Sabtu, 09 Januari 2010

BERTEMU DIRI

JUMAAT lalu merupakan hari terakhir saya menjalani latihan industri. Jangka masa yang singkat tentunya tidak memungkinkan saya untuk menimba pengalaman berkaitan bidang pekerjaan khusus dengan sebanyak-banyaknya. Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana berada di situ memberikan satu lipatan pengalaman yang menyusur dalam lubuk kenangan dan akan saya pelihara sebaik mungkin. Di sana, sedikit sebanyak saya belajar peribadi manusia dan gelagatnya yang pelbagai. Perlunya untuk membiasakan akal dan jiwa kala berhadapan dengan dunia yang lebih besar berbanding ruang selesa dalam suasana biasa yang dilalui saban hari. Dalam jangka waktu singkat itu, saya bersyukur kerana berkesempatan untuk meluaskan senarai kenalan saya. Ada yang dikenali secara kebetulan lantas membuahkan peluang dan ruang untuk saya mengasah kemahiran menulis. Ada yang sudah biasa saya kenali, akan tetapi tanpa mereka-mereka itu pula mengenali saya waima pernah berhubung mesra selama ini. Tambah istimewa, saya mengenali seseorang yang terlebih dahulu mengenali saya sebelum saya mengenali dirinya. Ya, perkenalan yang sangat istimewa dan sarat dengan pengalaman yang begitu memberi kesan mendalam pada sekeping atma saya yang masih bertatih membina tembok paling utuh sekitarnya.

Bertemu dan berkenalan dengan dia, aneka rasa dan fikir bersatu dalam masa yang sama. Dia seorang pencandu bahan baca yang sentiasa senang mendampingi pelbagai kumpulan buku tanpa menyekat minda untuk menerima sebarang bahan baca tanpa mengulitinya terlebih dahulu. Berbicara mengenai hal ini, satu pukulan hinggap di benak fikir saya yang masih mentah dalam dunia sastera ini lantaran sering menyekat minda dan jiwa untuk menghadami sesebuah bahan baca tanpa saya terlebih dahulu bermesraan dengan bahan baca tersebut. Satu tindakan yang sangat salah bagi seseorang yang ingin serius menimba ilmu dan pengalaman di samping mencari identiti diri sebagai seorang penulis kebenaran.

Usah memberi justifikasi tertentu sebelum menelitinya terlebih dahulu. Itu ikhtisar yang saya dapat menerusi perbincangan tersebut. Hal ini secara langsung membuka ruang minda dan hati saya untuk tekad mengusir fahaman songsang dan sekatan tidak wajar yang saya lakukan terhadap karya-karya penulis yang kurang saya kenal melainkan mendengar ulasan yang pelbagai. Kita boleh membaca pelbagai jenis bahan bacaan, yang penting adalah perlunya kewujudan medium penyaringan dalam diri sendiri agar mampu membezakan antara yang benar dan salah. Membacalah, untuk mencari gali telaga ilmu yang ada di dalamnya. Membacalah, agar menjadi manusia perkasa yang mampu memberi pandangan terhadap sesuatu berdasarkan ilmu dan pengalaman yang benar; bukan sekadar ikut-ikutan atau dengar-dengaran.

Terlalu banyak ilmu yang dikongsikan beliau kepada saya. Terlalu banyak sehinggakan saya berasa seakan-akan terlalu kontang pengetahuan sama ada berkaitan penulisan mahupun kehidupan. Turut menyentuh hati saya apabila melihat himpunan buku yang tersusun kemas di sudutnya. Begitu banyak dan pelbagai genre. Terlalu membuatkan hati saya meronta-ronta melihat himpunan buku tersebut. Lantas, diam-diam saya menuai harapan agar kelak satu masa nanti saya turut punya sudut peribadi begitu yang kaya dengan himpunan buku pelbagai dan bukan sekadar tersusun kemas untuk dipandang, akan tetapi untuk menyentuh nurani dan alam fikir saya.

Mengenali dirinya, saya dibawa untuk cuba melihat diri sendiri yang sebenarnya begitu kaya dengan kekurangan dan kedaifan pengalaman. Saya bagai sudah terlalu biasa hidup dalam dunia kecil sehingga membuatkan saya terlupa bahawa alam dan penghunia dunia luar yang maha luas itu. Saya terlupa akan mereka. Saya terlupa banyak perkara. Paling memberi kesan dan begitu berlegaran di benak fikir saya sehingga ke hari ini ialah saranan agar saya kembali memuhasabah diri. Membuatkan saya tersedar dan berusaha meneliti setiap ruang yang saya himpun dalam satu diri.

Kepada dia yang memberi erti, terima kasih yang tidak terperi. Pertemuan pertama dalam masa yang sebentar membuka jalan untuk saya semakin cuba dan berusaha untuk mengenali diri sendiri dan alam yang hadir di sekitar diri.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar