Selasa, 08 Desember 2009

USAI PEPERIKSAAN SEMESTER EMPAT

ALHAMDULILLAH, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Ilahi Rabbi. Akhirnya peperiksaan semester empat saya berakhir jam 12.00 tengah hari tadi dengan kertas peperiksaan Penulisan Skrip Bangsawan sebagai yang terakhir. Saya sudah berusaha untuk melakukan yang terbaik dan saya tekal berdoa mengharapkan yang terbaik. Lantas, kini saya hanya mampu bertawakal dan meneruskan doa.

Jauh di sudut hati, saya berharap agar prestasi akademik saya untuk semester ini tidak akan menurun. Sebaliknya, saya sentiasa berimpian agar prestasi saya akan meningkat kerana saya tahu adanya insan-insan berhati mulia yang mendoakan dan mengharapkan kejayaan saya. Walau bagaimanapun, saya berusaha memujuk dan mendidik hati agar saya tidak akan berasa kecewa seandainya harapan saya ini tidak tercapai. Sesungguhnya, Allah maha berkuasa menentukan sesuatu dan sebagai hamba-Nya, saya berusaha sedaya upaya.

Pada 14 Disember 2009 pula, saya akan memulakan Latihan Industri sebagai syarat wajib akademi. Alhamdulillah, saya berjaya ditempatkan di Bahagian Pengembangan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun saya agak sedih dengan jumlah perbelanjaan harian yang meningkat separuh kali ganda berikutannya, saya tetap akan berusaha melakukan yang terbaik. Dalam masa yang sama, saya ingin mengingatkan diri saya akan tugasan Latihan Ilmiah yang perlu saya beri perhatian di samping proses Penulisan Cereka Moden III yang perlu saya teruskan secara konsisten. Saya berdoa agar dijauhkan sifat bertangguh dalam diri agar segala perancangan dalam diari pelajaran saya dapat berjalan dengan lancar.

Ya Rahman,
KepadaMu hamba menyembah dan kepadaMu hamba mohon pertolongan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar