Minggu, 27 Juni 2010

'RASA' MEMBACA

MINGGU lalu saya menemui seorang kenalan dan kami banyak berbicara mengenai buku. Perbicaraan dengannya akan sentiasa terisi dengan ilmu dan penuh hikmah. Topik utama perbincangan kami pastinya mengenai karya-karya besar dan inti ilmu di dalamnya. Sering kali saya berasa rendah diri kerana masih banyak yang belum saya baca. Namun demikian, bukan itu yang ingin saya bicarakan. Berdasarkan tajuk entri ini, saya ingin bercerita tentang 'rasa' membaca.

Ketika dalam perbualan kami itu, kenalan saya ini bertanya kepada saya akan 'rasa' yang saya alami sewaktu membaca karya-karya yang saya pinjam daripada beliau. Pada ketika itu, saya kurang faham apakah maksud 'rasa' itu. Persoalan itu berlegar-legar di benak saya untuk beberapa hari sesudah pertemuan itu.

Lantas, saya menyedari akan beberapa rasa yang saya alami sepanjang saya membaca lima buah buku dalam bulan ini, sejak cuti semester bermula awal Jun lalu. Sejak awal cuti itu, saya telah meminjam lima buah buku iaitu Life is An Open Secret, Bedar Sukma Bisu, Saasatul Ibaad, One Hundred Years of Solitude dan Tuhan Manusia. Tiga daripadanya ditulis oleh pengarang yang sama dan memberi pengalaman rasa yang berbeza untuk setiap karya yang saya baca. Sewaktu membaca, saya sering kali berharap agar dapat membuat ulasan mengenai novel atau sesebuah buku yang saya baca. Namun demikian, saya mempunyai masalah, saya bermasalah untuk mengulas secara terpaksa. Maknanya, mengulas sebuah karya yang agak kurang saya gemari. Saya berharap agar masalah saya ini akan dapat diatasi kerana saya mahu mengulas sesebuah karya bukan atas rasa suka atau tidak, akan tetapi untuk perkongsian. Saya perlu atasi masalah ini!

Baik, di sini ingin sekali saya catatkan setiap pengalaman 'rasa' yang saya alami ketika atau juga setelah membaca lima karya yang saya sebutkan tadi. Kembara membaca saya bermula dengan sebuah buku motivasi Life is An Open Secret yang ditulis oleh Zabrina A. Bakar. Buku ini saya temui di Minerva pada bulan lalu ketika bersama Cikgu Norhana dan Cikgu Julia. Pada masa itu, Cikgu Norhana kepingin untuk membeli buku berkenaan namun tidak berkesempatan. Namun, cikgu berjaya membeli buku itu di MPH pada hari berikutnya. Buku ini mempunyai dua versi, (kalau tidak silap saya). Satu berwarna hijau dan satu lagi berwarna merah hati.

Saya membaca buku versi warna hijau. Buku ini saya baca dalam minggu pertama cuti semester bermula selama dua hari. Ketika membaca buku ini, hati seolah-olah terasa bagaikan ada pesta bunga api di dalamnya. Saya berasa begitu gembira membaca kisah-kisah yang diadun dengan cara yang sangat Islami. Meskipun selama ini saya begitu meminati siri Chicken's Soup, membaca Life is An Open Secret menyedarkan saya bahawa kedua-dua karya ini bagai langit dengan bumi. Ada antara kisah di dalamnya yang menyentuh kalbu, mengusik perasaan yang lantas membawa tangisan kecil di sanubari. Ada yang memberi semangat, membuatkan saya sedar akan kesia-siaan yang ada dan tekad untuk mengubahnya. Pendek kata, saya berasa bahagia dan tenang membaca buku ini. Kata kunci perasaan saya terhadap buku ini ialah bahagia dan tenang.

Setelah menamatkan Life is An Open Secret, saya beralih pula kepada Bedar Sukma Bisu. Novel ini mengisahkan pergelutan perasaan dan cabaran hidup yang dilalui watak utamanya iaitu Wefada. Sewaktu menyertai Akademi Sastera 2009, tidak sedikit bilangan rakan yang mengkaji elemen feminisme di dalam karya ini. Ya, saya akui karya ini seperti karya-karya lain pengarangnya sarat dengan unsur ilmu dan wacana. Dalam Bedar Sukma Bisu, pembaca akan beroleh pengetahuan mengenai ilmu perkapalan dan sistem ekonomi terutamanya sistem ekonomi Islam.

Walau bagaimanapun, saya berasa terganggu dengan olahan perasaan Wefada yang seolah-olah kehilangan punca apabila bertemu dengan 'cinta' barunya, Elemine. Rakan kepada anak tunggalnya. Bagi saya, percintaan itu tidak salah namun cara Wefada berhadapan, bergelut dengan perasaannya itu membuatkan saya berasa begitu lemas dan melambatkan pembacaan saya. Namun begitu, saya tetap meneruskan bacaan saya kerana saya tidak suka menamatkan bacaan separuh jalan. Saya mesti tiba hingga ke akhir halaman untuk mengetahui pengakhiran ceritanya. Itu, perasaan saya ketika membaca Bedar Sukma Bisu, kelemasan dengan watak Wefada.

Setelah bergelumang kelemasan dengan Wefada, saya mendapat kelegaan dan berasa begitu bersemangat dengan Saasatul Ibaad. Novel sejarah ini begitu mengagumkan saya. Ketika membaca karya ini, saya dapat bayangkan secara visual bahawa sekiranya karya ini didrama atau difilemkan, akan ada mukadimah bagi setiap peralihan babak. Hal ini kerana dalam karya ini, setiap fasal yang diturunkan pengarang saya lihat sebagai punca kepada peralihan cerita namun masih terikat pada jalinan plot yang sama.

Dalam masa yang sama, novel ini saya kira mempunyai jalan cerita yang agak ringkas iaitu kisah kebejatan moral Sultan Mahmud, rakyat yang memberontak dan akhirnya Sultan Mahmud mendapat pembalasannya. Malah, isi fasal yang diketengahkan dilihat lebih panjang daripada perincian naratif. Namun demikian, saya tetap berasa tertarik dan seronok membaca karya ini. Pendedahan mengenai fasal-fasal yang diketengahkan menjadi penguat dan objektif utama Saasatul Ibaad. Hal ini merupakan perasaan saya sebagai pembacanya. Malah, keterujaan saya membaca naskhah ini membuatkan saya berasa tidak sabar untuk menulis ulasan mengenainya. Saya berasa seronok dan teruja, itulah perasaan saya terhadap karya ini.

Setelah melalui dua karya daripada pengarang yang sama, saya beralih pula kepada One Hundred Years of Solitude oleh Gabriel Garcia Marquez. Tempo pembacaan saya terhadap karya ini agak lambat, barangkali sangat lambat jika dibandingkan dengan empat buku yang lain. Selambat tempo dalam novel itu sendiri. Awal-awal sewaktu saya diberi pinjam buku ini, kenalan telah mengingatkan saya agar bersabar dengan kelambatan temponya. Secara jujur, saya tidak puas dengan bacaan pertama saya terhadap buku ini. Saya berjanji kepada diri untuk membacanya buat kali kedua. Saya berasa tidak puas kerana masalah saya untuk memahami perjalanan ceritanya dengan sempurna. Nama-nama watak yang kebanyakannya hampir sama juga boleh mendatangkan kekeliruan jika tidak dikendalikan pembaca dengan baik.

Yang paling saya gembira mengenai buku ini ialah saya berpeluang melihat unsur realisme magis yang diadun di dalamnya. Selama ini, saya dimomokkan dengan karya tempatan yang dikatakan sebagai berunsurkan realisme magis, akan tetapi sebenarnya kurang menepati maksud genre itu sendiri. Pembacaan terhadap karya ini meskipun agak sukar kepada saya namun mendedahkan kepada saya unsur realisme magis yang sebenar. Secara langsung, karya ini memberi kesedaran dan membetulkan salah pandangan saya terhadap genre realisme magis. Membaca karya ini mendatangkan rasa kesedaran akan kurangnya penguasaan dan ilmu saya dalam lapangan bacaan.

Akhir sekali, Tuhan Manusia baru sahaja saya tamatkan bacaanya tiga hari yang lalu. Namun, sehingga kini Ali Taqi, Encik Aris, Mohamad, Abang Abbas, Profesor Mahfuz, Zehra dan Andrew Tse masih berlegar-legar di benak fikir dan ingatan saya. Membahagiakan, teruja, gembira dan puas. Itulah gambaran perasaan atau rasa saya mengenai Tuhan Manusia. Novel ini saya sudahkan dalam masa dua hari, jika dihitung dari kuantiti masa, selama tiga jam. Sebenarnya, tidak tergambar perasaan saya ketika sedang dan selepas membaca karya ini. Daripada empat buah karya yang saya sebutkan tadi, Tuhan Manusia paling mendatangkan kepuasaan dan kebahagiaan yang tidak dapat diungkapkan secara jelas.

Novel wacana ini mengisahkan keperitan hati yang terpaksa ditanggung Ali Taqi setelah abangnya iaitu Talha telah berpaling dari agama. Perbahasan mengenai pluralisme, liberalisme, sekularisme dan Islam tulen memberikan pencerahan dan tambahan pengetahuan yang sangat bermakna kepada saya. Membuatkan saya sedar akan isu yang besar tetapi seolah-olah dilihat kecil pada konteks negara kita. Ada antara perkara di dalam karya ini seperti penubuhan FASEH dan persatuan pemikir di peringkat sekolah lagi sangat baik untuk dipandang serius oleh pihak berwajib sekiranya isu murtad ini dilihat serius oleh mereka. Satu hal yang menarik, agak sukar untuk pembaca dihidangkan dengan tiga kata ganti diri atau sudut pandangan yang berbeza dalam satu karya. Namun, karya ini mengetengahkan ketiga-tiga sudut pandangan iaitu sudut pandangan orang pertama, sudut pandangan orang kedua dan sudut pandangan orang ketiga. Meskipun saya berasa jarak emosi saya dengan Ali Taqi wujud ketika pengarang menggunakan sudut pandangan orang kedua iaitu Kau, Engkau, namun saya masih dapat mencerna isinya lantas menenggelamkan rasa tidak senang saya terhadapnya.

Membaca karya ini memberi kepuasan, kebahagiaan dan pengetahuan yang tidak dapat saya gambarkan. Kegembiraan ini saya kongsikan bersama rakan-rakan FB. Ada yang mengakui rasa yang sama dengan saya dan ada yang kepingin untuk mendapatkan novel wacana ini kesan perbincangan kami mengenainya. Seingat saya inilah kali pertama saya berasa begitu bahagia dan mencapai kepuasan semasa dan selepas membaca. Barangkali saya pernah juga merasainya sebelum ini namun untuk yang kali ini, saya 'merasai'nya secara sedar.

Ya, saya sedar. Kesemua novel yang saya sebutkan dan saya baca itu bukanlah novel-novel yang terbaharu dan terkini. Walau bagaimanapun, pengalaman dan perasaan yang saya lalui melaluinya sangat berharga. Terima kasih kepada yang memberi pinjam dan memberi kesedaran kepada saya akan 'rasa' membaca.

MEMAHAMI ISLAM LIBERAL DAN ISLAM TULEN DALAM WACANA TUHAN MANUSIA

APABILA manusia hanya tahu bertanya dan menjawab berdasarkan logik akal semata-mata, maka akan ada yang cuba menggoda. Akan ada yang menuntun jiwa manusia untuk mencari selain Allah. Pandangan zahir mula melihat al-Quran hanya sekadar teks yang tidak mungkin dapat melawan logika akal manusia. Apabila nafsu untuk mendapatkan kebebasan hidup tanpa batas agama menjadi penghalang, manusia akan mula terarah mencari sesuatu yang akan memudahkan laluan untuk mencari kebebasan yang dimahukan.

Novel Tuhan Manusia merupakan sebuah novel wacana yang sarat dengan inti ilmu untuk santapan minda dan intelektual para pembaca. Melihat kepada gejala murtad, kecenderungan golongan Melayu untuk menerima gaya hidup Barat yang bebas dan lepas tanpa sekatan syariat yang dianggap sebagai tidak relevan dalam arus dunia globalisasi menjadi isu utama dalam karya ini. Naskhah ini mengisahkan kepedihan hati keluarga kepada seseorang yang telah meninggalkan agama Islam dan memilih pluralisme sebagai pegangan hidup. Ali Taqi, pelajar tingkatan lima di Sekolah Kebangsaan Muhammad Jawad melalui kesedihan dan kepedihan hati apabila abangnya iaitu Talha telah berpaling daripada Islam setelah terpengaruh dengan fahaman pluralisme yang dibawa oleh golongan seperti Encik Aris.


Tindakan Talha itu membuatkan ayah Ali Taqi mengalami penderitaan emosi yang mendalam apabila perlu berhadapan dengan hakikat kemurtadan anaknya. Apatah lagi setelah kematian isterinya iaitu Saodah tidak lama selepas berpalingnya Talha. Ayah Ali Taqi iaitu Mohamad, seorang pensyarah yang sudah pencen tinggal seorang diri di rumah mereka di utara negara. Atas kemurtadan Talha, Mohamad enggan mengakuinya sebagai anak. Manakala Ali Taqi pula tekad untuk menguasai fahaman pluralisme dan liberalisme yang semakin menular dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Sebagai remaja yang dimatangkan oleh kemurtadan Talha, Ali Taqi tekad untuk memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai penularan fahaman pluralisme yang menyarankan penerimaan dan persamaan terhadap semua agama.

Perbincangan dan pemahaman Ali Taqi semakin bercambah apabila dia menemui Ustaz Mujtaba untuk mengetahui asas fahaman pluralisme. Sememangnya keinginan Ali Taqi itu mengejutkan Ustaz Mujtaba lantaran tidak ramai atau sangat sedikit remaja dewasa kini yang mempunyai nilai kesedaran yang tinggi dalam memahami dan memerangi gejala murtad. Namun demikian, pengarang mencipta watak Ali Taqi sebagai pemuda gigih jiwa yang berazam untuk menyumbang kepada agenda mematahkan fahaman pluralisme yang dibawa oleh Encik Aris, ayah kepada Zehra yang juga rakan sekelasnya. Pertemuan awal Ali Taqi dengan Ustaz Mujtaba dilihat sebagai perintis perjalanan Ali Taqi untuk mendalami ilmu pluralisme, bukan untuk menyertainya akan tetapi sebagai persediaan mematahkan setiap agenda pluralisme yang boleh mempengaruhi pemuda seperti dia dan Talha. Hal ini dikemukakan pengarang melalui sudut pandangan pertama Ali Taqi dalam wacananya dengan Ustaz Mujtaba :

"Wowo, terima kasih, ustaz." Saya keriangan kerana berasa bertambah ilmu.

Ustaz Mujtaba terus bersemangat. "Ada lagi kesesatan kaum pluralis ini. Kita semak pula faham keempat. Menurut mereka semua agama adalah satu komponen hakikat. Ertinya, hakikat yang benar dan utuh itu sedikit terpecah ke dalam agama Islam, sedikit yang lain terpecah ke dalam agama Kristian dan yang lain pula terdapat dalam agama Hindu misalnya. Jadi tak ada agama yang sempurna. Yang ada hanya hakikat dan kebenaran yang beragam-ragam di sana sini. Jadi pada mereka semua agama sama ... ini membuktikan pluralis seperti bapa Zehra dengan sedar menjadikan pluralisme itu satu agama baru, yang diciptakan manusia, gabung semua, percayakan semua ..."

"Dahsyat!" kata saya hilang bicara (2007:41)

Novel ini dimulakan pengarang dengan perjalanan Ali Taqi untuk pulang ke kota peradabannya di utara negara sempena cuti persekolahan. Sebahagian wacana dan perbincangan muncul dalam imbas kembali ingatan Ali Taqi sepanjang perjalanannya ke kota peradaban. Hal ini dapat dilihat apabila ketibaan Ali Taqi di rumah bapanya hanya berlaku dalam bab tiga belas.

Sebagai langkah awal untuk memberi kefahaman mengenai pluralisme dan kemurtadan terhadap golongan remaja, Ali Taqi, Abang Abbas dan rakan-rakannya seperti Fendi dan Irfam telah mendapatkan kebenaran pengetua sekolah untuk menganjurkan forum mengenai isu terbabit. Hal ini dianggap penting terutamanya oleh Ali Taqi yang tidak mahu remaja seperti Zehra yang asyik dalam fahaman pluralisme bawaan ayahnya, Encik Aris merebak dan menular ke dalam diri rakan-rakan dan masyarakat luar. Ali Taqi tidak mahu peristiwa berpalingnya Talha semakin bertambah. Apatah lagi, adalah penting untuk menambah golongan yang mempunyai pengetahuan dan penguasaan terhadap ilmu berkenaan untuk mematahkan agenda jahat golongan yang cuba menyesatkan dan memurtadkan golongan muslim. Oleh sebab itu, kumpulan remaja berjiwa kental dalam mempertahakan Islam yang dipimpin oleh Ustaz Mujtaba itu telah menjemput dua orang panel untuk membincangkan isu berkenaan dalam forum anjuran mereka.

Forum itu telah membawa pertemuan antara Profesor Mahfuz dengan Encik Aris. Pertemuan kedua-dua tokoh berkenaan mewakili pihak 'Islam liberal' dan 'Islam tulen'. Dalam dialog berkenaan, Profesor Mahfuz telah menerangkan kepada pembaca dan khalayak forum mengenai fahaman liberalisme seperti sebahagian daripada petikan berikut :

Seorang guru bangun untuk bertanya soalan. Guru tersebut ialah guru sejarah bernama Cikgu Awab . "Saya nak tuju soalan ini kepada Profesor Mahfuz. Pada pandangan profesor kenapa lahirnya gerakan Islam liberal?"

Profesor Mahfuz menyambut soalan penting itu dengan penuh serius. "Gerakan liberal ini ialah bibit gerakan sekularisme. Fenomena ini lahir kerana penjajahan Barat ke atas negara-negara Timur dan rantau Islam. Kemudian dunia Islam ketinggalan pula dalam bidang sains dan teknologi. Sikap umat Islam terhadap dua keadaan inilah yang menyebabkan fenomena Islam liberal ini muncul.

Sikap pertama ialah orang Islam berasa rendah diri dan menerima kemunduran mereka. Sikap kedua terbentuk pada segolongan orang Islam yang beranggapan agamalah penyebab kemunduran ini lalu mereka meninggalkan agama terus dan tergila-gilakan Barat. Sikap ketiga ialah sikap sekelompok umat Islam yang bersetujut memang agamalah penyebab kemunduran maka mereka menyarankan tafsiran baru terhadap agama (2007: 196-197)

Ujaran jawapan Profesor Mahfuz yang padat mengenai liberalisme dan sekularisme memberikan tekanan kepada Encik Abbas dan Zehra sendiri. Namun demikian, setiap penerangan Encik Aris mengenai 'kebaikan' pluralisme disambut dengan ejekan dan lafaz istigfar oleh khalayak dewan perhimpunan. Encik Aris juga telah menyalahgunakan kata-kata ahli falsafah sufi iaitu Jalaluddin Rumi yang telah diselewengkan terjemahannya:

The lamps are different, but the lights is the same atau lampu adalah berbeza-beza, tapi cahaya tetap sama (2007:177)

Walau bagaimanapun, Profesor Mahfuz yang peka akan penyelewengan terhadap kata-kata hikmah ahli falsafah sufi berkenaan telah memberi pencerahan kepada pembaca dan hadirin dewan perhimpunan sebelum menamatkan sesi beliau bahawa bait puisi yang dibacakan oleh Encik Aris itu ialah bait puisi John Hick yang telah diberi kesan baru hasil terjemahannya secara bebas. Profesor Mahfuz menjelaskan terjemahan asal karya Rumi oleh R.A Nicholson iaitu terjemahan asal kepada bahasa Inggeris yang sebenar berbunyi :

The lights is not different, (though) the lamp has become different. Jika dibandingkan kedua-duanya, kita akan dapati terjemahan John Hick adalah terjemahan dan tafsiran yang begitu out of context. Dan memang lampu memancarkan cahaya yang sama tetapi ada banyak jenis cahaya. Cahaya malap tak sama dengan cahaya terang. Sekian, terima kasih. (2007:186)

Perasaan dan fikiran khalayak pembaca ditarik untuk mengikut gerak fikir dan emosi Ali Taqi sepanjang membaca karya ini. Segala kegelisahan, kesedihan dan ketekadan Ali Taqi terhadap berpalingnya Talha dapat dirasai pembaca. Namun demikian, kemuncak perasaan dan tindakan Ali Taqi akan semakin menyentak emosi pembaca pada akhir bab dua belas, iaitu bab yang memuatkan sesi dialog antara Profesor Mahfuz dengan Encik Aris mengenai Islam liberal dan Islam tulen. Dalam akhir bab ini, Ali Taqi yang tidak dapat menahan rasa terhadap kesongsangan fahaman pluralis yang dibawa Encik Aris telah bangkit ke tengah dewan seraya melontarkan soalan yang menyepikan seluruh isi dewan dan memberi tekanan kepada Encik Aris. Ali Taqi telah memperkenalkan dirinya sebagai adik kepada Talha dan mendakwa Encik Aris yang memegang jawatan sebagai editor majalah liberal dan peguam hak asasi telah membantu Talha menjadi murtad. Ali Taqi dengan penuh emosional menuntut penjelasan daripada Encik Aris atas nama arwah ibunya.

Tanpa langsung meninggalkan walau sebentar pun perjalanan cerita mengenai wacana pluralisme dan liberalisme, Andrew Tse sebagai sahabat Alil Taqi telah memberi kejutan kepada teraju utama karya ini sebaik-baik mereka bertemu di kolam, tempat pertemuan mereka. Andrew Tse yang terpaut hatinya kepada Islam melalui wacana sebuah novel telah memberitahu Ali Taqi akan penghijrahannya sebagai seorang muslim. Andrew memohon bantuan Ali Taqi dan ayahnya untuk memberitahu ibu dan bapanya yang masih tidak mengetahui hakikat penghijrahannya. Pengakuan Andrew Tse mendatangkan rasa hiba kepada Mohamad yang menganggap penghijrahan Tse sebagai hadiah berharga buat dirinya setelah berpalingnya anak bernama Talha. Atas keindahan akhlak Ali Taqi dan Mohamad yang sangat dikenali oleh ibu bapa Tse, mereka sendiri berasa terharu dengan tindakan Tse :

"Selama ini saya percaya Encik Mat. Sungguh-sungguh percaya." Encik Tse mengesat air mata yang turun dalam diam.

"Maafkan saya, ayah ..." Tse turut teresak.

"Bila anak Encik Mat masuk Kristian, dia lari begitu sahaja ... lari begitu sahaja. Anak Encik Mat tinggalkan Encik Mat, dan sekarang ..."

Tse menangis beria-ia. Engkau mahu membuka mulut tetapi abahmu memegang lenganmu meminta supaya tidak bersuara apa pun di saat yang penuh drama tersebut.

"Bila anak saya memilih untuk masuk Islam, Encik Mat pulangkan semula kepada saya. Malah anak saya memilih untuk bersama saya ... selama ini saya memang mengagumi akhlak Encik Mat. Saya ... saya tiada halangan jika beginilah caranya." (2007: 223-224)

Novel setebal 340 halaman ini dipenuhi dengan perbahasan intelektual yang sarat dengan fakta dan sumber rujukan yang diturunkan pengarang melalui dialog para watak yang berwibawa. Talha yang menetap di Sarawak telah meninggal dunia kesan puting beliung dahsyat yang hanya merosakkan rumahnya. Khabar berkenaan disampaikan oleh Encik Aris dan Zehra sebaik-baik Ali Taqi dan Mohamad tiba di rumah setelah pulang dari mengerjakan umrah. Kematian Talha menjadi satu simbolik pembalasan Allah terhadap pengkhianatan yang dilakukannya kepada Allah sendiri. Khalayak pembaca barangkali akan berasa ketinggalan dan kepingin untuk mengetahui proses pembesaran dan kedewasaan Ali Taqi lantaran pengarang terus memperkenalkan Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad dalam bab 20. Watak remaja yang seterusnya bangkit sebagai ahli falsafah Islam lantaran kedurjanaan Talha telah menjadi lulusan Harcard, Qom dan Sorbonne. Ali Taqi berjaya memahami semua masalah yang timbul di Barat, Timur dan juga masalah-masalah dunia Islam.

Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad membesar dan meniti kedewasaan hidupnya bersandarkan pada kata-kata keramat arwah ibunya yang menjadi pembuka bagi setiap bab di dalam novel ini iaitu:

1. Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya dan, menurut ibu, tiang serinya adalah agama (Bab 1-10)

2. Andai kota itu peradaban, rumahmu adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama (Bab 11-15)

3. Andai kota itu peradaban, rumah kita adalah budaya, dan menurut ibu lagi, riang serinya adalah agama (Bab 16-19)

4. Andai kota itu peradaban, rumah utamanya haruslah budaya, dan tiang seri rumah itu hendaklah agama (Bab 20)

Jika diperhatikan, terdapat perbezaan kata ganti nama diri dalam keempat-empat frasa berkenaan. Yang membawa persamaannya ialah frasa berkenaan merupakan peninggalan kata hikmah yang diberikan oleh arwah ibu Ali Taqi. Tinggalan warisan agung berkenaan diperturunkan pula oleh Ali Taqi kepada tiga orang anak dan cucunya, Abbas. Pembaca sendiri pada awalnya akan berasa misteri dengan ungkapan berkenaan, namun pembacaan dan penelitian terhadap fikiran Mohamad, Ali Taqi dan Andrew Tse akan membuka jalan untuk pembaca mentafsir ungkapan keramat arwah ibu Ali Taqi.

Dengan tulisan 'semoga bermanfaat' oleh Profesor Dr. Haji Ali Taqi bin Mohamad terhadap buku yang dibeli oleh Fatimah, anak kepada Zehra, sebegitu jugalah matlamat utama pengarang terhadap karya ini. Sebuah novel wacana yang penuh dengan hikmah, sarat dengan mutiara dan memberi ruang terhadap pencerahan jiwa ini sememangnya sangat bermanfaat kepada para pembaca, terutamanya dalam mendalami ilmu pluralisme dan menghayati soal murtad dari segi hukum dan pelaksanaan yang sewajarnya.

Gaya bahasa wacana yang tidak mengabaikan aspek estetika bahasa dan latar menjadikan karya ini sesuai untuk bacaan setiap khalayak pembaca yang dahagakan pencerahan minda dalam bentuk yang sastera. Dalam masa yang sama, buah tangan Faisal Tehrani yang diterbitkan oleh Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd ini sangat perlu untuk dihayati oleh semua golongan yang cinta akan agama dan pengetahuan dan mendambakan pencerahan rohani.

~Usah jadikan nafsu sebagai Tuhan Manusia, kelak hidup dirundung celaka dan jiwa hilang bahagia~

Jumat, 25 Juni 2010

KETENANGAN DALAM MENULIS

MENULIS itu memberi ketenangan. Prosesnya penuh dengan permainan perasaan tanpa meminggirkan fikiran dan kewarasan. Pada kala kata terakhir dinoktahkan, ada kelegaan yang menjalar. Memberi ruang untuk kembali berfikir dan ada ketika mengimbas kefahaman untuk mencambah pengalaman.

Minggu, 20 Juni 2010

Jika Guru Marah : Terekam Dalam Kumpulan Video

Apa yang terjadi jika tiba2 guru marah di dalam kelas?
Di bawah ada sebuah kumpulan video yang terekam bagaimana guru-guru marah kepada murid2nya.
Ada sebagaian karena handphone murid yang berdering dan ada yang murid memang nakal. Tetapi jika guru sampai marah dengan memukul itu sudah keterlaluan banget.

Sabtu, 19 Juni 2010

SEKADAR CATATAN

SUDAH HAMPIR sebulan saya dan rakan-rakan kuliah berada dalam cuti semester. Insya-Allah, semester enam atau semester terakhir bagi saya dan rakan-rakan akan bermula pada 26 Julai 2010. Masih ada hampir sebulan sebelum mendepani semester akhir. Cuti ini, selain memanfaatkan masa untuk mendapatkan lesen P, saya juga mengisinya dengan membaca novel-novel dan buku-buku yang ada dalam simpanan dan yang diberi pinjam. Kebiasaannya, saya mendapat bekalan bahan bacaan daripada Cikgu Norhana dan seorang kenalan di sebuah institusi. Setelah menekuni Bedar Sukma Bisu dan Saasatul Ibaad, kini saya memberi giliran kepada One Hundred Years of Solitude sebelum memberi ruang kepada beberapa karya dan buku yang lain. Setelah menguliti karya-karya berkenaan, saya mahu pula memfokuskan pembacaan saya terhadap karya-karya yang wajar saya ambil perhatian untuk penulisan Projek Tahun Akhir saya. Antaranya ialah Bukan Lalang Ditiup Angin, Perempuan Dari Setzuan, Mitologi Yunani Greek dan Yang Menjelma dan Menghilang. Saya juga perlu memberi perhatian akan kritikan dan sumbang saran yang saya terima dalam pembentangan prapeta dua bulan lalu melalui beberapa kajian dan penelitian semula terhadap alur cerita yang saya lakarkan.

Selain itu, saya manfaatkan masa untuk membaca beberapa buah buku mengenai bahasa. Antara yang sangat menarik hati saya ialah buku Tuntunan Bahasa yang ditulis oleh Prof. Dr. Awang Sariyan. Insya-Allah, saya akan menulis sebuah ulasan berkenaan buku tersebut. Sebuah tulisan ilmiah yang baik untuk kita selaku masyarakat bahasa Melayu untuk menambah dan memantapkan pengetahuan mengenai aspek kebahasaan. Betul-betulkan yang biasa, biasa-biasakan yang betul.

Setelah hampir sebulan melalui cuti, saya nian rindu pada kampus. Ya, kampus memberi sejarah dan pengertian yang besar kepada saya. Banyak perkara baharu yang saya pelajari dan saya temui di sana. Agak sayu hati saya apabila mengenangkan langkah yang akan menjejak akhir semester. Terasa bagai baru mendaftarkan diri pada 07 Januari 2008 yang lalu, dihantar oleh Cikgu Julia dan Cikgu Norhana ke kampus ASWARA yang sangat asing bagi saya ketika itu. Alhamdulillah, saya sangat gembira berada di kampus sepanjang usia pengajian. Setiap pengalaman, kegagalan, kepayahan dan lakaran sedikit kejayaan merupakan memorabilia yang akan saya kenang sepanjang hayat walau tidak lagi berstatus mahasiswa di kampus berkenaan. Semua itu sentiasa segar di benak fikir saya untuk panduan di masa akan datang. Oleh sebab itulah, wisma maya saya ini sangat kaya dengan catatan kembara saya sebagai pelajar yang akan terus belajar.

Sekadar catatan.

MENDAPAT L

07 JUN yang lalu, saya mendaftarkan diri di sebuah institut memandu. Setelah mengira segala belanjawan, saya memutuskan untuk mendapatkan lesen memandu kelas B2 iaitu lesen menunggang motorsikal. Saya menghadiri Kursus KPP selama lima jam di Segambut selepas dua hari mendaftar. Dua orang penceramah telah memberikan syarahan mengenai pemanduan berhemah dan aspek perundangan yang perlu diambil perhatian. Kursus dimulakan dengan penceramah pertama yang lebih menggunakan pendekatan psikologi untuk menyedarkan bakal pemegang lesen LDL, LDP seterusnya CDL agar menjadi pemandu dan penunggang yang sedar akan tanggungjawab terhadap nyawa sendiri dan nyawa pihak lain. Pada awalnya, penceramah meminta kami menghubungi ibu bapa sebelum kursus dimulakan. Saya menghubungi ibu saya dan memohon doanya agar dipermudahkan segala urusan saya. Sesi yang bermula dari jam 10 pagi itu tamat pada jam empat petang.

Setelah menjalani kursus KPP, saya dan calon lesen L perlu menjalani ujian komputer. Saya telah melakukan persediaan rapi sebelum menduduki ujian komputer berkenaan. Saya yakini, benar-benar rapi. Pengalaman mendengar cerita calon rakan yang turut sama ke Segambut untuk mengulang ujian komputer mengerunkan saya. Apatah lagi, bayaran akan dikenakan sekiranya calon perlu mengulang bagi menduduki ujian komputer. Bagi ujian komputer yang diuruskan oleh pihak JPJ, calon perlu lulus tahap minimum iaitu 42/50 dan perlu dijawab dalam tempoh masa 45 minit. Saya memanfaatkan masa selama empat hari bermula dari hari menjalani kursus KPP sehingga hari Sabtu untuk menelaah buku panduan dan membuat latih tubi 500 soalan. Saya melakukan latih tubi dan menekuni segala buku yang relevan dengan ujian yang bakal diduduki seolah-olah saya akan berhadapan dengan peperiksaan bagi setiap semester. Saya percaya, latihan akan mematangkan pemahaman dan mengurangkan kesalahan. Saya memudahkan fikiran saya dengan meletakkan objektif yang jelas untuk berjaya dalam ujian komputer berkenaan iaitu untuk mendapat ilmu mengenai pemanduan dan cemerlang dalam ujian komputer sekali gus tidak memerlukan saya untuk melakukan ujian ulangan. Objektif yang saya bina sendiri itu saya yakini membantu saya dalam menjawab selain doa ibu, cikgu dan rakan-rakan agar saya berjaya.

Pada hari Ahad, 13 Jun saya dibawa ke Cawangan Peperiksaan JPJ di Seri Gombak seawal jam sembilan pagi. Lama juga menunggu proses pendaftaran dan giliran untuk menduduki ujian. Saya melihat di sekeliling saya akan calon-calon yang tekun menelaah buku panduan masing-masing. Saya hanya menunduk dan menenangkan fikiran. Kebiasaannya, saya tidak akan menggunakan masa-masa terakhir yang ada untuk menelaah dalam semua ujian dan peperiksaan yang pernah saya jalani sejak di peringkat sekolah menengah lagi. Saya akan pastikan saya sudah berusaha bersungguh-sungguh sebelum hari ujian dan masa berbaki yang ada sebelum melangkah ke gerbang peperiksaan saya gunakan untuk menenangkan perasaan dan fikiran. Seringkali saya mengingati dan mengaplikasikan petua Dr. HM Tuah Iskandar menerusi buku Membina Imaginasi Cemerlang yang saya baca pada tahun 2003 lalu. Berikan usaha yang bersungguh-sungguh dan berdoa bersungguh-sungguh, seterusnya berilah kepercayaan kepada minda untuk melakukan kerjanya. Bertawakal dengan jalan yang sebenarnya.

Pada komputer ujian, saya memasukkan nombor MyKad dan nama saya sekali gus mula menjawab soalan yang tertera. Soalan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Bahagian I berkenaan penglihatan, Bahagian II berkaitan sistem tanda dan pemanduan serta Bahagian III iaitu Sistem Kejara. Setiap kali saya menjawab soalan Bahagian I, saya akan menyemak semula jawapan memandangkan jumlah soalan di bahagian berkenaan hanyalah 15. Namun, bagi soalan Bahagian II dan Bahagian III dengan jumlah soalan masing-masing 25 dan 10 soalan. Saya membaca setiap soalan dengan berhati-hati dan satu demi satu. Pada kala itu, tangan saya terasa sejuk dan ingatan saya hanya berpaksi pada objektif saya untuk tidak mahu mengulang ujian. Pada kala berkenaan, itulah motivasi utama kepada saya. Saya keluar seorang diri sambil melihat calon lain masih menekuni monitor masing-masing.

Setelah yakin telah menjawab segala soalan, saya mengklik punat 'Tamat' dan 'Keputusan'. Dengan sekelip mata, keputusan dipaparkan pada skrin monitor dengan reka bentuk lama itu. Saya masih tidak percaya melihat keputusan yang terpapar. Setelah mengklik punat 'Selesai', saya keluar dari bilik ujian dan duduk di kerusi berhadapan meja pegawai, menghulurkan MyKad sambil hati terus berdoa. Sekadar beberapa saat, pegawai bertugas menyerahkan sehelai kertas bersaiz A4 kepada saya. Saya meneliti aksara yang berada pada helaian tersebut.

Alhamdulillah, saya
lulus ujian berkenaan dengan markah 48/50 dalam catatan masa 08 minit dan 18 saat. Saya sendiri tidak sangka saya dapat menjawab soalan berkenaan dengan masa sepantas itu. Saya mendapat markah 14/15 di Bahagian I, 25/25 di Bahagian II dan 9/10 bagi Bahagian III. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Tiga rakan yang turut datang bersama saya terpaksa berdukacita kerana perlu mengulang ujian dengan bayaran RM37.00 untuk sekali cubaan. Setelah lulus ujian komputer, saya mengikuti pula kursus amali selama enam jam di Segambut pada 15 Jun sebagai langkah akhir untuk mendapatkan lesen L.

Insya-Allah, saya akan mendapat lesen L bagi motorsikal pada minggu hadapan dan akan menunggu masa sebulan pula untuk mendapatkan lesen P yang akan digunakan untuk tempoh dua tahun. Insya-Allah, selepas ini bermulalah episod tabung-menabung saya untuk mendapatkan Lagenda idaman.

Minggu, 13 Juni 2010

TATACARA KEPIMPINAN DALAM SAASATUL IBAAD

NOVEL sejarah-politik ini berlatarkan pada tahun 1688 sehingga tahun 1699 masihi bagi latar zaman kesultanan Johor. Manakala tahun 2012 masihi digunakan pengarang sebagai latar masa kini yang menjadi pembuka kepada kisah dalam novel ini. Namun demikian, latar tahun 2012 tersebut hanya muncul sekali sahaja. Walau bagaimanapun, kewujudan latar tahun 2012 dengan peristiwa sesi wawancara antara Dr. Nazmi dengan wartawan Minggunan Nusantara merupakan satu permulaan yang baik bagi memberi keterbukaan minda kepada pembaca sebelum meneruskan bacaan.

Berdasarkan pada wawancara tersebut, Dr. Nazmi (DN) yang usai membentangkan Syarahan Perdana Profesor Dr. Nazmi Abdul Malik berjudul '1699: Saasatul Ibaad dan Revolusi Melayu' di Bilik Canseleri Universiti Kebangsaan Malaysia memberi penegasan akan pendirian dan keyakinan beliau terhadap revolusi menentang feudalisme dan kuasa monarki yang telah sebati di alam Melayu sebenarnya telah berlaku lebih awal daripada Revolusi Perancis yang sering diuar-uarkan sebagai revolusi terawal di dunia.


Berdasarkan kajian mengenai Johor Lama, Dr. Nazmi menegaskan bahawa revolusi mental yang dilakukan oleh masyarakat Melayu di Johor pada tahun 1699 telah membuka dimensi baru terhadap paradigma dan kebudayaan masyarakat Melayu terutamanya dari aspek politik. Revolusi Mental yang dilakukan oleh rakyat pada zaman berkenaan lebih tertumpu pada kepincangan dan kepongahan yang dilakukan oleh Sultan Mahmud Syah yang juga kaya dengan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat jelata. Lebih menimbulkan kontroversi apabila kajian mendapati kecenderungan seksual Sultan Mahmud Syah yang dilenyapkan oleh sejarah dan istana. Pusat kajian Dr. Nazmi terhadap sahsiah Sultan Mahmud Syah memberikan gambaran bahawa terdapat pandangan 'mulia' rakyat terhadap kedudukan sultan yang perlu diperbetulkan demi memelihara akidah dan keharmonian negara dan rakyat jelata:

DN : Apa yang berlaku pada tahun 1699 ialah penindasan spiritual yang dahsyat sehingga rakyat memerlukan jalan keluar. Asiah isteri Firaun misalnya hidup dalam istana yang mewah dan serba cukup tetapi masih melawan dalam senyap kerana dari segi rohaniahnya masih tertindas dan dizalimi. Hak Asiah untuk mengesakan Allah, untuk beriman, untuk mengamalkan akhlak yang mulia dicabul Firaun. Revolusi senyap Asiah ini dihargai Allah dan dinobat sebagai salah seorang penghulu wanita di syurga. Adalah penting untuk kita fahami, revolusi 1699 ini berlaku jauh lebih awal sebelum berlakunya revolusi 1979 di Iran yang mempunyai maksud yang sama; iaitu untuk membebaskan diri dari belenggu penindasan spiritual.

Sultan Mahmud telah mengabaikan pembangunan rohani rakyatnya. Malah menganiaya mereka. Tidak hairanlah rakyat bangkit menentang baginda. Persoalan moral Sultan Mahmud itu hanyalah satu faktor dari banyak faktor yang mendorong revolusi 1699 (2009:5). Wawancara antara wartawan Mingguan Nusantara dengan Dr. Nazmi yang terzahir dalam beberapa helai muka surat daripada keseluruhan Saasatul Ibaad boleh dilihat sebagai satu imbas muka terhadap kisah-kisah yang bakal ditelusuri melalui pembacaan seterusnya. Dalam hal ini, wawancara berkenaan berperanan sebagai penyelongkaran terhadap penemuan Dr. Nazmi akan sejarah Johor Lama yang telah ‘dirahsiakan' sejarah. Pendedahan yang dilakukan oleh Dr. Nazmi merupakan satu tanggungjawab sosial yang dilakukan bagi membetulkan pandangan songsang rakyat yang melihat sultan sebagai 'bayang-bayang Allah' dengan segala kemuliaan sehingga menyembunyikan kesongsangan yang dibawa pemerintah. Secara telus, novel ini mengetengahkan konsep tanggungjawab pemerintah dalam memerintah berdasarkan akidah dan tauhid yang benar terhadap Allah SWT.

Berdasarkan konsep tersebut, pengarang telah mengemukakan enam fasal mengenai etika pemerintahan untuk pemerintah. Fasal-fasal tersebut telah ditulis oleh Orang Kaya Dato' Utama Mahadi Hasan dari Naning. Dato Mahadi Hasan yang terkenal dengan sifat waraknya telah dijemput oleh Bendahara Tun Habib untuk menjadi mualim kepada anakandanya Tun Abdul Jalil. Kebijaksanaan Tun Habib dalam mengendalikan urusan negara bagi mewakili Sultan Mahmud Syah yang masih kanak-kanak telah mendatangkan keresahan pihak Belanda yang sebelum itu sering mendapat 'manfaat' melalui pemerintahan Bendahara Tun Abdul Jamil.

Sebagai seorang pemimpin yang mempunyai kesedaran dan tanggungjawab yang tinggi terhadap agama dan rakyatnya, Tun Habib berkehendakkan agar anakandanya yang akan menggantikan kedudukannya kelak akan menjadi seorang pelaku siasah (saasatul ibaad) yang bijaksana dan mempunyai kekuatan rohani yang tinggi. Bagi Tun Habib, kekuatan rohani seseorang pemimpin sangat penting bagi memastikan golongan yang dipimpin hidup sejahtera. Sikap tidak senonoh Sultan yang lebih menyukai golongan teruna telah menjadi polemik dalam kalangan ahli istana. Usaha Tun Habib dan Dato' Mahadi Hasan untuk menegur kepincangan sahsiah Sultan Mahmud Syah itu tidak mendapat sokongan daripada Raja Fatimah, bonda Sultan Mahmud Syah yang juga gagal mengawal peri laku buruk anakandanya.

Sikap kejam, zalim dan gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan adil mengikut lunas-lunas agama telah menjadi pencetus kepada kewujudan keenam-enam fasal yang diperturunkan Dato' Mahadi Hasan. Boleh dikatakan juga, selain memperlihatkan etika pemerintahan dan kepimpinan, fasal-fasal berkenaan secara halus dengan menggunakan bahasa klasik yang sangat mesra berserta retorik yang indah sebagai nasihat kepada Tun Abdul Jalil dan khalayak pembaca khususunya untuk ditelaah dan diambil manfaatnya.

Fasal-fasal dan petikan inti fasal yang dimaksudkan ialah :

1. Fasal Raja Itu Beriman dan Bertakwa Kepada Allah

Belajar kita dari pengalaman umat terdahulu maka kita dapati bahawa memisahkan ilmu dari iman telah melahirkan kecelakaan yang tiada dapat dihindari. Adalah kerana itulah, iman tidak dapat ia melainkan harus ia berada di bawah liwa ilmu sehingga iman itu akan terjauh ia dari kepercayaan tahayul. Janganlah dipisahkan ilmu dari iman, kerana dengan itu dapat iman itu menjadi kontang, dapat ia ternoda oleh setia buta, kerusuhan jiwa dan membendung manusia dari mencapai tingkatan rohani (2009:38).

2. Fasal Raja Itu Mesti Adil dan Amanah

Inilah ilmu keadilan, dan amanah untuk pembesar, dan raja yang berhak diketahui anakanda. Bahawasanya, adalah keadilan itu wahai anakanda Abdul Jalil secara lughatan ertinya sama dan menyamakan ia. Adapun pengertian kita itu menurut pandangan rakyat jua, adalah keadilan itu menjaga akan raja hak-hak orang. Maka faham kita akan keadilan itu adalah ia lawan kezaliman yang membawa pengertian merampas kita akan hak-hak orang lain (2009: 83).

3. Fasal Raja Itu Mengerti Setiap Rakyat itu Berjiwa Merdeka

Anakanda Abdul Jalil, adalah menjadi satu keutamaan akan kebebasan rohani itu adalah lepas dari apa macam keadaan, hubungan atau nisbah yang tidak diinginkan. Yakni kasih sayang seorang ibu dengan segala kerelaan, dan ikhtiarnya tiadalah ia bertentangan dengan kebebasan. Jadi kebebasan atau kemerdekaan manusia itu adalah tiada adanya keterikatan seseorang itu kepada apa-apa keadaan, hubungan atau nisbah yang tidak diinginkannya (2009:117).

4. Fasal Raja Itu Hendaklah Berilmu

Saat kita mengatakan renungan itu adalah ia bermaksud kita mengupas, dan mendapatkan pengajaran dari segala hal yang berlaku bukanlah kita melihat-lihat ia secara sekilas, dan ringkas sahaja. Jika sekadar kita mengetahui apa yang berlaku pada tahun-tahun sekian- sekian misalnya maka itu ertinya kita tiada bersungguh. Yang hendak kita tahu itu anakanda adalah apa ia dapat pelajari, dan apa ia dapat dihindari. Tiada seorang pembesar itu membiarkan sahaja kejahatan kerana barangsiapa yang tiada ia merasa gelisah dengan kejahatan maka dia itu ketahuilah tiada mempunyai kehendak untuk membuat baik (2009:160).

5. Fasal Raja Hendaklah Memberi Hak Perempuan

Anakanda Abdul Jalil, janganlah terpedaya oleh amalan pembesar dan raja terdahulu menjadikan perempuan itu alat pemuas nafsu, dan gundik. Adapun manusia ini secara menyeluruh, tiada kira jantina semuanya ada peluang yang sama untuk dapat ia mencapai nilai sempurna yakni insan kamil. Adalah jaminan hal ini pada Allah itu sebagai Sang Pencipta manusia itu sendiri, yang mana Ia berfirman pada surah al-Ahzab ayat tiga puluh lima : Sesungguhnya lelaki dan wanita yang muslim, lelaki dan wanita yang mukmin Allah telah menyediakan untuk mereka pahala dan keampunan yang besar (2009:189).

6. Fasal Raja Itu Mesti Berakhlak

Adapun akhlak baik yang diajarkan agama itu akan ia melambungkan kita manusia secara peribadi dan umat ke pelabuhan kebahagiaan. Dapat kita, baik raja, atau hamba biasa untuk sampai ke tingkat tertinggi kemanusiaan. Inilah yang dikatakan ghani atau kaya itu yakni manusia itu sudah tidak memerlukan ia apa pun lagi (2009: 218).

Kemuncak narasi dalam novel ini dapat dikesan pada peristiwa kezaliman yang dilakukan Sultan Mahmud Syah terhadap isteri kepada Megat Sri Rama iaitu Siti Jenab. Sultan Mahmud Syah telah membelah perut Siti Jenab yang sedang mengandung secara terbuka dan meminta hamba suruhannya mengeluarkan janin di dalam rahimnya apabila Siti Jenab memberitahu akan sebab utamanya untuk memakan seulas nangka raja adalah kerana 'pembawaan' dan keinginan bayi yang dikandungkan. Kezaliman yang tidak dapat dibendung itu telah mencetuskan pemberontakan dalam kalangan rakyat yang disifatkan oleh Dr. Nazmi sebagai revolusi mental apabila rakyat Johor tidak lagi dapat menerima kedaulatan raja yang zalim meskipun telah dimomokkan sejak zaman-berzaman bahawa sultan atau raja itu sebagai 'bayang-bayang Allah' di muka bumi.

Kesan daripada peristiwa Sultan Mahmud mangkat setelah dilembing Megat Sri Rama ketika sedang berangkat menuju ke masjid. Kematian Sultan Mahmud Syah dianggap sebagai kejayaan rakyat dalam menumpaskan pemerintah yang kejam dan sistem feudalisme yang tidak mementingkan hak rakyat. Dalam masa yang sama, tindakan rakyat mengangkat Tun Abdul Jalil sebagai sultan Johor memperlihatkan keinginan dan kesungguhan rakyat yang tidak lagi mahu hidup dalam kegelapan dan kesesatan sebaliknya kepingin untuk dipimpin oleh seorang sultan yang mampu menunjukkan laluan Islam sebenara dalam kehidupan mereka:

"Pinta kami Dato' Bendahara jadi raja membawa manusia menghambakan Allah. Penat sudah kami berhamba sesama sendiri. Bawakan manusia lepaskan syirik kepada tauhid. Adalah kita percaya itulah kita jadi ditindas begini sampai tiada berani sanggah, tiada berani melawan konon derhaka itu melanggar daulat. Adalah derhaka itu hanya kepada Allah dan Nabi. Terpulanglah Dato' Bendahara membawa kami ke mana, bawalah kami ke negeri ukhrawi. Sudah nahas sangat kami di negeri Johor tiada pemimpin mengajar agama" (2009:255-256).

Menguliti novel ini menuntut pembaca untuk berlapang dada, berfikiran rasional dan memanfaatkan setiap espistemologi yang termuat di dalam karya ini secara berkesan meskipun secara harfiah, karya ini kelihatan membawa plot yang agak mudah. Namun demikian, beberapa kesalahan mikro terutamanya dari segi ejaan adalah sangat perlu diperhatikan oleh pihak editorial agar mampu dibaiki seterusnya mengelakkan daripada berlakunya salah faham terhadap maksud yang cuba disampaikan. Dalam masa yang sama, kesalahan tersebut wajar dielakkan dan diperbetulkan bagi memberi penghormatan terhadap sebuah karya sastera yang mengungkapkan isu yang sangat besar dan berkualiti. Sebagai sebuah karya sastera, novel ini menterjemahkan peranan seseorang sasterawan yang bukan sekadar berperanan sebagai peramal masa depan, akan tetapi juga sebagai perakam sejarah silam dalam mendidik manusia menjadi insan yang mengenal diri dan peribadi bangsa yang disertainya.

Kamis, 10 Juni 2010

DENDAM DAN DISKRIMINASI DALAM WSS

WEST SIDE STORY mengisahkan kehidupan dua kumpulan remaja yang saling bemusuhan dan berdendam di bandar Manhattan sekitar tahun 1957. Terdapat dua kumpulan utama iaitu Shark yang diketuai oleh Bernardo. Kumpulan tersebut dianggotai lebih dari sepuluh orang remaja yang berimigrasi dari Sepanyol ke Amerika. Manakala, Jets terdiri daripada kelompok remaja Amerika yang mengalami penyakit sosial lantaran daripada ketiadaan pendidikan dan asas kekeluargaan yang utuh. Kedua-dua kumpulan tersebut sering bergaduh bagi memperlihatkan kekuasaan dan kehebatan terhadap kawasan petempatan mereka. Masing-masing cuba menjadikan kawasan petempatan mereka sebagai milik kumpulan masing-masing dan mengamalkan peraturan sendiri. Kumpulan Jets yang diketuai oleh Riff sering memulakan pergaduhan kerana tidak suka akan kehadiran imigran dari Sepanyol tersebut.


Dendam dan benci antara dua kumpulan itu semakin membara apabila Tony yang pernah menganggotai Jets menjalin hubungan cinta dengan Maria, adik kepada Bernardo. Cinta antara Maria dan Tony bermula pada pandang pertama mereka dalam satu majlis tari-menari. Sebenarnya, Tony yang telah meninggalkan Jets termakan pujuk Riff yang mengajaknya untuk hadir ke majlis tersebut. Hubungan kedua-dua mereka ditentang oleh Riff dan Bernardo serta ahli kumpulan mereka. Walau bagaimanapun, Maria dan Anthony yang tenggelam dalam cinta tidak mengendahkan halangan mereka. Pada jam 10 selepas majlis tari-menari, Jets dan Shark bertemu di Kedai Gula-Gula Doc untuk berbincang dan cabar-mencabar. Mereka memutuskan untuk berlawan secara adil di bawah lebuh raya. Kumpulan Jets diwakili oleh Ice manakala Shark oleh Nardo sendiri.

Tony atas permintaan Maria telah berusaha untuk mendamaikan permusuhan antara kumpulan tersebut. Dalam hal ini, Tony telah mendatangi tempat pertarungan antara Nardo dengan Ice. Namun demikian, usaha Tony tidak mendatangkan hasil apabila dia diprovokasi oleh Nardo yang sememangnya memendam perasaan kepada dia yang cuba memikat Maria. Riff cuba melindungi Tony yang telah dianggap sebagai saudara itu dibunuh oleh Nardo tanpa sengaja. Melihat kepada Riff yang disayanginya terbujur kaku, Tony yang diserang oleh Nardo telah menikam Nardo tanpa sengaja. Sementara itu, Maria pula sedang menunggu berita gembira tentang kejayaan Tony menamatkan benci dan dendam antara Jets dan Sharks.

Chino yang merupakan lelaki pilihan Nardo untuk Maria menjadi berang apabila Maria tidak mahu mempercayai perbuatan Tony yang telah membunuh abang kandungnya. Perasaan marah Chino membuatkan dia tekad untuk membunuh Tony dengan sepucuk pistol yang dimiliki. Sementara itu, Anita yang cuba menyampaikan pesan Maria untuk lari bersama telah diganggu oleh Jets yang cuba mencabulnya. Hal itu menyebabkan Anita yang juga kematian kekasih iaitu Nardo telah mereka cerita tentang kematian Maria. Perkara tersebut menimbulkan kesedihan Anthony. Namun begitu, mereka berdua telah bertemu di tempat bermain bola jaring apabila Maria mencari Tony. Dalam pertemuan itu, Anthony telah ditembak oleh Chino yang menjumpai mereka berdua. Kematian Anthony menyatukan kedua-dua kumpulan dan hal ini dapat dilihat apabila beberapa ahli kumpulan Sharks membantu kumpulan Jets yang cuba mengangkat mayat Anthony.

Muzikal ini mengangkat tema ketidaksefahaman dan perebutan kuasa antara kaum yang membawa kepada benci dan dendam. Hal ini dapat dilihat melalui kewujudan antara Jets dan Sharks yang saling bermusuhan dan cuba mendominasi kawasan kejiranan mereka. Jets mendendami Sharks yang berasal dari Puerto Rican, Sepanyol. Mereka tidak suka akan kehadiran imigran tersebut yang dianggap sebagai pendatang dan hanya menyemakkan negara mereka. Di samping itu, Sharks pula membenci Jets yang sering menimbulkan kekacauan dan menganggu kebebasan mereka. Hinaan daripada Jets mengenai kehadiran mereka yang

dianggap sebagai penganggu menyebabkan Kumpulan Sharks tidak mahu berbaik dengan Jets.
Perbezaan kaum ini juga menyebabkan terhalangnya cinta antara Anthony yang berasal dari P

olland dan pernah menganggotai Jets dengan Maria, adik kepada Bernardo dan tunangan Chino. Meskipun Jets sangat menyayangi dan mementingkan Tony, Riff dan rakan-rakannya tetap tidak dapat menerima perhubungan mereka. Begitu juga dengan Sharks yang tidak merestui hubungan Maria dengan Tony. Rasa tidak mahu bertolak ansur dan membenamkan rasa benci, kumpulan masing-masing akhirnya kehilangan ketua apabila Bernardo dan Riff terbunuh dalam pertarungan yang dilakukan atas cabaran Jets. Tema ini juga bukan hanya melingkungi kedua-dua kumpulan tersebut, sebaliknya turut terpancar pada watak Sarjan Schrank yang nyata melakukan diskriminasi kaum. Sarjan Schrank lebih menyebelahi Jets dan sering memperlekehkan Sharks. Secara halus, karya ini merupakan kritikan terhadap kepincangan dan diskriminasi antara kaum yang berlaku dalam kalangan masyarakat Amerika terhadap puak imigran.

Selain isu perbezaan kaum yang berlaku dalam negara Amerika, muzikal ini turut membangkitkan persoalan kehendak manusia untuk berkuasa dan mampu menguasai orang lain. Dalam hal ini, pergaduhan antara Jets dan Sharks bukan sahaja berpunca daripada rasa benci dan tidak senang antara satu sama lain, sebaliknya turut berpunca daripada keinginan untuk menguasai kawasan kediaman mereka. Penguasaan terhadap kawasan kejiranan tersebut menjadi satu citra kekuasaan dan penghormatan terhadap mereka yang berkuasa. Dalam masa yang sama, kekuasaan tersebut akan menjadikan mereka digeruni dan berkuasa untuk melaksanakan undang-undang sendiri. Dari aspek lain, persoalan perebutan kuasa itu juga merupakan satu simbol kesungguhan mereka yang terlibat bagi mempertahankan hak masing-masing walaupun hak yang dimaksudkan itu hanyalah sesuatu yang kecil. Hal ini dapat dilihat apabila Jets dan Sharks berebutkan kawasan kejiranan yang kecil itu. Soal keluasan bukan lagi menjadi persoalan utama, sebaliknya soal pertahanan hak tersebut merupakan satu hal yang melibatkan maruah dan kerana itulah mereka bersungguh-sungguh untuk mempertahankannya walau dengan cara yang kasar dan melibatkan pertumpahan darah.

Di samping itu, muzikal ini turut memaparkan keinginan manusia untuk menikmati sesuatu yang dirasakan lebih baik meskipun perlu melalui pelbagai cabaran. Dalam konteks ini, kelompok imigran yang ditandai oleh Sharks sanggup berhadapan dengan segala kebencian serta terlibat dalam pertarungan dengan Jets semata-mata untuk merealisasikan impian untuk hidup bebas di Amerika. Dalam hal ini, watak seperti Maria dan Anita yang ingin menjadi ‘gadis Amerika’ mencitrakan keinginan mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih bebas, moden dan mewah tetapi murah. Impian mereka ini bertitik tolak pada tanggapan mereka terhadap kemajuan yang dialami oleh negara Amerika yang pesat membangun. Selain itu, mereka juga mengimpikan hidup yang mewah dan jauh dari kemiskinan seperti yang dialami di tanah air mereka. Keinginan-keinginan tersebut telah menyemarakkan pendirian dan kesanggupan mereka untuk berhadapan dengan cabaran Jets yang menjadi simbol penolakan terhadap kehadiran mereka yang tidak dialu-alukan.

Dalam masa yang sama, muzikal ini turut memuatkan persoalan kepincangan akhlak golongan remaja Amerika yang berpunca daripada kebobrokan dalam institusi kekeluargaan. Hal ini dapat dilihat melalui rintihan Jets yang berasa tertekan dengan keadaan ibu dan bapa yang rata-ratanya terdiri daripada pemabuk, kaki pukul dan penganggur. Masalah-masalah yang ditimbulkan oleh ibu bapa seperti itu memberi kesan kepada pertumbuhan mental dan emosi anak-anak secara tidak sihat. Oleh sebab tidak mampu menyelesaikan masalah kekeluargaan tersebut, anak-anak memilih jalan mudah dengan membina hidup sendiri secara berkumpulan dan melakukan kerosakan sebagai cara untuk meluahkan perasaan.

Selasa, 08 Juni 2010

Memancing Ikan Monster..

Memancing ikan monster...

Pembunuhan Yang Tertangkap Kamera CCTV


Maut bisa sewaktu-waktu menyergap. Seperti pria yang berdiri di persimpangan jalan ini yang tiba2 di datangi oleh dua pria bersepeda motor. Dan.... DOR...DOR...

Senin, 07 Juni 2010

WARNA KEHIDUPAN

SAYA DAN EMAK berada di Klinik Pergigian, Selayang seawal jam tujuh pagi ini. Sebatang gigi emak perlu dicabut kerana mengalami kerosakan. Memang sengaja emak menunggu saya bercuti semester untuk menemaninya. Sebelum saya melanjutkan pengajian di ASWARA, memang sayalah yang akan menemani emak bagi setiap sesi janji temu emak dengan doktor. Setelah berada di ASWARA, abang kelima saya yang setia menemani emak. Kredit untuk abang kelima saya. Klinik Pergigian yang kami kunjungi itu terletak bersebelahan dengan Klinik Ibu Mengandung. Selepas membuat pendaftaran untuk emak, kami berdua setia menanti giliran 1045 dipanggil.

Sepanjang hampir lima jam berada di situ, saya asyik memerhatikan gelagat para pesakit terutamanya ibu-ibu mengandung. Saya berasa begitu takjub melihatkan keadaan perut ibu-ibu itu yang pelbagai bentuk bulatnya. Ada juga yang seperti bujur telur. Ketakjuban saya memuncak apabila mengenangkan akan wujudnya satu nyawa di alam lain di dalam perut ibu-ibu itu. Memang menakjubkan apabila saya melihat perut ibu-ibu itu sebagai satu dunia yang sangat asing dengan dunia yang sedang saya lalui kini. Ibu-ibu itu membawa 'dunia' yang istimewa itu pada jangka masa yang tertentu yang tidak pula singkat selanya. Subhanallah.

Saya masih ingat kali pertama saya membantu doktor melakukan imbasan terhadap seorang ibu mengandung sewaktu saya bekerja di sebuah klilnik swasta pada tahun 2007 lalu. Saya telah ditugaskan untuk membantu doktor tersebut menyediakan ruang pemeriksaan imbasan bayi. Meletakkan gel yang dingin di perut ibu itu sebelum doktor menggunakan alat tertentu yang digerakkan ke atas perut ibu sambil meratakan gel tadi.

Saya terus sahaja berdiri di samping doktor, bersedia sekiranya doktor bertugas memerlukan bantuan saya. Sambil itu, mata saya terpaku pada monitor alat pengimbas. Perlahan-lahan, saya melihat bentuk tubuh bayi di melalui monitor itu. Doktor pula asyik menerangkan kedudukan jantung dengan bentuk denyutannya. Saya juga dapat melihat bentuk wajah bayi itu. Susuk tubuhnya yang seperti mengerekot dan bentuk matanya yang persis tertutup. Hati saya bertasbih dan bertahmid. Saya berasa sangat teruja dan takjub melihat 'lukisan' seindah itu. Rasa mahu menitis air mata saya melihat keajaiban itu. Pada saya, berpeluang melihat satu alam asing yang didiami oleh bayi yang masih suci bersih itu merupakan satu nikmat yang tidak mampu saya gambarkan. Pengalaman pertama melihat imbasan itu masih segar di ingatan saya sehingga kini walau sudah tiga tahun peristiwa itu berlalu.


Sewaktu mengajar diri bersabar menunggu giliran, saya suka sekali melihat gelagat anak-anak kecil di klinik itu. Ada yang benar-benar menuntut kesabaran ibu dan bapa, ada juga yang tidak memberi kesan apa-apa kepada ibu bapanya. Saya melihat seorang anak kecil seusia tiga tahun 'mengamuk' kerana tidak dibenarkan oleh bapanya mengikut ibunya menemui doktor. Anak kecil itu lantas duduk di atas lantai dan menjerit dengan suara yang sangat nyaring. Puas juga bapanya memujuk anak kecil lelaki itu. Di samping itu, saya juga terpaut pada seorang anak kecil perempuan yang barangkali berusia tiga tahun juga. Wajah anak itu sangat tenang, sama seperti wajah ayahnya yang setia membawa payung kecil berwarna merah jambu. Pastinya milik anak itu.

Begitu banyak kisah yang saya lihat dari raut wajah mereka yang berada di klinik itu. Ada yang seolah-olah tidak mampu membendung amarah atas kelambatan sistem. Ada yang begitu tenang dan bersahaja melayan sabar bersama isteri yang bakal melahirkan zuriat. Ada juga yang resah gelisah mengenangkan kesakitan yang bakal didepani apabila tercabutnya sebatang gigi dari letaknya dan bermacam lagi. Sesungguhnya setiap kisah membawa makna yang saya rakam di dalam ingatan.

Segala-galanya punya rahsia yang boleh disingkap ada juga yang tidak perlu dibaca.

Minggu, 06 Juni 2010

INSIPIRASI DALAM LIFE IS AN OPEN SECRET, THINK ABOUT IT

MEMBACA AS I WAS PASSING oleh Adibah Amin akan membawa pembaca generasi 1940 hingga 1950-an mengenang semula detik usia kanak-kanak dan kehidupan mereka pada zaman tersebut. Membacanya akan menerbitkan kenangan dan menyegarkan kembali memorabilia yang tersimpan kemas di dalam ingatan pembaca generasi tersebut. Bagi pembaca generasi seterusnya yang dilahirkan pada tahun-tahun 1990-an pula, membaca buku tulisan mantan kolumnis dalam akhbar News Stratis Times berkenaan mampu memberi satu pengalaman baharu dan pengetahuan mengenai zaman ibu bapa atau datuk dan nenek pada masa dahulu. Membacanya akan membuka ruang pengalaman pembaca generasi kini mengenal adat dan budaya hidup masyarakat Tanah Melayu dan Malaysia pada awal pascakemerdekaan. Secara langsung, buku tersebut mampu menjawab soalan-soalan anak zaman kini mengenai gaya hidup masyarakat Melayu zaman dahulu. Melalui gaya bahasa yang santai dan mudah, Adibah Amin mampu memberi satu didikan terhadap pembaca mengenai tatacara hidup bermasyarakat yang harmoni, motivasi untuk hidup bersendikan persefahaman dan kepentingan menghargai segala pengalaman hidup yang ada.

Sekiranya As I Was Passing dikenal sebagai bahan baca mengenai kehidupan dan motivasi berlandaskan pengalaman penulisnya pada dekad berkenaan, Chicken Soup's yang tampil dalam pelbagai siri juga terkenal sebagai buku insipirasi dan motivasi yang sangat popular dalam peta global industri buku. Buku yang diterbitkan di Amerika Syarikat berkenaan menghimpunkan pelbagai kisah kehidupan oleh para penyumbang cerita. Kisah-kisah yang disumbangkan oleh individu dari seluruh dunia tersebut dibuku dan dikategorikan mengikut genre itu sememangnya mempunyai daya tarikan yang tinggi. Namun demikian, perbezaan latar budaya dan kesesuaian dengan budaya Melayu yang berpaksikan Islam menjadikan buku bestseller itu kurang sesuai untuk pencernaan minda dan rohani masyarakat Melayu. Hal ini tidak pula menjadikan buku tersebut tidak wajar dibaca, cuma satu penyaringan dalam penerimaan perlu ada supaya pembaca tempatan mampu menghormati setiap kisah tersebut tanpa menerimanya secara sewenang-wenangnya.


As I Was Passing dan siri buku Chicken's Soup terlintas di fikiran saya semasa membaca buku Life is an Open Secret (LIAOS), Think About It oleh Zabrina A. Bakar, seorang penulis tempatan yang berjaya membawa buku tersebut merentasi dunia buku antarabangsa. Kekuatan buku ini bukan sahaja terletak pada kisah-kisah dan pengamatan penulisnya terhadap dunia dan kehidupan, sebaliknya diperkukuhkan lagi dengan penyertaan pelbagai hadis, petikan ayat al-Quran, kata-kata para sahabat nabi dengan catatan sumber yang jelas serta petikan daripada kata-kata pujangga dan ahli falsafah Islam seperti Jalaluddin Rumi, Iqbal dan ahli falsafah barat seperti Ralph Waldo Emerson yang disesuaikan dengan inti cerita. Bahasa Inggeris yang digunakan dan kisah yang terdapat di dalam buku ini mudah difahami oleh pelbagai golongan termasuklah golongan kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan agama seperti yang ditegaskan oleh Lea Schizas, editor dari Muse Writers Conference:

Although the stories are based on Zabrina's own Muslim faith and contain passage from the teaching [of Islam], her stories reach far beyond the border of division between one religion and another (ii:2007).

Zabrina A. Bakar atau turut dikenali sebagai Sis Zabrina ialah seorang penulis motivasi dan kolumnis aktif dalam media bercetak dan media siber antarabangsa. Tulisan-tulisan beliau tersiar dan dikenali di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Mesir selain menyumbang dalam penerbitan di USA dan UK. Meskipun Sis Zabrina mula menulis sejak berusia tujuh tahun, kerjaya beliau dalam bidang penulisan secara profesional berkembang pada bulan Mac, 2006 sebagai pemblog. Sis Zabrina mula mendapat pendidikan awal di Bukit Bintang Girls School, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan persekolahannya di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu. Seterusnya, Zabrina melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan perakaunan bagi program ijazah pertama dan sarjana. Seterusnya, beliau menlanjutkan pengajian peringkat kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di University of Newcastle, Australia. Sebagai seorang penulis, Zabrina berpegang pada kata-kata Inayat Khan dalam berkongsi kisah hidup yang berinsipirasi untuk tatapan pembaca iaitu words that enlighten the soul are more precious than jewel.

Life is an Open Secret versi hijau memuatkan 18 buah cerita berinspirasi daripada pengalaman kehidupan seharian penulis. Kisah bonus (secret bonus) dengan judul The Story of a Man with a Perfect Job mengakhiri catatan di dalam buku ini. Kisah bonus in memperihalkan rasa bangga sepasang warga tua berusia emas yang ditemui penulis di sebuah pasar borong. Melihat pada keadaan mereka yang bersusah-payah bekerja menjual sayur-sayuran yang ditanam sendiri saban awal pagi, sesiapa sahaja akan beranggapan betapa kedua-dua warga emas itu tentunya ibu bapa yang ditinggalkan atau dibiarkan oleh anak-anaknya. Menyedari tanda tanya yang bermain di fikiran penulis, lelaki tua tersebut telah memberitahu penulis akan sebab sebenar keberadaan dia dan isteri di situ :

"You know, dear, my wife and I grow our own vegetables and have been selling them at this wet market since our younger days.That's how we manage to send our children to school and college. We aren't rich, but we have enough for everyone. Every bites of food that goes into our mouth is earned from this vegetable business. Alhamdulillah. So, now, even though we are living a good life from the money our children send to us, we feel that, as long as we can earn an honest living ourselves, we should keep on working. It's good for us, recommended by the religion, and, plus, we needed the exercise, too," he told me and chuckeld. (162:2007).

Kata-kata lelaki tua tersebut telah membuatkan penulis semakin jelas akan matlamat pasangan tua itu iaitu untuk tidak mahu hidup hanya sebagai penerima sebaliknya mahu tekal berusaha untuk mendapatkan sesuatu sejajar dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diturunkan pada halaman 164:

Abu Hurairah (may Allah be pleased with him) said:"I heard the Messenger of Allah (peace and blessing of Allah be upon him) say: 'By Allah, if one of you were to go out in the morning and gather firewood on his back, and sell it and make himself independent, and give some of it in charity, this is better for him than his coming to a man and asking for anything, whether ge gives or refuses. The upper hand is better than the lower hand, and start with those who are under your care." (Muslim)

Secret Three yang berjudul The Story about the Housewife and a Package of Sugar mengisahkan pengamatan penulis terhadap suasana dinihari yang padanya terhimpun keberkatan yang sering kali terlepas pandang oleh manusia.

The breeze of dawn has secrets to tell you. Don't go back to sleep, kata-kata oleh Jalaluddin al-Rumi itu memberi kekuatan kepada penulis untuk memastikan beliau tidak ketinggalan dalam menikmati waktu-waktu dinihari yang dianugerahkan Ilahi. Dalam bab ini, Zabrina memberi analogi mengenai kerugian yang dialami oleh sesiapa yang tidak memanfaatkan waktu, ruang dan peluang yang ada dengan bermalas-malasan melalui kisah seorang suri rumah yang ingin mendapatkan sepaket gula percuma daripada seorang pekedai dengan syarat perlu hadir di kedai berkenaan antara jam lima hingga jam enam pagi. Suri rumah yang berkehendakkan sepaket gula percuma tersebut perlu bersedia awal dan tidak terlewat sekiranya mahukan barang yang diinginkan kerana pekedai tersebut tidak akan memberi gula berkenaan melepasi jam enam pagi. Suri rumah telah terlewat lima minit lantas pulang dengan kehampaan. Hal ini sebenarnya merujuk kepada saban peluang yang kita miliki tetapi sering kali terlepas lantaran daripada kealpaan dan kegagalan kita dalam tekun mendapatkan sesuatu peluang tersebut. Lapisan kedua kisah ini diperincikan oleh Zabrina seperti berikut :

The sugar is our success. It is hard to find. And the price of success is definately high. The traffic jam resembles the confused thoughts in our head that tells us to get back to sleep when we wake up early.

So, my dearest friend, before I leave, let me ask you a question. Are you going to be the housewife who gets the sugar, or are you going to be the one who is late?

The choice is yours. I have made mine. And I shall strive hard to stick with it.

It is not going to be easy, but let's face it. Nothing comes easily in the world, right? I know I will have to face many traffic jams along the way. But, in the end, I am determined to get my sugar!
So, to everyone out there, do you want to have your package of sugar, too? What are you waiting for? Come and get it. Honk! Honk! Make way for the sugar-seekers (25:2007).

Manusia akan diuji dengan setiap ujian yang bersesuaian dengan taraf kemampuan yang dimiliki. Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-hambaNya. Setaip ujian yang diberikan sebenarnya merupakan satu landasan untuk manusia mengenal diri dan mencipta kekuatan. Kegagalan tidak seharusnya menjadi batu penghalang untuk individu terus berusaha dan tidak putus asa. Ada ketikanya, kegagalan akan membuatkan individu berasa gelisah, hampa dan kecewa namun semua itu seharusnya diambil sebagai iktibar untuk memperbaiki diri. Dalam hal ini, kesabaran adalah sangat dituntut.

Zabrina membawa pembaca menelurusi kisah seorang sahabat baiknya yang sering diuji dengan pelbagai ujian dalam Secret Four The Story of The Fishermen and the Shark. Kesusahan yang dihadapi sahabat beliau yang berhadapan dengan ketidakadilan dalam sistem di tempat kerja, terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga tidak mempunyai hubungan cinta namun sentiasa berdoa kepada Allah akan dipertemukan dengan seorang lelaki yang akan menjadi imam kepada dirinya. Sahabatnya itu tidak pernah putus asa berdoa dan berusaha melalui ujian yang diberikan kepadanya dengan jalan yang sabar. Pada akhirnya, sahabat Zabrina berjaya mendapat tempat yang selesa dalam syarikat, berjaya berhadapan dengan pelanggan-pelanggan penting dan seterusnya berjaya mendapat lamaran seorang lelaki hartawan dan paling penting mempunyai agama dan ketinggian budi seperti yang sering didoakan. Segala kekecewaan yang dihadapi sahabatnya diubati dengan doa dan mendekatkan diri kepada Allah yang akhirnya memudahkan segala urusan dan memakbulkan doa hambaNya yang meminta.

Ujian yang dihadapi sahabat itu diterjemahkan dengan sebuah analogi yang sangat menarik iaitu kesungguhan nelayan Jepun yang terpaksa berhadapan dengan kepekaan tinggi rakyat Jepun terhadap kesegaran rasa ikan. Dalam hal ini, ujian telah membuatkan mereka berusaha dan tidak berputus asa sebaliknya membentuk kekuatan minda dan rohani untuk menangani segala dugaan. Hal ini diterjemahkan Zabrina seperti berikut:

The Japanese have always loved fresh fish. But the waters close to Japan have not held many fish for decades. So, to feed the Japanese population, fishing boats became bigger and went farther than ever.

The farther the fishermen went, the longer it took to bring in the fish. There is a problem here. If the return trip took more than a few day, the fish would not be fresh. And the Japanese do not like the taste of a not-so-fresh fish!

To solve this problems, fishing companies decided to install freezers on their boats. Fishermen would catch the fish and freeze them at sea. Freezers allowed the boats to go farther and stayed longer. They thought this would solve the problem.

But, they were wrong. The Japanese could actually taste the difference between fresh and frozen, and, of course, they did not like the taste of frozen fish.

This resulted in the frozen fish being sold at a lower price. So, the fishing companies tried again.

This time, they installed fish tanks. The idea was this - they would catch the fish and stuff them in the tanks alive, fin-to-fin. After a llittle thrashing around, the fish would stop moving. The were tired and dull, but the good news is that they were still alive.


You wouldn't believe this, but, to the dismay of the fishing companies, the Japanese could still taste the difference. Since the fish did not move for days, they had lost their fresh-fish taste. The Japanese preferred the taste of lively fresh fish, not sluggish fish. Interesting, right?

That is when they had their brilliant idea. Listen to this.

To keep the fish tasting fresh all the time, the Japanese fishing companies still put live fish into the tanks. But now they add a small shark to each tank! The shark eats a few fish, but not the most of the fish arrive in a very lively state, because they now have to swim actively to avoid being eaten by the shark. The fish are challenged. Subhan Allah. Wow (32-33:2007).

Begitu analogi Zabrina betapa manusia perlukan ujian dan perlukan dugaan untuk menjadikan diri lebih kental, kreatif dan tidak mudah kalah dengan ujian yang tiba. Kisah tersebut merupakan satu bentuk kisah yang menarik untuk dikaitkan dengan dugaan kehidupan yang dialami oleh manusia. Kekentalan dan kesabaran akan membawa kepada hikmah dan kejayaan pada akhir ujian yang dilalui.

Pelbagai kisah kehidupan seharian yang menarik dengan lapisan makna yang wajar diselami pembaca turut boleh didapati melalui Secret One The Story of a Man and his Entrance Fees, Secret Nine The Story of the Archer and his Speech, Secret Ten The Story of a Kindergarten Teacher and her Experiment, Secret Fourteen The Story of a Boomerang dan Secret Seventeen The Story of a Typical Working Man. Setiap kisah yang dipaparkan boleh dijadikan iktibar untuk pembaca berusaha mengenali diri dan cuba untuk memperbaiki setiap kekurangan yang dikenal pasti.

Petikan menarik :
Secret Eight The Story of the Phone Operator and The Caller (kemahiran berkomunikasi)

Caller : Hello, can I speak to Annie Wan?

Operator : Yes, you can speak to me.

Caller : No, I want to speak to Annie Wan!

Operator : Yes, I understand you want to speak to anyone. You can speak to me. Who is this?

Caller : I'm am Sam Wan. And I need to talk to Annie Wan! It's urgent.

Operator : I know you are someone, and you want to talk to anyone! But what's this urgent matter about?

Caller : Well ... just tell my sister Annie Wan that our brother Noe Wan was involved in an accident. Noe Wan get injured, and now Noe Wan is being sent to the hospital. Right now, Avery Wan is on his way to the hospital.

Operator : Look, if no one was injured and no one was sent to the hospital then the accident isn't an urgent mattter! You may find this hilarious, but I don't have time for this!

Caller : You are so rude! Who are you?

Operator : I'm Saw Ree

Caller : Yes! You should be sorry. Now give me your name!!

Operator : That's what I said. I'm Saw Ree.

Caller : Oh ... God!

Kamis, 03 Juni 2010

KAHWIN-KAHWIN

SEORANG kenalan yang baru sahaja melangsungkan pernikahannya pada Disember lalu telah memaklumkan kepada saya beberapa hari yang lalu bahawa dia dan mantan isteri yang baru dinikahi lalu itu sudah berpisah. Bercerai. Wah, satu khabar yang agak mengejutkan saya. Beberapa ketika dahulu, dia mempertahankan akan kesediaannya untuk menjalani bahtera perkahwinan. Dia menegaskan kepada saya betapa dia nian yakin bahawa masanya untuk berumah tangga sudah tiba. Ketika menghantar pesanan ringkas kepada saya pada petang pernikahannya, dia mengharapkan agar saya mendoakan kebahagiaan dia dengan suri yang menjadi pilihan untuk bertakhta di hati. Saya mengaminkan. Lalu, apabila menerima pesanan ringkas seperti itu daripada dia setelah agak lama tidak berhubung, saya berasa agak terkejut. Terasa bagai baru sahaja saya menerima pesanan ringkas dia yang mengharapkan agar saya mendoakan kebahagiaan perkahwinannya dan pada hari yang baru-baru ini, saya menerima pula pesanan dia bagi memaklumkan perceraiannya!

Tanpa saya tanya, dia memaklumkan lagi bahawa dia dan mantan surinya itu tidak mempunyai persefahaman dan tidak mampu meneruskan perkahwinan. Lucu, sekali membacanya saya tersenyum. Apakah begitu mudah pernikahan dan perceraian berlaku? Hanya tanpa persefahaman yang baru dikenal pasti, cerai menjadi landasan paling mudah untuk kebahagiaan kedua-dua pihak? Mengapa tidak menjadikan ketidaksefahaman itu sebagai medium dalam mencari titik saling melengkapi antara dua hati yang memanglah asing sebelumnya? Bukankah perkahwinan itu sememangnya satu percantuman hati dua insan yang sememangnya saling berbeza antara satu sama lain. Yang sangat sedikit persamaan berbanding perbezaan?

Pada satu masa dahulu, saya bertanya kepada dia akan sebab sebenar yang menjadikan dia begitu jelas ketergesaannya untuk mendirikan perkahwinan pada usia yang sebegitu muda. Dia menjawab betapa dia begitu bingung akan masalah sosial yang melanda pada akhir zaman ini. Dia bimbang akan terjebak ke dalam zina dan oleh sebab itulah dia berasakan bahawa sudah tiba masanya untuk berkahwin.

Pada pandangan saya, alasan ingin berkahwin untuk menjauhi zina merupakan satu niat yang baik. Yang sangat mulia demi menjaga maruah diri dan agama. Walau bagaimanapun, saya juga berkeyakinan bahawa niat murni tersebut tidak hanya berdiri sendiri. Ada aspek lain juga yang perlu diberi perhatian. Apakah kita (remaja muslim kini) yakin dan benar pasti akan berjaya menjauhi zina apabila terjadinya sebuah perkahwinan? Persoalan ini mengingatkan saya kepada isu cinta anta-enti dalam Aku Terima Nikahnya. Perihal betapa ramai remaja muslim yang mendakwa ingin berkahwin atas dasar ingin mengelakkan zina akan tetapi gagal dalam memahami hakikat perkahwinan dan tanggungjawab yang sebenar. Sudahnya, perkahwinan yang dimulakan dengan niat yang suci itu dirobohkan jua atas alasan ketidaksefahaman, perbezaan fikiran, takdir dan sebagainya. Saya tertanya-tanya sendirian sebaik-baik dia memberitahu akan sebab perpisahannya. Apakah persefahaman itu akan muncul hanya dalam sela masa yang tidak lama atau mengambil masa dan pengalaman yang merentasi hidup pasangan yang bertunjangkan keimanan dalam melayari bahtera perkahwinan?

Saya berpandangan betapa perlunya kalangan remaja (termasuklah saya sebagai remaja tua) untuk berfikir dengan lebih mendalam tentang persefahaman, sekufu atau tidak sebelum lafaz ijab dan kabul kedengaran. Bukan sesudah itu. Saya yakin, perkahwinan tidaklah semudah itu. Tidak mudah untuk didirikan dan tidak mudah untuk dirobohkan.

----

Cinta, suka, kita serasi bersama. Ya, akan kutebarkan segenap cinta hanya untukmu, ratu hatiku. Kerana cinta dan kasih, lautan api sanggup aku direnangi. Hanya untukmu, cinta hatiku. Peganglah janjiku, kita bersama membina cahaya cinta. Sentuhlah nuraniku, hanya namamu abadi selalu. Ah.

Sesungguhnya perkahwinan itu ibarat susunan piring yang adakalanya akan bergeser antara satu sama lain. Begitulah perkahwinan, tidak sentiasa bagai ombak yang tampak tenang
- Hamka-

Rabu, 02 Juni 2010

Honey Badge... Hewan Yang Paling Ditakuti di Bumi

Honey Badge... Demikian namanya dan Guinness Book of World Records memberi julukan sebagai hewan yang paling ditakuti di muka bumi ini.
Sesuai dengan julukannya, memang tidak ada yang ditakutinya. Mulai dari ular cobra sampai ribuan lebah dia hadapi.


Selasa, 01 Juni 2010

Dua Pemakai Jalan Yang Beruntung Sekali..!!

Disini ada dua video yang menunjukan dua pemakai jalan yang beruntung. Mengapa? Karena di depan mereka terjadi kecelakaan yang hebat dan mereka sama sekali tidak ikut celaka.
Sangat beruntung sekali...

EMBED-World's Luckiest Bike Rider - Watch more free videos