SESEORANG sedang duduk di tangga rumahnya yang sudah begitu pikun zahirnya. Ketika saya melintasi rumah itu, dia sedang duduk termenung. Jauh sekali pandangannya. Di wajahnya, ada riak sayu yang meruntun hati saya yang melihat. Saya kira, dia hanya berusia beberapa tahun sahaja daripada saya.
Duduknya di tangga rumah, di tengah hiruk-pikuk kota begitu menggamit saya untuk mendekatinya. Mungkin dia bukanlah pemilik rumah tua itu. Barangkali dia hanya musafir yang menumpang singgah daripada lelah yang mengejar. Apatah lagi melihat sebuah bagasi merah lusuh terdampar di atas tanah, berhampiran anak tangga yang semakin mereput. Perlahan-lahan, saya mampir kepadanya. Melihatkan wajahnya yang sayu dan lagaknya yang bagai kebingungan membuatkan saya teringat akan sebungkus roti yang menjadi bekal perjalanan seharian saya. Roti itu masih tidak saya sentuh sejak pagi.
Meskipun sebungkus roti itu saya beli menggunakan duit yang sedikit berbaki semalam buat bekal hari ini, saya fikir roti itu bukanlah rezeki saya selagi tidak berumah di rongga mulut saya. Tanpa berfikir lebih lanjut, saya terus mengarahkan langkah ke arah dia yang masih leka merenung sudut hadapannya. Entah apa yang dipandangkan, saya sendiri tidak pasti. Menghampiri dia, saya memberikan seulas senyuman sebagai hadiah perkenalan. Itupun jika dia mengiktiraf perkenalan itu. Dia tidak membalas, malah langsung tidak menghiraukan hadir saya di situ. Mungkin dia tidak mahu sesiapa mendekati dia. Saya tidak lagi ingin berbuat apa-apa. Melihat matahari yang semakin mengundur diri, saya segera mengeluarkan sebungkus roti dari dalam beg. Saya memandang sebungkus roti itu seketika.
"Kakak, ambillah roti ini."
Dia langsung tidak menjawab apatah memandang huluran saya. Dengan gaya dia yang begitu dan pandangan serius tanpa ubah, dia saya lihat bagai sebuah arca kayu yang hanya menunggu masa untuk mereput dan menyembah bumi. Berserekan di lantai perjalanan dan diterbangkan oleh angin yang menderu.
Saya meninggalkan sebungkus roti berhampiran sisinya yang kaku sepi. Yang masih memandang jauh ke hadapan tanpa mampu saya terka arah tujunya. Yang pasti, saya meninggalkan dia dengan langkah perlahan dengan sarat tafsiran. Apabila malam menjelang dan hari menjadi silam, apakah dia masih di situ? Pada posisi yang sama. Riak wajah dan sudut pandangan yang tiada berbeza? Apakah sebungkus roti yang saya beli menggunakan wang saraan swadiri itu akan menjadi manfaat kepada ruang kosong halaman perutnya atau kelak akan menjadi bahan sajian serangga pelbagai yang itulah rezeki mereka? Dia pula?
Tidak ada komentar:
Posting Komentar