Rabu, 10 April 2013

SELEPAS LIMA TAHUN

PERANG bendera semakin meriah sejak parlimen Malaysia belum dibubarkan secara rasmi lagi. Dalam menunggu tarikh pembubaran rasmi tersebut, perkataan 'bubar' dan 'bubur' menjadi antara pilihan perkataan yang amat digemari oleh masyarakat khususnya golongan sasterawan yang asyik-mayuk bermain dengan kata-kata bagi memperlihatkan emosi dan kadang-kadang pendirian masing-masing. 

Pilihan Raya Umum 2013 memberikan pelbagai andaian, malah dikatakan jauh lebih hebat berbanding PRU 2008 yang lalu. Dikatakan juga bahawa PRU 2013 penentu sebenar kerajaan pilihan rakyat. Bagi saya, kata-kata seperti itu sudah terlalu biasa sejak sejarah politik negara mencatatkan peristiwa Reformasi 1999. Namun, yang membezakan perjalanan PRU lampau dengan PRU 2013 ialah kaedah bagi setiap parti memancing undi rakyat. Saya melihat, teknologi maklumat yang semakin ke hadapan dan menjadi 'kegilaan' dunia digunakan sebaik mungkin oleh kedua-dua parti.  Akan tetapi, parti yang memegang kuasa yang lebih besar jelas memanfaatkan teknologi maklumat itu dengan lebih komprehensif sehingga kadangkala terasa rakyat (merujuk saya) berasa terganggu dengan cubaan-cubaan mempengaruhi pemikiran rakyat agar sendeng kepada mereka. Dengan tentunya kerjasama daripada syarikat-syarikat telekomunikasi, pihak yang gigih mencari undi menghantar pelbagai Sistem Pesanan Ringkas, Sistem Pesanan Media dan sebagainya dengan kenyataan-kenyataan yang memburukkan lawan parti sehingga kadangkala menjengkelkan untuk dibaca.

Sepanjang 2008-2013 ini juga, kerajaan pusat telah 'memperlihatkan' betapa mereka 'prihatin' kepada rakyat dengan pemberian sekali setahun one off. Lebih menarik, keinginan kuat daripada parti utama untuk memenangi hati rakyat khususnya golongan belia menjadikan pihak berkenaan menawarkan Baucer Buku, Baucer Telefon Pintar BRIM2.0 dan sebagainya. Lebih melucukan apabila cukai pakaian dalam juga diberikan (apakah manusia normal membeli pakaian dalam setiap hari?) Kebanyakan bantuan ini jelas pada saya bertujuan memujuk hati belia agar 'terbuka mata' seluas-luasnya untuk menilai 'antara kaca dan permata'. Namun demikian, bagi saya semua pemberian yang diberikan dan dicanangkan sebagai bantuan dan pemberian ikhlas daripada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa tertentu kepada rakyat bukanlah daripada milik dan perbendaharaan 'kerajaan' dalam erti makna konvensional, apatah lagi golongan berkuasa tertentu yang begitu resah memikirkan undi rakyat terhadap mereka. Bagi saya, semua pemberian itu ialah hasil cukai yang dikenakan kerajaan pemerintah kepada rakyat. Pada asasnya, kerajaan pemerintah sekadar memegang amanah untuk menguruskan kewangan itu. Dengan itu, semua pemberian itu bukanlah boleh didakwa mereka sebagai pemberiaan mereka sendiri. Hal ini pernah disentuh oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang menegur perlunya kerajaan lebih tepat menggunakan istilah 'bantuan kerajaan' dalam erti kata bantuan itu datangnya daripada wang rakyat sendiri, bukan wang para pemerintah yang dengan penyalahgunaan kata 'bantuan' itu menjadikan mereka sebagai pemerintah paling pemurah yang sanggup mengeluarkan belanja untuk rakyat yang amat dikasihi. [Kepada semua pembayar cukai, terima kasih kerana memberi saya 'Baucer Buku].

Adalah lebih mengerikan apabila demi meraih kesetiaan tidak berbelah bahagi daripada rakyat, kerajaan mengenal pasti segala KEHENDAK dan MINAT rakyat khususnya yang menjurus pada segala aspek hiburan dan kebendaan sebagai senjata utama. Bagi yang kurang pintar dalam meneliti permainan politik, sudah tentu pemberian itu amat disukai dan disambut baik seperti kanak-kanak yang diberi gula-gula kapas. Akan tetapi, di manakah kewajaran dan kepentingan pemberian-pemberian bersifat gula-gula kapas itu kepada kesihatan akhlak dan akal rakyat?


Dengan kuasa yang dimiliki parti utama, media massa tidak terlepas daripada dijadikan 'keldai' untuk menyebarkan faham politik mereka yang murni. Pengkeldaian media massa ini menjadikan media yang menjadi saluran paling rapat dengan rakyat hanya menayangkan laporan-laporan bersifat muluk-muluk daripada pihak yang menjadi tuan keldai dalam masa yang sama, memperlihatkan segala yang buruk, keji dan cela pada parti yang dimusuhi tuan keldai. Sebagai rakyat, saya berasa lemas dan lelah dengan berita-berita seperti itu dan inilah antara sebab sebilangan rakyat memandang enteng kepada berita kerana, kebanyakan berita hanya melaporkan apa-apa yang mereka mahu laporkan yang dari segi faktanya terlalu boleh dipertikaikan. 

Saya antara calon pengundi saluran lima dengan status anak jati negeri Selangor. Negeri Darul Ehsan itu ialah tanah tumpah darah saya sejak 26 tahun yang lalu. Dalam tempoh masa itu, saya melihat perkembangan negeri saya ini, baik dari segi kemajuan infrastruktur mahupun pentadbiran kerajaan negeri. Atas rasa tanggunjawab terhadap negeri saya yang sering diburuk-burukkan oleh media bertuankan keldai, adalah perlu pada fikiran saya untuk memaklumkan beberapa perubahan positif yang amat ditunggu-tunggu rakyat negeri Selangor sejak lebih dua dekad lalu, yang tidak mendapat perhatian pelbagai saluran media perdana. Pertama, sejak kerajaan negeri kini mentadbir pada tahun 2008, kebanyakan manifesto yang mereka keluarkan ketika PRU 12 yang lalu telah dilunaskan. Namun, yang ingin saya kedepankan di sini ialah isu perumahan Bukit Botak. Bagi yang biasa dengan perkembangan negeri Selangor, tentunya anda tahu mengenai isu 'Bukit Botak'. Bukanlah maksud di sini bukit yang diratakan tanahnya.


Sebaliknya, isu Bukit Botak membabitkan sejumlah besar penduduk setinggan di kawasan bernama Bukit Botak. Sejak saya masih kecil, penduduk di situ terbiar dengan kehidupan setinggan yang begitu di luar keselesaan. Sehingga sebelum tahun 2008, kawasan perumahan mereka yang menjadi laluan asas untuk saya sampai ke sekolah ketika mengikuti pengajian tingkatan enam berada dalam keadaan yang boleh dikatakan daif. Namun, 2008 menyaksikan mereka berpindah daripada perumahan setinggan tersebut. Kerja-kerja pembinaan perumahan ganti kepada perumahan setinggan terus dijalankan. Bermula pertengahan tahun lalu, perumahan yang menjangkau 1000 unit rumah itu hampir siap. Undian nombor rumah telah dilakukan dan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor pada beberapa bulan akhir tahun lalu. Kini, kawasan yang bagi saya kelihatan begitu terancang itu sudah mempunyai tiang-tiang lampu yang dihidupkan setiap malam. Lampu isyarat dan pembinaan simpang jalan yang sistematik juga sudah tersedia. Hal ini bermakna penduduk perumahan setinggan Bukit Botak akan berpindah ke rumah baharu dengan tiga bilik dan begitu terancang itu tidak lama lagi. Kawasan itu hanya berjarak lima minit dari rumah saya dengan berkenderaan. Daripada perumahan setinggan yang dirobohkan, tanah diratakan dan pembinaan rumah ganti dibina, saya melihat semua ini. Begitu juga di kawasan perumahan saya yang bertahun-tahun masalah pemberian geran lot tidak selesai-selesai, namun selesai pada awal tahun ini. Semua ini tidak disiarkan di media milik tuan keldai. Maka, hanya rakyat Selangor saja yang tahu mengenai negerinya sendiri.

Saya tidak menafikan, kepincangan pada parti berhaluan kiri juga tidak sedikit. Akan tetapi, yang ingin saya ketengahkan di sini ialah manipulasi media maklumat yang begitu ketara daripada parti lawan sehingga menyembunyikan kebenaran yang berlaku di sesebuah tempat yang ditadbir parti lawan tidak seharusnya berlaku. Saya kepingin, melihat Malaysia mencontohi kepimpinan Nabi Muhammad di Madinah Munawarah (memang kota dan kewujudannya seharusnya menjadi teladan kepada semua pemerintahan negara yang masyarakat majoritinya ialah Islam), yang kepelbagaian kaum tidak membuatkan Islam dipandang serong tetapi membawa keharmonian sentiasa. Saya kepingin melihat negara yang saya duduki kini, mencontohi teladan Rasulullah dalam memimpin negara menjadi negara yang baik dan dirahmati Allah, mengamalkan politik beradab yang sentiasa berpasak pada tanggunjawab manusia sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya. Kedua-dua parti, harus faham, tahu dan melaksanakan apa-apa yang benar dalam konteks 'kebenaran'.

Wallahu'alam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar