Jumat, 25 Desember 2009

OMEL, OMOD DAN USTAZAH NAJWA

(Catatan Ditulis Pada Oktober Lalu)

USTAZAH NAJWA merupakan guru kelas dan guru subjek Pendidikan Islam saya ketika saya berada di tingkatan satu tahun 2000. Hubungan saya dengan Ustazah Najwa agak rapat Sehingga kini, saya masih lagi berhubung dengan Ustazah Najwa. Beliau yang saya kenal dahulu tidaklah terlalu menyukai binatang peliharaan seperti saya. Tetapi, ada kisah sebaliknya kini. Beberapa hari ini, cikgu sering membawa cerita tentang Ustazah Najwa yang ke hulu dan ke hilir dengan setupperware berwarna coklat gelap. Tupperware itu akan ustazah bawa ke mana-mana sahaja termasuklah ketika ustazah memasuki kelas bagi sesi pembelajaran. Pada satu hari, cikgu terserempak lagi dengan ustazah yang sedang berjalan dengan laju menuju ke satu pojok di belakang bangunan sekolah. Cikgu menegur ustazah:

"Wa nak ke mana tu? Laju benar berjalan."

"Saya nak ke Blok Kelisa, Kak Ju."

"Eh, Kak Ju nak tahu sangatlah. Ada apa dalam tupperware yang Wa selalu bawa tu? Tak tinggal
nampak?"

"Oh, dalam ni ada Friskies. Saya nak bagi kepada anak kucing yang selalu di belakang Blok Kelisa tu."

"Eh, ada anak kucing?"

"Ada, Kak Ju. Ni saya nak pergi beri kucing-kucing tu makan."

Pulang dari sekolah, cikgu bertanya kepada saya sama ada Ustazah Najwa benar-benar suka akan kucing. Sepanjang perkenalan saya dengan ustazah, saya dapati ustazah tidaklah terlalu ghairah dengan kucing seperti keghairahan saya terhadap makhluk berbulu yang comel itu. Keesokannya, cikgu memberitahu lagi bahawa Ustazah Najwa sudah pun membawa pulang dua ekor kucing itu. Sayangnya, ibu kucing itu tidak pula diambil bersama. Ini yang saya tidak suka ni! Grrr. Kasihan ibu kucing itu. Tidak mengapalah. Mungkin ustazah ingin menyelamatkan anak-anak kucing itu dahulu.


Omel yang dibelakang Omod yang berhidung hitam

Anak-anak kucing itu diberi nama sebagai Omel dan Omod. Yang punya hitam di hidung itu ialah Omod manakala yang di belakang itu pula ialah Omel. Kedua-duanya sudah bermastautin di kuartes guru di Sungai Pusu, kediaman Ustazah Najwa. Makin bertambahlah keluarga ustazah. Walaupun sudah membawa pulang Omel dan Omod, ustazah tetap membawa tupperware berisi Friskies itu bersama-samanya untuk diberikan kepada kucing-kucing tanpa tuan yang berada di sekolah.

Dua hari yang lalu, ustazah ada menceritakan perihal Omel dan Omod yang tidak mahu makan Friskies lagi. Cikgu mencadangkan agar ustazah mencuba pula Smart Heart memandangkan kucing-kucing kami sangat suka dengan makanan itu. Pada keesokannya lagi, ustazah bercerita bahawa kucing-kucing itu tetap tidak mahu makan Smart Heart yang dibelikan. Lalu, cikgu bertanya :

"Habis, Wa bagi dia makan apa?"

"Kak Ju tahu, saya bagi dia makan ikan rebus. Berselera betul. Smart Heart tu langsung tak dipandang."

"Alahai, kucing kampung sungguh!"

Begitulah kisah tentang Ustazah Najwa yang saya kenal. Kisah Ustazah Najwa ini mengingatkan saya semasa saya berada di tingkatan dua. Ketika itu saya pernah mengambil seekor anak kucing berwarna putih di belakang sekolah. Anak kucing itu saya bawa bersama sepanjang hari itu termasuklah semasa berada di dalam kelas. Anak kucing itu saya biarkan berjalan di atas meja sewaktu sesi pembelajaran berlangsung dan tidak ada seorang guru pun menegur tingkah saya itu kerana mereka tahu itulah saya. Nampaknya kini, Ustazah Najwa juga sudah menjadi seperti saya itu.

Indahnya jiwa setiap kali saya mengenang semula anak-anak kucing yang pernah saya kutip. Pengalaman masuk ke dalam tong sampah besi bersaiz besar untuk menyelamatkan dua ekor anak kucing yang dibiarkan. Meneroka segenap longkang di sekitar sekolah untuk mencari sumber ngiauan kucing dan bermacam lagi. Insya-Allah, saya ingin mencontohi Cikgu Rosdan, Pn. Ainon Mohd dan Ayahanda Abdullah Hassan yang masing-masing menempatkan lebih 20 dan 60 ekor kucing terbuang di 'rumah kebajikan' mereka. Amin.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar