Selasa, 02 April 2013

MISI 911 IBU JIE JIE, WIRA, KANCIL DAN JATI

MINGGU yang padat dan meletihkan. Itulah yang boleh saya ungkapkan bagi menggambarkan minggu lalu. Entri sebelum ini saya menceritakan kehadiran Jati, anak kucing yang ditemui di Pasar Borong Kuala Lumpur. Hayat Jati dalam jagaan saya tidak sampai 24 jam. Jati ditemui pada jam 11 pagi. Pada jam 10 pagi keesokan harinya, Jati sudah tiada lagi. Khabar itu saya terima ketika saya di ASWARA. Saya ke surau sekitar jam 1 tengah hari dan di situ air mata saya mengalir mengenangkan Jati. Saya benar-benar sayang dan hormat pada Jati. Tidak sampai 24 jam berkenalan, saya benar jatuh sayang pada Jati. Akan tetapi, Allah lebih sayang pada Jati. Allah sudah beri yang terbaik untuk Jati. Cuma sebagai manusia saya berasa sedih dengan pemergian Jati kerana saya sudah membayangkan Jati membuka mata dan menjaganya hingga besar seperti yang saya lakukan kepada Panglima Awang, Jie Jie dan Profesor Tam.


Jati sudah pergi
Selang sehari selepas pemergian Jati, saya dihubungi oleh seorang murid. Ada seekor kucing betina yang sarat mengandung tidak dapat melahirkan anak dalam kandungannya. Saya di rumah dan pada waktu malam begitu, tiada apa-apa yang dapat saya bantu. Saya cadangkan agar mereka membawa kucing itu ke veterinar segera. Keesokannya, mereka membuat kutipan derma kilat. Saya gembira dan terharu dengan ihsan warga ASWARA dalam misi menyelamatkan nyawa kucing yang diberi nama Kancil itu. Beberapa pensyarah Fakulti Seni Halus menyumbangkan wang ihsan sehingga RM350. Kata pensyarah itu, "Saya baru dapat payment tadi. Memang rezeki Kancil ni." Ya, saya selalu percaya dalam rezeki kita, ada rezeki untuk orang lain atau makhluk lain yang lebih memerlukan. Pelajar-pelajar ini berjaya mengumpul wang sebanyak RM700  pada satu hari saja yang memungkinkan Kancil dibawa segera ke klinik haiwan di Cheras. Kancil segera dibedah. Tiga ekor anaknya sudah mati di dalam perut, kerana itulah dia tidak boleh meneran. Pembedahan berjalan dengan selamat. Kini, Kancil saya jaga di rumah memandangkan pelajar tidak dibenarkan memelihara kucing di asrama. Sebagai anggota masyarakat, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada warga ASWARA khususnya Fakulti Seni Halus dan Fakulti Penulisan Kreatif yang menyumbangkan tenaga, masa dan wang dalam membantu Kancil. 


Kancil di rumah saya


Saya terharu amat dengan usaha pelajar-pelajar itu. Teringat saya pada sms salah seorang pelajar, "Kami tak ada duit Cik Tiha tapi kami kesian dengan Kancil ni." Ya, sebagai pelajar mereka tentunya mempunyai kekangan kewangan. Berbeza dengan situasi ketika saya di sebuah kedai makan sebelum situasi itu berlaku. Seekor kucing mendekati sebuah keluarga yang bahagia menikmati hidangan mereka. Rimas dengan kehadiran kucing itu, bapa menghalau kucing itu dengan pandangan penuh jijik. Mereka ada kemampuan untuk memberi sedikit makanan kepada kucing itu, akan tetapi mereka memilih untuk tidak membantu. Setiap manusia diberikan pilihan berteraskan wahyu dan akal yang setiap pilihan akan menentukan implikasinya di kemudian hari. Saya amat menghormati dan sayang pada haiwan khususnya kucing. Bagi saya walaupun mereka kucing jalan dan berkurap, tetapi hakikatnya mereka lebih mulia daripada manusia yang berhati jahat, malah mereka lebih sering bertasbih kepada Allah. Oleh sebab itu juga saya kurang gemar dengan istilah 'kucing kurap' atau 'sarjana kucing kurap' merujuk mereka yang 'tidak berguna' dan rendah martabatnya kerana hakikatnya tidak begitu sepenuhnya. Kita melihat mereka jijik dengan pandangan kita sebagai manusia akan tetapi di sisi Allah, ada ketika mereka jauh lebih mulia daripada kita. Fikirkan.


Pelajar Fakulti Penulisan Kreatif dan Fakulti Seni Halus yang bertanggungjawab


Tentang Kancil lagi, saya menyangka yang ekor Kancil memang pendek begitu maka kerana itulah dia dipanggil Kancil oleh pelajar-pelajar. Akan tetapi, menurut cerita seorang pelajar " Ekor dia panjang sebenanya. Pastu satu hari tu lama dia hilang. Lama sangat2. Tiba2 dia balik ekor dia dah putus separuh dan takde bulu. Lama2 terus hilang.Rasa kene gigit anjing padang merbuk. Hari itu dekat ekor dia masa baru putus ada ulat. Tetapi ada orang baik hati bersihkan"

Semoga Kancil akan sembuh sepenuhnya.

Sehari selepas saya mengambil Kancil pada Khamis lalu, saya dipertemukan pula dengan kes yang sama. Kali ini, ibu kepada Jie Jie iaitu anak kucing jalanan yang saya ambil pada tahun 2011 yang lalu pula ada masalah untuk melahirkan anak. Ketika saya memberi makan kepada kucing jalanan di kawasan ibu Jie Jie ada, saya melihat keadaan ibu Jie Jie amat ganjil. Bahagian bawah tubuhnya khususnya pada bahagian kemaluannya basah. Saya sangka ibu Jie Jie jatuh longkang tetapi memandangkan baunya yang agak aneh, saya tahu dia tidak jatuh longkang. Apatah lagi lalat asyik mengerumuni bahagian tersebut. Ketika kucing-kucing lain asyik makan, ibu Jie Jie berdiri dalam keadaan mengangkang seolah-olah ingin membuang najis tetapi tidak jadi. Yang menghairankan saya juga, ibu Jie Jie tidak mahu makan seperti biasa. Saya tahu ada hal yang tidak kena dengan kehamilannya maka dia terus saya bawa ke rumah. Saya fikir mahu jaga ibu Jie Jie sampai dia bersalin. Akan tetapi, sampai keesokan hari dia masih tidak bersalin tetapi air busuk terus keluar dan di kemaluannya saya lihat seperti ada sesuatu yang tidak lepas keluar.


Prapembedahan, ibu Jie Jie sudah dibius

Ibu Jie Jie saya bawa ke Hospital Veterinar Gasing, Petaling Jaya pada hari Isnin lalu. Disebabkan keadaanya yang terlalu kritikal, Dr. Prem terus membuat pembedahan kecemasan walaupun ketika itu jam sudah pukul 7:30 malam. Saya berpeluang melihat pembedahan berlangsung. Peluang ini sungguh memberi kesan kepada saya untuk terus sayang dan hormat pada kucing dan semua makhluk. Ketika perut ibu Jie Jie sudah dibuka dan rahim sudah kelihatan, doktor bertanya sama ada mahu selamatkan ibu atau anaknya kerana jika ingin selamatkan anak maka implikasinya akan meragut nyawa ibu. Jika ingin diselamatkan ibu, nyawa anaknya akan bahaya. Saya berserah kepada pengalaman dan kepakaran doktor untuk menentukannya dan doktor memilih untuk menyelamatkan ibu kucing. Persoalannya juga, siapa yang mahu jaga anak kucing jalanan itu jika dia diselamatkan?

Pembedahan sedang berlangsung

Setelah rahim dikeluarkan terus daripada tubuhnya (kembiri), saya lihat ada sesuatu bergerak. Anak itu bergerak sedangkan jangkaan doktor anak itu akan mati atau sudah mati. Pembantu Dr. Prem segera membuka rahim tersebut dan ... seekor anak kucing yang masih basah dan sangat kecil, anak ibu Jie Jie masih hidup. Anak dalam kandungannya hanya seekor sedangkan yang menjadikan rahim itu nampak besar ialah tumor. Tumor itu sebesar segenggam tangan dan itulah yang menghalang ibu Jie Jie untuk bersalin. Subhanallah, Allahuakhbar. Pembantu Dr. Prem terus mengepam oksigen ke dalam mulut kecil anak itu dan memukulnya. Saya hairan kenapa anak kucing itu dipukul? Kerana ingin menyedarkan anak itu seperti bayi manusia yang lahir akan ditepuk punggung sehingga menangis. Potensi untuk anak kecil yang saya namakan Wira itu hidup amat kecil akan tetapi sehingga hari ini, sudah tiga hari Wira hidup. Kancil menyangka Wira sebagai anaknya maka Wira saya letakkan bersama-sama Kancil cuma Kancil yang sudah dikembiri tidak lagi ada susu. Maka, Wira saya beri susu setiap dua jam. Saya berasa gembira berpeluang melihat semua ini. Walaupun saya mengambil aliran Sains Tulen ketika di sekolah dulu dan berdepan dengan subjek Biologi, akan tetapi saya tidak ada pengalaman seperti yang saya temui ketika ini dan pengalaman ini membuatkan saya lebih takjub dengan kekuasaan dan kebesaran Allah, dan lebih menghargai setiap nyawa.

Saya bersyukur, Wira setakat ini nampak sihat. Ibu Jie Jie pula saya ambil daripada hospital petang semalam dengan menaiki motor! Alhamdulillah perjalanan kami selamat. Selepas dua minggu, ibu Jie Jie akan saya lepaskan kembali ke kawasannya. Niat asal hanya ingin selamatkan ibu Jie Jie kerana jika tidak dibantu kucing seperti itu dalam tempoh dua jam, maka keadaannya mengundang maut. Akan tetapi, Allah tentukan ibu Jie Jie dan anaknya Wira juga selamat.

Di dalam rahim itu ada Wira

Wira baru dikeluarkan dari rahim

Yang merah itu ialah tumor dalam rahim

Wira 

Kancil dan Wira

Semoga mereka semua sihat dan dirahmati Allah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar