Minggu, 24 Maret 2013

DATANGNYA JATI

KIRA-KIRA jam 11 pagi, berdekatan Bank Affin di Pasar Borong Selayang, kedengaran suara halus anak kucing mengiau. Suara yang bergetar dengan rasa takut dan lapar. Apabila menghampiri punca bunyi halus itu, kelihatan sebuah kotak yang di dalamnya terkapai-kapai seekor anak kucing berwarna hitam. Saya hampir pasti, usia anak kucing hitam itu dalam dua atau tiga hari. Matanya memang belum terbuka, hatta tali pusatnya yang panjang juga belum terputus. Tanpa berkira-kira, guru saya iaitu Cikgu Julia terus mengambil anak kucing jantan itu lalu dihantar kepada saya untuk dirawat dan disusukan..

Tali pusatnya yang panjang segera saya gunting di samping dia terus mengiau, penat, lapar dan dahaga. Seorang guru saya mendermakan wangnya, membeli susu yang agak mahal khas untuk anak kecil ini. Saya segera menjerang air dan membancuh susu itu. Saya faham rasa yang dialami anak kecil itu. 

Agak sukar untuk menyusukan dia memandangkan luas mulutnya terlalu kecil. Saya tidak pernah menjaga kucing sekecil ini. Terlalu kecil. Setelah gagal menggunakan picagari, akhirnya saya mengambil sudu teh plastik dan alhamdulillah, itu lebih mudah untuk memasukkan susu ke dalam mulutnya.

Saya simpati melihat wajahnya yang tulus. Wajah makhluk Allah yang suci, tetapi tidak dihargai oleh manusia yang meletakkan dia sendirian, di jalanan, di dalam kotak itu. Saya namakan anak kucing jantan yang sedang berjuang untuk hidup ini sebagai Jati. Semoga Jati akan kuat sekuat nama Jati itu. Saya teringat akan Benny Ong, pemilik kedai dandanan haiwan berhampiran Hospital Veterinar Gasing, Petaling Jaya. Benny Ong juga pernah memelihara malah banyak kali memelihara kucing sebesar itu, dan kucing-kucing itu membesar dengan sihat dan bahagia bersamanya.

Saya berdoa dan berharap agar Jati juga dapat membesar seperti kucing-kucing Benny Ong lantas dapat menikmati indahnya hidup berkasih sayang. 

Sesi saya memotong tali pusat Jati yang panjang

Jati ketika disusukan

Jati lena dalam selimut selepas kenyang dari lapar dahaga
Teja dan Jie Jie menjenguk Jati

Susu untuk Jati yang disumbangkan Cikgu Norhana
Benny Ong yang saya kagumi
Jati, selamat datang ke dalam keluarga besar kucing saya (Tomi, Adik, Jie Jie, Teja, Jebat, Aduka, Sofi, Awang dan kini, ada Jati)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar