Hari itu, kami tidak pun bersedia memandangkan kesibukan kami adalah untuk menyempurnakan urusan Seminar Cereka yang berlangsung pada hari berikutnya. Ketika diminta oleh beberapa pensyarah untuk ditemu ramah oleh panel MQA, kami agak terpinga-pinga. Apatah lagi terpaksa membiarkan masa hampir dua jam yang seharusnya dimanfaatkan untuk menyiapkan urusan berkaitan seminar perlu pula dipinjamkan untuk sesi temu ramah berkenaan.
Walau bagaimanapun, sesi temu duga berjalan dengan sangat lancar dan menyeronokkan. Tiga panel MQA mengajukan pelbagai soalan kepada kami untuk dijawab. Alhamdulillah, setiap soalan dan pandangan yang diberikan dapat kami jawab. Barangkali, panel menganggap kami ialah pelajar yang dipilih khusus dan telah diberi taklimat awal sehingga membolehkan kami menjawab setiap soalan yang diajukan, maka seorang panel wanita berkata kepada rakan pegawainya dengan nada tidak puas hati "I think they're choosing the right person. I tak puas hati ...". Akan tetapi, panel yang lebih berusia itu berkata "It's okey," sambil tersenyum.
Satu provokasi yang agak menarik juga apabila panel lelaki bertanya apakah kami tidak berasa tertekan dengan subjek silibus dan kepadatan jam kredit? Oh, sudah tentu kami tertekan dengan tugasan yang banyak dan jam kredit yang banyak. Semester tiga saya dan rakan-rakan tamsilkan bagai berenang di dalam lumpur dan bernafas di dalam api. Walau bagaimanapun, saya percaya itu semua ialah latihan awal untuk kami membiasakan diri dengan persekitaran pekerjaan yang menuntut banyak tarikh mati pada masa yang berdekatan. "Memang kami tertekan juga, tetapi itu semua mengajar kami untuk berdepan realiti pekerjaan sebenar dengan date line yang banyak." Panel lelaki itu mengangguk dan berkata "betul, sekarang saya ada 100 dateline untuk saya siapkan."
Memang sesi itu sangat menyeronokkan sehingga membuatkan kami tidak sedar bahawa hampir dua jam kami 'beku' di Bilik Mesyuarat Utama itu. Kami ditanya tentang projek Latihan Ilmiah kami. Tentang beberapa silibus dan kewajarannya dengan pengajian kami. Kami ditanya tentang perasaan dan persepsi kami terhadap fakulti dan apakah kami sedia menganjurkan rakan-rakan lain menyertai fakulti kami.
Soalan terakhir itu saya jawab, sudah tentu saya akan menguar-uarkan kewujudan Fakulti Penulisan, ASWARA kerana manfaat yang saya dapat di sini begitu besar. Malah, telah ada juga kenalan dalam dunia penulisan yang mengikuti sesi temu duga untuk kemasukan yang lepas dan berjaya. Cuma, halangan keluarga membuatkan mereka tidak dapat mendaftarkan diri dan terpaksa memilih bidang yang direstui keluarga. Saya berasa sangat gembira melalui sesi temu ramah dengan panel-panel dari MQA itu. Berkongsi hal-hal yang menggembirakan dan memberi pencerahan terhadap pelbagai persoalan yang mereka berikan sangat menyeronokkan.
Pada 16 November 2010 pula, Seminar Cereka berlangsung dengan jaya seperti yang dirancang. Penat lelah membuat persiapan terasa begitu berbaloi. Saya tertekan seperti biasa setiap kali ingin berucap di depan ramai. Insomnia berlaku beberapa hari sebelum seminar. Alhamdulillah, sebaik-baik tiba giliran saya untuk membentangkan kertas kerja "Strategi Kuasa dan Penguasaan Tersembunyi dalam Hering", ada sejalur rasa gembira dan keseronokan untuk membentangkan kertas kerja itu sehingga saya lupa pada gemuruh. Cuma, saya berasa agak terganggu seketika apabila beberapa orang panel MQA masuk ketika saya berada di pertengahan pembentangan.
MF Kencana, Wardah Munirah, Zizie (moderator) Asrul Sany, Siti Fairuz
Seminar anjuran kami itu turut dihadiri oleh En. Baharuddin Kahar, Dr. Khalid Salleh dan beberapa jemputan luar. Saya sangat tertarik dengan satu soalan yang diajukan oleh seorang pensyarah berkenaan kerelevanan kritikan kami terhadap karya yang dikritik dan kepentingan kritikan. Saya berpendapat betapa kritikan adalah satu cabang dalam bidang kesusasteraan. Tanpa kritikan, sebuah karya yang baik hanya akan berlegar pada lapisan makna pertamanya dan tidak dapat menyelongkar aspek dalaman karya. Namun demikian, ilmu pengetahuan dan daya pemikiran yang kritikal untuk menganalisis juga sangat penting dalam menghasilkan kritikan yang bermutu dan mampu menarik perhatian khalayak pembaca, khususnya pembaca aktif sekali gus mengangkat martabat sastera di persada negara mahupun seantero dunia.
Sewaktu membentangkan kertas kerja

Cikgu Baharuddin Kahar yang terkenal dengan karya malar segarnya "Senjakala" diapit En. Zakaria Ariffin dan SN. Dato' Dr. Anwar Rihdwan
Pada 29-30 November pula ialah tarikh peperiksaan terakhir yang saya jalani sebagai siswi. Tiga tahun berada di kampus, saya sangat gembira dengan peperiksaan. Pengalaman menduduki peperiksaan di kampus sangat berbeza dengan sewaktu berada di sekolah dahulu. Kita berhadapan dengan subjek-subjek yang benar-benar kita minat, maka peperiksaan ialah medan untuk saya menguji pemahaman dan kejituan pengetahuan terhadap ilmu yang saya pelajari. Meskipun tidak dinafikan peperiksaan tetap mendatangkan tekanan, namun tekanan itu akan hilang sewaktu tiba di meja peperiksaan. Hati saya berasa sayu meninggalkan dewan peperiksaan di Dewan Serbaguna, bangunan baru ASWARA pada hari terakhir itu. Hati saya melambai ke arah medan peperiksaan di kampus yang akan saya tinggalkan tidak lama lagi.
Semuanya akan berakhir pasti.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar