Minggu, 31 Oktober 2010

Seorang Kakek Berjalan "Tanpa Kepala?"

Seorang kakek kelihatan berjalan sendiri. Namun ada yang aneh dan mengerikan... Dia berjalan tanpa kepala...

:
:
:

:
:
:
:
:
:
:
Coba kita lihat dari depan...
:
:
:
:
:
:
Lebih dekat...
:
:
:
:

:
:
:
Wah... Kasihan..
Kakek tua ini mengalami sakit, sehingga dia berjalan harus seperti itu...
:(


Pesan moralnya: Hormatilah orangtua.....

MEMAHAMI HAKIKAT KEUNGGULAN BAHASA MELAYU


Tersiar dalam Dewan Bahasa, November 2010

Foto-Foto Dengan Latar Belakang Yang Aneh dan.. Lucu

Foto-Foto Dengan Latar Belakang Yang Aneh dan.. Lucu..











Kamis, 28 Oktober 2010

MENJADI PENULIS?

SAYA jarang membaca majalah sebaik-baik saya menerima sebuah majalah. Jika membaca Dewan Sastera, saya akan tertarik untuk membaca tulisan Baha Zain, Shahnon Ahmad seterusnya membeleknya berulang kali, hari-hari kemudiannya barulah saya menyambung bacaan sehingga selesai. Akan tetapi, hari ini saya terpaut untuk membaca tulisan Siti Jasmina Ibrahim dan Mahizan Hussain.

Tulisan Mahizan Hussain dalam DS November 2010 sangat menyentak naluri saya. Ketabahannya menarik perhatian saya, terutama pada bait kata "Semua kemudahan dan ilmu yang berada di hujung jari juga tidak ada pada zaman saya. Saya harus "merangkak" dan "bertatih" sendiri bermula dari kosong. Saya belajar hanya daripada nyalaan semangat dan bakat yang Allah berikan. Saya jatuh, bangun, tertiarap, tersungkur sendirian. Tiada siapa yang merangsang saya untuk berjaya sebagai penulis termasuklah keluarga saya sendiri. Menjadi penulis adalah urusan saya. Oleh yang demikian, sekiranya saya jatuh terduduk, saya harus bangun sendiri. Itu urusan peribadi saya yang tiada kaitan dengan sesiapa pun jua."

Saya juga, begitu. Menjadi penulis (kalau boleh digelar penulis bagi saya masih mentah ini) adalah pilihan saya yang bukan lahir dari rahim seorang penulis mahupun keluarga yang cinta sastera. Memilih Fakulti Penulisan, ASWARA adalah takdir pilihan saya. Saya bersyukur atasnya. Seorang guru berbudi yang akan saya kenang sepanjang hayat pernah berkata kepada saya "latar belakang bukanlah penentu kejayaan ..."

Sabtu, 23 Oktober 2010

Setelah Mencuba...

Oktober 23, 2010
Akhirnya setelah beberapa ketika mencuba mencipta satu blog, akhirnya berjaya jua. Walaupun x ada info, pengetahuan dan pengalaman, akan aku perlahan-lahan pelajari.

Jumat, 22 Oktober 2010

TUNGGU TEDUH DULU BUKAN CERITA CINTA BIASA

TUNGGU TEDUH DULU mengisahkan perjuangan seorang wanita bernama Salsabila Fahim yang diuji dengan pelbagai dugaan. Dugaan yang menguji kekentalannya sebagai wanita muslimah dan pemilik jiwa yang berpaksikan tauhid kepada Allah. Setelah kematian ayah, Salsabila Fahim berusaha mendidik rasa benci terhadap ibu tiri yang selama itu bersikap dingin terhadap dirinya, sehingga membuatkan dia mencari teduh kasih ibu saudara. Namun demikian, Salsabila Fahim mempunyai keteguhan jiwa yang jitu hasil didikan almarhum ayah dan tarbiyah usrah yang dikutip sepanjang pengajiannya di Amerika Syarikat.

Sebagai seorang anak yang mewarisi tanah arwah ayah, Salsabila Fahim tekad tidak mahu mensia-siakan tanah warisan tersebut yang menyimpan pelbagai kenangan. Tanah itu dibangunkan sebagai kawasan penanaman betik yang diusahakan bersama sahabat baiknya, Teh Sofia. Usaha membangunkan ladang Teduh Dulu bukanlah mudah kerana mendapat pelbagai dugaan. Selain berurusan dengan masalah membangunkan Teduh Dulu, Salsabila Fahim diurung resah gelisah memikirkan hubungan perasaan yang terjalin antara Lam Ping Hai, Kamil dan dia sendiri. Lam Ping Hai dan Kamil yang bersaing sejak kecil untuk memperisteri Salsabila Fahim dan terus bersaing ketika masing-masing mencapai usia dewasa.


Di sini, Salsabila Fahim digambarkan sebagai seorang wanita yang begitu sukar membuat pilihan untuk memilih calon suami yang terbaik antara Lam Ping Hai dan Kamil. Bagi Salsabila, dia tidak sanggup menghancurkan hati kedua-duanya, kelemahan Salsabila adalah kesukarannya untuk membuat keputusan yang tidak melukakan setiap perasaan. Lantas, Salsabila Fahim memohon petunjuk Allah dengan membawa diri dan ibu tirinya menunaikan umrah di Makkah. Atas kuasa Allah, Salsabila Fahim kehilangan ibu tirinya di sana dan mendapat pula suami tidak lama selepas kematian ibu tiri. Takdir yang menjawab segala persoalan cinta yang berlegar di sekitarnya sekian lama. Sazli, seorang lelaki yang lebih muda, pernah bekerja dengannya di ladang dan pernah melamar cintanya malah, menyelamatkan Salsabila Fahim daripada menjadi habuan nafsu serakah adik tiri sendiri iaitu Shahruzzaman Fahim.

Pernikahan mengejut antara Salsabila Fahim dan Sazli membuatkan Kamil membawa diri ke Sabah. Manakala, Lam Ping Hai yang menggunakan Saifullah sebagai nama Islamnya menerima segala-galanya dengan reda dan hati yang terbuka lantaran keimanannya yang kuat terhadap kekuasaan takdir Allah. Malahan, Lam Ping Hai menjadi orang kanan dalam perusahaan Teduh Dulu yang berkembang di Jogjakarta, Uganda dan pelbagai perencanaan melebarkan perusahaan ke serata dunia :

Terngiang tiba-tiba, "Aku berani Salsabila kerana dua kalimah syahadah yang aku ucapkan itu. Ia adalah ikrar dengan lidah dan terzahir keyakinan dalam hati."

Saya senyum, memikirkan sungguh-sungguh Lam memahami kata-kata atta'arif atau "aku mengaku" pada kalimat asyhadu. Juga dia mengerti dengan zahir pada syahadah, pada kalimat asyhadu tersebut ada juga kalimat akhbaru atau "aku mengisytiharkan". Dan saya tersentuh apabila Lam mengaku yang dia usai mempercayai perkara jodoh yang tidak kesampaian pada kalimat asyhadu itu juga.

"Asyhadu itu juga mengandung kalimat a'budu atau "aku tunduk". Maka Salsabila inilah caranya, menunjukkan betapa diri tunduk dengan qadak dan qadar. Tuhanlah yang lebih pandai kerana setiap satu adalah kepunyaan-Nya."

Sekali imbas, novel ini persis kisah cinta tiga segi yang berlambakkan baik dalam pasaran buku mahupun layar. Walau bagaimanapun, bukanlah isu cinta tiga segi dan perusahaan betik itu yang diutamakan. Hal ini telah pun ditegaskan oleh Salsabila Fahim sebagai narator melalui petikan berikutnya dalam bahagian Prolog:

Namun, biar saya mengingatkan, cerita ini bukan cerita cinta tiga segi. Ia lebih daripada itu. Ia cerita tentang pengorbanan manusia kepada Tuhan, cerita tentang takdir yang sangat manis setelah dikecap. Ini cerita bagaimana saya menunggu teduh dalam ribut. Ini cerita mengenai hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Penciptanya. Ini cerita bahawa hakikat seluruh alam semesta ini berasal daripada Allah dan akan kembali kepada-Nya, tidak dapat tidak (2008:6-7).

Kisah kehidupan Salsabila Fahim adalah landasan falsafah yang diketengahkan pengarang secara sedar. Tunggu Teduh Dulu membawa pembaca untuk mengesan dan menginsafi semula, hakikat lafaz syahadah yang disebut berulang kali, saban hari. Mengajak pembaca mengenang kembali sirah perjanjian insan dengan Tuhan di alam sebelum kelahiran. Segala kesulitan, ujian dan dugaan yang dihadapi oleh Salsabila Fahim adalah rencana yang ditetapkan Tuhan untuk menguji takah iman setiap hamba-Nya. Segala ujian bukanlah bermaksud Tuhan berlaku zalim sebaliknya menyimpan hikmah yang hanya dapat dilihat dengan mata hati yang bersandarkan pada tauhid yang kuat terhadap kekuasaan Allah.

Salsabila Fahim seorang wanita biasa. Wataknya tidaklah sempurna dan dapat dilihat pada kebiasaan-kebiasaan yang dipaparkan sebagai wanita. Namun, kekuatan Salsabila Fahim adalah pada keteguhannya meyakini betapa setiap perkara yang berlaku terkandung dalam rahsia Allah. Ujian yang datang mengandungi rahsia dan hanya boleh disingkap dan diterma dengan iman dan takwa, itulah kejituan peribadi Salsabila Fahim.

Saya mengambil masa yang lama membaca karya ini sehingga tamat. Saya sengaja bertindak demikian. Ya, karya ini berjaya memancing pembaca untuk mengetahui pengakhirannya dari sudut Prolognya lagi. Namun, saya bukanlah pembaca yang akan segera menyelak halaman terakhir untuk segera mengetahui penamatnya. Saya tidak pernah dan tidak suka berbuat begitu. Maka, dua minggu saya peruntukkan untuk membaca hingga tamat karya ini. Saya sengaja juga membaca karya ini lambat-lambat, kerana berasa begitu tenang sepanjang membacanya. Kisah Salsabila Fahim memang bukan kisah biasa. Ya, barangkali pada permukaannya memang kisah itu hampir sama dengan kebanyakan kisah yang ada namun pengisian, pengertian yang dibawa Salsabila Fahim itulah yang membuatkannya luar biasa.

Sepanjang membaca karya ini, terutamanya pada bab terakhir sebelum Epilognya, jiwa saya terasa bagaikan air di lautan tanpa ombak besar. Terasa diri berada di atas bot di tengah segara. Terbuai dan nyaman yang bukan dibuat-buat. Berbeza sekali dengan karya Bedar Sukma Bisu yang membuatkan saya berasa lemas sehingga kini dan lelah untuk menghabiskannya. Karya ini menghanyutkan saya di tengah lautan tenang sehingga membuat saya tidak mahu pulang ke daratan. Ketenangan pada didikan yang diberi oleh Salsabila Fahim, meskipun memerlukan perjuangan yang tinggi untuk diimplementasikan.

Tunggu Teduh Dulu, naratif yang tidak sia-sia untuk dibaca berulang kali.

Kamis, 21 Oktober 2010

RUANG RINDU

OKTOBER, dan nanti November menjengah tiba. Serasa bagai tiada rasa. Yang ada cuma rindu tanpa kata. Ya, saya sangat merindui semester tiga yang telah lama berlalu. Semester itu, meskipun semester paling sibuk dengan jadual paling padat namun sangat membahagiakan dan menggembirakan. Barangkali kesibukan itu yang mendatangkan kepuasan. Berbanding dengan semester akhir ini yang terlalu senggang dan lengang. Hanya tiga hari berkuliah dan selebihnya adalah masa perjuangan menyiapkan tugasan dan projek penentu masa depan?

Semester tiga diibaratkan saya dan rakan-rakan persis menyelam di dalam lumpur dan berenang di atas bara. Penuh dengan keletihan, kesibukan dan tersisip juga kontroversi yang membawa kemenangan. Saya benar-benar rindu semester tiga. Kesibukan itu membuatkan saya tidak pernah ada masa untuk berleka. Kepadatan jadual itu sentiasa menggembirakan saya walau ada masanya terlalu lelah. Sampai bila-bila, saya tidak akan melupakan semester tiga, dan saya akan sentiasa merindui semester tiga.


Setiap semester, saya akan menampal jadual pengajian di dinding. Biar mudah saya melihat apa-apa yang perlu saya lakukan dan apa-apa yang perlu disegerakan selalu. Habis semester, jadual-jadual itu akan saya simpan di dalam fail khusus dan lipatan kenangan. Ketika meninjau sebuah fail, saya menemui jadual semester tiga yang sangat saya rindui. Suasana, persekitaran dan kesibukan yang menggamit perasaan rindu terhadapnya. Terima kasih, semester tiga. Dalam menanti hujung ini, rindu kenangan itu menggamit kalbu.

Rabu, 20 Oktober 2010

BAHTERA RINDU MALAM KELABU


Tuhan,
malam ini kulayarkan bahtera
rindu tanpa pesan.
Kembalikan dirinya yang dahulu
untuk aku bebas pilu;
...membuang bungkam kelam
dan mendakap kasih rindu
sungguh, dia yang dahulu
aku tunggu selalu.

Minggu, 17 Oktober 2010

TERIMA KASIH ALAM


Malam, terima kasih menjengah datang
memberi ruang untuk aku berfikir panjang.
Bulan, terima kasih setia cahaya
menyuluh langkah, untuk aku memugar gelita.
Bintang, terima kasih berbahagi sinar
...menunjuk jalan, agar tidak aku tersasar.
Alam, terima kasih segala rahsia
mendidik aku dengan variasi warna ceritera

Selasa, 12 Oktober 2010

BERAT ...


Berat, menanggung sesuatu yang berat memerlukan lebih
kudrat dan semangat ....

Jumat, 08 Oktober 2010

BAHASA JIWA BANGSA

SEBAGAI orang Melayu, saya berasa tersinggung dan terkilan dengan sikap tidak endah segelintir golongan yang seolah-olah menidakkan kehadiran bulan Oktober setiap tahun sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Tiada siaran langsung diadakan bagi majlis pelancaran BBK yang telah diadakan di Ipoh, Perak awal bulan ini seperti siaran langsung untuk setiap acara lain. Kempen-kempen sama ada di stesen radio dan televisyen kerajaan apatah lagi swasta sukar kedengaran. Lagu "Bahasa Jiwa Bangsa" semakin tenggelam hilang. Sedangkan, Bulan Bahasa Kebangsaan bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri serta citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.

Adalah sangat mendukacitakan sekiranya pemimpin sendiri tidak memandang BBK sebagai satu agenda penting dalam memelihara martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Apakah mereka lupa betapa bahasa kebangsaan ini ialah bahasa yang menjadi komunikasi utama rakyat di Malaysia? Atau, mungkin keistimewaan bahasa ini telah semakin pudar, sirna dan kelam dalam hati dan fikiran mereka sehingga dengan begitu bersahaja megah bertutur dalam bahasa asing setiap kali berbicara dengan masyarakat melalui kaca televisyen walaupun Oktober masih awal.

Sekiranya kepimpinan dan orang Melayu sendiri meminggirkan kehadiran BBK yang hanya sekali dalam setahun, apakah yang akan terjadi dengan nasib bahasa Melayu pada masa depan? Sebuah bahasa yang pernah mengalami zaman kegemilangan, diiktiraf sebagai lingua franca oleh cendekiawan luar tetapi diperlekehkan oleh pemilliknya sendiri. Bagi saya, adalah satu hal yang mustahil untuk bahasa Melayu dipertahankan oleh bangsa lain selain bangsanya sendiri. Namun, melihat pada situasi dan keadaan genting yang dialami bahasa Melayu, tidak mustahil pula bahasa kebangsaan ini boleh berkubur tanpa nisan di tangan bangsanya sendiri yang sengaja melupakan kepentingan dan ketinggian martabat bahasa ini yang perlu dipelihara.

Setiap negara maju seperti Jepun, Korea, Perancis sendiri berbangga dengan bahasa mereka sendiri. Ketekalan menggunakan bahasa rasmi negara masing-masing bukanlah penghalang untuk mereka menjadi maju dan digeruni oleh seantero dunia baik dari aspek kepimpinan, kemajuan dan daya saing yang tinggi. Bulan Bahasa Kebangsaan hanyalah satu simbol pengiktirafan yang menjadi usaha beberapa badan untuk mendekatkan masyarakat kepada jati diri bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi negara yang berbilang kaum ini. Namun demikian, usaha ini tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya tindakan susulan tidak selaras dengan matlamat kewujudannya.

Apakah ada yang hilang ingatan tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa penghantar sistem pendidikan, bahasa rasmi negara berpelembagaan, bahasa komunikasi rakyat seharian sehingga semakin dipinggirkan?

Selamat menyambut
Bulan Bahasa Kebangsaan dengan menyemai rasa cinta dan hormat akan bahasa kita ini. Semaikan di dalam nurani, bahasa jiwa bangsa. Andai hilang dan lenyap bahasa kita, maka apakah yang terjadi pada bangsa kita?

Selasa, 05 Oktober 2010

CATATAN PERKONGSIAN BUAT PENCINTA KUCING

SAYA tidak pernah menyangka betapa memelihara kucing secara serius sebagai haiwan peliharaan itu memerlukan kos yang tinggi. Sejak kecil, saya memang mempunyai banyak anak kucing. Sehingga hari ini, yang setia menemani emak dan keluarga saya ialah Boboy. Kucing baka British Blue, anak kepada Tuti yang mati pada tahun 2006. Boboy dilahirkan pada 28 Mei 1995. Ketika itu saya baru darjah dua. Tidak pernah kucing-kucing peliharaan saya mendatangkan masalah atau ditimpa sakit yang serius.

Akan tetapi, hal ini berlaku sebaliknya kepada guru saya. Saya percaya betapa itu ialah ujian Allah kepada cikgu. Sejak awal tahun ini sehingga bulan ini, cikgu diuji dengan kesakitan Abi dan Omi yang serius. Setelah Abi diserang sawan, kini Omi pula mengalami masalah keradangan pundi kencing. Kos rawatan sudah mencecah RM4000 untuk Abi dan Omi. Hal lebih serius apabila Omi kini sedang berdepan dengan penyakit keradangan pundi kencing. Setelah enam hari Omi tinggal di wad Hospital Veterinar Gasing, Petaling Jaya, dia dibenarkan pulang pada Ahad yang lalu.

Sakit keradangan pundi kencing itu berlaku biasa bagi kucing jantan, kata Dr. Goh. Tetapi, saya kurang menerimanya kerana berpuluh ekor kucing yang saya pelihara, belum pernah mengalami masalah seperti itu. Menurut cikgu, masalah bermula apabila najis kencing Omi mengandungi darah yang banyak. Dalam masa yang sama, Omi sukar untuk membuang air kencing, malah mengambil masa yang panjang sehingga 20 minit untuk kencing, tetapi tidak setitis pun yang keluar.

Apabila cikgu menghubungi tiga orang doktor, mereka mengatakan bahawa gejala itu adalah sangat serius. Sekiranya seekor kucing tidak boleh membuang air kencing dalam masa 24 jam, maka urin itu akan masuk ke dalam salur darah dan memberi toksin kepada seluruh badan. Hal ini akan menyebabkan kematian dengan tanda awal pucat di bibir dan mulut yang berbuih. Setelah mendapati Omi mengalami masalah itu, cikgu segera membawa Omi menaiki teksi (masalah guru saya ini adalah ketakutannya untuk memandu jauh dari rumah walaupun mempunyai kenderaan). Tiba di hospital, cikgu melihat sendiri empat orang doktor cuba membuat 'unblocked' pada penis Omi. Omi diberi suntikan sedatif dalam masa 10 minit selain dimasukkan air ke dalam badannya.

Dalam masa itulah Dr. Tan, Dr. Goh, Dr. Chin dan Dr. Prem berusaha menebuk lubang pada penis Omi untuk memasukkan 'urine carter'. Air kencing Omi dikeluarkan sementara melalui alat itu. Selepas proses 'unblocked', Dr. Chin yang agak marah kerana lewat membawa Omi ke hospital dengan alasan kerja segera membuat imbasan pada pundi kencing Omi. Kelihatan di situ timbunan kristal halus yang terbentuk hasil daripada urin yang tidak keluar. Sekatan pada penis Omi berlaku apabila terlalu banyak mendapan tersebut sehingga menghalang urin keluar, manakala darah yang keluar pula akibat luka yang dihasilkan oleh kristal halus pada dinding pundi kencing. Kristal itulah yang perlu dibuang dan tidak ada cara lain melainkan Omi perlu kencing sendiri.

Menurut Dr. Chin, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada pembentukan kristal itu dan tidak tertakluk kepada satu faktor. Antara faktornya ialah pemakanan, kurang minum air, stress (kucing, haiwan yang sangat mudah stress). Timbunan kristal nampak lebih jelas apabila Dr. Tan mengepam air ke dalam pundi kencing. Taburan kristal itu akan bergerak sebelum mendap semula. Untuk manfaat dan pengetahuan pencinta kucing juga, cikgu mendapat pengetahuan baru oleh doktor betapa makanan biskut kucing yang biasa terdapat di pasaran dan iklan itu tidak baik untuk kesihatan kucing kerana kandungan garam yang tinggi dan lebih berbentuk makanan rapu. Atas sebab kemungkinan faktor makanan, doktor menyarankan secara serius agar makanan Omi ditukar kepada Science Diet Royal Canin yang berfungsi untuk meneutralkan tahap asid dalam badan atau sebaliknya mengikut keperluan sistem tubuh kucing. Yang agak menyukarkan, Omi tidak boleh beralih kepada makanan lain sekiranya mula memakan Royal Canin dan perlu memakan makanan itu seumur hidupnya. Royal Canin hanya dijual di pusat-pusat veterinar dengan harga RM68.50 untuk 1.5 kg. Sekiranya Omi diberi makanan biasa semula, maka tidak mustahil masalah yang sama akan berulang sekiranya faktor penolaknya adalah dari sebab pemakanan.

Setelah enam hari di hospital, Omi dibawa pulang oleh Cikgu Julia dan Cikgu Norhana dengan bekalan ubat-ubatan. Dr. Tan yang begitu lembut dan penyayang meminta cikgu membeli vitamin c (50 mg) yang berfungsi untuk memecahkan kristal itu. Walau bagaimanapun, pemberian vitamin c berlebihan boleh mengakibatkan cirit-birit. Sebenarnya, haiwan seperti kucing mampu menghasilkan vitamin c sendiri, akan tetapi akibat penyakit itu, sistem badan Omi kekurangan vitamin c.

Ada ketika yang salah, saya berasa bersalah kerana sayalah yang membawa induk kucing yang saya temui di tepi jalan iaitu Mimi kepada cikgu pada awal tahun 2006. Akan tetapi, cikgu sentiasa berpendapat bahawa ini ialah ujian Allah kepada dia yang mencintai anak-anak kucing itu sepenuh hati. Lebih aman dan tenang kucing-kucing itu dirawat dengan sempurna daripada diterpa rasa bersalah andai hanya membiarkan mereka kesakitan. Kata cikgu, kucing-kucing yang dipelihara itu adalah tanggungjawabnya, meskipun segelintir bukan pencinta kucing cuba mengkritik hubungan antara kucing dengan tuannya seperti ini tetapi dalam kalangan pencinta kucing, hal ini adalah biasa.

Melihat pada sulitnya ujian memelihara haiwan peliharaan ini membuatkan saya perlu berfikir panjang untuk memeliharanya pada masa akan datang. Buat masa ini, saya berhasrat untuk tidak mahu memiliki haiwan peliharaan pada masa akan datang rentetan komitmen tinggi yang diperlukan seperti itu selagi belum bersedia dengan segala ujian dan harga yang datang bersama kasih sayang itu.

Satu lagi info yang cikgu kongsikan dengan saya adalah tentang daya stress kucing. Terdapat pelbagai cara kucing memperlihatkan stress mereka. Omi memperlihatkan stress dengan menggigit kain, kertas dan melagakan gigi atas dan gigi bawah sehingga berbunyi. Ada juga yang menggigit kuku sehingga habis dan sebagainya. Stress kucing juga dapat dilihat pada turun naik nafasnya yang laju daripada biasa, pada perutnya.

Gasing Veterinary Centre yang berpusat di Jalan Gasing, Petaling Jaya bagi saya menyediakan rawatan dan
perkhidmatan yang lebih memuaskan dengan harga yang berpatutan berbanding kebanyakan hospital haiwan yang terkemuka di Kuala Lumpur dan beberapa yang lain. Hospital ini boleh dihubungi melalui talian 03-77823553, dibuka dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam setiap hari.

Senin, 04 Oktober 2010

PENYEBARAN BAHASA MELAYU DI SAMUDERA


Ulasan bagi buku Bahasa Melayu di Samudera oleh Profesor Asmah Hj Omar, Dewan Bahasa, Oktober 2010