Kamis, 17 Desember 2009

PESAN HATI MAWAR BERDURI

JANGAN sesekali percaya pada kata-kata si pendusta yang hanya bijak melakonkan pelbagai watak di hadapanmu. Belajarlah daripada kesilapan demi kesilapan sama yang telah kaulakarkan. Jangan dirobek lagi hati nurani yang semakin hari semakin parah kondisinya. Sungguh, aku ini sudah lelah. Untuk apa menaruh percaya pada siapa-siapa yang tidak pernah menghargai apa lagi mengenali budimu? Hormatilah aku. Peliharalah aku. Jangan lagi dibiarkan aku ini menderita dek diterjang citra-citra bohong yang kauterima. Belajarlah. Tidak semua yang berhadapan denganmu jujur meluah kata dan rasa. Tidak semua mampu mengotakan kata-kata yang pernah diluahkan kepadamu semalam. Mengapa dibiarkan hati ini terluka sekiranya kaumampu menjernihkan minda dengan berlaku bijak menodai janji-janjinya? Mengapa kauperlu terlalu jujur mempercayai setiap katanya.

Dia telah datang dan pergi berkali-kali dengan luka yang ditoreh dalam jalur hidupmu. Lupakan sahaja segala tentang dia denganmu. Jangan kaubiar alasan itu terus menjadikan kaumewa dan kaku merenung erti hidup. Menilai antara benar dan palsu. Melihat antara kaca dan permata. Bukankah sejarah fungsinya mengajar manusia agar tidak melakukan kesilapan silam yang sama berulang kali. Nah, kalau benar itulah fungsinya - nyata kautidak pernah belajar daripada sejarah hidupmu. Andai memang itu pilihanmu, sungguh aku tidak mampu berbuat apa-apa melainkan terus membiarkan engkau leka menodai dan melukai diriku yang tidak pernah engkau anggap penting ini. Tidak penting. Ya, tidak penting. Cuma satu pesanku, aku sentiasa denganmu. Bersatu dalam nuranimu untuk menuntun sirat hidupmu. Tanpa pernah aku jemu, aku tidak akan meninggalkanmu dan membiarkan engkau terbiar di buana sesat yang telah kaupilih, meski aku kauanngap tidak bermakna

Akhir pintaku lagi, usah lagi kaupercaya pada janji palsu mereka. Sungguhpun dia mereka terhormat atau wajar kauhormat, mereka tiada makna jika hanya bijak melukai aku dengan menodai percayamu.

Salam kasihan dariku,

Hati sekuntum Mawar

Tidak ada komentar:

Posting Komentar