Senin, 13 Desember 2010

TERIMA KASIH ASWARA

JAM 10.10 PAGI semalam telah berlangsung majlis perasmian Penilaian Tahun Akhir (PeTA) 2010 yang telah disempurnakan oleh YBhg KSU Dato' Kamaruddin Siaraf. Perasmian berlangsung di Dewan Orkestra, bersebelahan dengan tapak pameran bagi setiap lima fakulti (Penulisan, Tari, Filem & Video, Muzik dan Teater). Pameran dan Festival Seni PeTA akan berlangsung hingga 19 Disember ini bermula jam sembilan pagi hingga lapan malam. Manakala persembahan PeTA muzik, tari dan teater akan berlangsung pada waktu malam dan siang mengikut jadual.

Saya dan enam rakan lain turut menyertai masjlis perasmian itu setelah berpuas hati dengan tapak pameran Fakulti Penulisan. Dewan Orkestra menjemput kenangan lalu. Seminggu sebelum tarikh pendaftaran dan permulaan sesi semester pertama tahun 2008, di situlah kami berkumpul. Diraikan sebagai anak sulung (kumpulan pertama Ijazah Sarjana Muda) sebelum masing-masing dibawa ke sebuah kem untuk sesi orientasi di Sungai Besi. Hampir lima hari di kem itu sangat memberi kenangan yang indah untuk dikenang. Saya dilantik tiba-tiba sebagai ketua kumpulan Gemilang. Merentas kolam dengan tali. Melakukan aksi ala-ala rock climbing dan sebagainya. Sungguh indah.

Di Dewan Orkestra itu jugalah kali pertama kami menyanyikan lagu rasmi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan berjudul "Suara ASWARA". Pada ketika itu, saya hanya membaca lirik yang terpapar pada layar tanpa apa-apa perasaan seni yang menjalar dalam diri. Namun demikian, perasaan seni yang begitu halus telah mengetuk ruang hati ketika menyanyikan lagu "Suara ASWARA" semalam. Saya menjadi sebak sehingga menganggu nyanyian sendiri. Tanpa dapat ditahan, air mata berlinangan sepanjang menyanyikan lagu berkenaan.Terbayang-bayang saya dan sahabat baik berjalan kaki ke ASWARA dari Jalan Raja Laut untuk sesi temu duga. Terlihat akan saya sesi temu duga yang dilalui. Terkenang akan saya betapa takutnya saya berdepan dengan ujian bertulis. Perasaan gelisah kerana tidak mampu mengadaptasi cerpen menjadi sebuah drama. Terbayang cikgu yang menghantar saya untuk sesi pendaftaran dan orientasi. Terimbas kegembiraan mendapat keputusan dan selintas kekecewaan kerana keputusan juga. Semuanya bercampur-aduk seolah-olah sebuah layar yang bermain di pandangan mata.


Berada di ASWARA khususnya di Fakulti Penulisan adalah satu hal yang sangat membahagiakan. Di sini saya dididik dengan pelbagai pengalaman. Baik untuk pengetahuan pelajaran mahupun pengalaman untuk sebuah kehidupan. Tiga tahun berada di kampus ini sangat sukar untuk dilupakan, malah tidak akan dilupakan. Menyanyikan lagu rasmi itu begitu menyentuh perasaan. Saya mengenang segala yang dilalui di sini. Saya melihat segala kemanisan dan sedikit kesedihan yang dilalui di kampus ini. Saya sangat bersyukur kerana beroleh tempat di kampus di tengah kota ini. Lantas, menyanyikan lagu "Suara ASWARA" untuk kali terakhir sebagai siswa adalah sangat menyedihkan. Berat hati untuk meninggalkan kampus dan fakulti yang saya anggap sebagai rumah ini. Rumah, yang didalamnya ada kebahagiaan yang tidak dapat saya perolehi di tempat-tempat lain.

Namun demikian, hakikat perlu diterima. Semua akan menjadi kenangan. Terima kasih, ASWARA kerana menerima saya menjadi ahlinya. Terima kasih buat semua pensyarah yang pernah memarahi, menyindir, mengajar dan mendidik saya dengan tekun dan ikhlas. Terima kasih, kerana kalian mencambah pengalaman dan pengetahuan seorang insan yang asalnya sifar pengetahuan dan sedikit pengalaman. Terima kasih buat semua rakan sekursus yang begitu sabar menyemai benih persahabatan sepanjang tiga tahun ini. Terima kasih, daun keladi.


Terima kasih ..

Lagu "SUARA ASWARA"
Di sini bersemi tunas impian
berakar budi budaya zaman
yang melahirkan karyawan berilmu
sahut cabaran teguh bersatu.

Tajamkan pena seindah bahasa
lagukan irama rentak bahasa
lenggokkan tari pentas seniman
layarkan seni catatan warisan.

Korus:
Kita laung suara ibunda
bergema ...
Gemilang di puncak dunia
ASWARA ...
Kita junjung budaya bangsa
Bersama ...
Terbilang dan masyhur namanya.

ASWARA tetap berdiri tegap
melangkah ke hadapan bersama tradisi
tekad semangat penuh jati diri
seni dimartabat bangsa dihormati
ASWARA.

Lagu : Dato' Johari Salleh
Lirik : Hairul Anuar Harun

Tidak ada komentar:

Posting Komentar