MIMPI ular oleh seorang wanita sering dikaitkan dengan peminangan atau jodoh. Bukankah itu pemahaman konvensional masyarakat Melayu? Entah dari mana sumber sahihnya, saya sendiri tidak pasti. Saya memang pencinta haiwan, tetapi saya sungguh tidak gemar akan ular dan kebanyakan reptilia. Hal ini tidak pula bermakna saya rela kelompok itu dizalimi. Cukup setakat reptilia-reptilia itu tidak dekat dengan saya, maka itu sudah cukup baik.
Sejak saya kecil, saya memang kerap bermimpi ular. Haiwan reptilia itu berada dalam jumlah yang banyak di persekitaran saya. Akan tetapi, ular-ular itu tidak pernah mendekati saya maka saya tidak pernah bertindak apa-apa. Cuma, malam tadi saya bermimpikan ular yang agak aneh. Ular itu berwarna biru dan kuning yang terang. Agak cantik. Kali ini juga, ular itu agak dekat dengan saya dan membuatkan saya berasa terancam. Bagi menyelamatkan kucing saya yang juga ada ketika itu, ular itu saya tetak dengan cangkul. Tidak lama selepas itu, ular yang saya kerat 14 itu bertukar menjadi guli kaca berwarna-warni yang indah.
Itulah kali pertama saya bermimpi, membunuh ular. Apabila saya ceritakan mimpi itu di laman FB saya, sebenarnya saya ingin meninjau pandangan orang 'moden' terhadap mimpi itu, rentetan juga daripada wacana dan diskusi mengenai pandangan alam animisme yang masih berbekas dalam pandangan alam masyarakat kini, yang saya ikuti awal minggu ini. Apakah pandangan orang moden [moden pada latar masa] masih klise? Antara komen dan tafsir mereka : ''kata orang tua-tua, tandanya ada nak masuk meminang', ada juga yang menjawab 'tandanya nak dapat banyak rezeki' dan pelbagai lagi. Akan tetapi, kebanyakannya tidak lari daripada teras tafsir yang klise itu.
Saya mempunyai tafsiran tersendiri dari sudut pandang Islam. Jika anda ingin tahu, maka anda carilah jawapannya. Apabila anda faham mengenai tafsiran itu, anda tidak akan berani lagi memberi tafsir-tafsir klise yang tidak bersumberkan sesuatu yang sah itu.
Maklum balas kenalan-kenalan mengenai mimpi saya itu, mengingatkan saya pada diskusi dengan seorang pakar mengenai pandangan alam animisme yang masih membelenggu pemikiran masyarakat Melayu pascamoden ini. Pandangan dan pemahaman yang masih bertolak pada alam sebagai sumber kuasa yang menentukan kehidupan manusia. Cebisan-cebisan pandangan alam animisme itu terjelma dalam diri masyarakat kini apabila mereka masih belum dapat memutuskan pemerhatian terhadap sesuatu itu, tuntas berteraskan tauhid yang dibawa Islam, yang jelas hadir ke Alam Melayu sekali gus mencorak pemikiran masyarakat Melayu daripada mempercayai animisme - Hindu- Buddha, kepada pandangan berteraskan tauhid, seperti yang mekar pada kurun ke-16 dan ke-17.
Perbincangan tersebut bagi saya amat menarik kerana tanpa kita sedar, meskipun kita secara fizikalnya jauh ratusan tahun daripada zaman yang lalu, hakikatnya masyarakat kini masih lagi berpandangan yang kuno itu. Begitu juga pandangan seperti 'kalau tak pergi ke sekian sekian sekian, mesti tak jadi sekian sekian sekian.' Hal ini mengingatkan saya juga kepada seorang jiran. Apabila saya memilih sebentuk cincin bertaktha sebutir permata, dia berkata kepada saya :
Jiran : Adik salah pilih cincinlah dik.
Saya : Kenapa pula, kak?
Jiran : Adik patut pakai cincin kosong. Bukan yang ada mata.
Saya : Kenapa?
Jiran : Cincin ada mata ini untuk orang yang dah kahwin saja. Sudahlah adik pakai di jari manis, nanti lagi orang salah sangka.

Berbalik kepada cincin, kenapa matanya hanya satu, kerana saya memang tidak suka lebih daripada satu, yang bagi saya menyerabutkan pandangan. Kenapa saya selitkan di jari manis, kerana hanya jari itu saja yang akan saya guna untuk memakai satu-satunya cincin sepanjang hayat saya. Juga, bukankah satu sunnah memakai cincin di jari manis [dan/atau jari kelingking]. Tiada langsung kaitan dengan pemilihan berdasarkan pandangan alam kuno itu. Beri saya hujah yang lebih kukuh yang berkait langsung dengan ajaran Islam, barulah saya akan pertimbangkannya seterusnya terima untuk dipraktikkan.
Dengan mengenal kembali pandangan alam dahulu dan faktor yang menyebabkan dimensi pandangan alam sedemikan terbentuk, maka masyarakat kini harus lebih sedar dan kembali kepada akar agama yang kita pegang dalam membicarakan setiap hal dalam hidup kita. Bukankah Islam itu kulli, universal, sejagat? Jika kita terima sifat Islam itu, maka janganlah kita putuskannya dalam sekian-sekian hal pula.
Ini pandangan, pada hemat saya. Anda yang kurang bersetuju atau tidak bersetuju tidak ada masalah untuk mempertikaikannya selagi hujah anda kukuh dan mantap untuk diterima.
Wallahu'alam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar