Selasa, 20 April 2010

RP ERACEMERLANG PUBLISHING SDN. BHD. DILULUSKAN

ALHAMDULILLAH, pembentangan Rancangan Perniagaan (RP) bagi kuliah Keusahawanan Seni yang dikendalikan oleh En. Ridzuan Masri semalam berjalan dengan lancar. Lebih menggembirakan, pembentangan kami benar menarik minat pensyarah yang akhirnya meluluskan RP kami. Pembentangan kami tidak mendapat sekatan mahupun halangan daripada En. Ridzuan untuk meneruskan pancaran slide-slide kami seperti yang berlaku pada kumpulan lain. Menyeronokkan juga apabila kami dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh rakan siswa lain dalam sesi soal jawab.

Sekiranya pensyarah akan meminta pembentangan daripada kumpulan lain 'dilangkah-langkah', pembentangan kami pula tidak mendapat sebarang masalah dan kami berjaya memancarkan kesemua 40 slide kami. Pengaplikasian smart art dalam power point banyak membantu. Setelah cikgu mengumumkan bahawa RP kami diluluskan, kami berasa sangat gembira. Tahu sajalah bagaimana sukarnya apabila siswa penulisan perlu berhadapan dengan akaun, kira-kira dan segala perihal penerbitan yang tidak konvensional dengan diri kami.

Kami melakukan RP setebal 45 halaman dengan penuh susah-payah. Membayangkan seolah-olah syarikat penerbitan kami telah wujud dan berusaha untuk mendapatkan pinjaman daripada Bank Rakyat untuk membantu kami menerbitkan pula e-book, buku ilmiah dan ensiklopedia. Segala butiran kami lakukan dengan terperinci sehingga tidak mendatangkan soalan-soalan maut daripada cikgu.

Syarikat kami iaitu EraCemerlang Publishing Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada Februari 2009 dan berhasrat untuk menambah bilangan judul buku yang mengikut statistik adalah sangat sedikit jika dibandingkan dengan nisbah jumlah penduduk di Malaysia iaitu sebanyak 27 juta. Jumlah 15, 767 judul buku setahun adalah sangat sedikit dan kami berasa bertanggungjawab untuk menambah bilangan tersebut.

Kami telah membuat kajian dan mendapati bahawa negara-negara maju seperti Korea, Jepun dan Perancis mencatatkan jumlah penerbitan judul buku yang sangat banyak dalam setahun iaitu masing-masing 40,000, 50,000 dan 70,00 judul buku setahun. Jumlah ini memperlihatkan betapa buku yang merakamkan segala ilmu pengetahuan itu berperanan penting dalam menjana masyarakat dan negara yang maju.

Kami juga dengan yakin menyatakan betapa peningkatan kadar literasi masyarakat Malaysia iaitu sebanya 93.2% turut memperlihatkan bahawa masyarakat Malaysia mampu memupuk minat membaca dengan lebih mendalam. Apatalah lagi apabila pihak kerajaan kerap kali menguar-uarkan kempen mari membaca bagi mewujudkan masyarakat berilmu dan rajin membaca. Sementelahan itu, 2.5 billion setahun yang disumbangkan industri buku terhadap perkembangan ekonomi negara juga menunjukkan bahawa perniagaan yang sedang kami lakukan ini begitu pesat membangun dan diyakini tidak akan mendatangkan kerugian. EraCemerlang Publishing Sdn. Bhd. mempunyai tujuh orang pemegang saham. Syer bagi setiap pemegang saham bergantung kepada modal yang disumbangkan dalam penubuhan syarikat.

Sebaik-baik sahaja kami keluar dari Dewan Kuliah Utama, rakan-rakan (perempuan) berpelukan sesama sendiri. Memang akan menimbulkan tanda tanya daripada rakan-rakan fakulti lain akan sebab kami terlalu gembira seperti itu. Akan tetapi, hanya kami saja yang tahu betapa tertekan dan payahnya melakukan tugasan ini. Oleh hal yang demikian, kejayaan membentangkan RP tersebut sangat memberi makna yang besar kepada kami semua.

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua rakan kongsi yang memberi kerjasama dengan baik. Terutamanya kepada Kak Rozi yang menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan begitu juga kepada Siti Fairuz Mohd Rawi yang bertungkus-lumus menjaga akauan dan kiraan syarikat kami dengan bersungguh-sungguh.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar