Minggu, 21 Februari 2010

SIRI WACANA INDUSTRI KREATIF 1

ADALAH dimaklumkan bahawa satu wacana Bersama Pereka Bentuk Grafik Cereka (Cereka Bergambar) Azalan Hussain dan Norazmi Mokhtar akan diadakan anjuran Fakulti Penulisan, ASWARA. Berikutnya merupakan butiran tentang wacana :

Tarikh : 25 Februari 2010 (Khamis)
Masa : 10.30 pagi - 12.30 tengah hari
Tempat : Bilik Persidangan Utama ASWARA
Bayaran : RM 25 untuk peserta luar ASWARA

Kaedah pembayaran adalah menerusi Kiriman Wang atau Wang Pos dibuat atas nama AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN atau membuat pembayaran secara tunai semasa program Siri Wacana Industri Kreatif 1.

Untuk sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Cik Nani Darlina Ramli (03-26975766 atau e-mel crystal_myv@yahoo.com)

atau

Tuan Haji Mohd Faizal Musa (03-26975609 atau e-mel tehranifaisal@yahoo.com)

PERMATA TERPINGGIR

PADA SATU hari, saya berada di satu sudut. Sedang berusaha melakukan penterjemahan. Saya sendiri pada waktu itu. Aman sekali. Tiba-tiba saya mendengar kerusi di hadapan sudut saya bergerak. Dua orang baru tiba dan duduk di hadapan sudut saya yang berhalangan dengan kanvas. Mereka rancak berbual tentang sebuah drama terbaharu di sebuah stesen televisyen tempatan. Saya tahu tentang drama itu dan pernah juga menontonnya beberapa kali. Saya membiarkan perbualan mereka walaupun tidak sepatutnya di situ mereka cipta perbualan. Saya tidak berasa begitu terganggu kerana kerja penterjemahan tidak memerlukan saya memerlukan suasana yang sangat sunyi dan sepi seperti menjalani proses pembacaan dan penulisan.

Walau bagaimanapun, hati saya tersentak apabila mendengar perbualan mereka tentang anak. Seorang daripada mereka bercakap dengan lagak ingin memprovokasi rakannya. Rakan yang rasa diprovok itu menjawab dengan selamba :

Ah, buat apa? Gila dot. Leceh. Nak jaga dia menangis. Aku kalau dah kahwin, kurang-kurang lima tahun baru aku nak anak. Awal-awal kahwin kau dah nak anak, enjoy pun tak puas. Lepas tu kau menyesal. Hampeh.

Saya terkesima. Mereka juga tidak lama di situ. Sebuah panggilan telefon membuatkan mereka meninggalkan ruang. Suasana kembali aman seperti sebelumnya. Namun, pemergian mereka memberi kesan kepada saya untuk teringat pula akan kes seorang bayi yang diliwat oleh bapanya sendiri akhir bulan lalu dan kes seorang bayi yang dibakar di dalam sebuah tong sampah awal bulan ini. Ingatan itu mengheret pula saya untuk berfikir tentang kekejaman yang dilakukan ibu bapa sendiri terhadap anak yang dilahirkan.


Ibu bapalah yang menjadi asbab kepada kelahiran bayi comel yang senyumnya merupakan senyum paling ikhlas di dunia. Anak menjadi simbol kecintaan yang didasari pada sebuah jalinan hubungan yang diredai Tuhan. Boleh juga dianggap mereka sebagai satu bebanan jika hadirnya tanpa panduan agama dan fikiran waras terhadap tindakan yang dilakukan. Saya yakin, setiap individu tidak sewajarnya mengambil mudah persoalan anak. Setiap anak harus disayangi, dibimbing dan dibesarkan dengan baik agar kelak mampu memelihara ibu bapa dan mampu pula memberi syafaat di akhirat nanti. Tindakan ibu dan bapa yang membunuh serta membuang anak sendiri memang merupakan satu tindakan di luar batas kemanusiaan. Dan kelak, apabila diri sudah tidak bermaya dan keseorangan membelah usia tua, barulah mula mengingati semula anak yang sudah dibiar hina dan diperkosa haknya di dunia. Ketika itu barulah timbul rasa kesal atas segala perlakuan terhadap amanah Allah kepada mereka.

Setiap perhubungan yang dijalin harus diteliti secara tuntas dalam segenap aspek. Tujuan perhubungan, apakah untuk ke satu bahtera perkahwinan yang diredai Tuhan? Apakah untuk mengikuti sunnah rasul junjungan? Apakah untuk bersuka-sukaan tanpa haluan?

Apakah perlunya pula satu perhubungan sekiranya persoalan di atas tidak mampu dijawab dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab? Sesungguhnya, cinta itu satu fitrah namun salah tafsir dan salah haluan akan menyebabkan cinta menjadi fitnah yang hanya menghunjam pemiliknya ke lembah murka dan hina semata-mata. Dalam berhubungan, saya fikir sangat perlu untuk setiap inidividu menelaah dengan lebih dalam dan waras agar tidak ada apa-apa kekesalan dan kesalahan yang akan dilakukan kesan salah fikiran pada awal perhubungan. Dan yang penting, tiada insan tidak berdosa yang mendapat bahana dan ditimpa kekejaman atas salah fikiran dan awal tindakan yang tidak dipasakkan pada hukum Tuhan. Sekiranya sudah terlanjur melakukan sesuatu yang menyebabkan kelahiran mereka tanpa halal, usah pula diulang keterlanjuran dosa dengan membunuh serta menzalimi mereka. Sungguh, mereka tidak pernah bersalah dan sentiasa mulia di sisi pencipta. Tidak wajar bukan, membunuh dan menzalimi satu nyawa hanya untuk menutup malu yang pada akhirnya tetap akan dilupakan orang?

Seterusnya, saya teringat pula akan lagu Keluarga Bahagia yang pernah saya nyanyikan sewaktu menganggotai kumpulan nasyid di sekolah menengah dahulu. Ketika itu saya di tingkatan satu dan dilantik sebagai ketua kumpulan nasyid. Ustazah memberi tanggungjawab kepada saya untuk menggubah lirik lagu Keluarga Bahagia itu kepada bentuk lain namun tidak lagi saya ingat bentuk yang saya gubah itu. Hai, berlarutan pula ingatan saya disebabkan perbualan mereka itu.

Keluarga Bahagia

Sedamai taman firdausi
Limpahan kasih sayang sejati
Seharum semerbak kasturi
Mengharumi hidup insani

Indahnya damainya
Keluarga yang bahagia
Itulah idaman impian setiap insan
Yang dahagakan belaian
Serta kasih dan syaang

Ketika insan lain berbahagia
Bersama keluarga
Namun kita masih meniti
Titian rapuh perhubungan

Mengapa kita terpisah daripada rahmatNya
Mungkinkah kita seringkali melupakanNya
Ayuhlah bina semula
Keluarga diredhai Allah

Oh ayah oh ibu dengarlah rintihan
Dan luahan hatiku yang dahaga kasih
Jiwaku merasa terseksa ketandusan kasihmu
Marilah kita bina bersama-sama
Keluarga bahagia

Ayah ibu
Luangkanlah sedikit masa bersamaku
Ku rindukan kemesraan
Dan belaianmu

Saujana

Sabtu, 20 Februari 2010

HANYA DI MERCU

SAYA jarang mendengar lagu. Cuma, dalam keadaan tertentu sahaja lagu menarik perhatian saya. Saya telah mendapatkan vcd Akademi Sastera 2 daripada seorang pegawai Januari lalu. Dalam rakaman tersebut, ada sebuah lagu sebagai latar di penghujung rakaman dan lagu ini sangat menambat hati saya sejak hari pertama saya mendengarnya. Sering juga lagu ini saya nyanyikan sendiri walaupun saya sedar ada liriknya yang pincang sungguh dari lirik asal. Saya suka akan nada lagu dan isi di dalamnya. Pada satu hari, saya mencari lirik lagu tersebut melalui internet. Barulah saya tahu, lagu tersebut berjudul Hanya Di Mercu dan dinyanyikan oleh Ayu OIAM. Setiap kali mendengar lagu tersebut pada sedutan terakhir rakaman, ada sesuatu yang menyentuh perasaan saya. Lalu, di tapak ini saya abadikan lagu tersebut.

HANYA DI MERCU

Mimpi dan harapan
Cecita yang tinggi menjulang
Tak pernah terluahkan
Hanyalah di hati tersimpan
Terpendam
Keterbatasan diriku menjadi penghalang

korus:
Sampai bila aku bertanya sampai bila
Ku harus mencuba

Bila lagi desak hatiku bila lagi
Aku harus berani
Lalu ku bangkit tegak berdiri
Mengatur langkah ku terus mendaki
Cita-citaku
Di mercu

Mimpi dan harapan bagaikan duri yang mencengkam
Seandainya ku biar cecita dihati tersimpan
Terpendam
Keterbatasan tak wajar menjadi penghalang

Bridge:
Aku mencari kekuatan
Dalam kelemahan
Aku temui kejayaan
Dalam keberanian

Lagu: Aubrey Suwito
Lirik: Habsah Hassan



Sangat suka melihat wajah mentor AS yang ini. Senyuman tiada tandingan.

Jumat, 19 Februari 2010

BUKAN BURUNG

BEBAS. Itu yang sering dilihat apabila berfikir tentang dunia burung. Bebas terbang membelah langit biru. Ke mana sahaja ingin singgah dan ke mana sahaja ingin berlabuh, semuanya boleh diurus sendiri hanya dengan sepayang sayap yang ada. Namun, menjadi burung tidaklah sebebas yang disangka. Terbangnya tidak semudah yang dilihat. Sewaktu kecil, tidak sekali anak burung jatuh dari dirinya waktu ingin membiasakan diri terbang; dengan harapan mahu membelah awan. Kala gembira berterbangan di kanvas langit, burung boleh sahaja didatangi ajal pelbagai rupa. Bisa ditembak oleh pemburu tanpa belas. Bisa dikejar garuda celaka yang hanya tahu membunuh si kerdil dengan paruh saktinya. Bisa jadi pelbagai lagi ketika diri terasa bebas melambai daratan yang ditinggal jauh di bawah.



Sewaktu kecil, masih kecil. Saya selalu berfikir alangkah indah dan seronoknya menjadi burung. Dapat terbang tinggi dan menuju destinasi dengan segala ceria. Dapat bernyanyi gembira di pagi hari, memeriahkan hati insan yang mendengar kicaunya. Yang saya seronokkan hanyalah kelebihan burung untuk terbang. Mudah bergerak dan tidak terbatas. Namun, itu fikiran saya dahulu. Kala diri metah muda dan mentah. Tidak kenal erti dan tanggungjawab kata hidup. Meningkat dewasa, saya menyedari bahawa manusialah sebaik-baik makhluk yang diciptakan. Tiada yang terbaik selain manusia. Menjadi burung hanya indah untuk kawanan burung, bukan manusia.

Sesudah itu, saya melepaskan segala kenangan dan impian tidak benar yang pernah saya bayangkan itu. Bayangan ingin menjadi burung dan lepas gembira membelah angin hidup. Saya semakin bersyukur menikmati hidup sebagai manusia yang telah terlalu banyak istimewanya. Menjadi burung hanya sekadar masa lalu yang sekali-sekala singgah di benak untuk menyegarkan ingatan. Ingatan yang menjadi sejarah bagi manusia yang terus mendepani masa.

Tidak lagi menjadi burung.

Kamis, 18 Februari 2010

DI JARI AKSARA MENARI MENGINJAK USIA

19 FEBRUARI 2009 merupakan tarikh Di Jari Aksara Menari ditubuhkan. Sebelum itu, saya tidak begitu terdedah dengan aplikasi laman blog ini. Saya dibayangi rasa rendah diri untuk menulis. Berasa tidak layak untuk menulis. Walau bagaimanapun, mengikuti Bengkel Deklamasi Puisi di Kuantan pada awal Februari memberi keyakinan kepada saya. Meskipun bengkel tersebut merupakan bengkel deklamasi puisi, namun pengisian program yang disaratkan dengan motivasi untuk berkarya dan mendeklamasi memberi suntikan semangat kepada saya yang sering mempersoalkan kemampuan diri untuk berada dalam dunia sastera ini.

Bengkel tersebut diadakan selama empat hari empat malam di Hotel Seri Malaysia, Kuantan. Perjalanan dimulakan dengan kesihatan saya diserang demam serta batuk yang berlanjutan hingga akhir bengkel. Ingatan saya terhadap memorabilia berada dalam bengkel tersebut sangat kuat. Dengan menyertai bengkel tersebut, saya membina jalinan perkenalan dengan rakan fakulti sama ada dari peringkat diploma mahupun ijazah. Saya mengenali kebanyakan mereka sebagai individu yang berbakat. Kebanyakan daripada mereka juga sudah mempunyai status sebagai penulis baharu yang mantap. Ada yang sudah bergelar novelis dan ada juga yang bergelar penulis biografi.

Walau bagaimanapun, mereka baik-baik dan mesra belaka. Kemesraan mereka memudahkan saya untuk berinteraksi dan mengenali mereka. Mengenali mereka juga, saya mendapat tahu betapa rata-rata mereka sudah pun mempunyai laman blog masing-masing. Ketika itu, saya masih juga samar mengenai aplikasi blog. Hanya apabila pembimbing Marsli N.O berbicara serba sedikit tentang blog, barulah saya menyedari kemudahan aplikasi tersebut.

dalam bengkel vokal dengan Abang Rosman


Bengkel yang dibimbing oleh Prof Rahman Shaari dan juga Abang Rosman bagi bengkel vokal memberi keyakinan kepada saya bukan sahaja untuk mendeklmasikan puisi di hadapan khalayak, malah secara halus dengan kata-kata yang jitu memberi kekuatan untuk saya menghargai sedikit ilmu yang saya miliki dengan cara yang lebih bersaluran. Oleh sebab itulah, entri saya yang pertama di Di Jari Aksara Menari adalah berkenaan Bengkel Deklamasi Puisi tersebut.

Seminggu sesudah bengkel tersebut, saya yang biasa berada awal di perpustakaan mencari maklumat berkenaan penulis Azizi Hj Abdullah. Melalui carian itu, saya menemui beberapa blog sasterawan. Membaca tulisan mereka memberi inspirasi kepada saya untuk membina sebuah laman sesawang sendiri. Saya mahu membina sebuah laman sesawang sendiri untuk berkongsi maklumat tentang sedikit ilmu yang saya ada kepada mereka-mereka yang berminat untuk sama-sama belajar. Dalam masa yang sama, saya mahu menjadikan laman ini sebagai medan untuk saya mengasah kemahiran menulis saya.

Ya, sebelum menubuhkan laman ini. Aktiviti menulis saya lebih terhad kepada penulisan tugasan. Namun, kelahiran Di Jari Aksara Menari memberi ruang kepada saya untuk menulis sesuatu yang berbentuk ilmiah dan ada ketikanya berbentuk catatan harian. Dalam masa yang terus berjalan, saya semakin aktif menulis di laman ini. Ada rakan maya yang menghubungi saya, memaklumkan betapa mereka gembira mengambil manfaat yang ada. Namun demikian, ada jua 'cecacing' yang cuba memburukkan laman ini dengan pelbagai tuduhan tidak berasas. Mengintai aktiviti saya untuk dijadikan bahan kutukan di laman 'cecacing' pula. Walau bagaimanapun, saya tetap bertahan. Tidak mampu saya menghalang kehadiran 'cecacing' seperti itu yang saya sendiri yakin tidak akan menjatuhkan saya.

Istimewa bagi saya, Di Jari Aksara Menari melebarkan capaian kenalan saya. Melalui interaksi maya ini, saya dapat berhubung dengan tokoh sasterawan, guru, rakan yang terpisah dan penulis-penulis mapan yang sudi menunjuk ajar saya yang masih baru bertunas ini. Segala komentar bagi sesetengah entri yang saya tulis membuka ruang perkongsian maklumat dan pengalaman kepada saya. Melalui laman ini juga, ada rakan baru yang meluahkan rasa cinta mereka kepada bahasa ibunda sejak melayari laman ini. Pada satu masa, saya dihubungi melalui talian maya oleh seseorang yang menjadikan laman saya ini sebagai laman wajib untuk anaknya mempelajari struktur penulisan bahasa Melayu. Melalui laman maya ini juga, saya dapat berhubung dengan kenalan baru yang tidak pernah saya kenali.

Saya menjadikan laras tulisan bahasa Melayu baku sebagai medium penyampaian. Bagi saya, hal ini merupakan tanggungjawab yang wajar saya pikul sebagai seorang bangsa Melayu yang sangat cinta akan kedaulatan bahasa ibundanya. Ada kenalan rapat yang memberitahu medium tulisan yang saya pilih ini membuatkan sesetengah 'cecacing' mendakwa saya sebagai 'skima' dan cuba 'berlagak'. Saya tidak hiraukan pandangan sebegitu kerana saya juga gembira melihat lebih ramai kenalan maya yang mencintai bahasa turut sama mewarnai laman sesawang sendiri dengan medium pilihan ini. Saya tidak mungkin menurut dakwaan 'cecacing' yang tidak cinta dan memandang rendah akan ketinggian bahasanya.

Intihanya, Di Jari Aksara Menari merupakan satu medium untuk berlatih menulis dengan lebih baik. Menjadi rakan baik saya untuk merakam segala perasaan dan pengalaman. Juga menjadi lapangan untuk saya berkongsi ilmu dan maklumat yang ada. Pada tanggal ini, Di Jari Aksara Menari genap setahun usia. Masih mentah dan masih baru belajar untuk bertatih mendepani arus dunia modenisasi tanpa mahu meninggalkan segala yang patut dipegang sebagai sempadan dalam ruang sebuah kehidupan dunia yang berbalasan.
Kepada mereka yang menghargai Di Jari Aksara Menari, terima kasih saya ucapkan dan lawatan anda sangat sentiasa saya hargai.

Selasa, 16 Februari 2010

1511H (KOMBAT)

PERJUANGAN Komander Mohammad Ameen dan para ahli Gerakan Pemuda Islam berusaha menyelamatkan Madinah al-Munawwarah dan Makkah al-Mukarammah yang mahu dihancurkan oleh Abrahah Moden (Presiden Nosirname). Berlatarkan tahun 2087, novel ini mengetengahkan kebangkitan pemuda Islam yang penuh kekuatan mental, rohani dan jasmani untuk mempertahankan Islam dari terus diancam kebobrokan musuh yang nyata.

Bagi penggemar filem-filem berkonsepkan perang, karya ini sudah tentu menarik minat. Apatah lagi apabila pengarangnya mengangkat citra peperangan dalam Islam yang tentunya berbeza dengan imej perang konvensional, yang biasa kelihatan. Membunuh tanpa sebab dan berperang tanpa tujuan yang mantap.


Lebih daripada itu, ada harapan yang minta disuburkan. Ada impian yang mahu direalisasikan dan ada cita-cita yang perlu dilunaskan. 1511H (KOMBAT) menyuntik semangat remaja Islam untuk bangkit mengimarahkan bumi dengan hukum dan peraturan Allah. Menjana remaja Islam yang kukuh rohani dan jasmani untuk tampil sebagai pejuang yang mencintai kesyahidan.

YANG DAHULU? YANG BAHARU?

SUDAH lama persoalan ini berlegar di benak saya. Tidak mampu saya luahkan dalam bicara. Gagal juga saya luahkan dengan madah indah lagi tersusun. Bagi saya, persoalan ini tidak sebegitu indahnya. Penuh selirat dan sukar dilihat. Ya, mungkin mudah bagi sesetengah pihak. Namun bagi saya yang metah kurang pengalaman, agak sukar untuk saya bertemu jawapan tuntas.

Saya kehilangan 'diri' seseorang yang sangat saya kasihi. Masa telah merampas dia daripada dirinya yang sebenar. Daripada dirinya yang saya kenal sejak awal kehidupan. Pada awalnya, saya kurang percaya betapa masa yang pada fikiran saya tidaklah terlalu lama itu bisa membunuh dirinya yang lalu. Sepantas itukah masa? Adakah dia yang kurang daya lantas membiarkan masa membunuh segala? Mungkinkah juga dia yang terlalu lelah, mahu meninggalkan masa lalu - dengan membunuh diri dahulu?

Saya semakin kebingungan. Hati saya yang masih bertunas ini tegas mengatakan betapa dia bukan lagi dirinya yang dahulu. Yang saya kenal dan saya tetap cinta sepanjang masa. Saya faham amat setiap perubahan pada dirinya. Saya kenal amat suaranya yang dahulu. Saya kenal sungguh setiap bentuk pandang dari matanya yang redup. Dan kini, saya nian pasti dia bukan lagi yang dahulu.

Ya, itulah dia sekarang. Setelah masa membuang dia yang lalu jauh ke jurang silam. Apakah tidak punya ruang untuk diri lalunya kembali memasuki kantung jiwa yang kini? Setelah sekian lama diri itu memimpin jalan, tidakkah ada laluan untuk dia bertapak semula, gagah seperti dahulu?

Itulah dia sekarang. Yang tidak lagi seperti dahulu. Bukan lagi dia yang saya kenal sejak dahulu. Saya sudah kehilangan dia. Saya berhadapan dengan dia yang saban hari semakin menekur diri. Kalah dalam dirinya sendiri.

Hati saya memberontak. Saya mahukan dia yang dahulu. Merindui dia yang saya kenal sejak dahulu. Namun segalanya tinggal sejarah, dia tidak lagi menunjukkan harapan untuk menjadi dia yang saya kenal dahulu, waima itulah harapan tertinggi yang saya pasakkan di lubuk hati. Sekian lama, sejak dia yang dahulu meninggalkan dia yang kini.

Saya merenung ke dalam diri. Menyoal diri sendiri. Seandainya dia yang dahulu tidak mungkin kembali lagi, apakah saya sahaja yang selayaknya mengalah dan menerima dia yang kini seadanya? Apakah tidak salah untuk dia menidakkan kehadiran saya atau membiarkan saja keterpaksaan saya untuk menerima dirinya yang baru itu?

Sayalah yang hanya perlu terus bersabar menerima dia yang baru itu? Sayalah sahaja yang harus memendam rindu kepada dia yang dahulu itu? Mengapa saya sahaja yang perlu begitu? Yang perlu berusaha memahami diri barunya sedangkan saya juga memerlukan secangkir pengertian daripada dia? Ke mana mahu saya buangkan kenangan indah bersama dia yang dahulu agar tidak membungkam atma saya setiap kali berhadapan dengan dia yang baru? Dengan kenangan baru yang tentunya tidak seindah kenangan bersama dia yang dahulu? Atau, kenangan yang baru ini tanpa saya sedarnya sebenarnya lebih indah dari yang dahulu?

Saya rindukan dia yang dahulu? Saya mahukan dia yang dahulu? atau? Saya perlu terima dia seadanya? Saya perlu belajar ceria dengannya? Saya perlu matang menerima segalanya?

Persoalan? Persoalan? Semuanya tersoal namun tiada yang dapat saya jawab tuntas. Saya masih berterbangan mencari jawapan pasti untuk saya sendiri. Dia tetap seperti dia yang kini. Tidak mungkin memikirkan saya yang kini dan dahulu yang ditinggal pergi. Saya sahaja yang punya persoalan dan mencari jawapan. Tidak dia yang bertemu bahagia dengan diri yang kini.

Saya, hilangkan rindu. Lakari madah jiwa dan kenangan indah di butiran pasir pantai duka. Biarkan ombak menghakis segala agar terlerai kusut jiwa.

Salam saya untuk dia ... yang dahulu ... yang baharu.