berleluasa dan merebak dalam masyarakat Melayu yang dihalalkan oleh masyarakat itu sendiri yang tidak melihatnya sebagai rasuah sebaliknya sebagai hadiah.

Minggu, 20 September 2009

ETIKA PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN MENURUT ISLAM

1. Menundukkan pandangan: ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman- NYA; Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an- Nur: 30)

Hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (an- Nur: 31)

2. Menutup Aurat; ALLAH berfirman;" ... dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (an-Nur: 31)

Juga Firman-NYA; "Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri- isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (an-Nur: 59).

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis. Dari Abu Daud Said al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda " Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita."

3. Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita; Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firman-NYA; "Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab." (al-Ahzaab: 53)

4. Tidak berdua-duaan antara Lelaki Dan Perempuan; Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5.Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan): Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT; Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (al-Ahzaab: 32)

Berkata Imam Ibnu Kathir; Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)

6.Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis; Dari Maqil bin Yasar r.a. berkata; Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir)

Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang- orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. (Ash-Shohihah 1/448)

Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain- lainnya. Dari Aishah berkata; "Demi ALLAH, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat." (Hadis Riwayat Bukhari)

Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya. Rasulullah SAW pernah bersabda; Dari Abu Hurairah r.a.:

"Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan- angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud)

Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman- NYA; "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." (al-Isra: 32)