Minggu, 31 Januari 2010

Kamis, 28 Januari 2010

A DOLL'S HOUSE

UNTUK kursus Bengkel Terjemahan Karya Dramatik, para siswa perlu menterjemah naskhah pentas barat ke dalam bahasa Melayu. Saya telah diberikan naskhah pentas yang ditulis oleh Henrik Ibsen pada tahun 1879. Naskhah yang saya maksudkan berjudul A Doll's House.

A Doll's House merupakan sebuah drama pentas dua babak dengan satu latar iaitu ruang tamu rumah Torvald Helmers di perkampungan Norweigan, tahun 1879. Kisah ini berkisar pada watak utamanya iaitu Nora, isteri kepada Torvald Helmers. Nora terpaksa menyembunyikan rahsia pengorbanan yang dilakukan terhadap Helmers lantaran takut akan kemarahan Helmers sekiranya rahsia pengorbanannya itu terbongkar. Pada awal perkahwinan, Helmers telah ditimpa satu penyakit. Menurut doktor, penyakit Helmers itu hanya boleh disembuhkan sekiranya mereka berhijrah ke Itali. Walau bagaimanapun, keadaan kewangan mereka ketika itu sangat tidak stabil. Nora pernah mencadangkan kepada Helmers untuk meminjam wang daripada rakan-rakannya namun hal itu telah membangkitkan kemarahan Helmers. Hal ini kerana, bagi masyarakat ketika itu meminjam wang daripada orang lain hanya akan menjatuhkan maruah seorang suami dan lelaki apatah lagi dengan usaha bantuan seorang isteri.

Lalu, dalam diam-diam Nora telah meminjam sejumlah wang daripada musuh Helmers iaitu Krogstad. Nora mengatakan bahawa wang yang dipunyai untuk membawa Helmers ke Itali itu diberikan oleh ayahnya. Rahsia tersebut telah diceritakan Nora kepada sahabat baik yang berkunjung ke rumahnya beberapa hari sebelum perayaan Hari Natal iaitu Puan Linde. Puan Linde mengunjungi Nora dengan harapan untuk mendapatkan pertolongan Nora agar memberikan dia kerja kerana Helmers baru sahaja dilantik sebagai Pengurus Bank. Nora dan Helmers sangat gembira dengan jawatan baru itu. Hal ini kerana, mereka berasa lega dengan jawatan tersebut yang memungkinkan mereka untuk hidup lebih mewah dan tidak lagi perlu bersusah-payah mengawal perbelanjaan.

Walau bagaimanapun, kegembiraan Nora tersekat apabila Krogstad muncul dan mendesak Nora agar memujuk Helmers yang ingin memecatnya daripada jawatan di bank. Helmers bertindak ingin memecat Krogstad lantaran sikap negatif dan penipuan yang sering dilakukan Krogstad. Dalam masa yang sama, Helmers tidak mahu bekerjasama dengan Krogstad yang sering ingin menjatuhkannya. Jawatan Krogstad telah diberikan Helmers kepada Puan Linde. Nora gagal memujuk Helmers agar tidak memecat Krogstad. Oleh sebab itu, Krogstad tekad mengirim sepucuk surat yang menceritakan 'pengkhianatan' dan penipuan yang dilakukan oleh Nora terhadap Travold Helmers selama perkahwinan mereka, iaitu meminjam wang daripada musuh suami untuk mengubati penyakit Helmers.

Pelbagai cara telah dilakukan oleh Nora agar Helmers tidak membaca surat yang ditinggalkan Krogstad di dalam peti surat tersebut. Nora melengahkan Helmers daripada membuka kunci peti surat dengan meminta Helmers mengajarnya menari Tarantella untuk persiapan majlis tari-menari. Puan Linde pula berusaha memujuk Krogstad (kekasih yang ditinggalkan dahulu) agar menarik semula tindakan Krogstad. Walau bagaimanapun, Puan Linde akhirnya nekad untuk hidup semula bersama Krogstad dan berfikir bahawa sudah tiba masanya Helmers mengetahui rahsia yang disimpan Nora.

Dalam kekalutan Nora melengahkan Helmers daripada membaca surat Krogstad, dia telah cuba digoda oleh Dr. Rank (doktor peribadi keluarga Helmers) yang telah lama mencintai Nora secara diam. Dr. Rank yang mengalami masalah kesihatan dan hanya punya masa sebulan untuk hidup meluahkan isi hatinya kepada Nora. Namun, Nora dengan tegas menganggap Dr. Rank sebagai sahabat sejati dan sentiasa berasa selesa untuk berbicara dengan Dr. Rank. Walau bagaimanapun, Nora menegaskan kecintaannya kepada Helmers. Dr. Rank dan Nora mempunyai persamaan sejarah hidup iaitu menjadi mangsa kepada kebobrokan bapa mereka.
Kemuncak kisah ini berlaku pada malam selesainya majlis tari-menari yang dihadiri oleh Helmers dan Nora. Helmers yang membaca surat yang ditulis Krogstad berang dan menghina Nora dengan pelbagai cacian :

Helmer (walking about the room) : What a horrible awakening! All these eight years--she who was my joy and pride--a hypocrite, a liar--worse, worse--a criminal! The unutterable ugliness of it all!--For shame! For shame! (NORA is silent and looks steadily at him. He stops in front of her.) I ought to have suspected that something of the sort would happen. I ought to have foreseen it. All your father's want of principle—be silent!--all your father's want of principle has come out in you. No religion, no morality, no sense of duty--. How I am punished for having winked at what he did! I did it for your sake, and this is how you repay me.

Nora : Yes, that's just it.

Helmer : Now you have destroyed all my happiness. You have ruined all my future. It is horrible to think of! I am in the power of an unscrupulous man; he can do what he likes with me, ask anything he likes of me, give me any orders he pleases--I dare not refuse. And I must sink to such miserable depths because of a thoughtless woman!

Nora : When I am out of the way, you will be free.

Helmer : No fine speeches, please. Your father had always plenty of those ready, too. What good would it be to me if you were out of the way, as you say? Not the slightest. He can make the affair known everywhere; and if he does, I may be falsely suspected of having been a party to your criminal action. Very likely people will think I was behind it all—that it was I who prompted you! And I have to thank you for all this—you whom I have cherished during the whole of our married life. Do you understand now what it is you have done for me?

Nora : (coldly and quietly). Yes.

Helmer : It is so incredible that I can't take it in. But we must come to some understanding. Take off that shawl. Take it off, I tell you. I must try and appease him some way or another. The matter must be hushed up at any cost. And as for you and me, it must appear as if everything between us were just as before--but naturally only in the eyes of the world. You will still remain in my house, that is a matter of course. But I shall not allow you to bring up the children; I dare not trust them to you. To think that I should be obliged to say so to one whom I have loved so dearly, and whom I still--. No, that is all over. From this moment happiness is not the question; all that concerns us is to save the remains, the fragments, the appearance--

Keberangan Helmers mengendur apabila dia menerima sepucuk surat baru yang dikirimkan Krogstad lewat pembantu rumahnya, Helen. Surat tersebut memberitahu Helmers akan pengorbanan yang telah dilakukan Nora dan kesediaan Krogstad untuk mengundur diri secara rela dari organisasi bank yang diuruskan Helmers. Helmers cuba memujuk Nora dan menarik semula cacian yang dilemparkan. Walau bagaimanapun, Nora sudah tawar hati. Dia berasakan bahawa dirinya hanyalah anak patung mainan Helmers dan ayahnya :

Nora : It is perfectly true, Torvald. When I was at home with papa, he told me his opinion about everything, and so I had the same opinions; and if I differed from him I concealed the fact, because he would not have liked it. He called me his doll-child, and he played with me just as I used to play with my dolls. And when I came to live with you--

Helmer : What sort of an expression is that to use about our marriage?

Nora (undisturbed) : I mean that I was simply transferred from papa's hands into yours. You arranged everything according to your own taste, and so I got the same tastes as your else I pretended to, I am really not quite sure which--I think sometimes the one and sometimes the other. When I look back on it, it seems to me as if I had been living here like a poor woman--just from hand to mouth. I have existed merely to perform tricks for you, Torvald. But you would have it so. You and papa have committed a great sin against me. It is your fault that I have made nothing of my life.

Pada akhirnya, Nora tekad meninggalkan Helmers dan anak-anaknya untuk mengenali diri sendiri dan tidak mahu lagi membiarkan dirinya dianakpatungkan oleh Helmers :

Nora : Listen, Torvald. I have heard that when a wife deserts her husband's house, as I am doing now, he is legally freed from all obligations towards her. In any case, I set you free from all your obligations. You are not to feel yourself bound in the slightest way, any more than I shall. There must be perfect freedom on both sides. See, here is your ring back. Give me mine.

Pada awalnya, naskhah ini pernah diharamkan di German untuk dipentaskan lantaran pengakhirannya yang dianggap melanggar konvensional pada ketika itu, iaitu wanita meninggalkan suaminya. Ibsen diminta menukar pengakhiran tersebut dengan menjadikan Nora pengsan selepas melihat anak-anaknya sebelum tirai penutup dilabuhkan. Karya ini sering disifatkan sebagai karya berunsur feminis yang terawal.

Rabu, 27 Januari 2010

Cara Pintar Lelaki Tua Memarkir Mobil di Garasi Yang Kecil


Lelaki tua ini bukan sembarang tua, tetapi mempunyai kepintaran cara memarkir mobilnya di garasi yang kecil. Lihat di video ini bagaimana dia cara memarkirkan mobilnya...

Selasa, 26 Januari 2010

PERCATURAN JIWA TUA DALAM SANGEETHA

NOVEL Sangeetha merupakan sebuah karya yang mengetengahkan isu terpinggir dalam kebanyakan arus sastera tempatan iaitu kesepian hidup sepasang warga tua dalam menjalani kehidupan akhir usia. Azizi Abdullah telah memahat karya ini berdasarkan pemerhatian beliau terhadap satu keratan akhbar tentang pertemuan jodoh seorang lelaki berusia 93 tahun dengan seorang wanita pemilik rumah sewa. Sangeetha yang pernah memenangi hadiah MASTERA ini mengisahkan pergolakan jiwa seorang balu India berusia 80 tahun dan baru kematian almarhum Viralal, iaitu suami yang dikahwini selama hampir 60 tahun. Sangeetha tinggal di sebuah rumah limas potongan perak peninggalan suaminya. Watak utama ini bukan sahaja diwarisi oleh sebuah rumah yang agak besar dan sebuah rumah sewa, sebaliknya Sangeetha turut mewarisi harta peninggalan Viralal yang agak besar jumlahnya. Pewarisan harta daripada almarhum Viralal menyebabkan ramai masyarakat di sekitarnya menganggap Sangeetha sebagai balu sepi yang kaya-raya .

Pasca kematian Viralal, Sangeetha diselubungi rasa sunyi lantaran ketiadaan cahaya mata dan hidup bersendirian di rumah dalam keadaan kesihatan yang uzur. Walau bagaimanapun, Sangeetha berasa agak terhibur dengan kehadiran Derus, seorang mantan posmen yang berkhidmat sebagai tukang kebun dan menjadi sahabat baik sepanjang hayat Viralal. Perhubungan akrab antara Derus dengan almarhum Viralal memberikan Sangeetha peluang untuk menghidupkan memorabilia antara dia dengan almarhum Viralal yang sedikit sebanyak mengubat kesepian hidupnya. Hal ini terpancar menerusi naratif perasaan Sangeetha yang dijelmakan oleh pengarang :

Setianya pada Viralal ialah setia yang tak berucap. Tetapi sayang kesetiaan itu tidak dapat mengubati kelohongan sepi dan sunyi yang dideritainya sepanjang peninggalan Viralal. Salahkah dia mencari pengisian sepi dan sunyi tetapi tugu ingatan tetap pada Viralal? Sesungguhnya dia tidak memerlukan cinta tetapi kasih sayang untuk memasak waktu kepikunan. (Sangeetha, 2006:263-264)

Sebagai seorang wanita pikun yang sedar akan usia yang semakin lanjut, Sangeetha bukanlah wanita gersang yang mengharapkan belaian dan cinta daripada Derus seperti yang disangka oleh masyarakat di sekitarnya. Layanan baik dan kepercayaan Sangeetha terhadap Derus didorong oleh rasa penghargaan terhadap kesetiaan Derus sebagai sahabat almarhum suami dan temannya dalam menjalani kehidupan sepinya pasca kematian Viralal. Tambahan pula, Sangeetha begitu memerlukan Derus bagi menyegarkan kenanangan indahnya bersama Viralal kesan keakraban hubungan antara Derus dengan Viralal dan Sangeetha yang dianggapnya sebagai kakak.

Jalinan perasaan suci Sangeetha disambut baik oleh Derus yang berasa simpati dan empati terhadap kesunyian dan kepikunan yang dihadapi Sangeetha. Rasa tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan dan keperluan rumah tangga Sangeetha serta burung merbuk peninggalan Viralal terpelihara merupakan kesan hubungan dan jasa baik Viralal kepada Derus memberi kekuatan kepadanya untuk menepis segala prasangka buruk masyarakat sekitar yang diwakili oleh rakan serumahnya, Husin. Sungguh pun berhadapan dengan pelbagai prasangka dan tohmahan daripada masyarakat, Derus tidak pernah berganjak untuk terus melindungi Sangeetha yang sangat dikenali sebagai baik dan seorang dermawan.

Penerapan sudut pandangan orang ketiga dengan arus kesedaran yang digunakan pengarang jelas mengangkat citra emosi Sangeetha yang terpaksa berlawan dengan usia pikunnya. Manakala, prahara jiwa Derus ditampilkan dengan rasa agak tidak senang dengan prasangka masyarakat sekitar. Pertembungan kedua-dua gejolak perasaan ini merupakan antara unsur narasi utama yang cuba diketengahkan oleh pengarang. Sementelahan itu, teknik imbas kembali digunakan oleh pengarang bagi memberitahu khalayak pembaca tentang kematian dan pengIslaman almarhum Viralal. Penceritaan dalam imbas kembali ini merupakan jalinan plot yang pertama dalam novel Sangeetha iaitu pengisahan kehidupan bahagia Sangeetha bersama almarhum Viralal yang sekali gus mencitrakan rasa cinta yang utuh antara kedua-dua mereka. Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi antara suami isteri ini ditonjolkan melalui kisah Viralal yang sanggup menolak godaan asmara oleh adik Sangeetha sendiri iaitu Meena.

Secara halus, pengarang juga cuba menyampaikan nilai kemanusiaan yang sewajarnya hadir tanpa mengira bangsa dan agama. Hal ini dapat dilihat menerusi perhubungan murni antara Sangeetha selaku seorang balu berbangsa India dengan Derus, seorang Melayu beragama Islam. Perhubungan yang harmoni antara kedua-dua mereka menjadi simbol kedamaian yang boleh terpancar melalui sifat ambil peduli dan mengasihi sesama manusia. Penerapan gagasan pemikiran ini juga menjadikan Sangeetha sarat dengan elemen emosi dan kebudayaan yang menyelimuti masyarakat majmuk di Malaysia dan diwakili oleh Sangeetha dan Derus.

Pertembungan dua agama dan bangsa ini juga diperlihatkan oleh pengarang melalui alat muzik seperti tabla dan gambus. Malahan, meskipun Sangeetha merupakan seorang yang tidak tahu membaca, namun sifat keMalaysiaan yang sebati dalam jiwanya membuatkan Sangeetha pernah mencadangkan agar muzik tabla dan gambus dimainkan secara bersama bagi mewujudkan nilai harmonis yang tinggi. Secara tidak langsung, pengarang turut menyelitkan ilmu dan kemahiran bermain alat muzik klasik India seperti tabla dan dagga serta kaedah memainkan lagu-lagu daripada muzik gambus yang menjadi kegemaran Derus.

Selain menggunakan elemen perkusi yang mencerminkan budaya masing-masing, Sangeetha juga secara berhati-hati cuba memperlihatkan pemahaman masyarakat pelbagai bangsa dan agama yang mampu hidup secara aman bersama-sama menerusi watak Sangeetha dan Derus. Dalam hal ini, Sangeetha sebagai seorang pengamal agama Hindu sangat menghormati akidah Islam yang dipegang oleh Derus. Malahan, nilai ini begitu terpancar melalui keterbukaan Sangeetha merelakan kematian Viralal di dalam Islam setelah dibantu oleh Derus yang menuntun bacaan syahadah terhadap Viralal yang sedang berada dalam keadaan nazak. Timbal balik yang diperolehi Sangeetha akibat keterbukaan dan sifat menghormati pegangan agama Derus diperlihatkan pengarang akan kesetiaan dan rasa hormat Derus yang sering menjadi teman dan pemandu Morris Minor Sangeetha dalam upacara keagamaan yang melibatkan wanita tua itu.

Melihat kematian suami dan kesetiaan sahabat tuanya yang hidup aman di dalam Islam, Sangeetha turut berperang dengan emosinya sendiri sehinggalah keputusan tuntas dibuat pada akhir ajalnya.

KUCING DAN KAMPUNG

MUNGKIN kerana seminggu dua ini saya kerap terfikir untuk memelihara anak kucing setelah hampir setahun tidak memelihara anak kucing kecil. Lalu, semalam saya bermimpi memelihara dua ekor anak kucing yang baru lahir. Seekor berwarna putih dan seekor berwarna hitam. Saya masih ingat wajah mereka. Kedua-dua saya agak baru berusia beberapa hari. Matanya juga masih belum dibuka. Malangnya, kedua-dua ekor anak kucing itu sakit. Air keluar daripada mulut mereka dengan sangat banyak dan akhirnya mereka mati. Dalam tangisan, saya meletakkan mereka dalam kedua-dua telapak tangan saya dan menuju ke sebuah tanah lapang. Di sana, saya menghasilkan sebuah lubang yang agak sederhana. Saya menyelimuti tubuh kecil kedua-dua kucing itu dengan sehelai sapu tangan sutera sebelum memasukkan mereka ke dalam lubang yang saya hasilkan. Sekadar mimpi.

Owi dan Omi pada usia empat hari tahun 2008.


2

Sewaktu bertemu dengan seseorang baru-baru ini, saya dipertemukan dengan dua nama buah yang agak asing daripada pengetahuan saya. Selalu saja saya bertemu dengan nama-nama buah yang sangat asing apabila bertemu beliau. Kali ini ialah buah sentul dan buah ketapi. Kedua-duanya tidak pernah saya dengar. Beliau bertanya di mana saya dilahirkan dan dibesarkan dan saya memberitahu bahawa saya dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Nakhoda. Dengan sinis yang biasa, beliau mengatakan bahawa kampung itu tidaklah terlalu berhampiran bandar memandangkan beliau pernah menetap dalam jangka masa yang sangat singkat pada tahun 1970-an. Memanglah Kampung Nakhoda masih disifatkan sebagai kawasan luar bandar. Namun, sangat sukar untuk bertemu dengan seekor ayam atau melihat lambaian pohon nyiur pun. Tidak mudah. Apatah lagi untuk melihat dan mengetahui buah-buah yang begitu asing namanya. Kampung Nakhoda sudah mengalami banyak perubahan sekarang. 7Eleven juga telah muncul di tengah kampung itu. Beberapa salon dan kafe siber juga telah bercambah dengan banyak. Hanya kata 'kampung' itu sahaja yang menjadikan Kampung Nakhoda sebagai 'kampung' waima struktur dan suasananya sudah sangat asing daripada istilah 'kampung' dan suasana kampung yang sebenar.

Minggu, 24 Januari 2010

MAMMA MIA

RABU lalu saya dan rakan kuliah menonton filem muzikal Mamma Mia sebagai contoh skrip muzikal untuk kuliah Penulisan Skrip Muzikal. Filem tersebut bagi saya sangat menarik. Saya suka mendengar himpunan lagu kumpulan Abba yang bagi saya mempunyai nilai estetika yang sangat tinggi dari segi lirik dan lagunya. Kisah Mamma Mia ini agak mudah dan latarnya juga agak terhad namun hal tersebut tidak menjadikan filem yang diadaptasi daripada naskhah teater ini sebagai tidak menarik. Antara watak yang sangat saya gemari dalam filem ini ialah Donna Sheridan dan juga Sam Carmicheal. Berikutnya merupakan catatan yang sempat saya tulis berkenaan Mamma Mia.

Mamma Mia merupakan sebuah filem genre muzikal yang berkisar pada Sophie Sheridan, anak gadis tunggal kepada Donna Sheridan yang berusia 20 tahun dan bakal melangsungkan perkahwinannya dengan lelaki pilihan iaitu Sky. Sebagai seorang anak yang dibesarkan tanpa kehadiran seorang bapa, Sophie tekad untuk menjemput ketiga-tiga lelaki yang pernah menjalinkan hubungan dengan Donna ke majlis perkahwinannya. Sophie telah mendapat maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki itu iaitu Sam Carmicheal, Bill Anderson dan Harry Bright melalui sebuah catatan diari milik Donna yang ditemui. Melalui catatan diari tersebut, Sophie cuba mengenal pasti ayah kandungnya antara ketiga-tiga lelaki tersebut. Sophie benar-benar berharap agar dapat bertemu dengan ayah kandung yang akhirnya dapat mengiringinya di gereja bagi melangsungkan perkahwinan.



Kisah bermula apabila Sophie mengirimkan surat kepada Sam, Bill dan Harry dengan disusuli harapan agar dapat mengetahui ayahnya yang sebenar. Perasaan terpendam Sophie dibayangkan oleh pengarang melalui overture lagu I Have A Dream. Di samping itu, Sophie juga mempunyai harapan untuk keluar dari motel milik Donna di Pulau Kalakori, Greece itu dan ingin mengembara melihat dunia yang lebih luas bersama Sky. Hal ini berikutan keterasingan yang dirasai oleh Sophie yang terpaksa tinggal dan membesar di Pulau Kalakori, Greece itu kerana Donna dan membantu pengusahaan motel Donna.

Sam Carmicheal, Bill Anderson dan Harry Bright telah tiba di Pulau Kalakori atas jemputan yang dikirimkan oleh Sophie dengan menggunakan nama Donna tanpa pengetahuan ibunya sendiri. Tindakan Sophie ini telah mencetuskan konflik dalam diri ibunya yang terpaksa berhadapan dengan ketiga-tiga lelaki yang pernah dicintai dan telah cuba dilupakan. Konflik juga tercetus apabila ketiga-tiga lelaki berkenaan cuba mengenal pasti kedudukan Sophie sebagai anak kandung mereka.

Bagi memecah kekeliruan Sophie apabila ketiga-tiga lelaki tersebut ingin mengiringinya di gereja, Sophie akirnya telah memilih Donna sebagai pengiring di gereja. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga lelaki itu yang hadir di gereja tersebut telah membuatkan Sophie dan Sky tekad untuk hidup bersama tanpa perlu berkahwin dahulu dan pergi mengembara. Sementelahan itu, pengakhiran filem ini diakhiri dengan acara perkahwinan yang diteruskan apabila lamaran yang diberikan Sam Carmicheal diterima dengan gembira oleh Donna menerusi lagu I Do, I Do, I Do, I Do, I Do. Filem muzikal ini memuatkan 24 buah lagu kumpulan Abba sebagai penggerak kepada narasi cerita dan perasaan para watak pendukung dengan memanfaatkan latar masa tidak lebih dari dua hari iaitu sejak kedatangan tiga lelaki dan acara perkahwinan pada keesokan harinya.

Filem muzikal ini mengangkat isu kekeluargaan yang ditandai dengan hubungan antara Donna Sheridan dengan anak gadis tunggalnya iaitu Sophie Sheridan. Donna yang membesarkan Sophie tanpa seorang suami telah memberikan sepenuh kasih sayangnya kepada Sophie dan begitu berharap pada kebahagiaan anak gadisnya. Keterikatan kasih sayang antara ibu dan anak ini terpancar menerusi lagu Sleeping Through My Fingers yang memperlihatkan luahan perasaan Donna untuk melepaskan anak gadis kesayangannya kepada lelaki yang bakal dikahwini. Masalah kekeluargaan turut timbul apabila Sophie yang dibesarkan tanpa seorang ayah berusaha mengenal pasti ayahnya tanpa pengetahuan Donna. Namun, Sophie yang buntu dengan kehadiran Sam, Billy dan Harry yang dijemput akhirnya sedar bahawa hidupnya cukup sempurna walaupun hanya dibesarkan oleh seorang ibu tanpa ayah.

Antara persoalan yang muncul dalam filem muzikal ini ialah nilai persahabatan yang kukuh. Persoalan ini dapat dilihat melalui keakraban hubungan antara Donna dan ahli kumpulan Dynamosnya iaitu Tanya dan Rosie. Walaupun masing-masing sudah berusia, mereka tetap mengambil berat antara satu sama lain. Hal ini dapat dilihat melalui keprihatinan Rosie dan Tanya terhadap kesedihan yang dialami Donna apabila bertemu dengan Sam, Billy dan Harry. Akrab persahabatan mereka ini dapat diikuti menerusi lagu Chiquitita yang dinyanyikan Tanya dan Rosie. Baris lirik you can cry but the sun is still in the sky mencerminkan semangat yang cuba dititipkan mereka terhadap Donna.

Selain itu, Mamma Mia turut mencitrakan persoalan kasih sayang yang wujud antara ibu dan anak iaitu antara Donna dan Sophie. Selama 20 tahun, Donna telah membesarkan Sophie dengan penuh kasih sayang tanpa bantuan seorang lelaki. Hal ini sangat disedari oleh Sophie yang menganggap hidupnya sentiasa lengkap bersama ibu walaupun tanpa seorang bapa yang turut sama membesarkannya.

Selasa, 19 Januari 2010

ABI DAN OMI

MALAM semalam, ketika membuka pintu pagar rumah saya melihat Abi berdiri di hadapan pintu rumahnya sambil memandang ke arah saya. Sayu hati saya melihat pandangan Abi. Melihat sangkar di sebelah Abi yang kosong, tahulah saya bahawa gililran Omi bermain di dalam rumah. Walaupun mereka ini sedarah dan sedaging, mereka ibarat anjing dan kucing walaupun kedua-duanya sama kucing. Tidak boleh sebumbung, Abi tidak suka Omi yang gemar menganggunya. Saya mengeluarkan Abi dari sangkar. Sebelum masuk ke rumah, saya sempat mendukung Abi. Mengusap-usap bulunya yang tambah halus selepas dimandikan Ahad lalu. Sangat seronok untuk membelai tubuhnya itu. Saya membawa Abi berjalan di sekitar kawasan perumahan dan berbicara dengan Abi buat seketika. Seronok betul Abi apabila didukung dan dibawa berjalan-jalan. Malam semalam pula, cahaya bulan sabit menghiasi suasana dan saya menunjukkan kepada Abi bentuk sabit yang cantik itu. Seolah-olah faham, Abi turut melihat arah bulan sabit.

Abi mempunyai karakternya yang sangat berbeza dengan karakter Omi. Abi mengingatkan saya kepada kakaknya iaitu Owi yang suka sendiri, tidak mahu bergaul dengan kucing-kucing lain dan lebih senang bermain dengan sendiri. Pendek kata, Abi tidak sunyi tanpa rakan kucing lain. Apabila Abi dibawa masuk untuk bermain di dalam rumah, Abi tidak pernah duduk diam. Dia akan berjalan ke serata rumah. Pergi ke dapur, masuk ke dalam bilik. Namun, yang pasti Abi sangat takut untuk masuk ke dalam tandas dan saya suka mengusik Abi dengan mendukungnya masuk ke dalam tandas dan membuka paip air. Abi akan meronta-ronta dan kadangkala akan sanggup mencakar saya. Takut dimandikan mungkin.

Aksi yang sangat digemari Abi. Tak malu.


Berbeza dengan Abi, Omi seekor kucing yang sangat manja dan peramah. Suka menegur dan suka berada di sisi tuannya. Omi tidak akan merayap ke sana sini seperti Abi apabila berada di dalam rumah. Sebaliknya, Omi lebih seronok duduk-duduk dan baring-baring berdekatan cikgu. Saya hanya sangat suka mengusik Omi. Mungkin kerana itu Omi agak tidak manja dengan saya. Semalam, melihatkan kesan luka di dalam telinga Omi saya telah menggunting kuku Omi. Marah sungguh. Merengek pun ada dengan suaranya yang manja dan serak-serak basah. Memang mengada-ngada. Omi seperti merengek meminta bantuan cikgu agar saya tidak memotong kukunya. Geram betul saya lihat telatah manjanya itu. Berbeza dengan Abi, diam sahaja ketika saya menggunting kukunya. Lalu saya berkata:

"Tengok, Abi tak nangis pun kena gunting kuku. Omi mengada-ngada. Manja sangat. Bukan sakit pun."

Omi yang seperti faham sindiran saya kepadanya terus memandang cikgu dan merengek lagi.

"Haha, gelakkan Omi tu Abi. Tak malu."


Omi dengan bulu tangkisnya.


Seronoknya mempunyai mereka. Sekurang-kurangnya mengubat rindu saya kepada Mimi, Owi, Beri. Bob, Sofi, V dan banyak lagi yang sudah pergi. Kepada Omi dan Abi, terima kasih dan kakak sangat sayang akan kalian berdua. Meowww.