Minggu, 17 Januari 2010

DONGENG PAK DOLAH DOKONG

BEBERAPA hari yang berlalu, Mawar lebih banyak berdiam. Lebih leka mendengar dan lebih senang sendiri. Kanda Melur sudah gundah-gulana. Tidurnya sudah tidak betah. Geraknya sudah banyak yang patah. Risau amat dengan pesona baru yang dicitrakan adinda Mawar kesayangannya. Puas Kanda Melur bercerita yang pelbagai, penuhnya dengan unsur lelucon. Tidak henti membuat dirinya tertawa ceria. Sayang, Mawar - adindanya yang paling kecil itu masih diam. Masih berkira-kira untuk tersenyum, apatah lagi untuk sama terjun dalam hilai tawa Kanda Melur.

Petang itu, Kanda Melur sudah tekad. Dia ingin membawa Adinda Mawar ke rumah Pak Dolah Dokong. Dukun yang sangat dikenali dan dipercayai seluruh Kampung Sukamenanti. Siapa yang tidak kenal Pak Dolah Dokong bukanlah penduduk jati Kampung Sukamenanti. Lebih wajar dihalau keluar dari Sukamenanti. Dibiar bertapa dalam ceruk Gunung Sangkarduri, biar dapat menghisab diri untuk jadi penduduk sejati. Masyarakat Sukamenanti memang sangat sayang dengan Pak Dolah Dokong. Memang sangat percaya dengan Pak Dolah Dokong. Sesiapa yang sakit, segeralah ke pondok usang Pak Dolah Dokong yang sederhana amat hidupnya. Kalau ada ibu yang kerisauan anak-anak diganggu segala bentuk jin nakal yang suka mengajak anak-anak kecil mereka berkawan, datanglah ke pondok usang Pak Dolah Dokong. Nanti Pak Dolah Dokong boleh bacakan jampi serapah, boleh sediakan seuncang azimat. Pulang ke rumah, kalungkan ke leher anak-anak kecil yang sedang asyik-masyuk hendak terus berakrab setia dengan jin-jin nakal, sesudah sekali atau dua kali anak kecil muntah-muntah kosong dengan sedikit racau-meracau, eloklah anak itu. Jin-jin nakal pun tak akan berani berkawan dengan anak-anak para ibu yang sangat percaya dengan kehebatan Pak Dolah Dokong yang dihebohkan oleh anak saudara Pak Dolah Dokong sendiri, Cik Kembang Cina.

Kanda Melur yang sudah buntu dengan diam Adinda Mawar bersungguh-sungguh memapah Adinda Mawar yang bagai sudah mayat hidup itu. Tenaganya sudah dimamah jerangkung celaka yang mengunyah segala macam semangat dan kekuatan Adinda Mawar. Sudahlah dikunyah, ditanam pula di sudut hulu kampung yang memang sudah tiada siapa yang berani ke sana. Sekali ke sana, pulangnya belum tentu lagi. Jadi, siapa yang berani? Memang Kanda Melur kalau boleh ingin saja ke hulu kampung itu. Menggali semula semangat Adinda Mawar yang ditanam jerangkung jahanam kononnya itu, akan tetapi kalau Kanda Melur gagal, tidak dapat lagi pulang ke tengah Sukamenanti, siapa pula yang akan menjaga Adinda Mawar yang semakin hilang diri? Ah, memang kusut fikiran Kanda Melur. Mujur ada Cik Kembang Cina yang pantas memberi saranan. Pak Dolah Dokong pasti boleh kembalikan semangat Adinda Mawar. Moga-moga. Kata Kanda Melur, "Tok buatlah apa saja asal jangan beri Adinda Mawar saya menangis lagi."

Tok Dolah Dokong pun memandang Adinda Mawar yang duduk bertimpuh sambil menunduk itu dengan tekun. Dipandang dengan penuh perhatian. Cuba membaca isi hati Adinda Mawar sebenarnya. Aneh pula, kabut sahaja yang Tok Dolah Dokong nampak. Tidak tergambar langsung sari pati hati Adinda Mawar kesayangan Kanda Melur itu. Hitam sungguh. Apa yang kena ni? Tok Dolah Dokong bangun dari duduknya. Berlegar sekitar ruang pondok usang yang sudah terkopak di sana sini sambil mengasap kemenyan di serata penjuru pondok. Cik Kembang Cina tunggu saja di anak tangga pondok yang sedikit gegar sahaja akan robohlah semua. Itu syarat rawatan Tok Dolah Dokong, hanya yang berkenaan sahaja yang boleh berada dalam upacara rawatannya.

Aduh, Pak Dolah Dokong semakin keliru. Kemenyan pun sudah hampir padam penuh. Hati anak gadis yang asyik menunduk, diam dan memang macam mayat hidup itu tidak boleh dimasuki langsung. Hijab apa pula yang menghalang kuasa dia. Aduh, Pak Dolah Dokong semakin bingung. Kemenyan keramat dari Gunung Sangkarduri tidak berguna lagi! Selalunya, diasap-asapkan sahaja ke wajah pesakit, teruslah pesakit sedar diri dan bercakap semula dengan orang sekeliling. Bukanlah payah macam sekarang. Pak Dolah Dokong pelik. Dihantuk-hantukkan kepalanya yang berketayap itu ke papan dinding pondok usang. Dikepal penumbuknya yang sebesar dua biji buah mangga epal yang sedang hendak dewasa ke dinding papannya. Kanda Melur sudah takut. Apa pula ini? Datang ingin mendapatkan rawatan tetapi perawatnya pula yang bagai perlukan rawatan.

Pak Dolah Dokong menjerit-jerit bagai nak gila sampai Kembang Cina pun terkejut sama. Terus Kembang Cina berlari masuk, bekas kemenyan sudah terlungkup di atas lantai. Kaki Pak Dolah Dokong memijak-mijak bekas kemenyan yang hitam legam amat itu. Pak Dolah Dokong semakin menggila raungnya. Ketayap pun sudah dicampak ke lantai lalu dipijak-pijak lagi dengan sungguh-sungguh. Kanda Melur sudah nian takut lagi. Dipapahnya Adinda Mawar agar bangun dan segera turun dari pondok usang. Benar-benar takut. Tambah takut Kanda Melur kalau Adinda Mawar disampuk entah semangat apa pula menggantikan ruang kosong yang sudah ditanam si jerangkung jahanam.

Sekejap, Adinda Mawar berdiam tetap dan berdiri tegak. Kanda Melur sudah semakin takut. Adinda Mawar kena sampuk semangat Tok Dolah Dokong jugakah? Kanda Melur terus menarik tangan Adinda Mawar untuk mengajaknya lari meninggalkan kawasan usang pondok Tok Dolah Dogong tapi Adinda Mawar semakin keras.

Adinda Mawar diam, tapi hatinya pula tiba-tiba jadi bising dengan sorak-sorai halus yang menyambut kegembiraan petang yang semakin malam itu.

"Andai ada yang mampu menghidupkan semula aku, matilah aku ketika itu."

Tidak ada komentar:

Posting Komentar