Senin, 22 November 2010

TUHAN SELALU PUNYA RAHSIA

TUHAN selalu punya rahsia yang tidak pernah semua kita dapat menyingkapnya. Ahad lalu saya membantu seorang kenalan mendapatkan Tunggu Teduh Dulu dan Tuhan Manusia. Entri ulasan saya mengenai dua buah novel berkenaan memancing minatnya untuk mendapatkan dua novel berkenaan. Novel The Kite Runner oleh Khaled Hosseini saja yang belum berjaya dibeli kerana kehabisan di kebanyakan kedai MPH yang kami cari. Hari ini, kenalan saya bertanya lagi akan novel yang baik untuk dibeli hasil tulisan penulis dua novel yang saya sarankan itu memandangkan dia telah mula membaca Tuhan Manusia manakala ibunya pula memulakan Tunggu Teduh Dulu. Saya bukanlah fanatik kepada penulis berkenaan. Tidaklah semua karyanya membuat saya jatuh hati. Lalu, saya mencadangkan agar kenalan saya ini membeli Kombat 1511 pula, yang menjadi pilihan utama saya selepas dua novel yang telah dibeli kenalan itu. Saya yakin, karya itu antara yang terbagus sesudah dua karya yang saya cadangkan.

Tuhan selalu punya rahsia, seharian saya memendam dendam dan kecil hati kerana tidak dapat memiliki Tuhan Manusia yang begitu saya minati sedangkan saya selalu saja mencadangkan dan membantu kenalan mendapatkan novel berkenaan. Namun, pada pagi hari ini yang indah saya dihadiahi Tuhan Manusia oleh seorang kenalan yang lain. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana berjaya memiliki buku itu. Sudah lama saya merindui perbahasan dan pertentangan ilmu yang dilalui Ali Taqi dan hari ini, saya mula membacanya kembali buat kali kedua.

Membantu kenalan mendapatkan karya yang bermanfaat memberi kepuasan yang tidak dapat digambarkan dan, memiliki buku yang begitu membuat saya jatuh cinta sungguh pada intinya juga punya erti yang sangat mendalam dan begitu indah. Terima kasih kepada yang memberi, semoga Allah merahmati dirimu selalu. Amin

Tidak ada komentar:

Posting Komentar