Rabu, 13 Januari 2010

MENGABADIKAN KENANGAN


Poskad yang diberikan oleh seorang naqibah sewaktu aktif menjalani usrah sekitar 2004. Kini, naqibah ini berada di United Kingdom bagi melanjutkan pengajian dalam lapangan kejuruteraan.




Sebuah catatan pengalaman yang begitu menarik dan baru usai saya menamatkan bacaannya. Terlalu banyak ilmu hidup yang saya temui dalam tulisan ini. Terima kasih.



Sijil olok-olok sewaktu di tingkatan lima. Dijumpai semula sewaktu memunggah khazanah lama semalam. Memanglah saya suka keluar mencari guru kerana sudah tugas saya sebagai ketua tingkatan. Gigi yang cantik, kini sudah sedikit sumbing kerana sering mengunyah ketul ais. Sekarang tidak lagi meneruskan tabiat itu. Periang, berani, ..... Petah berbicara, bolehlah dalam masa yang sewajarnya.



Kepada penulis buku ini, terima kasih atas catatan ringkas yang sangat menyentuh nurani.



Laporan Latihan Industri yang siap untuk dihantar ke DBP. Hanya menunggu hari yang sesuai untuk ke sana.

Selasa, 12 Januari 2010

MENTARI SETIA JANJI SAAT DIA INGIN PERGI

DIA bertimpuh di pesisir pantai. Airnya semakin pasang dan ombak kian menjulang. Memang sudah semalam, dua malam, tiga malam malah lima malam hujan turun tanpa henti, Dia tetap juga tidak berganjak. Pegun di duduknya biar sisa ombak merempuh tubuh kerdil yang menyarung batin longlai dan kotor. Dia memang tegar membiarkan jasad kuyup ditujah hujan yang datang bertimpa. Namun, timpuhnya tetap sama. Pandangan dan lirik mata tidak berbeda. Siang dan malam, dia penunggu. Katanya tiga malam yang lalu kepada Aku, dia ingin menghitung diri di pesisir pantai yang menjadi saksi hidup. Yang menjadi penonton setia pada kerakusan jiwa dengan haloba dunia. Dia ingin bermunajat di situ.

Moga-moga ada cahaya rahsia yang akan menuntun Dia untuk menyucikan diri dengan hembusan angin keinsafan. Biarlah seribu hari lagi, atau seribu bulan lagi. Tidak mustahil, waima seribu tahun lagi pun. Dia ingin setia bertimpuh di pesisir pantai yang terus sunyi dan sepi daripada suara insani. Biarlah, Dia ingin bersendiri. Sendiri dan sunyi yang akan sebati dengan Dia untuk meneguhkan Dia dalam penantian yang belum kunjung lagi.

Hiruk-pikuk dunia yang mencengkam batiniah sudah terlalu menyakitkan hidup seharian. Aku juga dirasakan sudah tidak lagi punya fungsi untuk Dia dan hidup. Sudah tiba masa untuk Dia mencorak insaf dan sedar dalam relung dunia sendiri. Usah lagi ada Aku. Dia tidak lagi butuh Aku. Dia sudah cukup gagah untuk hidup sendiri tanpa dipandu Aku yang hanya akan menjadi sampah di peti hati Dia. Perjanjian sudah dibuat, Dia akan terus bertimpuh di pesisir pantai menunggu hingga jernih nurani sambil Aku pergi mencurah bakti pada kebobrokan duniawi. Tidak boleh dirunding lagi. Masing-masing sudah ada jalan sendiri, jangan berani mencampuri urusan masing-masing.

Dia senyum mendengar kukuh bicara hatinya yang sering menjadikan Dia tahan menelan segala racun yang dicipta sendiri dengan sedikit bantuan daripada Aku. Dahulu. Bukan lagi sekarang. Tiada lagi racun yang mampu Aku beri kepada Dia. Dia senyum juga, meskipun sepasang tangannya sudah tiada untuk menadah harapan dari penjuru langit ke tujuh. Dia akan terus bertimpuh, kerana sepasang kakinya sudah tiada dimamah luka dunia. Dia gembira, semua yang tiada itu akan membuatkan dia semakin kuat untuk menanti jirusan ombak keinsafan. Membiarkan suci air itu menyentuh segenap inci tubuhnya, siapa tahu jirusan ombak itu bakal menumbuhkan semula sepasang demi sepasang yang dia sudah tiada itu. Siapa tahu. Aku juga tidak tahu.

Malam menelan senja yang akur pada kerdil sifatnya. Malam mengusir samar matahari berbaki dengan rakus dan pongah, terus sehingga lenyap mentari yang berjanji tidak lagi muncul esok hari. Kelam. Dia tetap bersimpuh, bulan dan bintang bagai berjanji tidak ingin meminjamkan kelip dan sinar buat Dia menyuluh diri di malam dingin dengan renyai hujan yang tidak henti lagi. Dia tidak mengeluh, malah tetap sungging senyum kepada diri. Bulan dan bintang ingin menguji. Dia tidak marah, dia tahu dia perlu tekal sabar menanti bulan dan bintang untuk rela menemani malam dan kelam dalam penantian keinsafan yang menjadi dambaan. Malam di pesisir pantai, Dia terus memandang ke hadapan yang tanpa sedikit pun mampu dipandang. Selain kelam, hitam dan malam. Detik demi detik terus dihitung dengan ingatan pada perkiraan yang pernah dia belajar. Detik yang akan memunculkan fajar baru, memulangkan malam pada ruang waktu. Dia terus menghitung walau tanpa sedarnya, mentari sudah berjanji tidak akan mungkiri. Hari esok, mentari tidak akan menjelma lagi. Aku tidak mahu memujuknya dan membawa Dia lari daripada terbiar kehujanan. Biarkan Dia dengan senyum sendirinya kerana perjanjian antara Aku dan Dia tidak boleh dimungkiri. Aku dengan duniaku dan Dia dengan dunia Dia.

Sabtu, 09 Januari 2010

LEWAT MASA YANG TIBA

MENJANGKAU SEBULAN lebih, barulah saya membuka dan melihat semula isi wang sagu hati yang saya terima sewaktu mendeklamasikan puisi di malam penganugerahan November lalu. Sudah lama saya menyimpannya. Tidak mahu saya bazirkan begitu sahaja kerana bagi saya wang sagu hati itu sungguh bermakna lantaran hasil daripada kerja saya. Merenungnya dengan agak lama, saya terfikir ingin membelikan sesuatu yang bermanfaat buat ibu saya. Lantas, saya teringat akan kebaikan khasiat Gamogen ini. Lalu tanpa berlengah, saya memasukkan semula wang itu ke dalam sampulnya dan menjengah pasar raya berdekatan untuk membelinya. Saya membuat perjanjian untuk terus membeli bahan berkhasiat itu sebagai makanan tambahan buat emak, saban bulan. Akhirnya, saya berasa puas kerana hasil yang saya peram sekian lama itu dapat saya belikan sesuatu yang bermanfaat buat emak. Setakat hampir sebulan ini, khasiat yang ada dalam bahan makan tambahan itu memang tercitra pada perubahan positif kesihatan emak.


II

Hari ini, saya akan pulang ke tempat berteduh saya dan esok, merupakan hari pertama sesi semester lima 2010. Bermula lagi pengembaraan saya sebagai musafir yang sering ketandusan ilmu untuk berusaha memenuhkan kantung jiwa dengan ilmu dan pengalaman baharu yang kelak pastinya memberi manfaat kepada saya. Sebelum pulang, saya sudah berjanji dengan Boboy, kucing saya yang tahun ini akan menginjak usia 14 tahun itu untuk memandikannya. Jadi, saya mesti tunaikan janji itu. Walaupun pada pandangan orang lain, dia hanya seekor kucing biasa. Akan tetapi bagi saya, dia seekor kucing yang luar biasa pemahamannya terhadap kami. Sentiasa ada menemani kami walau dalam bentuk apa pun kondisi kami. Selamat tinggal Boboy, temani emak ya.

III

Menunggu keputusan peperiksaan. Apakah benar akan diperoleh pada esok hari? Saya masih belum menemui novel Perdana dan Menteri untuk projek penyelidikan saya yang bertajuk Citra Intelektual Subaltern dalam Novel Terpilih Shahnon Ahmad. Semoga akan dipermudahkan urusan. Saya juga sedang mengasah idea untuk penulisan skrip muzikal nanti. Cadangnya ingin menulis berkenaan riwayat hidup tokoh dalam bentuk interteks. Masih dalam perbincangan dengan akal dan perasaan. Untuk novel Sirat Sufiah, saya berhenti di bab enam. Bab kepulangan Nur Sufiah dari Negara Swacita. Semalam pula, saya sudah pun berjaya menyiapkan laporan yang perlu dihantar kepada pihak DBP. Tinggal untuk dibuat dua salinan yang akan dicetak di ASWARA esok. Laporan amali juga sudah selesai saya uruskan dan boleh saya serahkan kepada pihak HEA esok juga.

IV

Buat masa sekarang, saya tekun menguliti Weltsanchauung. Sebuah tulisan SN Shahnon yang pada hemat saya sangat menarik apatah lagi untuk warga baru yang masih bertatih dalam industri penulisan ini. Membacanya bukan sekadar membawa saya memahami akan setiap asbab penghasilan dan inti fikir yang ada lewat novel-novel beliau, malah memberikan satu pengalaman baru bagi saya yang sangat asing daripada kehidupan desa. Membaca pangalaman desa yang dilalui beliau sejak kecil sangat mencuit hati, mengundang pilu, mencambah pengalaman. Semoga saya dapat menamatkan pengembaraan saya tersebut.

SELAMAT DATANG SEMESTER BAHARU

BERTEMU DIRI

JUMAAT lalu merupakan hari terakhir saya menjalani latihan industri. Jangka masa yang singkat tentunya tidak memungkinkan saya untuk menimba pengalaman berkaitan bidang pekerjaan khusus dengan sebanyak-banyaknya. Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana berada di situ memberikan satu lipatan pengalaman yang menyusur dalam lubuk kenangan dan akan saya pelihara sebaik mungkin. Di sana, sedikit sebanyak saya belajar peribadi manusia dan gelagatnya yang pelbagai. Perlunya untuk membiasakan akal dan jiwa kala berhadapan dengan dunia yang lebih besar berbanding ruang selesa dalam suasana biasa yang dilalui saban hari. Dalam jangka waktu singkat itu, saya bersyukur kerana berkesempatan untuk meluaskan senarai kenalan saya. Ada yang dikenali secara kebetulan lantas membuahkan peluang dan ruang untuk saya mengasah kemahiran menulis. Ada yang sudah biasa saya kenali, akan tetapi tanpa mereka-mereka itu pula mengenali saya waima pernah berhubung mesra selama ini. Tambah istimewa, saya mengenali seseorang yang terlebih dahulu mengenali saya sebelum saya mengenali dirinya. Ya, perkenalan yang sangat istimewa dan sarat dengan pengalaman yang begitu memberi kesan mendalam pada sekeping atma saya yang masih bertatih membina tembok paling utuh sekitarnya.

Bertemu dan berkenalan dengan dia, aneka rasa dan fikir bersatu dalam masa yang sama. Dia seorang pencandu bahan baca yang sentiasa senang mendampingi pelbagai kumpulan buku tanpa menyekat minda untuk menerima sebarang bahan baca tanpa mengulitinya terlebih dahulu. Berbicara mengenai hal ini, satu pukulan hinggap di benak fikir saya yang masih mentah dalam dunia sastera ini lantaran sering menyekat minda dan jiwa untuk menghadami sesebuah bahan baca tanpa saya terlebih dahulu bermesraan dengan bahan baca tersebut. Satu tindakan yang sangat salah bagi seseorang yang ingin serius menimba ilmu dan pengalaman di samping mencari identiti diri sebagai seorang penulis kebenaran.

Usah memberi justifikasi tertentu sebelum menelitinya terlebih dahulu. Itu ikhtisar yang saya dapat menerusi perbincangan tersebut. Hal ini secara langsung membuka ruang minda dan hati saya untuk tekad mengusir fahaman songsang dan sekatan tidak wajar yang saya lakukan terhadap karya-karya penulis yang kurang saya kenal melainkan mendengar ulasan yang pelbagai. Kita boleh membaca pelbagai jenis bahan bacaan, yang penting adalah perlunya kewujudan medium penyaringan dalam diri sendiri agar mampu membezakan antara yang benar dan salah. Membacalah, untuk mencari gali telaga ilmu yang ada di dalamnya. Membacalah, agar menjadi manusia perkasa yang mampu memberi pandangan terhadap sesuatu berdasarkan ilmu dan pengalaman yang benar; bukan sekadar ikut-ikutan atau dengar-dengaran.

Terlalu banyak ilmu yang dikongsikan beliau kepada saya. Terlalu banyak sehinggakan saya berasa seakan-akan terlalu kontang pengetahuan sama ada berkaitan penulisan mahupun kehidupan. Turut menyentuh hati saya apabila melihat himpunan buku yang tersusun kemas di sudutnya. Begitu banyak dan pelbagai genre. Terlalu membuatkan hati saya meronta-ronta melihat himpunan buku tersebut. Lantas, diam-diam saya menuai harapan agar kelak satu masa nanti saya turut punya sudut peribadi begitu yang kaya dengan himpunan buku pelbagai dan bukan sekadar tersusun kemas untuk dipandang, akan tetapi untuk menyentuh nurani dan alam fikir saya.

Mengenali dirinya, saya dibawa untuk cuba melihat diri sendiri yang sebenarnya begitu kaya dengan kekurangan dan kedaifan pengalaman. Saya bagai sudah terlalu biasa hidup dalam dunia kecil sehingga membuatkan saya terlupa bahawa alam dan penghunia dunia luar yang maha luas itu. Saya terlupa akan mereka. Saya terlupa banyak perkara. Paling memberi kesan dan begitu berlegaran di benak fikir saya sehingga ke hari ini ialah saranan agar saya kembali memuhasabah diri. Membuatkan saya tersedar dan berusaha meneliti setiap ruang yang saya himpun dalam satu diri.

Kepada dia yang memberi erti, terima kasih yang tidak terperi. Pertemuan pertama dalam masa yang sebentar membuka jalan untuk saya semakin cuba dan berusaha untuk mengenali diri sendiri dan alam yang hadir di sekitar diri.

Kamis, 07 Januari 2010

CATATAN SENJA TERAKHIR

SESEORANG sedang duduk di tangga rumahnya yang sudah begitu pikun zahirnya. Ketika saya melintasi rumah itu, dia sedang duduk termenung. Jauh sekali pandangannya. Di wajahnya, ada riak sayu yang meruntun hati saya yang melihat. Saya kira, dia hanya berusia beberapa tahun sahaja daripada saya.

Duduknya di tangga rumah, di tengah hiruk-pikuk kota begitu menggamit saya untuk mendekatinya. Mungkin dia bukanlah pemilik rumah tua itu. Barangkali dia hanya musafir yang menumpang singgah daripada lelah yang mengejar. Apatah lagi melihat sebuah bagasi merah lusuh terdampar di atas tanah, berhampiran anak tangga yang semakin mereput. Perlahan-lahan, saya mampir kepadanya. Melihatkan wajahnya yang sayu dan lagaknya yang bagai kebingungan membuatkan saya teringat akan sebungkus roti yang menjadi bekal perjalanan seharian saya. Roti itu masih tidak saya sentuh sejak pagi.

Meskipun sebungkus roti itu saya beli menggunakan duit yang sedikit berbaki semalam buat bekal hari ini, saya fikir roti itu bukanlah rezeki saya selagi tidak berumah di rongga mulut saya. Tanpa berfikir lebih lanjut, saya terus mengarahkan langkah ke arah dia yang masih leka merenung sudut hadapannya. Entah apa yang dipandangkan, saya sendiri tidak pasti. Menghampiri dia, saya memberikan seulas senyuman sebagai hadiah perkenalan. Itupun jika dia mengiktiraf perkenalan itu. Dia tidak membalas, malah langsung tidak menghiraukan hadir saya di situ. Mungkin dia tidak mahu sesiapa mendekati dia. Saya tidak lagi ingin berbuat apa-apa. Melihat matahari yang semakin mengundur diri, saya segera mengeluarkan sebungkus roti dari dalam beg. Saya memandang sebungkus roti itu seketika.

"Kakak, ambillah roti ini."

Dia langsung tidak menjawab apatah memandang huluran saya. Dengan gaya dia yang begitu dan pandangan serius tanpa ubah, dia saya lihat bagai sebuah arca kayu yang hanya menunggu masa untuk mereput dan menyembah bumi. Berserekan di lantai perjalanan dan diterbangkan oleh angin yang menderu.

Saya meninggalkan sebungkus roti berhampiran sisinya yang kaku sepi. Yang masih memandang jauh ke hadapan tanpa mampu saya terka arah tujunya. Yang pasti, saya meninggalkan dia dengan langkah perlahan dengan sarat tafsiran. Apabila malam menjelang dan hari menjadi silam, apakah dia masih di situ? Pada posisi yang sama. Riak wajah dan sudut pandangan yang tiada berbeza? Apakah sebungkus roti yang saya beli menggunakan wang saraan swadiri itu akan menjadi manfaat kepada ruang kosong halaman perutnya atau kelak akan menjadi bahan sajian serangga pelbagai yang itulah rezeki mereka? Dia pula?

Minggu, 03 Januari 2010

DIA YANG MENGEJAR

(Detik Rakaman Malam Tahun Baharu)

Waktu berdiri di pintu perpisahan
kami melihat dia di sahara buana yang
berlari mendekat, cuba
menggoda batin baru dalam wadi keinsafan.

Ya, dia itu kami lihat berlari
-laju dan penuh emosi-
bagai gergasi safih yang berlumba mendakap rakus
atma baru kami.

Ketika disapa pendeta yang melihat kebobrokan tingkahnya, dia berkata riak
“Ah, jangan kautanya apa-apa. Yang kuperlu ialah mereka.”
Sambil telunjuk angkuhnya menuding ke arah kami yang
tetap tegar ingin menutup gapura masa, bersama-sama.

“Kami tidak mahu ketemu dia lagi, kami ingin menyambut hari baru
dengan jiwa pendosa insaf.”

Tetapi si gergasi safih tidak mahu mendengar
langkah diatur dengan derap berhawa.

Dia berhenti tepat di hadapan kami
memandang dengan sayu yang meruntun hati
memohon dengan simpati agar dia tidak kami biar sepi.

Kami memandangnya dengan biasa
“Kauhanya sejarah silam yang pernah
membuat kami terbungkam dalam pelukan noda dan tawa dunia.
Atas segala itu, memang kauhanya perlu menjadi sejarah
yang tidak akan kami bongkar dalam peri hidup kami,
walau seribu tahun lagi.”

WARDAH MUNIRAH
Fakulti Penulisan, ASWARA

Sajak ini tersiar dalam Berita Minggu, 03 Januari 2010

Sabtu, 02 Januari 2010

MENJEJAK DUNIA BARU

MENONTON Buletin 1:30 sebentar tadi, antara fokus utamanya adalah perjalanan sesi persekolahan yang bermula di tiga buah negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu hari ini. Fokus pastinya kepada anak-anak kecil berusia tujuh tahun yang menempuh pengalaman baru dalam lembaran hidup mereka. Ada yang berwajah selamba seolah-olah benar-benar bersedia menerima hari dan persekitaran baru yang akan dijalani selama hampir 12 tahun akan datang. Tidak kurang juga yang berasa sedih dan pilu lantaran masih berasa ragu untuk menyesuaikan diri. Segala macam rasa bersarang dalam fikir dan rasa anak-anak ini. Dalam hal ini, adalah sangat besar peranan guru dan ibu bapa untuk menenangkan anak-anak ini untuk memahami erti sebenar persekitaran baru yang mereka lalui itu.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa pelajar darjah satu yang ditemuramah dapat menjawab soalan-soalan yang diberikan dengan yakin dan ceria. Antara nama anak berani seperti ini yang saya ingat ialah Ahmad Fahmi dari negeri Kedah. Pertuturan yang lancar dan kematangannya menjawab setiap soalan membuatkan hati saya berdoa agar kelak dia akan membesar sebagai seorang manusia yang berjaya.

Melihat telatah yang pelbagai itu tadi, saya mengimbau kembali catatan pengalaman yang saya lalui pada hari dan masa yang sama dengan yang sedang mereka lalui kini. Tidak seperti kebanyakan kanak-kanak lain, saya memasuki darjah satu di Sek Ren Kebangsaan Taman Selayang (2) tanpa melalui tahap prasekolah. Walau bagaimanapun, apabila mengingatinya semula, saya berasa sangat bersyukur kerana tidak punya masalah yang besar untuk mengenali abjad mahupun nombor. Mungkin atas ketekalan emak dan abang saya yang mengajar saya membaca di rumah.

Menjejaki hari pertama persekolahan pada tahun 1995 itu, saya sedikit pun tidak berasa sedih atau menangis. Sungguh pun saya lebih selesa mendiamkan diri, akan tetapi saya langsung tidak berasa takut untuk berhadapan dengan situasi baru itu. Malah, ibu saya juga tidak menemani saya seperti kebanyakan ibu bapa yang tekun menunggu hari pertama persekolahan anak-anak selesai.

Saya juga masih mengingati nama-nama guru kelas saya sejak dari darjah satu sehingga ke tingkatan enam dan saya sangat berterima kasih kepada mereka. Diharapkan anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan ini akan dapat membiasakan diri mereka dengan persekitaran baru dan dalam masa yang sama diberi pendedahan oleh setiap yang bertanggungjawab akan kepentingan ilmu untuk masa depan.

ILMU PELITA HIDUP

SKTS2 wujudmu tetap berjasa
membimbing putera puteri bangsa
membina di masa hadapan.

Yakin percaya kepada diri
prinsip amalan hidup kami
bentuk satu wawasan
bina satu tujuan
ke arah kegemilangan.

Ilmu mencorak bangsa
pembina di masa hadapan
ilmu kecemerlangan hidup
menuju puncak jaya.

Lirik lagu SKTS2 dari tahun 1995-1999. Sekarang tidak tahulah masih sama atau sudah berubah.