SEMASA saya menuntut di Tingkatan Enam, saya mengambil mata pelajaran Ekonomi yang terbahagi kepada dua cabang iaitu Mikroekonomi dan Makroekonomi. Saya tidaklah terlalu meminati bidang itu. Akan tetapi, saya percaya bidang itu jika tidak membawa saya ke bidang profesional yang berkaitannya, tetap berguna menjadi panduan kepada saya sebagai individu yang tentunya tidak boleh lepas dari soal ekonomi, perbelanjaan, kewangan. Antara isu yang paling saya ingat berkaitan pelajaran ekonomi ialah Kos Lepas.
Saya fikir semua orang tahu mengenai kos lepas sama ada orang itu pernah mempelajarinya secara formal ataupun tidak. Kos lepas ialah kaedah menimbang antara keperluan dan kehendak. Setiap sesuatu yang diinginkan jika bertentangan dengan kemampuan yang dimiliki maka perlulah dilepaskan. Perkara ini bermain dalam fikir saya setelah saya melalui satu perbincangan dengan guru saya, semalam. Kami berbincang mengenai tabiat segelintir pihak yang suka menggunakan kad 'hutang' (lebih tepat istilahnya berbanding kad kredit). Satu masa dahulu, kad 'hutang' dianggap sebagai prestij. Sesiapa yang memiliki 'kad hutang' dianggap kaya dan bergaya, sesuai dengan dunia moden yang membelenggu individu tertentu.
Saya antara individu yang menentang penggunaan 'kad hutang' baik dalam apa-apa keadaan sekalipun. Kebiasaannya, panggilan-panggilan daripada pihak bank (sebut secara baku) yang mempelawa atau menawarkan saya untuk memiliki 'kad hutang' tidak pernah saya layan. Dengan tegas, jawapan saya tetap sama "Maaf, saya tidak berminat." Saya tidak suka membiarkan pendengaran saya terus dibiarkan mendengar 'manfaat-manfaat' mengenai 'kad hutang'.
Saya percaya, pengalaman saya sebagai pelajar yang perlu bersusah-payah untuk membiayai pengajian, yang perlu mengikat perut dan menahan aneka nafsu terhadap banyak perkara mewah membuatkan saya bijak dalam menilai antara keperluan dan kehendak. Bagi saya, penggunaan kad debit lebih praktikal daripada 'kad hutang'. Hal ini kerana, dengan kad debit kita membeli sesuatu dengan kesedaran terhadap simpanan yang ada. Manakala, penggunaan 'kad hutang' selalunya (berdasarkan laporan akhbar dan pengalaman rakan) membuatkan pengguna 'lupa diri' ketika menggunakannya dan, hanya 'sedar diri' apabila penyata bulanan diterima. Isu ini membuatkan saya mengenang semula kepayahan saya ketika melanjutkan pengajian ijazah pertama, dua tahun lalu.
Saya melanjutkan pengajian ijazah pertama setelah setahun bekerja sebagai pembantu klinik swasta pada tahun 2007 (Januari-Disember). Ketika itu, gaji pokok berjumlah RM 500. Namun, setelah ditolak bahagian untuk caruman KWSP, gaji yang saya terima ialah RM 442.50. Dengan duit itu, saya bahagikan untuk keperluan rumah, tambang perjalanan; manakala sebahagian besar lagi saya simpan dengan tekad - duit simpanan itu untuk saya guna apabila saya melanjutkan pengajian.
Saya juga bersyukur apabila Allah menetapkan saya untuk menerima Biasiswa Persekutuan ketika berada di Tingkatan Enam. Biasiswa itu diterima ketika saya berada di tingkatan enam atas. Maka tidak banyak lagi wang yang diperlukan pada masa itu. Seingat saya, biasiswa itu berjumlah satu ribu lebih. Duit biasiswa itu juga tidak langsung saya usik, sebaliknya terus saya simpan. Apabila tiba Januari 2008, hasil simpanan (biasiswa & simpanan hasil kerja) itulah yang saya gunakan untuk membayar yuran pendaftaran berjumlah RM 1480.
Ketika itu, saya berusaha mencari setiap ruang untuk saya mendapatkan hak saya - mendapatkan pinjaman pendidikan. Hadiah Anak Masuk Universiti yang diberi Kerajaan Selangor kepada saya berjumlah RM1000 terus saya simpan, buat bekal perbelanjaan pengajian juga. Dalam masa yang sama, saya berusaha ke Pusat Zakat Selangor. Setelah memenuhi syarat, saya berjaya mendapatkan RM 1000 atas skim Dermasiswa Pusat Zakat. Duit itu juga saya simpan untuk urusan pendidikan. (Barangkali pengalaman ini juga yang membuatkan saya menolak dakwaan-dakwaan klise bahawa kewangan sebagai kekangan untuk menyambung pelajaran. Jika ada usaha, mesti ada jalan. Jika alasan yang dicari, maka alasan yang ditemui. Jika jalan yang dicari, seribu jalan tersedia untuk dipilih).
Saya menikmati kehidupan pelajar yang serba kekurangan. Ketika kawan-kawan sekuliah memiliki komputer riba sejak awal pengajian yang ditaja oleh keluarga masing-masing - saya hanya menggunakan komputer perpustakaan untuk menyiapkan tugasan pelajaran saya hingga semester empat. Saban hari, saya menunggu bas pada ham 6:20 pagi dan selalunya tiba di Jalan TAR pada jam 7:20 pagi. Hampir 20 minit saya berjalan kaki dari Jalan TAR ke kampus menerusi Padang Merbok. Sebelum jam sembilan pagi, saya sudah berada di depan pintu perpustakaan bagi memastikan saya dapat menggunakan komputer yang biasa saya gunakan. Atas faktor itu, saya perlu membuat dua kali kerja. Menulis tugasan dengan pensel atau pen di kertas A4 ketika di rumah sebelum menaip semula tugasan itu dengan menggunakan komputer di perpustakaan. Namun, saya tidak pernah lewat menghantar tugasan. Untuk itu, saya lebih suka bergerak sendiri dalam melakukan urusan mencari bahan agar saya dapat terus pulang setelah urusan saya selesai. Malah, kesusahan yang sedikit itu juga tidak pernah membuatkan saya ponteng atau istilah lainnya 'tuang kelas' melainkan jika emak saya sakit atau, kucing saya sakit.
Meninjau kembali kenangan 'indah'itu, saya hanya memperuntukkan RM10 untuk setiap kali saya keluar dari rumah ke IPT. RM 6 untuk tambang bas pergi dan balik dan bakinya untuk belanja makan. Jika ada lebih, itulah yang saya kumpul untuk tambah nilai telefon bimbit 'kuno' saya ketika itu. Wang untuk tambang perjalanan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Selayang saya jaga bagai menatang minyak yang penuh. Sepuluh sen yang tercicir akan menyusahkan saya untuk mencari sepuluh sen yang lain untuk melengkapkan tambang itu. Saya menjadi manusia yang begitu menghargai duit. Saya dilihat sukar untuk berbelanja dan 'liat' apabila diajak ke mana-mana, membuatkan saya dianggap segelintir rakan sebagai kera sumbang. Saya tidak kisah asalkan saya tidak menyusahkan diri saya di kemudian hari, dan tidak menyusahkan orang lain. Wang itu amat berharga bagi saya untuk dibelanjakan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Inilah beza manusia yang biasa dengan kesusahan dengan manusia yang lahir dengan serba kesenangan (born with a sliver spoon). Saya lebih faham apa-apa yang saya lalui berbanding mereka yang hanya melihat tindakan saya.
Siapa yang tidak suka dapat membeli semua yang disukai? Buku, gajet dan sebagainya? Itu juga kesukaan saya namun kesukaan itu tidak semestinya keperluan untuk saya. Saya 'makan hati' tatkala melihat rakan-rakan mampu membeli buku sedangkan tidak bagi saya, ketika itu. Semua itu saya simpan dalam hati sebagai 'dendam yang indah'. Saya yakin saya mampu memiliki buku-buku yang tidak mampu saya miliki ketika itu pada masa lain. Kini, betapa nikmatnya saya rasa apabila mampu memiliki dan membeli buku.
Siapa yang tidak suka dapat membeli semua yang disukai? Buku, gajet dan sebagainya? Itu juga kesukaan saya namun kesukaan itu tidak semestinya keperluan untuk saya. Saya 'makan hati' tatkala melihat rakan-rakan mampu membeli buku sedangkan tidak bagi saya, ketika itu. Semua itu saya simpan dalam hati sebagai 'dendam yang indah'. Saya yakin saya mampu memiliki buku-buku yang tidak mampu saya miliki ketika itu pada masa lain. Kini, betapa nikmatnya saya rasa apabila mampu memiliki dan membeli buku.
Saya hanya memiliki komputer riba apabila berada di semester empat iaitu pada akhir tahun dua pengajian setelah mendapat pinjaman daripada SUK Selangor. Sebaik-baik mendapat pinjaman itu, saya tekad di dalam hati untuk membayar semula pinjaman itu dalam tempoh setahun selepas tamat pengajian. Untuk itu, saya semakin berjimat cermat. Saya tidak mahu dan tidak suka menanggung hutang. Bagi saya, hutang hanya untuk rumah dan kereta. Tidak untuk selain itu dan kerana itulah saya sanggup menanggung penat berjalan jauh demi mengumpul wang untuk membeli kuda besi saya secara tunai. Saya juga bersyukur, berkat kesabaran melawan godaan kehendak yang aneka macam, saya berjaya membayar semula pinjaman pelajaran setelah lapan bulan tamat pengajian. Saya bersyukur dan menikmati indahnya sabar dalam memahami matlamat, keperluan dan kehendak.
Atas pengalaman itu, saya kini menjadi manusia yang semakin tahu menguruskan kewangan. Setiap bulan, saya mengisi buku belanjawan bulanan . Setiap resit pembelian saya kepilkan di dalam buku itu. Hal ini saya lakukan untuk meneliti corak perbelanjaan dan apakah saya terlebih belanja atau sebaliknya. Jika terlebih, maka saya perlu teliti apakah yang lebih dan apakah ada manfaatnya?
Bagi saya, tidak salah mempunyai banyak kehendak dalam satu masa. Namun, yang salah adalah apabila setiap kehendak itu mengetepikan kepentingan keperluan. Lebih buruk apabila kehendak-kehendak tidak terkawal itu memaksa ketidakmampuan sehingga menghasilkan sesuatu yang buruk kepada diri. Apabila yang buruk menimpa diri, bukan hanya diri itu sahaja yang akan terasa susahnya, malah akan ada insan-insan lain yang turut sama terlibat. Maka, adalah lebih baik mencegah sebarang 'bunga-bunga' keburukan daripada berkembang.
Mungkin ini juga jawapan kepada soalan seorang murid tentang 'bagaimana mahu bersungguh-sungguh untuk belajar'. Soalan yang lucu. Jawapannya bagi saya adalah menghargai setiap kesusahan dan menjadikan kesusahan itu sebagai batu loncatan untuk mencipta kejayaan dan kehidupan yang lebih baik. Saya mensyukuri setiap takdir Allah kepada saya. Penghargaan dan syukur itu dizahirkan dengan usaha agar setiap masa yang saya lalui atas takdir itu tidak sia-sia. Apabila saya mengenang hal ini, tidak ada alasan untuk saya malas belajar atau terhadap apa-apa yang saya lalui seterusnya.
Wallahua'alam
Tidak ada komentar:
Posting Komentar