Abi mempunyai karakternya yang sangat berbeza dengan karakter Omi. Abi mengingatkan saya kepada kakaknya iaitu Owi yang suka sendiri, tidak mahu bergaul dengan kucing-kucing lain dan lebih senang bermain dengan sendiri. Pendek kata, Abi tidak sunyi tanpa rakan kucing lain. Apabila Abi dibawa masuk untuk bermain di dalam rumah, Abi tidak pernah duduk diam. Dia akan berjalan ke serata rumah. Pergi ke dapur, masuk ke dalam bilik. Namun, yang pasti Abi sangat takut untuk masuk ke dalam tandas dan saya suka mengusik Abi dengan mendukungnya masuk ke dalam tandas dan membuka paip air. Abi akan meronta-ronta dan kadangkala akan sanggup mencakar saya. Takut dimandikan mungkin.

Aksi yang sangat digemari Abi. Tak malu.
Berbeza dengan Abi, Omi seekor kucing yang sangat manja dan peramah. Suka menegur dan suka berada di sisi tuannya. Omi tidak akan merayap ke sana sini seperti Abi apabila berada di dalam rumah. Sebaliknya, Omi lebih seronok duduk-duduk dan baring-baring berdekatan cikgu. Saya hanya sangat suka mengusik Omi. Mungkin kerana itu Omi agak tidak manja dengan saya. Semalam, melihatkan kesan luka di dalam telinga Omi saya telah menggunting kuku Omi. Marah sungguh. Merengek pun ada dengan suaranya yang manja dan serak-serak basah. Memang mengada-ngada. Omi seperti merengek meminta bantuan cikgu agar saya tidak memotong kukunya. Geram betul saya lihat telatah manjanya itu. Berbeza dengan Abi, diam sahaja ketika saya menggunting kukunya. Lalu saya berkata:
"Tengok, Abi tak nangis pun kena gunting kuku. Omi mengada-ngada. Manja sangat. Bukan sakit pun."
Omi yang seperti faham sindiran saya kepadanya terus memandang cikgu dan merengek lagi.
"Haha, gelakkan Omi tu Abi. Tak malu."

Omi dengan bulu tangkisnya.
Seronoknya mempunyai mereka. Sekurang-kurangnya mengubat rindu saya kepada Mimi, Owi, Beri. Bob, Sofi, V dan banyak lagi yang sudah pergi. Kepada Omi dan Abi, terima kasih dan kakak sangat sayang akan kalian berdua. Meowww.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar