Selasa, 21 Desember 2010

USAI PETA 2010

21 DISEMBER 2010 ialah tarikh keramat yang akan kekal dalam ingatan saya. Isnin pagi, saya dan rakan-rakan sekursus menanti dengan penuh debar giliran masing-masing untuk membentangkan projek akhir kami yang dikenali sebagai Penilaian Tahun Akhir (PeTA) 2010 atau turut dikenali sebagai viva. Dua calon graduan telah menghasilkan novel iaitu Roziah Adama (Tibabar) dan Nada Haifaa (Sayap Ilusi). Panel penilai bagi penilaian genre novel ialah Dr. Norhayati Abdul Rahman, En. Azman Ismail dan Pn. Susilawati Kamaruzzaman. Kami berkumpul di Kafe Bunga Raya seawal jam lapan pagi. Masing-masing menyemak serba sedikit paparan powerpoint sebelum bergerak ke Dewan Kuliah Utama pada jam 8:30 pagi. Penilaian bermula pada jam 9:30 pagi yang dimulakan dengan calon pertama iaitu Roziah Adama dan Nada Haifaa sebagai calon kedua.


Setelah dua calon yang menghasilkan novel dinilai, Asrul Sany mengambil gilirannya sekitar jam 11:30 pagi. Bagi calon-calon yang menghasilkan genre drama pentas, panel penilai terdiri daripada Dr. Solehah Ishak, En. Mazlan Tahir dan Tn. Hj Abdul Rahim Abdullah. Seramai lima orang calon telah menghasilkan naskhah drama pentas. Dua daripadanya memilih genre bukan realisme iaitu Nur Fatiha Fadila dan Mohd Fairuz Padoli. Asrul Sany dan Siti Rabiatul Adawiyah pula memilih genre muzikal manakala Siti Fairuz Mohd Rawi dengan genre realisme. Dengan keadaan Dewan Kuliah Utama itu sendiri yang sememangnya sangat dingin, calon sendiri berasa hampir kaku dan 'sesak nafas' sebelum pembentangan dimulakan.

Saya sendiri telah muntah lebih daripada 10 kali sebelum giliran saya tiba. Sepanjang pengajian dan apa-apa pertandingan yang saya sertai sejak zaman persekolahan, tidak pernah saya mendapat giliran kedua terakhir seperti yang berlaku dalam pembentangan PeTA ini. Hal ini agak menggelisahkan saya. Setiap orang mengatakan bahawa pembentangan sentiasa mudah bagi saya. Mustahil untuk saya berasa gusar dan gelisah. Namun demikian, itulah hakikatnya. Saya tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam. Saya bersiap diri pada paginya dengan penuh rasa kantuk. Saya berasa sesak nafas dan segala macam rasa tidak indah prapembentangan saya. Fikiran saya begitu takut memikirkan kemungkinan penyelia tidak dapat menanggapi apa-apa yang cuba saya sampaikan.



Sewaktu makan tengah hari, saya hanya menikmati sedikit juadah dan segera meninggalkan kafe untuk ke surau. Saya perlukan masa sendirian untuk seketika sebelum berjuang memasuki Dewan Kuliah Utama untuk sesi seterusnya. Sendirian, saya berasa terharu mengenangkan detik-detik akhir sebelum pembentangan. Tidak pernah saya menangis sebelum melakukan apa-apa pembentangan walaupun berada dalam ketakutan kecuali petang Isnin itu.

Sewaktu awal pembentangan, saya agak gugup. Saya menarik nafas panjang. Berselawat dan terus berselawat. Alhamdulillah, saya berjaya menghilangkan rasa gugup lima minit sesudah pembentangan. Saya sangat bersyukur kerana berupaya untuk menjawab setiap soalan yang diberikan penilai. Cuma, saya agak tersentak dan terkejut dengan pertanyaan Dr. Solehah Ishak sama ada saya seorang feminis atau tidak. Agak sukar saya menjawabnya kerana sewaktu mengarang saya tidak pernah memikirkan sama ada saya seorang feminis atau tidak. Saya bersyukur juga kerana soalan-soalan penilai memberi ruang untuk saya memberi penjelasan mengenai Cendera Di Hujung Nara. Ada banyak perkara yang boleh saya baiki lagi mengenai naskhah itu dan saranan juga pandangan para penilai sangat saya hargai.


Usai menamatkan pembentangan, saya dan rakan-rakan giat berfoto. Merakamkan kenangan manis dan detik-detik terakhir kami di daerah tercinta. Pulang ke rumah, tubuh dan minda berasa terlalu letih. Saat menanggalkan kad matrik, saya menarik nafas panjang. Sayang dan sedih sekali hati saya untuk menyimpan kekal kad matrik tanpa digunakan lagi seperti selalu. Sedih dan sayang untuk menanggalkan gelar mahasiswa Fakulti Penulisan, ASWARA yang saya sandang selama tiga tahun ini. Penghargaan saya terhadap fakulti dan guru-guru saya begitu tinggi. Ya, saya seorang murid yang mungkin agak nakal, mempunyai kedegilan dan keegoan yang tersendiri. Untuk itu, saya memohon ampun dan maaf daripada guru-guru saya yang sememangnya sangat baik hati. Memberi amaran, memberi pengajaran, memberi teguran dan pengetahuan yang sungguh bererti kepada saya. Saya tidak boleh menyembunyikan keterujaan saya dan terima kasih serta penghargaan saya kepada kalian. Terima kasih yang tiada sempadan.

Saya ialah sehelai kain putih. Datang dan masuk ke dalam Fakulti Penulisan, ASWARA tanpa apa-apa pengetahuan mengenai sastera. Kalianlah yang memberi warna dan mencorakkan saya untuk mengenal sastera, mencintai sastera dan mendalami peranan seorang pengamat dan penggiat sastera. Sebelum memasuki fakulti tercinta ini, saya tidak pernah melihat lambaian pohon hijau lebih daripada lambaian biasa tanpa apa-apa makna. Saya tidak pernah mengagumi indahnya bulan di dada malam dan mengapresiasi uniknya pelangi di kaki senja. Semua itu saya perolehi apabila menjejakkan kaki ke Fakulti Penulisan, ASWARA.


Rasa sayang juga kepada teman-teman sepengajian yang sentiasa bersama sejak awal semester. Segala rasa dan pengalaman terhimpun menjadi satu yang lantas segar sebagai memorabilia sepanjang masa. Terima kasih Fakulti Penulisan, ASWARA kerana menerima saya. Terima kasih kepada para pensyarah yang gigih, ikhlas dan penuh tanggungjawab mendidik saya mengenal dunia dan permainan di dalamnya. Sesungguhnya, jasa kalian tiada bertepian. Sekadar ingatan dan doa yang dapat saya hadiahkan sebagai tanda penghargaan besar saya terhadap jasa dan budi baik kalian. Tiga tahun di Fakulti Penulisan, adalah takdir indah yang Allah berikan kepada saya. Terima kasih buat pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan yang memberi warna begitu indah dalam diari hidup saya.

Tiba di rumah tadi, saya menerima sms daripada pembantu tadbir, Kak Nani Darlina berbunyi "Salam adik dan kakak, thanks for everything. Saya x kan lupakan anda semua kerana bagi saya di dlm banyk2 batch, PeTA,batch andalh yg paling best dan sukar untuk dilepaskan dari sangkar penulisan. Mohon ampun dan maaf kira ada silap dan salah. Good Luck :P"

Saya sendiri, kalau boleh tidak mahu meninggalkan sangkar emas yang terlalu saya sayangi ini..

Tidak ada komentar:

Posting Komentar