MELIHAT foto ini, saya teringat akan pesan emak yang selalu disebut. Pesan emak kepada saya, kalau apa-apa terjadi (seperti rumah terbakar, bah besar), selamatkan kucing-kucing dulu. Apabila bah atau kebakaran melanda hutan atau sebagainya, emak akan berkata "Kesianlah kambing, lembu, semua haiwan tu." Tapi, saya selalu ingatkan emak, "Allah ada jaga mereka. Insya-Allah".
Malah, dua jam sebelum emak ditidurkan untuk selama-lamanya, sewaktu kaki melangkah meninggalkan gapura rumah pada dinihari terakhir emak di rumah, emak pesan sungguh-sungguh kepada saya, dengan suaranya yang penat, "Bagi makan kucing dik." Bunyi macam kelakar bagi yang tidak mahu memahami.
Al Fatihah buat emak Rambelah binti Maryam, teladan yang baik untuk saya terus mencintai haiwan meskipun dipandang jelek oleh sebilangan orang yang tidak memahami. Pencinta haiwan tidak meminta dirinya difahami (kasih terhadap haiwan yang mendalam), tetapi cukup jika tindakannya membuka sedikit ruang untuk manusia turut berusaha memahami dan menerima dengan baik akan setiap kejadian haiwan khususnya kucing yang menjadi haiwan kesayangan Nabi Muhammad, Saidatina Aishah dan para sahabat seperti Abu Hurairah.
![]() |
| Jie Jie di samping emak, dengan rela |
Menarik juga di sini untuk saya petik kata-kata Ustaz Azhar Idrus mengenai sikap manusia terhadap kucing : Kadangkala Allah hantar kucing untuk menguji kita sama ada kita sayang atau tidak dengan rezeki Allah kerana dia tak minta ikan yang baru digoreng. Dia tak minta pinggan yang elok ketika makan. Dia tak minta air untuk membasuh tangan. Dia tak minta tisu untuk lap mulut. Dia hanya meminta sisa makanan kita yang tak habis. Tapi, kenapa kita masih tidak bagi? Malah (ini ayat saya) ada pula yang memberi sepakan penalti kepada mereka ...
![]() | |||||||
| Foto ini saya ambil di kawasan Pasar Pagi, Selayang tahun lalu |
MEOW MEOW MEOW




Tidak ada komentar:
Posting Komentar