MERINDUI ALAM PERSEKOLAHAN. Tidak seperti segelintir rakan yang mempunyai pengalaman berpindah-randah ke sekolah demi sekolah, saya hanya pernah menuntut di tiga buah sekolah.
Tanpa pernah memasuki alam tadika, saya terus mendaftar dan memasuki tahun satu (1 Mara /1994) di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Selayang 2. Alhamdulillah, walaupun tidak memasuki tadika, saya diberi kemudahan untuk mempelajari huruf dan angka dengan baik oleh emak dan abang. Tidak lama sebelum memasuki sekolah rendah, saban malam saya akan diajar oleh mereka mengenal huruf dan mengeja.
Abang kedua saya yang selalu mengajar saya. Bagi saya, dia agak garang. Saya masih ingat pada satu malam, dia meminta saya menghafal kesemua abjad dan mengulang baca abjad-abjad itu sehingga tiada satu pun yang tertinggal. Saya berasa letih dan mengantuk tetapi dia masih mahu saya terus mengulang baca. Ah, seksanya saya rasa ketika itu. Untuk mempercepatkan masa, saya akan meminta diri untuk ke tandas dan berdiam beberapa ketika di dalamnya.
'Eee, angah ni. Esok-esok sajalah sambung. Orang dah mengantuk,' gerutu saya di dalam hati sambil bermain air.
Melihat mata yang semakin kuyu, saya pasti emak tahu helah saya berlama di dalam tandas. Hampir lima minit, maka akan kedengaranlah jeritan angah. Mahu atau tidak, saya terpaksa juga keluar dari tandas dan menyambung ulang baca.
Saya memang sangat bersyukur. Sistem bahasa dalam minda saya sangat utuh, saya kira. Meskipun tidak memasuki tadika dan mengenal huruf prasekolah, saya mampu mendapat markah yang tinggi dan baik untuk setiap subjek bulanan hatta untuk ujian subjek Matematik juga! Kertas-kertas ujian itu saya simpan hinggalah saya memasuki sekolah menengah dan hilang dek berpindah rumah.
Guru saya sewaktu dalam tahun enam iaitu Cikgu Nor Azmi Mohd Rejab pernah berkata kepada saya "Saya rasa skru bahasa awak ketat sangat sampai skru angka awak jadi sangat longgar," katanya apabila saya mendapat markah corot untuk peperiksaan Matematik.
Sewaktu dalam tahun lima dan tahun enam, saya aktif mewakili sekolah dalam sukan bola baling. Yup, sukan ini sangat menarik dan amat saya gemari. Kami menjalani latihan sebanyak tiga kali seminggu. Apabila guru yang bertugas sebagai jurulatih lewat, kami pernah pula bermai ragbin sendiri. Sangat seronok, permainan itu lasak tetapi menyeronokkan. Saya masih ingat, jam Tweety Bird warna hijau yang alang berikan calar teruk kerana permainan ragbi ketika itu.
Tamat sekolah rendah, saya menyambung pelajaran di SMK Seri Selayang, bersebelahan sekolah rendah saya. Beberapa bulan memasuki tingkatan 1 Amanah memang begitu terasa sedihnya. Barangkali kerana terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sekolah lama. Berpisah dengan guru-guru dan suasana sekolah yang berbeza. Walau bagaimanapun, masa menyembuhkan segalanya. Alam sekolah menengah menjanjikan keistimewaan yang berbeza. Sewaktu dalam tingkatan satu, saya dilantik sebagai Penolong Ketua Kelas ketika itu. Berilah apa-apa saja jawatan asalkan bukan Bendahari. Saya tidak suka bergelumang dengan angka! Pertandingan Kelas Terbersih memang biasa dilakukan setiap bulan. 1 Amanah pernah memenangi anugerah itu sebanyak lapan kali berturut-turut. Kami mendapat hadiah sebuah jam dinding, wang dan pelbagai lagi. Ketika menyambut bulan kemerdekaan pula, pihak sekolah menganjurkan pertandingan mengumpul wang 1 sen dan sekali lagi, kelas saya memenangi pertandingan itu. Memang sangat menyeronokkan pertandingan demi pertandingan dan suasananya.
Sewaktu itu juga, saya mula suka menaip apa-apa sahaja. Hobi saya ialah menaip. Saya tidak berkarya, sekadar menaip semula apa-apa yang saya suka. Maklum saja, ketika itu saya baru mempunyai komputer. Menyedari minat saya itu, banyaklah pula guru-guru yang memberi upah kepada saya untuk menaip. Pernah juga, seorang ustazah yang katanya saya boleh menulis meminta saya menulis sebuah esei pendek. Memang sukar untuk saya menulis tanpa tema ketika itu. Jadi, saya mereka tema sendiri. Saya masih ingat, esei ringkas itu berjudul "Yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek." Esei itu dibacakan dalam perhimpunan mingguan.
Kerajinan saya sewaktu berada di alam menengah rendah tidak dapat menandingi saya sewaktu berada dalam menengah rendah. Sewaktu menduduki PMR dan sebelumnya, berjaga malam sudah menjadi kebiasaan. Saya yang begitu meminati subjek Sejarah mempunyai berpuluh buku latihan yang saya gunakan sebaiknya. Akan tetapi, memasuki alam menengah atas dan kelas 4 Akrab kerajinan saya mula menurun.
Saya dimasukkan ke aliran sains tulen kerana keputusan PMR yang baik. Akan tetapi, saya tahu minat dan kecenderungan saya tidak ada pada matematik. Hal ini membuatkan saya selalu panas punggung dalam kelas Matematik dan Fizik! Guru-guru semakin menyedari, apatah lagi dalam kelas Matematik Tambahan yang akhirnya saya gantikan dengan Tasawwur Islam yang amat menyeronokkan.
Saya pernah cuba untuk meminta agar ditukarkan ke kelas Perdagangan akan tetapi tidak dibenarkan guru. Kata guru, saya dibenarkan bertukar ke kelas Akaun jika benar-benar mahu. Ah, itu juga bukan minat saya. Barangkali kerana saya tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk meminta pertukaran kelas itu, jika tidak pasti berjaya. Walau bagaimanapun, ini semua sudah ditetapkan. Berada di aliran sains tulen itulah yang menemukan saya dengan cinta sastera dan bahasa hingga kini.
Akibat minat yang tiada terhadap subjek sains, saya mendapat markah yang corot walaupun memegang jawatan Ketua Tingkatan selama dua tahun itu. Saya pernah dipanggil oleh Pengetua dan dinasihati agar berusaha. Hanya apabila Cikgu Julia yang mengajar saya subjek Bahasa Melayu tetapi mempunyai ilmu kaunseling itu menyedari keadaan akademik saya yang semakin menurun, beliau menghantar saya untuk mendapatkan bimbingan dan kaunseling akademik bersama Cikgu Norhana. Alhamdulillah, saya mula menyedari pentingnya SPM sewaktu empat bulan terakhir menjelang peperiksaan itu. Syukur, meskipun terlambat saya masih sempat dan berjaya membuktikan kepada guru-guru yang menyangka saya hanya akan menjatuhkan prestasi subjek mereka. Saya masih ingat, Cikgu Raba'a, guru Fizik saya mendakap erat saya sewaktu keputusan SPM diumumkan dan saya mendapat keputusan yang baik untuk subjek itu tidak seperti yang dia jangkakan (itulah guru, jangan pandang rendah kepada anak murid. Berikan sokongan dan berdoalah!)
Usai menamatkan SPM, saya menyambung pengajian tingkatan enam di SMK Darul Ehsan. Di situlah saya mula mengenali bahasa dan mencintainya sepenuh hati apatah lagi ketika mempelajari susur galur bahasa Melayu. Cikgu Noor Aishah Abdullah yang menjadi pembakar cinta saya terhadap bahasa. Alam sekolah kali ini menjanjikan pengalaman yang berbeza. Sebagai Timbalan 1 Pengawas, saya pernah diugut oleh seorang murid perempuan supaya tidak melaporkan 'kerja' mereka. Ada banyak cerita sehingga pernah saya berasa untuk meletakkan jawatan. Namun, kaunselor ketika itu Cikgu Maizura berkata :
"Fatiha, dunia di luar sana jauh lebih teruk daripada dunia di dalam sekolah ini. Sekali awak keluar dari sekolah, keselamatan dan keamanan awak tidak akan terjamin seperti awak berada di sekolah sekarang ..."
Ya, saya menyedarinya hanya apabila tamat persekolahan. Memasuki dunia universiti dan seterusnya melangkah masuk ke alam kerjaya. Setiap daripadanya mempunyai keistimewaannya namun keindahan alam persekolahan tiada tandingan. Rindu sekolah.