Selasa, 02 November 2010

FASA YANG INDAH

03 NOVEMBER 2010. Berbaki 26 hari lagi sebelum peperiksaan akhir dan terakhir saya sebagai siswa di kampus. Terasa seolah-olah Januari 2008 baru saya lalui. Tiga tahun pengajian sangka saya ketika awal dahulu begitu lama dan merimaskan. Masa, apabila dihitung begitu pantas geraknya. Andai dibiar bersahaja, bagai siput meredah hutan. Masa-masa akhir ini bolehlah dikategorikan sebagai masa-masa kritikal. Masa-masa berbaki untuk menyempurnakan segala yang belum sempurna dan menyelesaikan segala yang tertangguh, jika ada.

Perubahan emosi, lama saya berfikir akan sebab seolah-olah ada yang menganggu fikir lewat kebelakangan ini. Apabila saya renung kembali ke dalam diri. Ah, barangkali kerana saya bakal melalui perubahan fasa hidup. Melangkah ke alam kerjaya dan meninggalkan dunia pengajian yang saya geluti selama tiga tahun dan hampir 16 tahun secara keseluruhannya. Tamatnya pengajian saya Disember ini ialah pemula lembaran hidup yang baru. Apakah saya sudah bersedia dari segi mental dan emosi? Itu antara perkara yang saya fikirkan. Apakah saya sudah sedia memikul tanggungjawab secara penuh? Itu juga saya fikirkan.

Dunia pengajian sangat menyeronokkan. Apakah dunia kerjaya juga menjanjikan keindahan yang sama? Saya mencari kekuatan untuk menerima kedatangan fasa baru dalam kehidupan saya. Mahu menerima hakikat bahawa segala-galanya tidak akan kekal dan kita tidak sentiasa berada di dalam zon selesa sahaja.

Lewat kebelakangan ini juga, saya sering ditanya sama ada saya akan melanjutkan pengajian. Ah, sudah tentu saya akan menyambung pengajian kerana itulah cita-cita saya. Cuma, masanya saja yang saya belum pasti. Seboleh-bolehnya, saya mahu menyambung pengajian dengan segera dan itu akan saya usahakan bersungguh-sungguh. Segala-galanya tentang pengajian di kampus kecil yang saya diami ini indah meski terselit juga duri sembilu ketika leka melalui jalannya. Namun bagi saya, keindahan itu tidak dapat dicalari sepenuhnya oleh duri sembilu yang sedikit itu. Sungguhpun pedih, segalanya tetap memberikan kebahagiaan.

Terima kasih Tuhan, menganugerahkan hamba jalan yang indah ini.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar