Minggu, 27 Juni 2010

'RASA' MEMBACA

MINGGU lalu saya menemui seorang kenalan dan kami banyak berbicara mengenai buku. Perbicaraan dengannya akan sentiasa terisi dengan ilmu dan penuh hikmah. Topik utama perbincangan kami pastinya mengenai karya-karya besar dan inti ilmu di dalamnya. Sering kali saya berasa rendah diri kerana masih banyak yang belum saya baca. Namun demikian, bukan itu yang ingin saya bicarakan. Berdasarkan tajuk entri ini, saya ingin bercerita tentang 'rasa' membaca.

Ketika dalam perbualan kami itu, kenalan saya ini bertanya kepada saya akan 'rasa' yang saya alami sewaktu membaca karya-karya yang saya pinjam daripada beliau. Pada ketika itu, saya kurang faham apakah maksud 'rasa' itu. Persoalan itu berlegar-legar di benak saya untuk beberapa hari sesudah pertemuan itu.

Lantas, saya menyedari akan beberapa rasa yang saya alami sepanjang saya membaca lima buah buku dalam bulan ini, sejak cuti semester bermula awal Jun lalu. Sejak awal cuti itu, saya telah meminjam lima buah buku iaitu Life is An Open Secret, Bedar Sukma Bisu, Saasatul Ibaad, One Hundred Years of Solitude dan Tuhan Manusia. Tiga daripadanya ditulis oleh pengarang yang sama dan memberi pengalaman rasa yang berbeza untuk setiap karya yang saya baca. Sewaktu membaca, saya sering kali berharap agar dapat membuat ulasan mengenai novel atau sesebuah buku yang saya baca. Namun demikian, saya mempunyai masalah, saya bermasalah untuk mengulas secara terpaksa. Maknanya, mengulas sebuah karya yang agak kurang saya gemari. Saya berharap agar masalah saya ini akan dapat diatasi kerana saya mahu mengulas sesebuah karya bukan atas rasa suka atau tidak, akan tetapi untuk perkongsian. Saya perlu atasi masalah ini!

Baik, di sini ingin sekali saya catatkan setiap pengalaman 'rasa' yang saya alami ketika atau juga setelah membaca lima karya yang saya sebutkan tadi. Kembara membaca saya bermula dengan sebuah buku motivasi Life is An Open Secret yang ditulis oleh Zabrina A. Bakar. Buku ini saya temui di Minerva pada bulan lalu ketika bersama Cikgu Norhana dan Cikgu Julia. Pada masa itu, Cikgu Norhana kepingin untuk membeli buku berkenaan namun tidak berkesempatan. Namun, cikgu berjaya membeli buku itu di MPH pada hari berikutnya. Buku ini mempunyai dua versi, (kalau tidak silap saya). Satu berwarna hijau dan satu lagi berwarna merah hati.

Saya membaca buku versi warna hijau. Buku ini saya baca dalam minggu pertama cuti semester bermula selama dua hari. Ketika membaca buku ini, hati seolah-olah terasa bagaikan ada pesta bunga api di dalamnya. Saya berasa begitu gembira membaca kisah-kisah yang diadun dengan cara yang sangat Islami. Meskipun selama ini saya begitu meminati siri Chicken's Soup, membaca Life is An Open Secret menyedarkan saya bahawa kedua-dua karya ini bagai langit dengan bumi. Ada antara kisah di dalamnya yang menyentuh kalbu, mengusik perasaan yang lantas membawa tangisan kecil di sanubari. Ada yang memberi semangat, membuatkan saya sedar akan kesia-siaan yang ada dan tekad untuk mengubahnya. Pendek kata, saya berasa bahagia dan tenang membaca buku ini. Kata kunci perasaan saya terhadap buku ini ialah bahagia dan tenang.

Setelah menamatkan Life is An Open Secret, saya beralih pula kepada Bedar Sukma Bisu. Novel ini mengisahkan pergelutan perasaan dan cabaran hidup yang dilalui watak utamanya iaitu Wefada. Sewaktu menyertai Akademi Sastera 2009, tidak sedikit bilangan rakan yang mengkaji elemen feminisme di dalam karya ini. Ya, saya akui karya ini seperti karya-karya lain pengarangnya sarat dengan unsur ilmu dan wacana. Dalam Bedar Sukma Bisu, pembaca akan beroleh pengetahuan mengenai ilmu perkapalan dan sistem ekonomi terutamanya sistem ekonomi Islam.

Walau bagaimanapun, saya berasa terganggu dengan olahan perasaan Wefada yang seolah-olah kehilangan punca apabila bertemu dengan 'cinta' barunya, Elemine. Rakan kepada anak tunggalnya. Bagi saya, percintaan itu tidak salah namun cara Wefada berhadapan, bergelut dengan perasaannya itu membuatkan saya berasa begitu lemas dan melambatkan pembacaan saya. Namun begitu, saya tetap meneruskan bacaan saya kerana saya tidak suka menamatkan bacaan separuh jalan. Saya mesti tiba hingga ke akhir halaman untuk mengetahui pengakhiran ceritanya. Itu, perasaan saya ketika membaca Bedar Sukma Bisu, kelemasan dengan watak Wefada.

Setelah bergelumang kelemasan dengan Wefada, saya mendapat kelegaan dan berasa begitu bersemangat dengan Saasatul Ibaad. Novel sejarah ini begitu mengagumkan saya. Ketika membaca karya ini, saya dapat bayangkan secara visual bahawa sekiranya karya ini didrama atau difilemkan, akan ada mukadimah bagi setiap peralihan babak. Hal ini kerana dalam karya ini, setiap fasal yang diturunkan pengarang saya lihat sebagai punca kepada peralihan cerita namun masih terikat pada jalinan plot yang sama.

Dalam masa yang sama, novel ini saya kira mempunyai jalan cerita yang agak ringkas iaitu kisah kebejatan moral Sultan Mahmud, rakyat yang memberontak dan akhirnya Sultan Mahmud mendapat pembalasannya. Malah, isi fasal yang diketengahkan dilihat lebih panjang daripada perincian naratif. Namun demikian, saya tetap berasa tertarik dan seronok membaca karya ini. Pendedahan mengenai fasal-fasal yang diketengahkan menjadi penguat dan objektif utama Saasatul Ibaad. Hal ini merupakan perasaan saya sebagai pembacanya. Malah, keterujaan saya membaca naskhah ini membuatkan saya berasa tidak sabar untuk menulis ulasan mengenainya. Saya berasa seronok dan teruja, itulah perasaan saya terhadap karya ini.

Setelah melalui dua karya daripada pengarang yang sama, saya beralih pula kepada One Hundred Years of Solitude oleh Gabriel Garcia Marquez. Tempo pembacaan saya terhadap karya ini agak lambat, barangkali sangat lambat jika dibandingkan dengan empat buku yang lain. Selambat tempo dalam novel itu sendiri. Awal-awal sewaktu saya diberi pinjam buku ini, kenalan telah mengingatkan saya agar bersabar dengan kelambatan temponya. Secara jujur, saya tidak puas dengan bacaan pertama saya terhadap buku ini. Saya berjanji kepada diri untuk membacanya buat kali kedua. Saya berasa tidak puas kerana masalah saya untuk memahami perjalanan ceritanya dengan sempurna. Nama-nama watak yang kebanyakannya hampir sama juga boleh mendatangkan kekeliruan jika tidak dikendalikan pembaca dengan baik.

Yang paling saya gembira mengenai buku ini ialah saya berpeluang melihat unsur realisme magis yang diadun di dalamnya. Selama ini, saya dimomokkan dengan karya tempatan yang dikatakan sebagai berunsurkan realisme magis, akan tetapi sebenarnya kurang menepati maksud genre itu sendiri. Pembacaan terhadap karya ini meskipun agak sukar kepada saya namun mendedahkan kepada saya unsur realisme magis yang sebenar. Secara langsung, karya ini memberi kesedaran dan membetulkan salah pandangan saya terhadap genre realisme magis. Membaca karya ini mendatangkan rasa kesedaran akan kurangnya penguasaan dan ilmu saya dalam lapangan bacaan.

Akhir sekali, Tuhan Manusia baru sahaja saya tamatkan bacaanya tiga hari yang lalu. Namun, sehingga kini Ali Taqi, Encik Aris, Mohamad, Abang Abbas, Profesor Mahfuz, Zehra dan Andrew Tse masih berlegar-legar di benak fikir dan ingatan saya. Membahagiakan, teruja, gembira dan puas. Itulah gambaran perasaan atau rasa saya mengenai Tuhan Manusia. Novel ini saya sudahkan dalam masa dua hari, jika dihitung dari kuantiti masa, selama tiga jam. Sebenarnya, tidak tergambar perasaan saya ketika sedang dan selepas membaca karya ini. Daripada empat buah karya yang saya sebutkan tadi, Tuhan Manusia paling mendatangkan kepuasaan dan kebahagiaan yang tidak dapat diungkapkan secara jelas.

Novel wacana ini mengisahkan keperitan hati yang terpaksa ditanggung Ali Taqi setelah abangnya iaitu Talha telah berpaling dari agama. Perbahasan mengenai pluralisme, liberalisme, sekularisme dan Islam tulen memberikan pencerahan dan tambahan pengetahuan yang sangat bermakna kepada saya. Membuatkan saya sedar akan isu yang besar tetapi seolah-olah dilihat kecil pada konteks negara kita. Ada antara perkara di dalam karya ini seperti penubuhan FASEH dan persatuan pemikir di peringkat sekolah lagi sangat baik untuk dipandang serius oleh pihak berwajib sekiranya isu murtad ini dilihat serius oleh mereka. Satu hal yang menarik, agak sukar untuk pembaca dihidangkan dengan tiga kata ganti diri atau sudut pandangan yang berbeza dalam satu karya. Namun, karya ini mengetengahkan ketiga-tiga sudut pandangan iaitu sudut pandangan orang pertama, sudut pandangan orang kedua dan sudut pandangan orang ketiga. Meskipun saya berasa jarak emosi saya dengan Ali Taqi wujud ketika pengarang menggunakan sudut pandangan orang kedua iaitu Kau, Engkau, namun saya masih dapat mencerna isinya lantas menenggelamkan rasa tidak senang saya terhadapnya.

Membaca karya ini memberi kepuasan, kebahagiaan dan pengetahuan yang tidak dapat saya gambarkan. Kegembiraan ini saya kongsikan bersama rakan-rakan FB. Ada yang mengakui rasa yang sama dengan saya dan ada yang kepingin untuk mendapatkan novel wacana ini kesan perbincangan kami mengenainya. Seingat saya inilah kali pertama saya berasa begitu bahagia dan mencapai kepuasan semasa dan selepas membaca. Barangkali saya pernah juga merasainya sebelum ini namun untuk yang kali ini, saya 'merasai'nya secara sedar.

Ya, saya sedar. Kesemua novel yang saya sebutkan dan saya baca itu bukanlah novel-novel yang terbaharu dan terkini. Walau bagaimanapun, pengalaman dan perasaan yang saya lalui melaluinya sangat berharga. Terima kasih kepada yang memberi pinjam dan memberi kesedaran kepada saya akan 'rasa' membaca.

MEMAHAMI ISLAM LIBERAL DAN ISLAM TULEN DALAM WACANA TUHAN MANUSIA

APABILA manusia hanya tahu bertanya dan menjawab berdasarkan logik akal semata-mata, maka akan ada yang cuba menggoda. Akan ada yang menuntun jiwa manusia untuk mencari selain Allah. Pandangan zahir mula melihat al-Quran hanya sekadar teks yang tidak mungkin dapat melawan logika akal manusia. Apabila nafsu untuk mendapatkan kebebasan hidup tanpa batas agama menjadi penghalang, manusia akan mula terarah mencari sesuatu yang akan memudahkan laluan untuk mencari kebebasan yang dimahukan.

Novel Tuhan Manusia merupakan sebuah novel wacana yang sarat dengan inti ilmu untuk santapan minda dan intelektual para pembaca. Melihat kepada gejala murtad, kecenderungan golongan Melayu untuk menerima gaya hidup Barat yang bebas dan lepas tanpa sekatan syariat yang dianggap sebagai tidak relevan dalam arus dunia globalisasi menjadi isu utama dalam karya ini. Naskhah ini mengisahkan kepedihan hati keluarga kepada seseorang yang telah meninggalkan agama Islam dan memilih pluralisme sebagai pegangan hidup. Ali Taqi, pelajar tingkatan lima di Sekolah Kebangsaan Muhammad Jawad melalui kesedihan dan kepedihan hati apabila abangnya iaitu Talha telah berpaling daripada Islam setelah terpengaruh dengan fahaman pluralisme yang dibawa oleh golongan seperti Encik Aris.


Tindakan Talha itu membuatkan ayah Ali Taqi mengalami penderitaan emosi yang mendalam apabila perlu berhadapan dengan hakikat kemurtadan anaknya. Apatah lagi setelah kematian isterinya iaitu Saodah tidak lama selepas berpalingnya Talha. Ayah Ali Taqi iaitu Mohamad, seorang pensyarah yang sudah pencen tinggal seorang diri di rumah mereka di utara negara. Atas kemurtadan Talha, Mohamad enggan mengakuinya sebagai anak. Manakala Ali Taqi pula tekad untuk menguasai fahaman pluralisme dan liberalisme yang semakin menular dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Sebagai remaja yang dimatangkan oleh kemurtadan Talha, Ali Taqi tekad untuk memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai penularan fahaman pluralisme yang menyarankan penerimaan dan persamaan terhadap semua agama.

Perbincangan dan pemahaman Ali Taqi semakin bercambah apabila dia menemui Ustaz Mujtaba untuk mengetahui asas fahaman pluralisme. Sememangnya keinginan Ali Taqi itu mengejutkan Ustaz Mujtaba lantaran tidak ramai atau sangat sedikit remaja dewasa kini yang mempunyai nilai kesedaran yang tinggi dalam memahami dan memerangi gejala murtad. Namun demikian, pengarang mencipta watak Ali Taqi sebagai pemuda gigih jiwa yang berazam untuk menyumbang kepada agenda mematahkan fahaman pluralisme yang dibawa oleh Encik Aris, ayah kepada Zehra yang juga rakan sekelasnya. Pertemuan awal Ali Taqi dengan Ustaz Mujtaba dilihat sebagai perintis perjalanan Ali Taqi untuk mendalami ilmu pluralisme, bukan untuk menyertainya akan tetapi sebagai persediaan mematahkan setiap agenda pluralisme yang boleh mempengaruhi pemuda seperti dia dan Talha. Hal ini dikemukakan pengarang melalui sudut pandangan pertama Ali Taqi dalam wacananya dengan Ustaz Mujtaba :

"Wowo, terima kasih, ustaz." Saya keriangan kerana berasa bertambah ilmu.

Ustaz Mujtaba terus bersemangat. "Ada lagi kesesatan kaum pluralis ini. Kita semak pula faham keempat. Menurut mereka semua agama adalah satu komponen hakikat. Ertinya, hakikat yang benar dan utuh itu sedikit terpecah ke dalam agama Islam, sedikit yang lain terpecah ke dalam agama Kristian dan yang lain pula terdapat dalam agama Hindu misalnya. Jadi tak ada agama yang sempurna. Yang ada hanya hakikat dan kebenaran yang beragam-ragam di sana sini. Jadi pada mereka semua agama sama ... ini membuktikan pluralis seperti bapa Zehra dengan sedar menjadikan pluralisme itu satu agama baru, yang diciptakan manusia, gabung semua, percayakan semua ..."

"Dahsyat!" kata saya hilang bicara (2007:41)

Novel ini dimulakan pengarang dengan perjalanan Ali Taqi untuk pulang ke kota peradabannya di utara negara sempena cuti persekolahan. Sebahagian wacana dan perbincangan muncul dalam imbas kembali ingatan Ali Taqi sepanjang perjalanannya ke kota peradaban. Hal ini dapat dilihat apabila ketibaan Ali Taqi di rumah bapanya hanya berlaku dalam bab tiga belas.

Sebagai langkah awal untuk memberi kefahaman mengenai pluralisme dan kemurtadan terhadap golongan remaja, Ali Taqi, Abang Abbas dan rakan-rakannya seperti Fendi dan Irfam telah mendapatkan kebenaran pengetua sekolah untuk menganjurkan forum mengenai isu terbabit. Hal ini dianggap penting terutamanya oleh Ali Taqi yang tidak mahu remaja seperti Zehra yang asyik dalam fahaman pluralisme bawaan ayahnya, Encik Aris merebak dan menular ke dalam diri rakan-rakan dan masyarakat luar. Ali Taqi tidak mahu peristiwa berpalingnya Talha semakin bertambah. Apatah lagi, adalah penting untuk menambah golongan yang mempunyai pengetahuan dan penguasaan terhadap ilmu berkenaan untuk mematahkan agenda jahat golongan yang cuba menyesatkan dan memurtadkan golongan muslim. Oleh sebab itu, kumpulan remaja berjiwa kental dalam mempertahakan Islam yang dipimpin oleh Ustaz Mujtaba itu telah menjemput dua orang panel untuk membincangkan isu berkenaan dalam forum anjuran mereka.

Forum itu telah membawa pertemuan antara Profesor Mahfuz dengan Encik Aris. Pertemuan kedua-dua tokoh berkenaan mewakili pihak 'Islam liberal' dan 'Islam tulen'. Dalam dialog berkenaan, Profesor Mahfuz telah menerangkan kepada pembaca dan khalayak forum mengenai fahaman liberalisme seperti sebahagian daripada petikan berikut :

Seorang guru bangun untuk bertanya soalan. Guru tersebut ialah guru sejarah bernama Cikgu Awab . "Saya nak tuju soalan ini kepada Profesor Mahfuz. Pada pandangan profesor kenapa lahirnya gerakan Islam liberal?"

Profesor Mahfuz menyambut soalan penting itu dengan penuh serius. "Gerakan liberal ini ialah bibit gerakan sekularisme. Fenomena ini lahir kerana penjajahan Barat ke atas negara-negara Timur dan rantau Islam. Kemudian dunia Islam ketinggalan pula dalam bidang sains dan teknologi. Sikap umat Islam terhadap dua keadaan inilah yang menyebabkan fenomena Islam liberal ini muncul.

Sikap pertama ialah orang Islam berasa rendah diri dan menerima kemunduran mereka. Sikap kedua terbentuk pada segolongan orang Islam yang beranggapan agamalah penyebab kemunduran ini lalu mereka meninggalkan agama terus dan tergila-gilakan Barat. Sikap ketiga ialah sikap sekelompok umat Islam yang bersetujut memang agamalah penyebab kemunduran maka mereka menyarankan tafsiran baru terhadap agama (2007: 196-197)

Ujaran jawapan Profesor Mahfuz yang padat mengenai liberalisme dan sekularisme memberikan tekanan kepada Encik Abbas dan Zehra sendiri. Namun demikian, setiap penerangan Encik Aris mengenai 'kebaikan' pluralisme disambut dengan ejekan dan lafaz istigfar oleh khalayak dewan perhimpunan. Encik Aris juga telah menyalahgunakan kata-kata ahli falsafah sufi iaitu Jalaluddin Rumi yang telah diselewengkan terjemahannya:

The lamps are different, but the lights is the same atau lampu adalah berbeza-beza, tapi cahaya tetap sama (2007:177)

Walau bagaimanapun, Profesor Mahfuz yang peka akan penyelewengan terhadap kata-kata hikmah ahli falsafah sufi berkenaan telah memberi pencerahan kepada pembaca dan hadirin dewan perhimpunan sebelum menamatkan sesi beliau bahawa bait puisi yang dibacakan oleh Encik Aris itu ialah bait puisi John Hick yang telah diberi kesan baru hasil terjemahannya secara bebas. Profesor Mahfuz menjelaskan terjemahan asal karya Rumi oleh R.A Nicholson iaitu terjemahan asal kepada bahasa Inggeris yang sebenar berbunyi :

The lights is not different, (though) the lamp has become different. Jika dibandingkan kedua-duanya, kita akan dapati terjemahan John Hick adalah terjemahan dan tafsiran yang begitu out of context. Dan memang lampu memancarkan cahaya yang sama tetapi ada banyak jenis cahaya. Cahaya malap tak sama dengan cahaya terang. Sekian, terima kasih. (2007:186)

Perasaan dan fikiran khalayak pembaca ditarik untuk mengikut gerak fikir dan emosi Ali Taqi sepanjang membaca karya ini. Segala kegelisahan, kesedihan dan ketekadan Ali Taqi terhadap berpalingnya Talha dapat dirasai pembaca. Namun demikian, kemuncak perasaan dan tindakan Ali Taqi akan semakin menyentak emosi pembaca pada akhir bab dua belas, iaitu bab yang memuatkan sesi dialog antara Profesor Mahfuz dengan Encik Aris mengenai Islam liberal dan Islam tulen. Dalam akhir bab ini, Ali Taqi yang tidak dapat menahan rasa terhadap kesongsangan fahaman pluralis yang dibawa Encik Aris telah bangkit ke tengah dewan seraya melontarkan soalan yang menyepikan seluruh isi dewan dan memberi tekanan kepada Encik Aris. Ali Taqi telah memperkenalkan dirinya sebagai adik kepada Talha dan mendakwa Encik Aris yang memegang jawatan sebagai editor majalah liberal dan peguam hak asasi telah membantu Talha menjadi murtad. Ali Taqi dengan penuh emosional menuntut penjelasan daripada Encik Aris atas nama arwah ibunya.

Tanpa langsung meninggalkan walau sebentar pun perjalanan cerita mengenai wacana pluralisme dan liberalisme, Andrew Tse sebagai sahabat Alil Taqi telah memberi kejutan kepada teraju utama karya ini sebaik-baik mereka bertemu di kolam, tempat pertemuan mereka. Andrew Tse yang terpaut hatinya kepada Islam melalui wacana sebuah novel telah memberitahu Ali Taqi akan penghijrahannya sebagai seorang muslim. Andrew memohon bantuan Ali Taqi dan ayahnya untuk memberitahu ibu dan bapanya yang masih tidak mengetahui hakikat penghijrahannya. Pengakuan Andrew Tse mendatangkan rasa hiba kepada Mohamad yang menganggap penghijrahan Tse sebagai hadiah berharga buat dirinya setelah berpalingnya anak bernama Talha. Atas keindahan akhlak Ali Taqi dan Mohamad yang sangat dikenali oleh ibu bapa Tse, mereka sendiri berasa terharu dengan tindakan Tse :

"Selama ini saya percaya Encik Mat. Sungguh-sungguh percaya." Encik Tse mengesat air mata yang turun dalam diam.

"Maafkan saya, ayah ..." Tse turut teresak.

"Bila anak Encik Mat masuk Kristian, dia lari begitu sahaja ... lari begitu sahaja. Anak Encik Mat tinggalkan Encik Mat, dan sekarang ..."

Tse menangis beria-ia. Engkau mahu membuka mulut tetapi abahmu memegang lenganmu meminta supaya tidak bersuara apa pun di saat yang penuh drama tersebut.

"Bila anak saya memilih untuk masuk Islam, Encik Mat pulangkan semula kepada saya. Malah anak saya memilih untuk bersama saya ... selama ini saya memang mengagumi akhlak Encik Mat. Saya ... saya tiada halangan jika beginilah caranya." (2007: 223-224)

Novel setebal 340 halaman ini dipenuhi dengan perbahasan intelektual yang sarat dengan fakta dan sumber rujukan yang diturunkan pengarang melalui dialog para watak yang berwibawa. Talha yang menetap di Sarawak telah meninggal dunia kesan puting beliung dahsyat yang hanya merosakkan rumahnya. Khabar berkenaan disampaikan oleh Encik Aris dan Zehra sebaik-baik Ali Taqi dan Mohamad tiba di rumah setelah pulang dari mengerjakan umrah. Kematian Talha menjadi satu simbolik pembalasan Allah terhadap pengkhianatan yang dilakukannya kepada Allah sendiri. Khalayak pembaca barangkali akan berasa ketinggalan dan kepingin untuk mengetahui proses pembesaran dan kedewasaan Ali Taqi lantaran pengarang terus memperkenalkan Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad dalam bab 20. Watak remaja yang seterusnya bangkit sebagai ahli falsafah Islam lantaran kedurjanaan Talha telah menjadi lulusan Harcard, Qom dan Sorbonne. Ali Taqi berjaya memahami semua masalah yang timbul di Barat, Timur dan juga masalah-masalah dunia Islam.

Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad membesar dan meniti kedewasaan hidupnya bersandarkan pada kata-kata keramat arwah ibunya yang menjadi pembuka bagi setiap bab di dalam novel ini iaitu:

1. Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya dan, menurut ibu, tiang serinya adalah agama (Bab 1-10)

2. Andai kota itu peradaban, rumahmu adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama (Bab 11-15)

3. Andai kota itu peradaban, rumah kita adalah budaya, dan menurut ibu lagi, riang serinya adalah agama (Bab 16-19)

4. Andai kota itu peradaban, rumah utamanya haruslah budaya, dan tiang seri rumah itu hendaklah agama (Bab 20)

Jika diperhatikan, terdapat perbezaan kata ganti nama diri dalam keempat-empat frasa berkenaan. Yang membawa persamaannya ialah frasa berkenaan merupakan peninggalan kata hikmah yang diberikan oleh arwah ibu Ali Taqi. Tinggalan warisan agung berkenaan diperturunkan pula oleh Ali Taqi kepada tiga orang anak dan cucunya, Abbas. Pembaca sendiri pada awalnya akan berasa misteri dengan ungkapan berkenaan, namun pembacaan dan penelitian terhadap fikiran Mohamad, Ali Taqi dan Andrew Tse akan membuka jalan untuk pembaca mentafsir ungkapan keramat arwah ibu Ali Taqi.

Dengan tulisan 'semoga bermanfaat' oleh Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad terhadap buku yang dibeli oleh Fatimah, anak kepada Zehra, sebegitu jugalah matlamat utama pengarang terhadap karya ini. Sebuah novel wacana yang penuh dengan hikmah, sarat dengan mutiara dan memberi ruang terhadap pencerahan jiwa ini sememangnya sangat bermanfaat kepada para pembaca, terutamanya dalam mendalami ilmu pluralisme dan menghayati soal murtad dari segi hukum dan pelaksanaan yang sewajarnya.

Gaya bahasa wacana yang tidak mengabaikan aspek estetika bahasa dan latar menjadikan karya ini sesuai untuk bacaan setiap khalayak pembaca yang dahagakan pencerahan minda dalam bentuk yang sastera. Dalam masa yang sama, buah tangan Faisal Tehrani yang diterbitkan oleh Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd ini sangat perlu untuk dihayati oleh semua golongan yang cinta akan agama dan pengetahuan dan mendambakan pencerahan rohani.

~Usah jadikan nafsu sebagai Tuhan Manusia, kelak hidup dirundung celaka dan jiwa hilang bahagia~

Jumat, 25 Juni 2010

KETENANGAN DALAM MENULIS

MENULIS itu memberi ketenangan. Prosesnya penuh dengan permainan perasaan tanpa meminggirkan fikiran dan kewarasan. Pada kala kata terakhir dinoktahkan, ada kelegaan yang menjalar. Memberi ruang untuk kembali berfikir dan ada ketika mengimbas kefahaman untuk mencambah pengalaman.

Minggu, 20 Juni 2010

Jika Guru Marah : Terekam Dalam Kumpulan Video

Apa yang terjadi jika tiba2 guru marah di dalam kelas?
Di bawah ada sebuah kumpulan video yang terekam bagaimana guru-guru marah kepada murid2nya.
Ada sebagaian karena handphone murid yang berdering dan ada yang murid memang nakal. Tetapi jika guru sampai marah dengan memukul itu sudah keterlaluan banget.

Sabtu, 19 Juni 2010

SEKADAR CATATAN

SUDAH HAMPIR sebulan saya dan rakan-rakan kuliah berada dalam cuti semester. Insya-Allah, semester enam atau semester terakhir bagi saya dan rakan-rakan akan bermula pada 26 Julai 2010. Masih ada hampir sebulan sebelum mendepani semester akhir. Cuti ini, selain memanfaatkan masa untuk mendapatkan lesen P, saya juga mengisinya dengan membaca novel-novel dan buku-buku yang ada dalam simpanan dan yang diberi pinjam. Kebiasaannya, saya mendapat bekalan bahan bacaan daripada Cikgu Norhana dan seorang kenalan di sebuah institusi. Setelah menekuni Bedar Sukma Bisu dan Saasatul Ibaad, kini saya memberi giliran kepada One Hundred Years of Solitude sebelum memberi ruang kepada beberapa karya dan buku yang lain. Setelah menguliti karya-karya berkenaan, saya mahu pula memfokuskan pembacaan saya terhadap karya-karya yang wajar saya ambil perhatian untuk penulisan Projek Tahun Akhir saya. Antaranya ialah Bukan Lalang Ditiup Angin, Perempuan Dari Setzuan, Mitologi Yunani Greek dan Yang Menjelma dan Menghilang. Saya juga perlu memberi perhatian akan kritikan dan sumbang saran yang saya terima dalam pembentangan prapeta dua bulan lalu melalui beberapa kajian dan penelitian semula terhadap alur cerita yang saya lakarkan.

Selain itu, saya manfaatkan masa untuk membaca beberapa buah buku mengenai bahasa. Antara yang sangat menarik hati saya ialah buku Tuntunan Bahasa yang ditulis oleh Prof. Dr. Awang Sariyan. Insya-Allah, saya akan menulis sebuah ulasan berkenaan buku tersebut. Sebuah tulisan ilmiah yang baik untuk kita selaku masyarakat bahasa Melayu untuk menambah dan memantapkan pengetahuan mengenai aspek kebahasaan. Betul-betulkan yang biasa, biasa-biasakan yang betul.

Setelah hampir sebulan melalui cuti, saya nian rindu pada kampus. Ya, kampus memberi sejarah dan pengertian yang besar kepada saya. Banyak perkara baharu yang saya pelajari dan saya temui di sana. Agak sayu hati saya apabila mengenangkan langkah yang akan menjejak akhir semester. Terasa bagai baru mendaftarkan diri pada 07 Januari 2008 yang lalu, dihantar oleh Cikgu Julia dan Cikgu Norhana ke kampus ASWARA yang sangat asing bagi saya ketika itu. Alhamdulillah, saya sangat gembira berada di kampus sepanjang usia pengajian. Setiap pengalaman, kegagalan, kepayahan dan lakaran sedikit kejayaan merupakan memorabilia yang akan saya kenang sepanjang hayat walau tidak lagi berstatus mahasiswa di kampus berkenaan. Semua itu sentiasa segar di benak fikir saya untuk panduan di masa akan datang. Oleh sebab itulah, wisma maya saya ini sangat kaya dengan catatan kembara saya sebagai pelajar yang akan terus belajar.

Sekadar catatan.