KUCING, ialah haiwan comel yang dengan melihatnya saja maka saya akan berasa tenang dan dengan sendirinya mengukir senyum. Walau penat sekalipun, saya selalu berasa gembira apabila melihat wajah-wajah suci ini. Jie Jie, sudah tiga minggu menjalani pembedahan kembiri di SPCA. Seminggu selepas pembedahan, Jie Jie dibawa lagi ke klinik kerana terdapat jangkitan pada bahagian pembedahan. Alhamdulillah, Jie Jie sudah semakin sembuh. Semakin comel dan cantik. Semakin mengasihi saudara angkatnya, Teja yang santun.
Jebat pula, nampaknya mewarisi penyakit yang pernah dihidapi Abi yang bertarung hampir dua tahun. Seperti yang diketahui, Jebat saya ambil di sebuah lorong. Ketika itu, Jebat berusia dalam lima bulan. Kini, Jebat sudah setahun usianya. Rupa-rupanya Allah 'berikan' Jebat untuk dijaga, kerana kesakitannya.
Semoga Jebat sabar dan tabah, setabah dan sabar Abi yang kini sudah mendapat 'janji' Allah. Oleh sebab kesakitan yang Jebat tanggung, maka Jebat tentutanya diberi perhatian lebih. Biar dia tahu, sakitnya tidak membuatkan dia dianggap sebagai beban, sebaliknya sebagai anugerah terindah.
Tam Tam pula kini saya panggil sebagai Profesor Tam. Anak kutip ini juga semakin manja. Semakin memperlihatkan perwatakannya. Saya memanggil dia sebagai Profesor Tam kerana gaya Tam berkerlip mata, persis seorang profesor. Sofi juga, semakin anggun. Jebat, Tam Tam dan Aduka telah dikembiri sama dengan Jie Jie. Profesor Tam saja yang belum memandangkan dia masih kecil.
Tentang Aduka, saya teringat keadaan Aduka ketika saya mengambilnya. Kaki kirinya lembik dan lemah. Bibirnya pucat. Dia melangkah begitu lemah kepada saya ketika saya sedang mengagihkan nasi bergaul ikan rebus kepada kucing-kucing lorong. Melihat saja Aduka, saya terus mengambilnya. Kakinya yang lemah begitu layu. Minyak gamat disapu dan kaki itu diurut. Saya fikir, Aduka tidak lama usianya. Tetapi Allah juga yang menentukan usianya. Aduka kini sihat, cuma beberapa hari ini saya perhatikan Aduka begitu takut dengan manusia. Aduka bergaul baik dengan semua kucing di rumah. Akan tetapi, apabila dia didukung atau dipegang, Aduka akan menggigil tubuh dan berusaha menyembunyikan wajahnya. Saya percaya, Aduka trauma. Saya percaya, Aduka didera hingga kakinya menjadi begitu dahulu. Menyedari hal itu, Aduka kini sering saya ambil dan dibelai, saya mahu Aduka hilang trauma dan kembali percaya kepada manusia.
Berbeza dengan Panglima Awang yang saya ambil ketika Awang berusia tiga minggu, dibesarkan tanpa ibu kucing dan tanpa bergaul dengan kucing, Panglima Awang menghadapi masalah psikologi. Awang tidak boleh bergaul dengan semua kucing lain walaupun sudah tiga tahun usianya, sejak 13 Mac 2010. Hal ini berbeza dengan Profesor Tam kerana Tam hidup dan membesar bersama-sama kucing kutip yang lain iaitu Sofi, Jebat dan Aduka.
Saya teringat kata-kata Dr. Tan. Pakar veterinar yang amat rapat dengan Abi di Hospiatal Verterinar, Jalan Gasing, Petaling Jaya. Kata Dr. Tan, berbeza dengan anjing - kucing sentiasa perlukan manusia untuk dijaga perasaan dan fizikalnya. Kucing jauh lebih sensitif berbanding anjing yang boleh mudah berdikari.
![]() |
Jie Jie ketika 'berpantang' |
![]() |
Sofi, Jebat, Profesor Tam, Aduka |
![]() |
Jie Jie dan Teja |
![]() |
Jebat |
Tidak ada komentar:
Posting Komentar