Kamis, 08 Juli 2010

KEGAGALAN YANG MENGAJAR

SAYA KANDAS dalam ujian JPJ Isnin yang lalu. Bagi ujian Bahagian II, saya sewajibnya melalui titi dalam masa tidak kurang dari 7.00 saat. Walau bagaimanapun, menurut rekod masa pegawai yang menyelia, masa saya di atas titi ialah 5.59 saat. Pegawai bertanya sama ada saya mengira saat waktu berada di atas titi atau tidak dan saya menjawab bahawa saya memang mengira seperti yang diajar oleh guru iaitu satu ribu satu, satu ribu dua hinggalah satu ribu tujuh. Ketika di atas titi, saya mengira sehingga satu ribu sembilan. Namun demikian, nyata sekali kiraan saya tidak sama dengan kiraan pegawai berkenaan. Tidak mustahil, kiraan saya laju daripada yang seharusnya.

Saya fikirkan saya lulus kerana sewaktu melepasi titi, saya berjaya melalui halangan dengan lancar sehingga tamat. Apabila menemui pegawai selepas mematikan enjin motor, barulah saya diberitahu yang saya gagal Bahagian II tetapi lulus Bahagian III. Atas kegagalan itu, saya perlu mengulang ujian Bahagian II pada 19 Julai 2010 ini dengan bayaran RM80. Inilah kali pertama saya mengulang ujian sepanjang usia saya bergelar pelajar.

Alhamdulillah, saya tidak diselubungi rasa kecewa yang menyusahkan diri. Bagi saya, kegagalan ini satu peringatan buat saya yang mungkin agak 'laju' dalam banyak perkara. Saya perlu lebih bersederhana dan mengurangkan kelajuan pergerakan saya. Ya, memang banyak rakan dan sesiapa yang mengenali saya dengan akrab dan sejak saya kecil menegur akan kelajuan yang ada pada saya. Dalam sesetengah hal, memang kelajuan itu agak penting. Namun, dalam sesetengah hal juga, saya tidak boleh terlalu laju.


Saya bersyukur juga kerana saya tidak seperti seorang rakan calon yang menangis teresak-esak kerana gagal dalam ujian yang sama. Bagi saya, rasa kecewa merupakan satu rasa yang amat mencabar daya tahan perasaan dan iman. Kekecewaan yang sukar dikendalikan hanya akan memudaratkan dan tidak mendatangkan apa-apa kebaikan. Hal ini saya pelajari dalam pengalaman kecewa yang pada akhirnya sekadar menemukan saya dengan kesia-siaan. Lantas, untuk kegagalan ini saya belajar untuk mendidik kecewa dengan melihat sisi positif daripada kegagalan yang datang sebagai ujian.

Saya melihat kegagalan saya berpunca daripada kelajuan saya yang tidak diurus dengan baik. Saya melihat kegagalan juga atas kerelaan saya melayan rasa penat setelah seharian berada di karnival sekolah pada hari Sabtu. Saya menjadikan rasa penat itu sebagai alasan untuk tidak mahu berlatih menunggang di litar pada hari Ahad itu, sehari sebelum ujian sebenar. Saya melihat kegagalan itu sebagai peringatan agar kelak saya lebih menghargai sesuatu yang saya perolehi dengan laluan yang tidak mudah.

Atas segala yang saya lihat itu, saya meneliti kesilapan langkah yang saya atur sepanjang perjalanan pulang dari litar. Saya dapat melihat bahawa kegagalan itu sebagai satu sebab untuk saya melihat segala punca dan berusaha untuk menyedarkan diri agar tidak leka dengan pelbagai alasan dan kelajuan yang tidak diaturkan.

~Kegagalan, antara rencah dalam mencapai kedewasaan~

Tragis: Truk Beban Berat Yang Terbalik di Jurang Terekam Video


Truk dengan beban berat sangat riskan untuk melewati jalan yang rusak. Apalagi jika jalan berada di tepi jurang. 2 video ini terekam ketika truk melewati jalan tersebut dan terjatuh....
Link video : http://www.abrutis.com/video-camion+charge+sur+route+fragile-29979.html

Pameran Mumi Keliling Dunia

Mumi2 dari 7 negara dan 15 museum dikumpulkan dan dibuat pameran keliling dunia. Inilah beberapa mumi tersebut...

Rabu, 07 Juli 2010

KASIH IBU



ibu bergenang air mataku
terbayang wajahmu yang redup sayu
tulusnya kasih yang engkau hamparkan
bagaikan laut tak bertepian.

Senin, 05 Juli 2010

PANDUAN BELAJAR BAHASA MELAYU UNTUK ADIK-ADIK

DUA HARI lalu peti mesej FB saya dimasuki soalan oleh seorang adik berusia 13 tahun. Adik ini menyuarakan masalah yang dihadapi dengan subjek Bahasa Melayu. Di sini saya turunkan soalan dan jawapannya yang mungkin bermanfaat untuk adik-adik yang mengalami masalah yang sama. Jawapan diberi berdasarkan pengalaman dan perbincangan saya bersama guru cemerlang subjek Bahasa Melayu.

Soalan :

Kakak saya dah dapat result BM. Saye dapat 66% dulu lagi teruk 50 lebih susahlah kak. Cikgu kata BM sangat penting. Buku BAHLUT dah habis baca dan melodi hati. Kakak macam mana ni. Saya punya rasa malas baca pun x hilang lagi .

Jawapan :

Assalammualaikum, Adik Afeik.

Tahniah kerana menunjukkan peningkatan prestasi untuk subjek BM daripada 50% kepada 66%. Satu perkembangan yang baik. Mengenai masalah adik, perkara pertama yang perlu adik lakukan adalah menyemai perasaan suka membaca bahan baca bahasa Melayu terlebih dahulu.

Adik sudah membaca novel-novel yang akak sarankan adik beli dan itu juga satu kejayaan. Tahniah akak ucapkan.

Memang subjek BM itu sangat penting untuk pelajaran dan kerjaya adik kelak. BM yang baik akan mempengaruhi kejayaan adik juga.

Di sini akak berikan beberapa langkah untuk mengatasi masalah adik ini. Yang penting, adik perlu berusaha dan tidak mudah putus asa :

1. Tanamkan minat suka membaca buku berbahasa Melayu seperti Dewan Pelajar dan Dewan Siswa (minta ayah belikan).

2. Banyakkan membaca buku contoh karangan. Perkara ini baik untuk adik biasa dengan format dan gaya bahasa menulis karangan. Apabila adik kerap membaca, adik akan terbiasa dengan gaya bahasanya dan insya-Allah akan membantu adik sewaktu menjawab peperiksaan nanti.

3. Banyakkan membuat latihan dari buku-buku latihan yang bukan diberi oleh guru sahaja. Maksudnya membuat latihan tambahan. Buat seberapa banyak yang boleh. Tidak akan rugi. Percayalah. Masa akak di tingkatan tiga dulu, akak sangat suka akan subjek Sejarah. Berbelas-belas buku latihan sejarah akak beli dan akak buat sampai habis. Hasilnya, ada soalan yang muncul dalam peperiksaan sebenar dan kebanyakannya boleh akak jawab sebab akak sudah biasa dengan soalan-soalan itu semasa membuat latihan. Percaya, 'practice makes perfect'. Jadi adik jangan mengalah.

4. Apabila adik membuat latihan, adik buat dan rujuk jawapannya. Apabila rasa tidak pasti, segera bertanya kepada ibu atau ayah atau guru. Insya-Allah mereka boleh membantu.

5. Adik
cuba buat latihan 'karangan hujung minggu'. Latihan ini memerlukan adik menyalin satu contoh karangan seperti dalam buku contoh karangan. Semasa latihan, adik bukan sahaja menyalin tetapi juga membaca isinya. Maka, latihan ini akan menambah daya kemahiran adik sedikit demi sedikit. Tunjukkan hasilnya kepada ibu dan ayah untuk disemak.

Setakat ini dahulu. Yang penting adik mesti rajin membaca dan membuat latihan. BM nampak macam mudah tapi sukar jika tidak dipelajari dengan betul dan dengan minat. Ingat tu, adik mesti MINAT dan buang rasa MALAS membaca tu.

Insya-Allah adik belum terlambat dan akan berjaya. Jangan lupa berdoa agar timbul rasa minat dan hilang rasa malas tu.

Salam perjuangan,

Kak Fatiha

Jumat, 02 Juli 2010

TAHNIAH BUAT SYEIKH SEKELUARGA

APABILA TEKNOLOGI digunakan dengan cara yang benar oleh penggunanya, maka ada banyak manfaat yang akan diperoleh. Hal ini saya catat sebagai rakaman terhadap pengalaman saya sebagai pemblog, pemegang akauan FB dan pemegang beberapa akaun e-mel. Saya ingin menulis tentang komentar beberapa kenalan mengenai blog saya ini. Blog yang saya wujudkan tanpa pernah cuba untuk menghimpunkan sebarang prasangka pembaca atau cuba memastikan tafsiran pembaca sama dengan pendirian asal saya menulis sesebuah catatan. Barangkali ada yang menganggap laman saya sebagai laman yang kurang menyenangkan golongan tertentu apabila saya dengan gembira dan bahagia menceterakan segala kegembiraan dan kebahagiaan saya sebagai pelajar, insan yang sentiasa ingin belajar dan prinsip saya yang amat berpegang pada kecintaan terhadap bahasa ibunda dengan penggunaan laras bahasa yang formal akan tetapi mesra di hati dan saya dan beberapa pengunjungnya.

Setiap kali menerima e-mel mahupun pesanan peribadi melalui FB mengenai Di Jari Aksara Menari, maka saya akan menjawab dengan sedaya yang mampu. Saya bersyukur, meskipun ada khabar yang kurang senang dengan 'kejujuran' tulisan saya di sini; ada juga pihak yang sangat menghargai dan berterima kasih atas kewujudannya. Ya, saya percaya betapa tidak semua yang akan menyukai seseorang manusia dan tidak semua juga yang akan membenci seseorang manusia. Setiap individu mempunyai pandangan dan terjemahan tersendiri terhadap sesuatu perkara. Saya teringat akan pesanan yang saya terima daripada inidividu yang tidak saya kenali tetapi sering melabuhkan singgahan mereka di laman ini. Ada yang menyatakan rasa gembira akan penggunaan bahasa yang saya gunakan. Ada yang mengatakan rasa bangga akan kebanggaan dan kebahagiaan saya sebagai pelajar. Ada yang berkongsi gembira kerana dapat berkongsi ilmu yang sedikit saya turunkan di sini.


Namun demikian, dalam banyak maklum balas berkenaan, pertemuan dan perkenalan dengan seorang pemegang akaun FB yang menjadikan laman ini sebagai laman wajib untuk seisi keluarga membuatkan mereka sentiasa dalam ingatan saya. Syeikh Afifi Mohd, seorang kenalan FB menyatakan kesukaannya terhadap Di Jari Aksara Menari. Menurut beliau yang saya panggil sebagai Syeikh, beliau sangat menggalakkan empat orang anaknya mengikuti laman blog ini dan menjadikan juga saya sebagai kenalan di dalam FB. Keluarga ini mempunyai masalah dalam membiasakan diri dengan buku-buku berbahasa Melayu terutamanya karya-karya sastera. Keempat-empat anak Syeikh Afifi dan Puan Hamidah boleh dikatakan mempunyai daya intelektual yang tinggi dalam bidang Matematik, akan tetapi agak kurang jika dibandingkan dengan penguasaan dan minat mereka terhadap bahasa Melayu.

Syeikh Afifi, Puan Hamidah dan tiga orang anaknya telah berkunjung ke gerai Fakulti Penulisan semasa Karnival Keusahawanan Seni diadakan pada awal Mei lalu. Beliau menceritakan perihal kekurangan minat anak-anak mereka terhadap bahasa Melayu dan lebih cenderung terhadap bahan baca Inggeris. Hal ini saya katakan barangkali disebabkan oleh pengaruh mereka terhadap bahan baca bahasa kedua itu dan adalah perlu untuk mereka mengakrabkan anak-anak mereka dengan bahan baca berbahasa Melayu. Hal ini bukan sekadar untuk mencambahkan minat anak-anak terhadap karya-karya tempatan sebaliknya juga untuk menjadikan anak-anak lebih mesra dan mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik. Adalah agak merisaukan beliau juga apabila anak sulungnya yang sedang menuntun di tingkatan dua di Kolej Melayu Kuala Kangsar mampu mendapatkan markah yang baik untuk kebanyakan subjek melainkan bahasa Melayu. Meskipun peratus markahnya tidak pun menunjukkan paras yang begitu rendah, akan tetapi perbezaan dengan keputusan untuk subjek-subjek lain yang begitu cemerlang tetap merisaukan mereka.

Syeikh memberitahu saya bahawa beliau mula mengikuti blog ini sejak Julai 2009 yang lalu dengan tulisan saya mengenai 'perang' yang berlaku di kejiranan saya. Selain itu, beliau menggalakkan anak-anaknya membaca setiap artikel dan catatan saya selain meneliti aspek penulisan yang saya ketengahkan. Baru-baru ini, saya mendapat khabar bahawa beliau juga isteri dan anak-anak telah pun membaca kesemua buku yang saya dan rakan-rakan syorkan sewaktu dalam Karnival Keusahawanan Seni. Karnival itu menyaksikan saya dan rakan-rakan fakulti menjadi usahawan dengan menjual buku-buku ilmiah dan karya kreaif kepada pengunjung. Boleh tahan banyak juga jumlah buku yang mereka beli atas saranan kami.

Antara buku yang masih saya ingat dan dibeli oleh Syeikh dan Puan Hamidah ialah Tunggu Teduh Dulu, Detektif Indigo dan beberapa buah lagi untuk mengikut peringkat usia anak-anak beliau iaitu 14, 13, 11 dan 9 tahun. Puan Hamidah juga berkenan memilih novel untuk dibaca. Saya begitu gembira apabila beliau memberitahu saya akan kegembiraan mereka sekeluarga menguliti buku-buku berkenaan. Menurut Syeikh, mereka sangat tertarik dengan Tunggu Teduh Dulu yang saya katakan pernah mencipta fenomena pada awal kemunculannya. Baru-baru ini, Syeikh meminta saya mencadangkan senarai nama beberapa buah buku yang bersesuaian dengan tahap usia anak-anak, tidak terkecuali untuk Puan Hamidah.

Ketika itu, dalam benak saya hanya teringatkan Tuhan Manusia dan Kombat 1511. Tuhan Manusia menerjah ingatan saya kerana saya baru selesai membaca karya berkenaan. Membaca novel berkenaan merupakan satu pengalaman minda yang baru dan sangat bermakna. Saya mahu agar sesiapa yang belum menikmati novel berkenaan agar mendapatkan dan menelaah kandungan wacana dan sastera di dalamnya. Saya mahu agar rakan-rakan juga turut melalui pengalaman menarik yang saya dapat sepanjang melalui proses membaca Tuhan Manusia. Selain dua novel berkenaan, saya masih tercari-cari karya yang sesuai untuk disarankan. Sebenarnya, ada banyak karya bermutu yang ingin saya sarankan.

Saya juga berasa gembira apabila keluarga rakan FB saya ini mula membeli majalah Dewan Sastera dan Dewan Bahasa seperti yang saya sarankan untuk dijadikan bacaan buat anak-anak mereka. Sesungguhnya, tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kesedaran semula terhadap kepentingan bahasa Melayu dalam kehidupan mereka sebagai rakyat berbangsa Melayu. Oleh hal yang demikian, langkah dan tindakan serius yang diambil oleh Syeikh Afifi dan Puan Hamidah untuk mengimarahkan pembacaan karya berbahasa Melayu dalam keluarga terutamanya terhadap anak-anak mereka. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada mereka berdua.