SAYA selalu berdoa kepada Allah SWT, agar Allah tidak menghidupkan saya dalam keadaan saya lupa kepada arwah emak. Saya sungguh berdoa dan berharap agar ingatan saya kepada emak sentiasa segar dan mekar. Walaupun hampir 10 bulan emak meninggalkan alam ketiga kurniaan Allah ini, saya sentiasa berasakan pemergian emak itu terlalu baru. Cinta dan rindu kepada manusia yang berani mengandungkan dan melahirkan saya itu semakin sarat, padat, melimpah ruah. Semakin diluah rindu itu, semakin bertambah, semakin melimpah juga rasa rindu tanpa tepi, seperti lautan yang tidak ketahui hujungnya.
Ada ketikanya, ingatan saya kepada emak dibumbui kekesalan terhadap beberapa perkara yang tidak dapat saya lakukan kepada emak. Ada ketika juga, ingatan itu datang bersama-sama rasa pilu lantaran kesedaran saya betapa banyak perbuatan saya yang tentunya pernah mengguris hati emak. Ketika tertentu, saya melihat senyum emak. Pada masa tertentu, terngiang-ngiang pesan, tawa dan suaranya yang merupakan suara terindah di dunia.
Ketika emak ditidurkan Allah selama hampir enam hari di hospital, saya selalu berdoa agar Allah beri peluang kedua kepada saya untuk menjadi anak yang lebih baik daripada sebelumnya. Akan tetapi, saya akur bahawa hanya Allah SWT juga yang Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk emak. Maka, jika kehidupan itu lebih baik untuk emak, semoga Allah beri kesedaran dan kehidupan terbaik untuk emak. Begitu juga, jika kematian itu baik untuk emak, semoga Allah beri kematian terbaik untuk emak. Menjawab doa itu, 19 Mei 2012 jam 12:50 tengah hari, Allah ambil emak dalam keadaan emak sedang lena, seperti yang emak doakan.
Apabila doktor lelaki Cina itu meminta saya bersedia, ketika mereka cuba menyedarkan emak, saya tidak berasa apa-apa. Doa saya, semoga Allah beri yang terbaik untuk emak. Kerana, saya tahu sebagai anak dan manusia bergelar hamba, saya tidak tahu apa-apa yang terbaik buat emak. saya meminta Allah sembuhkan emak kerana saya mahu menjadi anak yang lebih baik kepada emak, tetapi apakah itu yang terbaik untuk emak? Apabila doktor mengesahkan emak sudah tiada, saya tidak menangis. Saya yakin, itulah ketetapan untuk emak yang 'tertulis' di luh mahfuz. Emak pergi pada usia 60 tahun 11 bulan, di Hospital Selayang, pada jam 12:50 tengah hari.
Seorang jiran yang amat rapat dengan saya dan emak, acapkali berkata "Itulah dik, bawa ke hospital itu. Selalu orang mati kalau bawa ke situ ....." Oh, saya tidak boleh berkompromi dengan kenyataan ini. Lokasi, masa ajal telah Allah tentukan. Siapa kita untuk mengatakan jika emak tidak dibawa ke situ, maka emak tidak akan pergi?
Dinihari 14 Mei 2012, ketika saya menyiapkan emak untuk membawa emak ke hospital, emak berkata "Dah tak sayang emak ke? Sampai ke hospital nanti, emak tak balik rumah dah." Pada mulanya, saya tertanya-tanya. Kenapa emak begitu yakin bahawa emak tidak akan pulang langsung selepas dibawa ke hospital? Hakikatnya, emak memang tidak pulang langsung ke rumah sejak dinihari itu. Setelah roh emak Izrail ambil, jasad emak terus dibawa ke Masjid Kg Nakhoda untuk diuruskan. Setelah Asar, jenazah emak terus dibawa ke Perkuburan Sungai Tua. Ya, emak langsung tidak pulang ke rumah selepas dinihari itu. Barangkali, ada rahsia Allah yang diberikan sedikit kepada emak ketika ajal emak semakin hampir kepadanya.
Sepanjang menguruskan jenazah emak, saya berasa tenang. Tenang kerana Allah telah mengambil emak setelah lama emak bersabar dan reda dengan sakit dan dugaan yang Allah beri kepada emak. Ketika saya memandikan emak, seorang wanita tua yang mengepalai tugas itu berkata, "Adik ni sabar ya? [kerana saya tidak menangis]. Tengok muka emak tu, berseri saja." Alhamdulillah, Ibnu Qayyim dalam kitabnya Roh ketika menghuraikan satu hadis Nabi Muhammad SAW, mengatakan bahawa setiap manusia yang memberi saksi [sama ada baik atau buruk] kepada jenazah akan juga menjadi saksi di alam akhirat nanti, berdasarkan persaksian di dunia.
Saya tidak menangis bukan kerana saya tidak sedih. Keras sungguh hati saya jika saya tidak berasa apa-apa setelah kehilangan wanita yang amat saya cinta dan hormat, saya tidak menangis kerana saya bersyukur Allah mengambil emak dalam keadaan yang baik, tenang dan mudah. Melihat betapa ramai Jemaah turut solat jenazah untuk emak sedangkan emak bukan ahli kariah masjid, melihat begitu mudah orang membantu pengurusan jenazah emak sehingga semuanya berjalan terlalu lancar membuatkan saya jadi begitu tenang. Saya percaya, Allah memberi yang terbaik untuk emak. Lagipun, emak pernah berpesan dan berdoa, agar saya tidak menangisi pemergian emak. Kata-kata itu emak ucapkan malam sebelum emak dihantar ke hospital. Doa emak makbul.
Kenapa saya acapkali menulis tentang emak? Kerana emak yang dahulu menjadi keutamaan saya telah tiada di depan saya, akan tetapi sentiasa 'hidup' di mata, telinga, fikir dan hati saya. Maka, emak sentiasa menjadi keutamaan dalam hidup saya selagi saya bernyawa. Mantan Editor Dewan Sastera, Puan Rozninah yang turut hadir mengiringi jenazah emak berpesan kepada saya di perkuburan, "Ingat, tanggungjawab makin berat. Emak di sana selalu tunggu doa Fatiha ..."
Ingatan saya kepada emak semakin kuat ketika saya dalam perjalanan pulang dari kuliah malam Sabtu, semalam. Sekitar jam 11:30 malam, Kuala Lumpur rupa-rupanya sama saja sibuknya dengan waktu petang. Sungguh, saya tidak pernah tahu begitu meriahnya Kuala Lumpur pada waktu malam. Semalam ialah pengalaman pertama saya menunggang pada lewat malam, untuk pulang dari kuliah. Dalam kesesakan itu, saya begitu memikirkan emak. Pastinya emak begitu susah hati jika emak masih ada ketika saya kini menyibukkan diri dengan pencarian ilmu tanpa mengira masa dan keadaan. Akan berpuluh mesej dan panggilan telefon daripada emak saya terima untuk memastikan saya dalam keadaan baik, selagi saya tidak sampai di depan matanya. Saya selalu berkata kepada emak agar usah risau akan saya kerana saya tahu menjaga langkah dan diri saya. Namun, fitrah emak sentiasa begitu.
Saya bersyukur. Allah menetapkan kembara ilmu saya yang sebenar-benarnya bermula setelah Allah ambil emak pergi. Kenapa? Jika kembara ilmu ini saya mulakan ketika emak memerlukan perhatian penuh daripada saya, sudah tentu emak akan tersinggung dengan kesibukan saya. Saya bersyukur, Allah benar beri yang terbaik untuk emak. Cukuplah, emak telah saya beritahu mengenai segala perancangan dan kembara ilmu yang ingin saya lalui. Kata-kata emak ketika saya maklumkan perancangan itu, dua bulan sebelum emak pergi amat berkesan di hati saya, "Carilah ilmu. Ilmu tu kan harta. Biar miskin, tapi kaya ilmu." Subhanallah, semoga Allah beri ganjaran kepada emak atas doanya yang sungguh-sungguh untuk saya selama ini.
Antara perkara yang membuatkan saya berasa begitu kehilangan sejak pemergian emak ialah doa seorang emak. Menjadi ritual saya memohon emak mendoakan saya dalam setiap perkara yang ingin saya lakukan. Setiap kali sebelum memasuki dewan peperiksaan dan sebagainya, saya akan menghubungi dan memberitahu emak seraya memohon emak mendoakan saya. Emak selalu berkata, tidak perlu meminta emak mendoakan anak-anaknya, kerana fitrah emak memang selalu mendoakan anak-anaknya. Ya, itu saya tahu akan tetapi saya berasa perlu untuk saya meminta doa emak sebagai penghormatan kepada emak yang tinggi kuasa doanya di sisi Allah. Saya perlu meminta. Apabila saya menduduki peperiksaan pada Disember lalu, itulah peperiksaan pertama saya tanpa doa emak. Sungguh, ada rasa seni begitu menjalar dalam hati ketika itu. Sungguh, saya rindu pada doa emak.
Saya telah ditinggalkan emak saya untuk memenuhi janji Allah kepada manusia iaitu setiap yang hidup pasti merasai mati. Saya berdoa agar Allah mempertemukan semula saya dengan emak, agar Allah jadikan saya teman emak dalam keadaan yang paling indah, Saya rindu mengucup dahi, tangan dan mengusap seluruh tubuhnya. Saya rindu mengucup telapak kakinya yang mulia. Saya rindu menyisir dan mengikat kemas rambutnya, semua itu saya lakukan berulang kali ketika emak lena enam hari. Saya mahu ingat sungguh segalanya tentang emak, baik fizikal dan spiritualnya. Buat anda yang masih punya emak, lakukanlah. Jangan dikekang rasa cinta dan rindu kepada emak anda. Luahkanlah kerana anda juga akan seperti saya, tiada ruang lagi untuk melakukan semua itu, setelah mereka Allah ambil daripada kita, buat selama-lamanya. Semoga Allah panjangkan usia saya agar saya dapat terus mendoakan emak di sana.
Al Fatihah, Rambelah binti Maryam (27.6.1951-19.5.2012)
Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar