Rabu, 17 April 2013

PERPISAHAN YANG SEBENTAR

BEBERAPA jam saja lagi, 18 April 2013 akan tiba, menggenapkan 11 bulan emak pergi ke alam barzakh. Sebulan lagi, genaplah setahun (19.5.12 - 19.5.13). Sepanjang hari ini juga, ingatan saya kepada emak luar biasa kuat. Tiba di rumah, saya seolah-olah melihat emak yang akan menyambut saya dengan soalan-soalan yang kedengaran biasa satu ketika dahulu, tetapi amat saya rindu kini. Ahad lalu, ketika saya sesi siang-menyiang bahan basah di dapur, saya persis melihat keadaan emak pada hari Jumaat, dua hari sebelum emak ditidurkan di CCU, Hospital Selayang. Pada pagi Jumaat itu, saya sedang menyiang ikan merah. Emak berdiri tidak jauh dari saya sambil merenung saja tangan saya yang menyiang ikan kegemaran emak.

Saya menjangka, sudah tentu emak mahu ikan itu dimasak sup kerana itulah juadah kegemaran emak. Akan tetapi, saya sengaja bertanya "Nak masak apa ikan ini mak?" Emak pantas menjawab, "Masak sambal cili apilah." Saya agak terkejut juga kerana itu juadah kegemaran saya jika ikan merah sebagai bahan utamanya. Saya terlalu gemar masakan pedas dan kurang gemar masakan berkuah seperti sup. Jadi, apabila membeli ikan merah, selalunya ikan itu akan dimasak sup sesuai dengan cita rasa emak. Kemudian, emak berlalu ke bilik dan saya teruskan dengan kerja dapur saya.

Itulah Jumaat terakhir dan kenangan terakhir emak dan saya di dapur. Kebiasaanya, apabila pulang dari pasar borong setiap hujung minggu, saya akan sengaja mengusik untuk memeluk emak. Sesiapa yang biasa ke pasar borong tentu tahu betapa tidak enaknya bau yang dibawa pulang ke rumah. Emak akan mengelak sambil menutup hidungnya. Jika saya terus mengusik, mengejar emak dengan lagak ingin mendakap emak dalam pakaian berbau 'laut' itu, emak sanggup menyembunyikan diri di dalam bilik dan hanya keluar setelah saya selesai segala urusan di dapur. Semua urusan itu saya ambil alih sepenuhnya setelah saya tamat belajar. Saya tidak sesekali membenarkan emak membuat kerja-kerja itu. Apabila saya sudah melakukan kerja itu, baru saya tahu sakitnya tangan apabila tertusuk tulang ikan ketika menyiang. 

Ketika saya menyiang ikan pada Ahad lalu, ingatan saya juga kuat mengenang kerisauan emak terhadap minat saya yang kurang dalam bidang masak-memasak. Emak saya pernah menjadi pakar memasak dan berkhidmat dalam bidang itu dalam jangka masa yang lama. Akan tetapi, minat itu tidak saya warisi sebaliknya diwarisi baik oleh abang saya. Bukankah tidak terhimpun selamanya dua cinta dalam satu jiwa? Antara memasak dan mengemas rumah, saya memilih dan lebih selesa mengemas rumah, memastikan rumah dalam keadaan kemas, bersih dan harum sentiasa. Minat itu, saya warisi dengan baik daripada emak yang juga sangat mementingkan kekemasan, kebersihan rumah dan diri. Kata emak, biar rumah kecil tetapi bersih dan kemas daripada berumah besar tetapi di dalamnya kotor, bersepah dan busuk.

Pada waktu saya menulis entri ini juga, saya teringat pada April tahun lalu dan pada minggu-minggu sebelum 14 Mei (tarikh emak dimasukkan di wad) ialah masa-masa saya membawa emak menjalani sesi rawatan. Setiap sesi rawatan itu berlangsung pada setiap hari Isnin. Pada tarikh emak dimasukkan ke wad jam empat pagi itu juga sebenarnya ialah tarikh saya mahu membawa emak ke sebuah pusat rawatan lagi. Akan tetapi, takdirnya emak tidak dapat saya bawa. 11 bulan yang lalu, pada malam dan detik yang sama ketika entri ini ditulis, emak berkata "Esok nak makan apa? Kalau sihat, esok mak nak masak." Kata emak begitu memandangkan sudah hampir tiga minggu emak sakit dan tidak boleh masak seperti biasa. Pada malam dan detik yang sama juga, emak memberitahu dengan hati yang tenang bahawa emak ampunkan semua kesalahan anak emak. Kata emak, anak-anak emak tidak ada dosa dengan emak. Selepas itu, emak tidur dengan lena sehinggalah jam tiga pagi, saya dikejutkan bunyi suara emak beristighar sambil berkata "Aku reda Ya Allah. Aku reda."

11 bulan tanpa emak, saya masih belum biasa. Tidak biasa pergi ke mana-mana tanpa memberitahunya. Kebiasaannya, hati saya selalu resah untuk segera pulang ke rumah akan tetapi kini tiada lagi yang perlu diresahkan. Namun, saya masih belum biasa begitu sepenuhnya.

Semoga emak tenang dan bahagia di sana. Kita berpisah hanya jasad. Perpisahan ini ialah perpisahan yang sebentar. Dengan izin-Nya,  kita bersatu kembali ... di sana.

Al Fatihah Rambelah binti Maryam (27.6.51-19.5.12)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar